Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya sudah matang'

Posted: 13 Jul 2013 11:39 AM PDT

Bangkok: "Saya sudah bertambah matang dan kehadiran semula saya di Chelsea untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris serta Liga Juara-Juara," kata Jose Mourinho yang dilihat sebagai cabaran serta cubaan memulakan perang saraf ke atas pengendali lain.

Mourinho yang fizikalnya sedikit berubah berbanding sebelum ini berkata, pengalamannya di Inter Milan dan Real Madrid akan membolehkannya merealisasikan apa yang diimpikan bersama kelab London berkenaan.


"Saya rasa uban yang semakin banyak di kepala ini petanda bagus kerana ia bermakna saya lebih baik dan berpengalaman berbanding dulu," katanya kepada wartawan ketika sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan pra-musim di sini.

"Saya merasakan saya lebih baik ketika ini kerana tugas ini memerlukan seseorang yang berpengalaman," kata pengendali Portugal itu.


"Lihat saja perkara berkaitan diri saya. Selepas membimbing Chelsea, saya berkelana di Eropah, dua tahun di Itali, tiga tahun di Sepanyol dan sudah tentu saya mempunyai banyak pengalaman berbanding sebelum ini.


"Apabila mempunyai lebih pengalaman, sudah tentu keadaan saya lebih baik berbanding sebelum ini kerana tugas saya memerlukan pengalaman."


Kehadiran Mourinho, 50, untuk kembali membimbing Chelsea disifatkan sebagai keputusan tepat gara-gara pencapaian cemerlang yang dicatat bersama kelab itu sepanjang musim 2004 hingga 2007.

Di Inter Milan, beliau merangkul gelaran trebel apabila memenangi Liga Juara-Juara, Serie A dan Copa Italia pada 2010 selain memenangi La Liga bersama Real Madrid.


Kini, Mourinho mahu melakar sejarah peribadi di Chelsea sekali gus mengulangi pencapaian yang pernah dilakukan di Porto dan Inter sebelum ini.


Kedatangan Mourinho ke Thailand hampir menjadi jelajah memalukan buat dirinya apabila selepas memberikan tunduk hormat kepada wakil media tempatan, beliau hampir terjatuh selepas kakinya tersandung wayar yang melintang berhampiran tempat duduknya di atas pentas.


Tetapi beliau bijak menyembunyikan rasa malunya itu dengan bercakap mengenai kejayaan Chelsea mendapatkan khidmat Marco van Ginkel yang dilabel sebagai salah seorang pemain paling berpotensi di Eropah selain membawa masuk Andre Schurrle dan penjaga gol, Mark Schwarzer.


Mourinho yang menganggap dirinya sebagai "The Special One" ketika tiba buat kali pertama di Chelsea, memilih untuk mengubah gelarannya kepada "The Happy One" dan mengaku beliau tidak akan sesekali rela melihat kelabnya kalah terutama pada perlawanan awal liga nanti.


"Saya pasti sedih jika pasukan saya kalah tetapi itu semua bergantung kepada pemain sama ada mereka mahu menolong saya atau tidak." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Kelebihan rancang strategi

Posted: 13 Jul 2013 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Shalin Zulkifli bukanlah asing kepada dunia sukan bowling di Malaysia dan antarabangsa. Pemain profesional yang memenangi dua pingat emas pada Sukan Asia 2002 kategori Masters serta lima sepasukan pada Sukan Asia 2006 dan dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali itu adalah contoh atlet yang mementingkan kekuatan IQ dan strategi permainan setiap kali menghadapi kejohanan besar di luar negara.

Shalin menganggap kekuatan IQ adalah satu faktor yang perlu ada dalam diri setiap atlet terutama bagi yang mahu melangkah lebih jauh dalam bidang sukan.


Shalin mengakui topik kekuatan IQ atlet memang selalu dipinggirkan tetapi semua pihak harus sedar bahawa faktor kekuatan IQ memainkan peranan cukup besar dalam penghasilan atlet yang boleh dibanggakan.

"IQ bergantung kepada individu. IQ boleh ramuan terbaik dalam resipi kejayaan seseorang atlet. Jika bakat mereka kurang, mereka boleh memperbaiki diri dengan meningkatkan IQ menerusi pembacaan dan pencarian ilmu dan pergaulan dengan orang yang berjaya.


