Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tiada hitam putih'

Posted: 25 Jul 2013 09:28 AM PDT

Johor Bahru: "Saya tidak mahu ulas lanjut kerana tiada hitam putih."

Jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Fandi Ahmad membuat kenyataan itu berhubung laporan pelantikan bekas pengurus Atletico Madrid dan Valencia, Cesar Ferrando Jiminez selaku pengurus dan ketua jurulatih baru skuad Harimau Selatan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.


Fandi yang baru pulang dari Chile atas urusan keluarga tidak mengendahkan segala perkhabaran malah bersikap profesional apabila kembali melatih pemain Harimau Selatan tanpa mempedulikan desas-desus membabitkan dirinya menghadapi kempen Piala Malaysia 20 Ogos ini.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai jurulatih baru itu. Tiada maklumat rasmi walaupun saya ada dengar berita mengenai perubahan musim depan. Apa yang saya dengar, jurulatih dari Sepanyol akan ditugaskan selaku ketua jurulatih. Saya tidak mahu fikirkan apa-apa kerana tumpuan sekarang pada persiapan rapi kempen Piala Malaysia.


"Saya tidak mahu ulas lanjut. Apapun saya akan mengadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mendapat maklumat lebih terperinci," katanya yang turut memuji pemain yang memberi komitmen tinggi terhadap latihan ketika bulan puasa sekalipun tanpa pemain utama yang bersama skuad kebangsaan.


Sementara itu, Jiminez difahamkan akan berada di Johor Bahru dalam masa terdekat sebelum saingan Piala Malaysia bermula dan belum ada kata putus pengurusan tertinggi sama ada beliau akan bergandingan dengan Fandi.

Foto

FANDI (tengah) fokus persiapan hadapi Piala Malaysia.

Sebelum ini Johor DT dilapor berusaha membawa pemain LionsXII, Hariss Harun dan tiga pemain Harimau Muda yang juga anak jati Johor, Mohd Fadhli Shas, Irfan Fazail dan Fandi Othman selepas Sukan SEA Myanmar, Disember ini selain pemain pertahanan dan penjaga gol utama Selangor, Norazlan Razali dan Mahali Jasuli.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Strategi Guardiola

Posted: 25 Jul 2013 09:10 AM PDT

Munich: Ketua jurulatih Pep Guardiola akan berbincang dengan pengarah sukan Matthias Sammer serta pengerusi kelab Karl-Heinz Rummenigge kemungkinan mengurangkan jumlah pemain berstatus bintang dalam skuad itu selepas mereka bertemu Borussia Dortmund, esok, perlawanan yang dianggap ulangan final Liga Juara-Juara.

Guardiola menyaksikan anak buahnya menang 2-0 di tempat sendiri ke atas bekas kelab bimbingannya, Barcelona pada perlawanan persahabatan kelmarin tetapi pengendali dari Sepanyol itu menurunkan kesebelasan utama pada separuh masa pertama.


Diketuai Lionel Messi, bintang Barcelona itu beraksi selama 45 minit dengan gol sumbangan kapten, Philipp Lahm dan Mario Mandzukic. Pertemuan itu menghiburkan 71,137 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium.

Dengan saingan Bundesliga berlangsung dua minggu lagi, Guardiola perlu membuat beberapa keputusan sukar kerana beliau hanya menyediakan tempat kepada 10 pemain tengah berkualiti dalam kelab itu.


Dengan bintang Jerman, Bastian Schweinsteiger dan Mario Goetze kembali pulih daripada kecederaan manakala pemain Sepanyol, