Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Siapkan rumah kami'

Posted: 21 Jul 2013 01:13 PM PDT

Selayang: "Siapkan rumah kami...jangan ambil sikap acuh tak acuh," kata kakitangan swasta, Najib Imran, 30, berhubung isu projek pembinaan kondominium yang tergendala di tapak projek perumahan di Selayang Springs, dekat sini.

Najib yang juga seorang daripada pembeli rumah di kawasan berkenaan berharap pemaju bertanggungjawab menyiapkan projek itu yang tinggal 80 peratus untuk disiapkan. "Sudah setahun rumah (kondominium) lewat daripada jadual dijangka siap. Masalahnya, kami (pembeli) terpaksa membayar faedah bank sedangkan rumah masih terbengkalai. "Saya harap masalah ini diselesaikan. Pemaju tidak boleh berdiam diri saja," katanya ketika ditemui. Kelmarin, 50 pembeli rumah di kawasan itu tampil di pejabat jualan berdekatan tapak pembinaan projek kondominium terbabit untuk meminta penjelasan daripada pemaju, Barisan Tenaga Perancang (M) Sdn Bhd sebagai tanda protes. Begitupun, pemaju tidak hadir dalam perjumpaan itu dan hanya wakil perunding pemasaran yang dilantik pemaju dalam projek terbabit REI International Holding Sdn Bhd iaitu melalui Ketua Pegawai Eksekutif Pemasarannya Dr Daniele Gambero hadir memberi penjelasan. Dalam pertemuan itu, wakil pembeli, Jimmy Tan berkata, pembeli mahu pemaju menyelesaikan isu kelewatan projek kondominium itu melalui perbincangan bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


"Kami mahu pemaju memberi penjelasan lanjut mengenai kegagalan mereka menyiapkan kondominium berkenaan, selain meminta penjelasan mengenai khabar angin kononnya pemaju terbabit kes mahkamah serta isu penjualan projek kondominium itu kepada pemaju lain," katanya. Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Wilson Lau Hoi Keong berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kementerian terbabit Rabu ini untuk mengetahui punca sebenar kegagalan projek terbabit. "Projek ini masih di bawah pemantauan pihak kementerian, jadi kami akan usulkan kepada kementerian untuk menyelesaikan masalah ini. "Kami juga akan dapatkan jawapan daripada pemaju berhubung desas-desus mengenai kegagalan mereka menyiapkan projek ini, kami tidak mahu timbul spekulasi tidak benar mengenainya," katanya. Projek kondominium di kawasan berkenaan bermula pada 2009 meliputi pembinaan dua blok kondominium iaitu Damar yang sudah dijual sepenuhnya dengan harga RM250,000 hingga RM355,000 dan Cedar yang dijual 57 peratus pada harga bermula RM260, 000. Pembeli rumah pertama projek itu bermula 2009 lalu dan rumah dijangka siap 36 bulan selepas itu.

Foto

PEMBELI mengemukakan aduan kepada Dr Daniele (dua dari kanan) dan Lau (kanan).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Bicara Santai tingkat kesedaran bayar zakat

Posted: 21 Jul 2013 01:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan program Bicara Santai di sebuah pusat beli-belah di sini, bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan menunaikan kewajipan berzakat dalam kalangan umat Islam.

Pengurus Unit Dakwah dan Pemasaran Khas PPZ-MAIWP Mohd Saufiyuddin Abu Bakar berkata, program Bicara Santai@Alpha Angle tengah hari semalam menampilkan pendakwah terkenal Syed Nor Hisyam dan pemuzik Sham Kamikaze.


Beliau berkata, dengan mempergiatkan usaha dakwah dan pembabitan artis, ia dapat meningkatkan kesedaran ramai mengenai zakat dan diharapkan lebih ramai yang wajib berzakat menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat harta RM430 juta pada tahun ini berbanding RM401 juta tahun lalu. — BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Gadis dinoda kekasih, tiga rakan

Posted: 21 Jul 2013 01:04 PM PDT

Ampang: Tindakan seorang remaja perempuan mengikut teman lelakinya konon mahu menghilangkan tekanan berakhir tragedi apabila dirogol lelaki terbabit serta tiga lagi rakannya.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang berusia 18 tahun itu berselisih faham dengan rakan serumahnya menyebabkan dia mengalami tekanan lalu menghubungi kekasihnya mengajak keluar.


Menurut sumber, mangsa bagaimanapun terjerat apabila bukan saja diperkosa kekasihnya dan tiga rakan lelaki itu, malah turut dikurung dalam rumah mereka di Taman Kosas di sini, sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu, kelmarin.

Sumber itu berkata, kejadian berlaku pada 15 Julai lalu selepas mangsa dibawa keluar kekasihnya sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki terbabit.


"Pada mulanya, lelaki itu mendakwa menghuni rumah berkenaan bersama kakak angkatnya dan mangsa akan tinggal bersama wanita berkenaan menyebabkan mangsa bersetuju.


"Apabila tiba di rumah itu jam 9 pagi, mangsa mendapati rumah berkenaan turut dihuni tiga lelaki lain. Selepas berbual dengan wanita yang didakwa kakak angkat kekasihnya, mangsa dipelawa masuk ke sebuah bilik untuk berehat," katanya.

Katanya, ketika berada dalam bilik itu, teman lelaki mangsa masuk lalu memperkosanya beberapa kali sebelum menghalau mangsa keluar dari bilik berkenaan.


"Mangsa kemudian diarahkan masuk ke sebuah bilik lain dan di bilik itu, mangsa sekali lagi diperkosa bergilir-gilir oleh tiga rakan kekasihnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Janji tapi tak sampai

Posted: 21 Jul 2013 01:03 PM PDT

Johor Bahru: "Papa sibuk kerja luar. Papa janji balik rumah sebelum jam 6 petang dan beli makanan untuk berbuka dengan anak-anak," itulah pesanan terakhir seorang penjual ikan dan sayur, Mokhtar Khalid, 43, menerusi SMS kepada isteri ketiganya, dua jam sebelum maut dalam kemalangan jalan raya bersama empat wanita Indonesia.

Difahamkan, Mokhtar dari Mersing mempunyai tiga isteri dan sembilan anak berusia antara enam tahun hingga 20-an.


Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah hari itu, Mokhtar meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta pacuan empat roda Toyota Hilux dipandunya terbabas ke dalam longkang di Lebuhraya Pesisir Pantai (Johor Bahru-Gelang Patah) satu kilometer dari taman tema Legoland Malaysia di sini.

Kejadian itu turut meragut nyawa empat wanita warga Indonesia lingkungan 20-an hingga lewat 30-an yang turut berada di dalam kereta lelaki itu.


Bagaimanapun, setakat ini belum diketahui apa hubungan Mokhtar dan empat wanita itu, dan difahamkan mereka pekerja kepada rakan niaganya.


Isteri ketiga mangsa, Hasni Ali, 36, berkata, ketika arwah suami meninggalkan rumah mereka di Flet Larkin, di sini, pada jam 12 tengah hari kelmarin, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya menyatakan ingin berurusan di luar.

Hasni berkata, arwah menghantar SMS ke telefon bimbitnya pada jam 11 pagi semalam menyatakan mahu pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama anak-anak.


"Arwah mempunyai tiga isteri dan anak yang ramai, malah biasa menjemput anaknya yang lain (anak isteri lain) untuk berbuka puasa bersama memandangkan mereka berasal dari Mersing dan bekerja di bandar raya ini.

"Oleh itu, ketika berbuka puasa di rumah kami memang meriah dan suami rajin membeli makanan dari luar untuk anak-anak.


"Memang tidak diduga, kelmarin (Jumaat) kali terakhir kami berbuka puasa bersama arwah dan rancangan arwah untuk berbuka puasa bersama anak-anak hari ini (semalam) tidak kesampaian apabila meninggalkan kami selama-lamanya," katanya yang sebak ketika mengecam mayat di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, semalam.


Hasni berkata, dia tidak pasti urusan arwah suami, namun arwah rajin bekerja terutama bagi menambahkan pendapatan sepanjang Ramadan kerana ingin berkongsi bersama anaknya.


Katanya, ahli keluarganya tidak mengenali empat penumpang Indonesia yang terbabit dalam kemalangan selain menggunakan kereta rakan kongsi arwah.


Menurutnya, ketika berbalas SMS dengan arwah pada jam 11 pagi, arwah memaklumkan sibuk dan akan pulang ke rumah pada jam 6 petang.


"Saya dan anak sibuk menguruskan gerai menjual ikan dan sayur di Flet Larkin dan pada jam 2 petang, kami menerima berita berkaitan kemalangan menimpa suami.


"Saya seperti tidak percaya apabila mendapati arwah sudah tiada kerana dia berjanji mahu pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama-sama," katanya yang memiliki tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Mahu hantar 4 pekerja

Posted: 21 Jul 2013 12:59 PM PDT

Johor Bahru: Penjual ikan dan sayur, Mokhtar Khalid, 43, yang terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Gelang Patah bersama empat wanita Indonesia lingkungan 20-an hingga lewat 30-an.

Difahamkan, Mokhtar meminjam kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux daripada seorang rakannya kerana ingin menghantar empat wanita berkenaan yang juga pekerja rakannya ke Gelang Patah.


Anak ketiga mangsa, Azmi, 19, berkata, dia bekerja dengan arwah bapanya sebagai penjual ikan di gerai Blok B, Flat Larkin, di sini dan kali terakhir bertemu arwah pada petang kelmarin ketika berbuka puasa bersama sebelum arwah memintanya membelikan rokok.

"Kali terakhir kami bersama, arwah lebih banyak mendiamkan diri walaupun dia seorang yang ceria dan suka bergurau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

No comments:

Post a Comment