"Saya bersetuju dengan pandangan yang mengatakan IQ penting dalam proses pembangunan atlet. Setiap atlet mesti ada IQ. Mereka tidak perlu mengharapkan untuk 'disuap' sepanjang masa atau menunggu arahan jurulatih baru hendak memulakan langkah. Mereka perlu ada inisiatif untuk memajukan diri sendiri," katanya.


Selain bowling, Shalin mendedahkan beliau turut membaca cerita kejayaan atlet lain sama ada dalam dan luar negara untuk dijadikan motivasi.

Katanya, mengkaji permainan sukan lain seperti tenis akan membantu memperbaiki psikologi permainan.


"Saya suka membaca autobiografi pemain seperti John McEnroe, Steffi Graf dan apa saja berkaitan falsafah atau psikologi sukan.

"Sudah menjadi kebiasaan setiap kali bertanding di luar negara, saya pasti singgah ke kedai buku dan meninjau buku falsafah, psikologi sukan dan apa saja mengenai topik itu. Buku dan autobiografi antara bahan bacaan 'kemestian' walaupun falsafah sukan sama iaitu mencapai kemenangan," katanya.


Demi memperbaiki kefahaman bahasa dan meningkatkan pengetahuan, Shalin turut mencadangkan atlet menguasai bahasa Inggeris memandangkan banyak buku ilmiah diterbitkan dalam bahasa itu.


"Menguasai lebih banyak bahasa lebih baik kerana bahasa perantara mencari ilmu dan mendapat pendedahan baru dari tempat lain. Sudah tentu, lebih banyak mereka menguasai bahasa lebih baik kerana lawan di luar datangnya daripada pelbagai negara. Kebolehan berbahasa Inggeris memberi kelebihan dan banyak istilah sukan dalam bahasa itu," katanya.


Shalin berkata, sukan memerlukan bakat tetapi apa yang penting, setiap individu yang mahu bergelar ahli sukan itu perlu bekerja keras untuk meningkatkan kemampuan masing-masing.


"Jika bakat kita tidak terlalu hebat, kerja keras memberikan jawapan terbaik. Tiada orang yang tidak boleh berjaya. Jika berusaha dan mencari jalan, kita pasti boleh melakukannya.


"Proses pembelajaran kadang kala tidak sampai dalam pemikiran. Jadi cara terbaik yang saya amalkan ialah terus belajar untuk menguasai sesuatu perkara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Atlet perlu IQ tinggi

Posted: 13 Jul 2013 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Sebagai orang lama bidang sains sukan, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz merasakan sudah tiba masanya atlet Malaysia berusaha meningkatkan tahap pemikiran masing-masing bagi menjana kecemerlangan dalam bidang yang diceburi itu.

Bagi beliau, kekurangan 'keupayaan intelektual' atau IQ di kalangan atlet Malaysia menjadi kelemahan ketara yang menjejaskan potensi mereka menjadi lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.


"Saya memandang serius tahap IQ seseorang atlet. Mengapa? Tahap IQ atlet meletakkan mereka sebagai seorang sentiasa 'belajar' untuk mengembangkan sesuatu tanpa perlu menunggu arahan jurulatih.

"Untuk bergelar atlet berprestasi tinggi, mereka mesti ada inisiatif untuk memperbaiki diri. Atlet yang mempunyai IQ tinggi akan dapat menilai serta-merta kelemahan mereka. Atlet yang mempunyai IQ tinggi ini terdiri daripada mereka yang suka mencari ilmu, suka bertanya, suka menganalisa serta ada sikap suka membaca buku, jurnal dan bahan bacaan," katanya sewaktu ditemui di pejabatnya di Institut Sains Sukan (ISN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Ramlan menganggap Tan Sri Dr M Jegathesan wajar dijadikan contoh. Bekas pelari pecut negara dan pemenang tiga pingat emas Sukan Asia 1966 itu memiliki IQ tinggi dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika zaman kegemilangannya.


