Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rosman ganti Hamidin

Posted: 25 Jul 2013 09:01 AM PDT

Shah Alam: Tanggungjawab besar menanti Rosman Mohd Ibrahim mencetuskan kembali kegemilangan Red Giants apabila dilantik Setiausaha Agung baru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Walaupun pernah meraih pelbagai gelaran domestik, Merah Kuning kemarau kejuaraan sejak beberapa tahun lalu dan kali terakhir menjulang piala ketika memenangi Liga Super 2010.


Rosman yakin ia mampu dilaksanakan dengan perancangan teliti dan teratur.

"Selangor perlu meraih piala setiap tahun, saya di pihak pengurusan hanya mampu menyediakan yang terbaik, selebihnya terpulang kepada pemain," kata bekas Eksekutif Sumber Manusia New Straits Times Press (NSTP) dari 1986 hingga 2000.


Tugas pertama Rosman untuk cuba meraih kejuaraan pastinya saingan Piala Malaysia bulan depan, kali terakhir dimenangi pada 2005 dan akan bertemu jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.


Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu turut mengaku perlu mencari jalan mengembalikan semula sokongan penyokong Merah Kuning ke stadium yang hanya hadir pada perlawanan tertentu musim ini walaupun muncul naib juara Liga Super.

"Saya akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa kelab penyokong Selangor untuk mendengar kehendak mereka. Berdasarkan maklumat yang saya peroleh peminat mahu Selangor mempunyai pemain import ternama dan ia akan dibincangkan selaras dengan kemampuan kita.


"Selain itu usaha memantapkan skuad bawah 19 tahun Selangor yang muncul juara Piala Belia peringkat kebangsaan baru-baru ini akan dipergiat." Selepas meninggalkan NSTP, Hamidin melantik Rosman sebagai penolong Setiausaha Agung FAS hingga 2004 sebelum menjadi Pengurus Perniagaan FAS untuk mengendalikan stesen minyak Petronas milik persatuan itu hingga ke hari ini selain Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAS, pengurus skuad futsal wanita Selangor dan ketua keselamatan skuad Liga Super Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Alasan kalah usah jadi mainan bibir

Posted: 24 Jul 2013 10:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bakal turun beraksi menentang kelab liga utama Jepun, Shimizu S Pulse hari ini tanpa tekanan kerana seperti biasa aksi persahabatan itu hanyalah dijadikan persiapan buat ketua jurulatih Datuk K Rajagobal menjelang misi sebenar kelayakan Piala Asia 2014 menentang Bahrain pada Oktober.

Bagaimanapun ia tidak boleh terus dijadikan alasan buat Rajagobal untuk anak buahnya mencatat kekalahan demi kekalahan biarpun ia hanya sekadar perlawanan persahabatan kerana mereka tidak boleh terbiasa dengan tewas sehingga lupa nikmat kemenangan.


Justeru, kunjungan 10 hari ke Jepun harus dimanfaatkan sepenuhnya skuad kebangsaan bukan saja sekadar menimba ilmu sebaliknya mencari keputusan positif buat menyuntik kembali aura kemenangan yang mungkin semakin menipis berikutan beberapa siri kekalahan sebelum ini termasuk tumpas kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea 4-1 di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

"Memang setiap perlawanan kita mahu menang, kita sedar harapan semua peminat. Semua pemain perlu ambil ini sebagai cabaran untuk memberikan aksi lebih baik," kata kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim yang ditemui sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun.


Dalam lima perlawanan persahabatan terakhir dengan pasukan berstatus kelab, skuad kendalian Rajagobal hanya berjaya mencatat satu kemenangan ke atas kelab divisyen dua Australia, Sydney Olympic manakala selebihnya berakhir dengan kekalahan.


Satu-satunya kemenangan yang dicatat Harimau Malaya dalam perlawanan antarabangsa ketika menewaskan Yaman 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2014 yang menghidupkan peluang untuk bersaing dalam Kumpulan D bagi merebut slot ke pusingan akhir.

