Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayi 12 hari maut kena 'panggang'

Posted: 19 Jul 2013 09:29 AM PDT

Beijing: Seorang bayi yang baru lahir didakwa maut 'dipanggang' dalam inkubator di sebuah hospital di China semalam.

Gambar bayi berusia 12 hari itu terdedah kepada umum selepas ia beredar di kalangan pengguna Weibo, sejenis laman sosial menyerupai Twitter.

Melalui gambar itu bayi berkenaan dilihat terbaring dalam keadaan tertiarap di atas cadar putih di atas sebuah meja.

Belakang dan kakinya kelihatan keperangan dan merah akibat kepanasan.

Foto

MAYAT bayi yang malang itu.

Foto

KAKITANGAN hospital mengerumuni mayat bayi berkenaan.


Beberapa kakitangan hospital berada di sekeliling meja itu dengan sesetengahnya mengambil gambar bayi malang itu.


Disebabkan keadaan imej itu sangat mengerikan laman sesawang dalam talian yang memperoleh gambar itu mengaburkan kebanyakan butirannya.

Menurut laporan media bayi terbabit terbunuh dalam "kemalangan ngeri" di Hospital Kanak-kanak Quanzhou di wilayah Fujian, tenggara China.

Beijingcream.com melaporkan bayi malang itu diletakkan dalam inkubator sejak kelmarin kerana mengalami selesema.

Bagaimanapun suhu dalam inkubator itu terlalu panas menyebabkan bayi terbabit akhirnya meninggal dunia.

Media juga melaporkan semua rakaman kamera litar tertutup pada malam itu dipadamkan.

Pihak hospital juga enggan mengambil tanggungjawab atas kemalangan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Kayu snuker tertusuk mata hingga ke otak

Posted: 19 Jul 2013 09:11 AM PDT

London: Seorang lelaki kini bertarung dengan maut apabila sebatang kayu snuker tertusuk ke matanya, menembusi sehingga otak sebelum terhenti di dinding tengkorak.

Sam Willers, 23, sedang leka bermain snuker dengan kawan-kawannya apabila seorang rakan menujah kayu itu ke mata mangsa.


Difahamkan doktor hanya memberikan satu peratus peluang untuk Willers selamat.

Namun, selepas pembedahan mata dijalankan dan Willers diletakkan dalam keadaan koma bagi membantu otaknya pulih, pemuda itu semakin pulih daripada kecederaannya.


Kenalan Willers, Angela Harwood, 58, berkata pemuda itu kini sudah sedar dan mula bercakap.


"Bahagian kirinya dalam keadaan baik, manakala doktor sedang mengusahakan pemulihan bahagian kanan," katanya.

Menurut Angela, masa yang lama diperlukan sebelum Willers pulih. "Selama tiga minggu sebelum ini nasibnya tidak menentu," katanya. Willers dari Denmead dekat Winchester dikejarkan ke Hospital Besar Southampton sebaik saja kemalangan berlaku.


Dia dipindahkan ke Hospital Queen Alexandra di Portsmouth dan kekal berada di tahap "serius" sejak kemalangan pada 21 Jun itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

'Tak sengaja' bocor rahsia

Posted: 19 Jul 2013 09:10 AM PDT

Shanghai: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki mengambil dadah selepas suaminya "secara tidak sengaja" memaklumkan pihak berkuasa mengenai kegiatan itu.

Terdahulu, seorang anggota polis cuba meredakan pergaduhan pasangan suami isteri terbabit ketika mereka bertengkar di sebuah stesen kereta api di Century Avenue.


Disebabkan berang, si suami kemudian mendekati polis terbabit dan 'membocorkan' rahsia isterinya.

Wanita tempatan itu kemudian ditahan untuk menjalani ujian air kencing.


Dia mengaku mengambil dadah, tetapi polis tidak menyatakan jenisnya. Sementara itu media melaporkan, suami suspek mungkin menyesal dan mendakwa tidak menyangka isterinya mengambil dadah.


Lelaki terbabit juga mengaku mereka-reka cerita mengenai pengambilan dadah oleh isterinya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Pelajar lelaki pakai skirt kerana panas

Posted: 19 Jul 2013 09:09 AM PDT

Cardiff: Sekumpulan pelajar mempunyai cara tersendiri menyatakan protes mereka terhadap keputusan sekolah melarang pemakaian seluar pendek ketika Britain dilanda suhu panas kini.

Semalam seramai 17 pelajar Tahun 10 di Sekolah Tinggi Whitchurch mengejutkan ramai orang apabila hadir mengikuti pembelajaran dengan memakai skirt.
Namun protes itu tidak bertahan lama.


Mereka diarah ke pejabat sekolah dan pengetuanya, Huw Jones-Williams memerintahkan mereka supaya kembali memakai seluar.