"Sewaktu menjadi doktor perubatan skuad hoki Malaysia dan Chef de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik Athens 2004, saya bertanya bagaimana beliau berlatih, berehat dan apakah wujud sains sukan ketika itu? "Jawapan yang diberikan ialah: 'Ramlan, zaman saya tiada sains sukan tetapi tetapi apa saja yang saya lakukan di trek setiap hari adalah sains sukan. Saya akan pastikan diri saya tidak membuang masa begitu saja dan saya sering bercakap dengan pelbagai jenis manusia untuk mendapatkan ilmu. Sekurang-kurangnya sebuah buku pasti ada dalam beg saya," katanya.

Ramlan berkata, beberapa pemain hoki kebangsaan yang pernah bersamanya sebelum ini seperti Brian Jayhan Siva, Kelvin Fernandez, S Kuhan, Norsaiful Zaini, Arul Selvaraj dan Chairil Anwar Abdul Aziz memiliki karakter dan IQ yang dikategorikan sebagai bijak.


"Sekalipun ada di antara mereka bergelar doktor dan jurutera, mereka adalah jenis pemain yang suka bekerja-keras meningkatkan permainan mereka. Sesi latihan sudah berakhir, lampu stadium sudah dipadamkan namun Kelvin masih mempunyai soalan mengenai taktikal dan teknikal. Arul jenis suka menganalisa video bagi meningkatkan permainan sementara Kuhan berlatih bersendirian membuat pukulan sudut selama lebih sejam tanpa arahan jurulatih. Chairil dan Norsaiful tidak cepat berpuashati dan ada keberanian bertanya soalan jika ada sesuatu tidak kena dengan pasukan," katanya.

Bercakap mengenai kepentingan IQ dalam sukan lain, aspek itu antara yang perlu diterapkan dalam mentaliti atlet pada setiap masa.


"IQ penting kerana ia menjadikan atlet dapat mencapai potensi terbaik dalam sukan dan pendidikan. Jika tabiat itu ada dalam diri dan suka bertanya apabila tidak faham dan mempraktikkannya, saya yakin atlet menjadi cepat matang, ada karakter dan memiliki tahap psikologi lebih tinggi. Bakat mereka berkembang lebih baik sekiranya ada IQ yang baik kerana mampu menyerap bebanan latihan, saingan dan jangkaan lain yang lebih tinggi," katanya.


Selain itu, Ramlan berkata, sikap suka mengharapkan undian mudah menghadapi perlawanan perlu dikikis.


"Kita sering bercakap, kita dapat laluan mudah hinggalah bertembung pada suku akhir atau separuh akhir, saya rasa ini bukan satu sikap bagus untuk diteruskan.


"Untuk berjaya, kita perlu menewaskan semua pencabar tidak kira apa peringkat, bukan menunggu peringkat tertentu atau mengharapkan lawan mudah. Saya rasa peninju terkenal, Muhammad Ali tidak ada berfikir seperti itu. Dia sanggup menentang siapa saja lawannya dan sentiasa mahu menjadi nombor satu." Bagi Ramlan, resipi kejayaan seseorang atlet bergantung kepada diri mereka sendiri dan yang lain sebagai sokongan semata-mata.


"Saya tidak rasa resipi kejayaan itu boleh didapati seperti sebuah buku masakan yang boleh dicuba semua orang kerana setiap orang ada cara mereka tersendiri dan IQ adalah faktor utama membezakannya. Jadi, atlet mesti meningkatkan IQ mereka jika mahu berjaya kerana tiada orang akan datang kepada anda memberitahu, awak mesti buat ini untuk menewaskannya kerana pihak lawan akan ada strategi mereka untuk mengatasi anda sama ada sebelum atau selepas perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Libasan wanita negara

Posted: 13 Jul 2013 11:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Libasan Rahilah Harun sudah cukup membuktikan bahawa masa depan sukan sepak takraw wanita tetap ada dan tidak mustahil bakal meningkat ke tahap lebih tinggi pada masa depan.

Selaku pemain paling berpengalaman dalam skuad wanita kebangsaan, pemain kelahiran Perak itu kini sibuk membuat persiapan menghadapi kejohanan Siri Super yang akan berlangsung di India, bulan depan.

Menjelang kejohanan itu, pemain yang beraksi di posisi 'killer' itu mendapat bimbingan daripada pemain senior yang bermain posisi sama dalam skuad takraw lelaki, Mohd Kamal Alfiza. Ikuti sesi temu bual mereka yang dilakukan pada sesi latihan bulan Ramadan di dewan MSN Keramat, Wangsa Maju, baru-baru ini.