Foto

Safiq Rahim

Safiq yang baru pulih daripada kecederaan kaki dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika menentang Chelsea menyuarakan keyakinan misi untuk layak ke Piala Asia bukan mustahil bersandarkan kepada persiapan rapi skuad kebangsaan.


"Pasukan ini sudah menunjukkan peningkatan positif, saya percaya peluang Malaysia layak ke Piala Asia masih terbuka," kata pemain tengah itu.

Malaysia kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015, berkongsi tiga mata dengan Bahrain (kedua) apabila tewas 0-2 kepada pendahulu, Qatar dan menang 2-1 ke atas pasukan tercorot, Yaman selepas mengharungi dua perlawanan.


Skuad negara pulang ke tanah air pada 1 Ogos selepas mengharungi dua lagi perlawanan menentang Shonan Bellmare (27 Julai) dan Tokyo Verdy (30 Julai) sebelum turun beraksi dengan Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil (10 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Semua kerana Messi

Posted: 24 Jul 2013 10:03 AM PDT

Rosario, Argentina: Gerardo Martino percaya cadangan rakan senegara dari Argentina, Lionel Messi antara pendorong utama beliau dilantik secara mengejut sebagai ketua jurulatih baru Barcelona kelmarin.

"Saya tak tahu bagaimana ia berlaku tapi saya yakin ia banyak dipengaruhi ayah Messi serta Messi," kata Martino yang juga bekas ketua jurulatih Paraguay pada sidang media di Rosario.


"Saya yakin pengurusan kelab ada bertanya pendapat mereka dan mereka akhirnya mencapai keputusan melantik saya sebagai jurulatih," kata pengendali berusia 50 tahun itu yang berasal dari Rosario seperti Messi.

Martino yang membimbing Newell's Old Boys ke final kejuaraan Argentina bulan lalu mengaku menanti tawaran baru tapi tidak menjangkakan memperoleh peluang seperti ini.


"Peluang ini hadir secara tiba-tiba dan ia mengejutkan saya," menurut Martino yang melepaskan jawatan di Newell's selepas mereka tewas separuh akhir Piala Libertadores dua minggu lalu.


Barcelona mencari jurulatih baru selepas Tito Vilanova terpaksa berundur berikutan masalah kanser yang dialaminya.

"Ini tugas penting untuk saya yang hadir selepas masalah kesihatan dialami Vilanova," kata Martino.


"Saya berterima kasih kerana mereka memilih saya. Kualiti yang ada pada skuad Barcelona dengan kehadiran Messi adalah sesuatu yang diimpikan setiap jurulatih.

"Saya pasti sokongan terhadap Messi semakin meningkat untuk menjadi pemain lebih baik," katanya.


Martino yang akan berkunjung ke Barcelona hari ini berharap dapat memikul tanggungjawab berat membimbing salah sebuah kelab terbaik dunia itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Celtic hampiri aksi utama Liga Juara-Juara

Posted: 24 Jul 2013 10:02 AM PDT

London: Celtic melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara selepas mengatasi Cliftonville 2-0 di Parkhead awal pagi semalam dan akan berdepan wakil Sweden, Elfsborg.

Juara Scotland itu yang melangkah ke pusingan kedua awal tahun ini selepas mengalahkan Barcelona, menewaskan kelab juara Liga Ireland Cliftonville dengan agregat 5-0.


Bekas juara Eropah, Steaua Bucharest juga menempah tiket ke pusingan ketiga kelayakan selepas menang 2-1 di Vardar untuk menjadikan kemenangan agregat 5-1.

Steaua yang juga juara Romania akan bertemu Dinamo Tbilisi, bekas juara Piala Eropah yang menewaskan Streymur, 3-1 di tempat lawan dengan kemenangan agregat 9-2.


Efe Ambrose menjaringkan gol Celtic pada minit ke-16 dan penyerang Greece Giorgos Samaras menambah gol kedua pada minit ke-70 untuk membantu juara Piala Eropah 1967 itu melangkah ke pusingan seterusnya.