Seorang daripada pelajar terbabit, Tyrone Evelyn, 15, berkata, bantahan itu tetap diteruskan bagi memberi tekanan kepada pihak sekolah mengubah peraturan semasa.

"Tidak wajar sekolah melarang kami berseluar pendek kerana ia tidak sesuai dengan cuaca panas ketika ini," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, kata Evelyn, dia mengalami sakit kepala dan gatal-gatal kulit disebabkan pakaian dikenakan tidak sesuai.

"Jika pelajar perempuan boleh memakai skirt kami tidak melihat ada salahnya untuk kami memakai pakaian sama.

"Protes ini wajar," katanya.

Semua 17 pelajar terbabit memakai seluar panjang ke sekolah dan menyorokkan skirt itu di dalam beg masing-masing.

Mereka kemudian menukar seluar itu dengan skirt di tandas sebelum bergerak bersama-sama di sekitar sekolah. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

'Bukan kami yang seludup'

Posted: 19 Jul 2013 09:09 AM PDT

Bangkok: Tentera laut Thai semalam menafikan dakwaan kononnya terbabit dalam penyeludupan umat Islam Rohingya yang lari dari kekejaman pengganas Buddha di Myanmar.

Sebahagian penduduk Rohingya yang ditemui selepas meninggalkan Myanmar ekoran konflik agama sejak tahun lalu berkata, tentera laut Thai terbabit dalam kegiatan penyeludupan manusia.

Rangkaian penyeludupan yang berpusat di pantai barat selatan Thai membantu beribu-ribu kaum Rohingya belayar ke negara majoriti Islam seperti Malaysia dan Indonesia,

"Tuduhan itu tidak benar. Tidak ada bukti salah laku di kalangan anggota kami mengenai isu Rohingya yang memasuki negara ini dan tiada transaksi kewangan dibuat atas tujuan menyeludup mereka," kata jurucakap tentera laut Thai, Wipan Chamachote.


Menurutnya, kemungkinan mereka yang diwawancara petugas media tersilap mengecam pasukan keselamatan Thai yang terlibat dalam kegiatan itu.


Selain, tentera laut, perairan negara itu dikawal oleh polis marin dan komando tentera.

Semalam, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra mengarahkan siasatan terhadap tuduhan itu.

Siasatan Reuters sebelum ini mendapati, pelarian Rohinya yang gagal menjelaskan bayaran kepada anggota tentera laut Thai, diserahkan kepada penyeludup yang menjual lelaki Rohingya sebagai hamba untuk bekerja di ladang atau bot nelayan Thai. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

FPI, penduduk bertempur, 1 mati

Posted: 19 Jul 2013 09:07 AM PDT

Jakarta: Seorang wanita terbunuh kelmarin selepas anggota Barisan Pembela Islam (FPI) bertempur dengan penduduk di daerah Sukorejo, Jawa Tengah.

Ketua Polis Jawa Tengah, Inspektor Jeneral Dwi Pryatno berkata, pihaknya menahan 48 anggota FPI selepas kejadian berkenaan.

"Mereka ditahan untuk disoal siasat di balai polis Kendal," katanya.

Anggota FPI menyerbu Sarem di daerah itu untuk menutup beberapa 'lokasi hiburan' secara paksa.


Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat itu, FPI diusir penduduk setempat menyebabkan pergaduhan berlaku.


Dua anggota kumpulan itu cedera dalam kejadian berkenaan dan dua kereta turut rosak.

Pada masa sama, sebuah kenderaan yang membawa anggota FPI merempuh motosikal dinaiki Tri Munarti dan suaminya.

Kemalangan itu yang dikatakan tidak disengajakan menyebabkan Tri terbunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

6 korban pertempuran di Filipina

Posted: 19 Jul 2013 09:06 AM PDT

Manila: Sekurang-kurangnya enam pemberontak komunis dan tentera kerajaan terbunuh dalam pertempuran di pangkalan tentera di selatan Filipina, awal semalam.

Pertempuran berlaku selepas kira-kira 40 anggota Tentera Rakyat Baru menyerang pangkalan tentera di bandar Sibagat dekat Agusan del Sur, kata jurucakap Tentera Divisyen 4, Leo Bongosia.

Jumlah kematian itu adalah yang terbesar sejak seorang pemimpin kanan Parti Komunis dan tujuh pemberontak mati dalam serangan tentera dua minggu lalu di Sorsogon, barat laut Manila.

Bongosia berkata, dua helikopter bersenjata tentera turut terbabit dalam pertempuran lima jam itu sebelum pemberontak berundur.