Soalan: Bagaimana saudara melihat perkembangan sepak takraw sekarang?

Jawapan: Sukan ini menyeronokkan dan memang menjadi minat saya untuk menjadi pemain sepak takraw kebangsaan. Matlamat utama mengembalikan semula zaman kegemilangan sukan ini menyaksikan stadium sentiasa penuh dengan penonton.

S: Sukan ini diminati di Malaysia? Apakah program mencungkil bakat dilakukan secara menyeluruh?

J: Ya, saya rasa pencarian pemain memang sentiasa diambil berat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM). Saya sendiri menyertai kem ini dari peringkat sekolah, daerah sebelum dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

S: Pada Ramadan, apakah sesi latihan dilakukan seperti hari biasa?

J: Latihan berterusan tetap dijalankan seperti biasa. Kami membuat latihan ringan selama setengah jam bermula jam 5.30 petang. Latihan gelanggang bermula jam 10.30 malam selepas selesai solat terawih hingga jam 1 pagi.

S: Apakah sukan ini perlukan mental dan fizikal mantap?

J:Sudah tentu. Posisi saya sebagai 'killer' memerlukan saya memiliki kepantasan dan libasan padu. Semua itu memerlukan latihan yang tekun dan konsisten. Bergantung kepada pertandingan, jika menemukan Malaysia dan Thailand, ia sentiasa hangat dan dinantikan ramai.

S: Apakah kegemaran anda pada masa lapang selain bermain sepak takraw?

J: Saya suka memancing. Setiap kali ada kelapangan, saya akan memancing di kampung saya di Besut. Jika tidak saya akan memancing kolam ikan di sekitar Kuala Lumpur.

S: Apakah membuatkan anda berasa bangga dengan pencapaian sepak takraw wanita?

J: Sudah tentu berasa bangga kerana pasukan wanita kita berada dalam ranking ketiga dunia ISTAF di belakang Thailand dan Vietnam. Keadaan itu berbanding lima tahun lalu sewaktu skuad takraw wanita tidak dikenali langsung dan bukan pencabar.

S: Apakah harapan terhadap sukan sepak takraw?

J: Kembali memartabatkan Malaysia sebagai kuasa sepak takraw disegani ketika era dua pemain hebat, Nordin Sabaruddin dan Iskandar Arshad.

PROFIL

Nama: Rahilah Harun
Usia: 24 tahun
Asal: Pengkalan Hulu, Perak
Minat: Memasak dan bermain bola jaring
Adik beradik: Anak kedua daripada tiga beradik
Prinsip Hidup: Tidak suka orang hipokrit

Nama: Mohd Kamal Alfiza
Umur: 22 tahun
Asal: Besut, Kuala Terengganu
Minat: Menunggang basikal Pixie
Adik beradik: Anak keenam daripada tujuh beradik
Prinsip: Sentiasa memberikan terbaik dan menghormati orang lain

end

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Azlan catat rekod baru

Posted: 13 Jul 2013 11:31 AM PDT

Madras: Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman mencatat rekod baru litar bagi kategori SuperSports 600cc pada Pusingan ke-3 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang berlangsung di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India, semalam.

Azlan Shah yang mewakili Musashi Boon Siew Honda Racing itu melakukan catatan 1 minit 43.417 saat pada sesi latihan bebas ketiga sekali gus memadam catatan rekod lama litar 1:44.025s milik seorang lagi pelumba negara, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) yang turut memadam catatan rekod lama milik Decha Kraisart 1:44.100s pada sesi latihan bebas kedua, semalam.


"Berbanding kejayaan mencatat rekod baru litar, saya sebenarnya lebih gembira dengan keadaan jentera saya yang begitu baik pada minggu ini. Dari segi suspensi, kuasa enjin, semuanya boleh dikatakan cukup sempurna," kata Azlan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Doktor sukan pakar renang

Posted: 13 Jul 2013 11:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Raja kolam renang negara, Daniel Bego sememangnya mencintai dunia sukan. Rentetan itu, dia memilih untuk kekal menyumbang tenaga dalam arena sukan negara andai tidak bergelar atlet.

Soalan: Jika bukan atlet, anda seorang...