Elfsborg yang juga juara Sweden menang 4-0 di Daugava Daugavpils bagi agregat 11-1. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Juve raih RM275j musim lalu

Posted: 24 Jul 2013 10:02 AM PDT

Paris: Kelab Itali, Juventus mungkin tersingkir pada peringkat suku akhir tapi mereka adalah kelab yang meraih ganjaran paling besar pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu.

Dua kelab Jerman, Bayern Munich yang menewaskan Borussia Dortmund, 2-1 pada final di Wembley, Mei lalu, gagal menyaingi pendapatan diperoleh Juventus seperti yang diumum UEFA.


Juara Seria A itu meraih 65.3 juta euro (RM275 juta) sepanjang penyertaan musim lalu, lebih 10 juta euro (RM42 juta) berbanding jumlah diraih Bayern.

Bayern sekadar meraih 55.0 juta euro (RM232 juta) dan Dortmund pula 54.2 juta euro (RM228 juta).


Sebanyak 32 kelab bertanding pada saingan peringkat kumpulan berkongsi habuan berjumlah 904.6 juta euro (RM3.8 bilion).


Perbezaan ketara antara dua kelab Jerman itu dengan Juventus adalah hak penyiaran televisyen. Kelab Turin itu menerima 44.8 juta euro (RM189 juta) berbanding hanya 19.1 juta euro (RM80.6 juta) untuk Bayern.

AC Milan yang sekadar melangkah ke pusingan kedua pula memperoleh 51.4 juta euro (RM216 juta) mengatasi perolehan Real Madrid, 48.4 juta euro (RM204 juta) dan Barcelona 45.5 juta euro (RM192 juta) serta wakil Perancis Paris Saint Germain 44.7 juta euro (RM188 juta).


Manchester United muncul kelab England yang menerima ganjaran terbanyak, 35.6 juta euro (RM150 juta) sekalipun tersingkir pada pusingan kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Ratu galah Russia bersara

Posted: 24 Jul 2013 09:58 AM PDT

Moscow: Ratu lompat bergalah Russia dan pemenang dua emas Sukan Olimpik Yelena Isinbayeva mengumumkan dia akan bersara selepas Kejohanan Olahraga Dunia di Moscow bulan depan.

"Karier saya akan berakhir di Kejohanan Dunia," kata Yelena selepas memenangi kejuaraan kebangsaan di Stadium Luzhniki, Moscow, kelmarin.


"Ia menjadi saat paling nostalgia. Saya mahu menikmati penamat karier menggembirakan dan mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Dunia.

"Pada kejohanan itu, saya akan bertarung dengan tahap ketinggian dan diri sendiri," katanya. "Di Luzhniki, saya memenangi kejuaraan pertama dan di sini karier saya akan berakhir.


"Saya jangka sokongan tidak berbelah-bagi penyokong kerana saya perlu pamer segala yang termampu dan sedia bertarung merebut kemenangan." Yelena, pemenang emas Olimpik 2004 dan 2008, mencatat 28 rekod dunia dalam acara lompat bergalah wanita termasuk catatan terbaik semasa 5.06 meter.


Kelmarin, dia merangkul kejuaraan kebangsaan pada hari kedua Kejohanan Olahraga Russia.

Yelena melepasi ketinggian 4.75m dengan lompatan ketiga untuk berakhir 15 sentimeter di depan naib juara Anastasia Savchenko. Angelina Krasnova ketiga, 4.50m.


Yelena kini hampir pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki yang menghalangnya menyertai beberapa kejohanan musim ini dan sedia bersaing pada Kejohanan Dunia bulan depan.

"Kaki saya tidak mengganggu lagi," kata Yelena. "Saya boleh lakukan lompatan dengan sepenuh kekuatan. Doktor berkata keadaan fizikal saya akan semakin baik menjelang Kejohanan Dunia." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Impi jadi kapten

Posted: 24 Jul 2013 09:54 AM PDT

London: Lee Westwood berhasrat menggalas tugas kapten pasukan Eropah pada Piala Ryder namun hanya selepas dia menentang Amerika Syarikat sebagai pemain beberapa kali lagi.