Usaha menamatkan pemberontakan komunis di Filipina yang bermula sejak 44 tahun lalu menemui jalan buntu baru-baru ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Tak peduli amaran

Posted: 19 Jul 2013 09:05 AM PDT

Kaherah: Puluhan ribu penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Mesir, semalam, menuntut beliau dilantik semula.

Tunjuk perasaan itu diadakan sehari selepas presiden sementara Adly Mansour memberi amaran akan menggunakan kekerasan terhadap penyokong Mursi yang beliau tuduh cuba menjerumuskan negara yang dilanda krisis itu ke kancah 'yang tidak diketahui.'

Sambil mengibarkan bendera dan melaungkan slogan, mereka berhimpun berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya, tempat penyokong Mursi berkampung sejak beliau digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu.

Tunjuk perasaan juga diadakan di beberapa tempat lain di Kaherah dan di bandar seluruh negara itu selepas pemimpin Ikhwanul Muslimin menggesa diadakan hari tunjuk perasaan yang mereka gelar 'Memusnahkan Rampasan Kuasa.'


"Hari ini akan menjadi hari paling penting dalam revolusi Mesir," kata tokoh Ikhwan, Farid Ismail kepada AFP sebelum tunjuk perasaan bermula.


Adly yang dilantik menjadi presiden sementara selepas rampasan kuasa itu sebelum ini berikrar untuk menggempur penunjuk perasaan menyokong Mursi.

"Kami akan memerangi mereka demi untuk mengembalikan keselamatan. Kami akan menyelamatkan revolusi ini," katanya ketika berucap menerusi televisyen, kelmarin.

Walaupun kebanyakan tunjuk perasaan yang diadakan penyokong Mursi berjalan secara aman, ia menyebabkan pertempuran hingga meragut lebih 100 nyawa.

Dalam kejadian paling buruk minggu lalu, sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh, kebanyakannya penyokong Mursi apabila pertempuran meletus di luar kem tentera di Kaherah, tempat bekas presiden itu dipercayai di tahan.

Tentera semalam turut memberi amaran akan menggunakan kekerasan untuk menangani sebarang tunjuk perasaan ganas.

Sementara itu, aktivis anti-Mursi juga mengadakan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir dan di luar istana presiden, sekali gus meningkatkan kemungkinan keganasan meletus di Kaherah.

Bagaimanapun, skala tunjuk perasaan mereka lebih kecil berbanding perhimpunan besar-besaran untuk menuntut Mursi meletak jawatan hingga membawa kepada penggulinganya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Hamas minta henti musnah terowong

Posted: 19 Jul 2013 09:04 AM PDT

Gaza: Hamas meminta kerajaan sementara Mesir menghentikan operasi memusnahkan terowong yang menghubungkan Gaza dengan negara itu, semalam.

Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh berkata, jika Mesir terus memusnahkan terowong menjadi laluan membawa barang keperluan harian itu, ia akan menyukarkan penduduk Gaza.


"Ia seperti mencekik Gaza kerana kami menghormati keperluan keselamatan Mesir tetapi pada masa sama keperluan penduduk Palestin di Gaza tidak sepatutnya terjejas," katanya.

Sejak tentera merampas kuasa daripada Mohamed Mursi pada awal bulan ini, pasukan keselamatan mula memusnahkan puluhan laluan bawah tanah kononnya atas faktor keselamatan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Bapa jahanam

Posted: 19 Jul 2013 09:03 AM PDT

New Delhi: Seorang pesara kerajaan berusia 62 tahun di negeri Rajasthan ditahan semalam selepas lima anak perempuannya yang sudah berkahwin mendakwa menjadi mangsa rogolnya.

Dalam laporan 11 halaman yang dibuat mereka, dua daripada lima wanita itu menyatakan bapa mereka, Babu Lal Dhakar, bekas penyelia di jabatan pertanian negeri merogol mereka berulang kali kali sebelum mereka berkahwin.

Kejadian berlaku sebaik mereka memasuki sekolah menengah dan berterusan hingga mereka meninggalkan rumah bapa mereka di kampung Bayana, 150 kilometer dari Jaipur, ibu negeri Rajashtan.

Lebih dahsyat lagi, mereka mendakwa Dhakar akan menunjukkan gambar lucah sebelum memperkosa mereka.


Malah, dia turut menempah hotel murah dan merogol mereka di situ serta mengancam melakukan perkara terkutuk itu ke atas adik perempuan mereka jika mangsa enggan menuruti kemahuannya.


Mangsa merahsiakan perbuatan itu kerana malu.

Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan mendedahkannya selepas mengetahui bapa mereka merancang merogol cucu perempuannya.

Menurut polis, isteri Dhakar, Shakuntala yang mengetahui perbuatan suaminya turut ditahan atas tuduhan bersubahat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

No comments:

Post a Comment