Jawapan: Secara jujurnya saya tidak tahu kerana sudah menjadi atlet hampir sepanjang hidup saya. Saya juga tidak akan sesekali menggadaikan kerjaya saya sebagai perenang negara dengan perkara lain.

Jika begitu, mungkin anda ada impian lain yang mungkin bersangkut paut dengan dunia sukan?

J: Ya, saya mungkin bergelar seorang doktor khusus merawat atlet.

Mengapa memilih doktor sukan?

J: Saya ingin terus berada dekat dengan dunia sukan, terutama jika bersara kelak. Lagipun ia sesuatu yang saya cintai dan gemar lakukan.

Mungkin ada sesiapa yang mendorong anda memilih kerjaya sebagai doktor sukan?

J: Hakikatnya tiada siapa yang tahu mengenai impian saya hinggalah anda mengajukan soalan ini. Cuma, ibu bapa saya saja yang tahu mengenai keinginan saya untuk bergelar doktor sukan dan mereka memberi galakan 100 peratus.

Andai impian ini direalisasikan kelak, anda memilih untuk menyumbang tenaga di Institut Sukan Negara (ISN) atau hospital swasta atau hospital sukan?

J: Pilihan yang sukar. Namun, bekerja di mana saja bagi saya tidak mengapa. Misi utama ialah terus menyumbang tenaga dalam dunia sukan.

Beralih pada soalan lain, biasanya lelaki mempunyai kereta idaman. Anda pula bagaimana?

J: Pastinya ada. Saya idamkan kereta yang dikategorikan sebagai 'muscle cars'.

Apakah kereta yang dikategorikan sebagai 'muscle cars'?

J: Ia jenis kereta berkuasa tinggi, laju dan hebat seperti dipopularkan pengeluar Mustang.

Anda minati jenama tertentu?

J: Tidak. Saya hanya meminati kereta jenis itu.

Selain renang, anda ada aktiviti lain?

J: Saya amat meminati sukan bola keranjang. Saya sering menghabiskan masa terluang dengan bermain bola keranjang bersama rakan terutama pada cuti hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Puasa keutamaan pemain bintang

Posted: 13 Jul 2013 11:25 AM PDT

Bukan seorang dua malah jumlahnya mencapai lebih 50 dan semuanya bukanlah sekadar pemanas bangku simpanan tetapi pemain utama yang sering membantu kejayaan demi kejayaan pasukan masing-masing.

Franck Ribery, Frederic Kanoute, Zinedine Zidane, Karim Benzema dan Demba Ba hanyalah segelintir daripada nama besar arena bola sepak dunia dan mereka sudah kerap menjadi tajuk utama akhbar antarabangsa lantaran kecemerlangan yang dipamerkan.


Begitupun, bukan mudah untuk bergelar Muslim apatah lagi ketika mereka terpaksa bergaul dengan rakan sepasukan yang tidak keterlaluan dianggap jahil dalam menilai Islam dan justeru, pelbagai cabaran serta halangan dilalui kelompok minoriti ini.

Ribery pernah berang dan tidak bertegur sapa dengan rakan sepasukan di Bayern Munich, Jerome Boateng gara-gara pemain itu mencurahkan arak ke kepalanya ketika kelab gergasi Jerman itu muncul juara Bundesliga buat kali ke-23, Mei lalu.


Mungkin atas dasar kejahilannya terhadap Islam, Boateng mencurahkan arak dalam gelas besar ke atas kepala Ribery sebagai meraikan kejayaan mereka sejurus menundukkan Augsburg 3-0 tetapi perbuatan itu akhirnya mencetuskan perbalahan antara kedua-duanya.


Ribery yang nyata berang dengan perbuatan itu, berkata: "Saya tidak akan bercakap dengan Boateng lagi selepas ini. Dia tahu saya seorang Muslim dan tidak boleh menyentuh arak tetapi dia mencurahkan bahan itu ke atas kepala saya. Saya benar-benar marah." Kedatangan Ramadan tetap disambut meriah pemain beragama Islam tidak kira di Liga Perdana Inggeris, Liga Jerman, Liga Sepanyol.

Sebagai contoh, bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Frederic Kanoute menawarkan dirinya untuk membantu secara suka rela seorang lelaki Muslim yang kurang upaya untuk memenuhi aktiviti sepanjang bulan mulia itu sekali gus mencetuskan emosi yang bercampur baur buat Imraan Adam.