Westwood yang membantu Eropah melakar kebangkitan menakjubkan di Kelab Country Medinah September lalu, berharap untuk beraksi lagi selepas lapan penampilan pada pertandingan itu sebelum mengetuai pasukan.


"Saya berminat menjadi kapten pasukan Piala Ryder. Ia satu penghormatan besar," katanya kelmarin. "Ada beberapa kapten Piala Ryder yang menakjubkan dan saya mahu ikut jejak langkah mereka.

"Tapi saya bercadang bermain beberapa kali lagi sebelum melakukannya." Komen Westwood hadir selepas dia bermain pada pertandingan seperti Piala Ryder untuk melancarkan Lee Westwood Filly Course di Kelab Golf Close House berdekatan Wylam di Northumberland, dua hari selepas mensia-siakan pendahuluan dua pukulan pada Terbuka British di Muirfield apabila Phil Mickelson mengatasinya untuk muncul juara.


Westwood yang belum pernah memenangi sebarang kejuaraan utama berkata: "Memang saya kecewa gagal bermain baik pada hari terakhir dan tidak memenangi Terbuka British tapi sebagai pemain golf, anda perlu sentiasa positif." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Sirkit kedua bertema Aidilfitri

Posted: 24 Jul 2013 09:54 AM PDT

Batu Gajah: Sirkit kedua Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 yang bakal berlangsung di Kellie's Castle, di sini pada 25 Ogos, dijangka meriah apabila Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) turut menganjurkan jamuan Aidilfitri di lokasi sama.

Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah Datuk Jamry Sury berkata, pihaknya memutuskan mengadakan jamuan Hari Raya bagi semua peserta dan masyarakat setempat yang hadir memeriahkan kejohanan itu kelak.


"Di samping menyertai jambori dan persaingan elit, peserta akan dijamu dengan pelbagai juadah termasuk masakan gulai kawah, lemang, ketupat dan sebagainya bagi memeriahkan suasana Aidilfitri.

"Pelbagai gerai Industri Kecil Sederhana (IKS) juga akan didirikan dengan menyajikan aneka makanan untuk peserta dan orang ramai," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013, semalam.


Turut hadir, pegawai Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), anggota Polis Diraja Malaysia, kakitangan Hospital Batu Gajah, ahli Angkatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dan pengurusan Kellie's Castle.


Beliau berkata, pemilihan Kellie's Castle sebagai lokasi dapat mempromosikan kawasan pelancongan itu, sekali gus menjadikan Perak terutamanya Batu Gajah antara tumpuan pelancong di Malaysia kerana ia bukan saja akan membabitkan penyertaan tempatan tetapi turut disertai peserta luar negara.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan Tourism Malaysia kerana memilih Kellie's Castle sebagai lokasi sirkit kedua selepas Putrajaya.


"Sirkit kali ini pasti lebih meriah dan semua agensi terbabit terutamanya dari MDBG akan bekerjasama sebaik mungkin bagi menjayakan kejohanan ini," katanya.

Menurutnya, beliau berharap orang ramai terutama peminat sukan berbasikal lasak akan memeriahkan sirkit kedua itu nanti dan percaya ia akan menjadi antara pusingan terbaik daripada keseluruhan lima sirkit.


Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) ini turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


Ia membabitkan lima sirkit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM220,000 selain cabutan bertuah hadiah.


Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Norsham di talian 012 5470448, Rahmat (013 3405659) manakala maklumat berhubung dengan teknikal, hubungi Sanusi (016 9393934).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Al-Syakirin peroleh pengajaran

Posted: 24 Jul 2013 09:54 AM PDT

Sungai Petani: Kedudukan kedua terbaik sudah memadai buat Al-Syakirin FC selepas mengakhiri saingan Kejohanan Bola Sepak Piala 1Malaysia Parlimen Sungai Petani di padang awam Taman Keladi, baru-baru ini.

Penyertaan pasukan 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Lapangan Terbang itu bagi menguji formasi selain merencana posisi pemain untk menghadapi pertandingan lebih besar.