"Saya berasa sangat tersentuh apabila seorang lelaki hebat seperti Freddie Kanoute sanggup membantu saya," kata Adam. "Saya gembira apabila dapat kembali berpuasa tahun ini hasil bantuan beliau. Inilah indahnya Islam kerana kami semua bersaudara." Di Liga Perdana Inggeris, ada juga yang tidak puas hati dengan beberapa permintaan diluahkan pemain beragama Islam tetapi isu itu tidak pernah berpanjangan dan biasanya permintaan mereka akan ditunaikan asalkan tidak melampau.

Demba Ba pernah berkata, dia serius dengan pegangan agamanya dan justeru, pasukan dan pengurusnya cuba sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan pemain itu.


Ba, 28, mengaku dia pernah berdepan masalah dengan pengurusnya ketika Ramadan berikutan ada yang mempertikaikan kemampuan mereka beraksi sepanjang 90 minit.


"Setiap kali pengurus tidak yakin dengan kemampuan saya, perkara mengenai puasa pasti timbul. Saya sering berkata, saya akan bermain seperti diarahkan dan jika mereka berasa saya tidak cukup bagus, mereka boleh rehatkan saya." Pemain tengah Arsenal, Abou Diaby, 27, berkata: "Arsenal pernah menyuruh saya supaya tidak berpuasa ketika kami bakal mengharungi perlawanan penting tetapi mereka juga faham kewajipan yang perlu saya tunaikan ketika Ramadan dan mereka cuba sedaya upaya untuk tidak menyusahkan saya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Lelongan tertinggi!

Posted: 13 Jul 2013 11:24 AM PDT

Britain: Kereta lumba bersejarah Formula Satu (F1) yang pernah dipandu Juan Manuel Fangio dari pasukan Mercedes-Benz 1954 dijual dengan harga £17.5 juta (RM84 juta) sekali gus menjadi harga kereta paling tinggi pernah dilelong.

Kereta lumba Mercedes-Benz model W196 itu dilelong di Festival Kereta Bonhams Goodwood dan dibeli seorang pembida menerusi telefon namun identitinya tidak didedahkan.


Pihak Bonhams mengesahkan 11 pembida berebut mendapatkan kereta itu dan tiga daripada individu terbabit berada dalam bilik lelongan manakala lapan lagi membuat bidaan menerusi telefon. Majoriti pembida adalah dari Amerika Syarikat (AS).

Apa yang hebat mengenai kereta bersejarah terbabit adalah ia pernah melakar sejarah apabila terus mengungguli Grand Prix Jerman 1954 pada penampilan pertama.


Ia kemudian meraih kemenangan pada perlumbaan berikut, Grand Prix Switzerland dan banyak lagi perlumbaan F1 selepas itu.


Kejayaan berterusan Fangio bersama Mercedes membantunya menjulang gelaran kedua kejohanan dunia.

Pengarah Kumpulan Pemotoran Bonhams James Knight berkata, kejayaan mereka menjual kereta dipandu Fangio boleh dianggap sebagai satu sejarah dunia.


Kereta itu melepasi sasaran jualan tujuh atau lapan juta yang disasar sebelum ini. Harga paling tinggi pernah dijual secara lelong sekadar £15 juta (RM47 juta).

"Hari ini kita saksikan sejarah. Permintaan untuk W196 sememangnya tinggi. Malah harganya terus meningkat meskipun dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Johnson kekal pendahulu

Posted: 13 Jul 2013 11:23 AM PDT

Silvis: Juara bertahan, Zach Johnson membenam lima birdie untuk mencatat lima di bawah par 66 pada hari kedua sekali gus mengekalkan pendahuluan bersama Lucas Glover dan Patrick Reed pada kejohanan John Deere Classic.

Reed yang juga pendatang baru Jelajah USPGA, melakar satu eagle dan tujuh birdie serta satu bogey untuk mencatat lapan di bawah par 63 manakala bekas Juara Terbuka AS, Glover membenam sembilan birdie pada hari kedua pertandingan.


Ketiga-tiga pemain itu mengetuai pemain lain dengan catatan 12 di bawah par 130, satu pukulan mengatasi pemain Australia, Matt Jones.

Jerry Kelly dan Troy Matteson mencatat 64 pukulan untuk mengumpul 10 di bawah par 132. Kedua-duanya disertai pemain Kanada, David Hearn (66), Kevin Streelman (66) dan Daniel Summerhays (67).


Pemain Colombia, Camilo Villegas yang menjadi pendahulu hari pertama, sedikit bergelut apabila hanya mencatat 73 pukulan untuk berkongsi tempat di tangga ke-36.


Glover memulakan aksi cemerlangnya kelmarin dengan membenam birdie dalam jarak tujuh kaki di lubang ke-10 sebelum sekali lagi mencatat birdie di lubang ke-12.

Dua birdie berturut-turut di lubang 16 dan 17 membolehkan dia mengumpul tujuh di bawah par pada hari kedua dan melakukan lima lagi birdie sekali gus membolehkan namanya tersenarai sebagai antara pendahulu kejohanan.


"Saya sedikit tertekan. Saya agak bernasib baik dapat mengumpul catatan sebegini," kata Glover. "Kini saya agak lega dan anda sendiri boleh membayangkan bagaimana perasaan saya ketika ini." Johnson pula terus mempamer aksi cemerlang dalam usahanya mempertahankan kejuaraan apabila membenam birdie dari luar green di lubang ke-8.

Juara Kejohanan Masters 2007 itu mencatat birdie dari jarak 13 kaki di lubang ke-12 dan sekali lagi menggamatkan penonton apabila melakukan birdie dari jarak 18 kaki di lubang ke-14.


"Agak sukar juga bagi saya untuk mencatat 66 pukulan hari ini. Aksi semalam lebih mudah," kata Johnson. "Saya tidak melakukan pukulan driver dengan baik tetapi apa yang penting ialah saya tahu bagaimana untuk mendaratkan bola pada pukulan kedua. Permainan jarak dekat saya juga tidak mengecewakan dan putt saya agak hebat hari ini." Reed pula berada dalam kumpulan pertama yang bermula dari lubang ke-10 dan mula melakukan birdie di lubang ke-11 dan 13 sebelum mencatat bogey di lubang ke-14 Pemain berusia 22 tahun itu bangkit menerusi birdie dari jarak 16 kaki di lubang ke-16 sebelum melakar eagle di lubang ke-17. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

'Jutawan bukan makna sukar didekati'

Posted: 13 Jul 2013 11:22 AM PDT

Miami: Pemilik baru Fulham, Shahid Khan memecah tradisi dengan mahu menjadi individu mudah didekati peminat atau sesiapa saja walaupun dirinya bergelar seorang jutawan.

Pemilik kelab Liga Perdana Inggeris yang lain seperti jutawan Russia, Roman Abramovich (Chelsea) dan jutawan Amerika Syarikat, Malcolm Glazer (Manchester United) jarang bercakap kepada media atau keluar berhibur dengan peminat kelab tetapi Khan tidak mengikut jejak mereka dan seolah-olah suka diberi perhatian.


Ketika Khan membeli kelab bola sepak Jacksonville Jaguars pada 2011, beliau turut membawa bersamanya kapal layar miliknya ke pelabuhan di utara Florida dan mengadakan banyak pertemuan serta mesyuarat dengan ahli politik tempatan dan peminat.

"Beliau seolah-olah seorang bintang rock di mata peminat," kata pengarang blog 'Big Cat Country', Alfie Crow.


"Beliau sering bersama peminat dan bercakap dengan mereka. Sukar untuk melihatnya bersendirian. Beliau memang seorang yang peramah." Dilahirkan di Lahore, Pakistan, Khan berpindah ke Amerika Syarikat sejak berusia 16 tahun dan tidur di bangunan pertubuhan perlindungan remaja selain mengambil upah sebagai pencuci pinggan untuk mencari wang bagi menyambung pelajarannya dalam bidang kejuruteraan di Universiti Illinois.


Beliau membeli syarikat yang menawarkan kerja pertamanya dan mengubah syarikat berkenaan menjadi lebih berdaya saing. Pada 2010, beliau cuba untuk membeli kelab sukan pertamanya iaitu kelab St Louis Rams yang beraksi di NFL tetapi usahanya itu digagalkan Stan Kroenke. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

No comments:

Post a Comment