Pengurus Badrulzaman Hashim, berkata, tiada sasaran ditetapkan pasukannya tapi mereka tetap memberi perhatian terhadap kemantapan berpasukan.

"Saingan ini memberi banyak pengalaman kepada kami kerana ia turut disertai skuad bola sepak terbaik komuniti masing-masing. "Liga ini turut mendedahkan kami terhadap kekurangan pasukan yang kini bersiap menghadapi final Piala Sultan Abdul Halim Muadzam Shah," katanya. Al-Syakirin FC muncul juara piala itu sejak 2011.


Katanya, walaupun tewas pada perlawanan akhir kepada SP Brothers 1-3, Al-Syakirin FC tidak kecewa kerana masih bangga dengan pencapaian pada kejohanan disertai 23 pasukan itu.


Kejohanan Piala 1Malaysia Parlimen Sungai Petani secara kalah mati itu dilangsungkan sejak Februari lalu dengan perlawanan diadakan hanya pada hujung minggu.

Badrulzaman berkata, sejak menjuarai Piala Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, pasukan itu sudah berwajah baru dan bersedia memberikan saingan. "Kami berazam melonjakkan Al-Syakirin FC ke peringkat lebih tinggi selepas ini." Selaku naib juara, Al-Syakirin FC meraih wang tunai RM1,000 serta satu set jersi manakala SP Brothers menerima RM2,000 dan set jersi. Tempat ketiga dan keempat yang menawarkan wang tunai RM500 masing-masing diraih pasukan Batu 2 FC dan Berapit FC.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

'Mereka beri terbaik'

Posted: 24 Jul 2013 09:51 AM PDT

Kuala Lumpur: Kehilangan pingat perak pasangan penerjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee bukan berpunca daripada kegagalan mengawal emosi atau tekanan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, senario itu boleh terjadi kepada mana-mana penerjun kerana semua aspek perlu diambil kira apabila beraksi di peringkat tertinggi.


"Memang sayang, kita hanya dipisahkan 0.27 mata untuk meraih perak. Pasangan kita sebenarnya begitu hampir melakukannya hinggalah terjunan terakhir. Tapi aksi dipamer Pandelela dan Mun Yee amat membanggakan.

"Acara terjun tidak hanya membabitkan mental kerana bermula daripada sebelum melakukan terjunan hingga memasuki air, setiap aspek perlu diambil kira. Dua penerjun kita itu, terutama Mun Yee bukan atlet baru, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tidak fikir ia ada kaitan dengan kegagalan mengawal emosi atau menangani tekanan," katanya.


Pandelela-Mun Yee keting galan kepada pasangan Kanada, Meaghan Benfeito-Roseline Fillion yang meraih perak manakala emas acara 10 meter terjun seirama itu milik penerjun China, Chen Ruolin-Liu Huixia.


Pencapaian di Barcelona itu gangsa kedua buat Pandelela-Mun Yee selepas turut menduduki tempat ketiga di kejohanan sama pada 2009 di Rome. Di Shanghai, China dua tahun lalu, mereka gagal membawa pulang sebarang pingat apabila sekadar menduduki tempat keenam.

Gangsa itu setidak-tidaknya mengubat kekecewaan di Sukan Olimpik London tahun lalu apabila pasangan itu sekadar menduduki tempat keenam acara sama.


Mengulas kemampuan Pandelela menukar warna gangsa apabila turun dalam acara akhir 10m platform individu hari ini, Zolkples berharap penerjun yang turut memenangi gangsa di London 2012 itu akan terus fokus.

"Bukan mudah buat Pandelela. Dia perlu kekal fokus bagi membuktikan dirinya masih antara yang terbaik dalam acara itu. Jika boleh, perbaiki pencapaian dilakukan di London." Di separuh akhir semalam, Pandelela mempamerkan terjunan meyakinkan apabila mengumpul 314.15 mata untuk berada di kedudukan kelapan terbaik seterusnya layak beraksi di peringkat akhir, bersaing bersama 11 penerjun lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

No comments:

Post a Comment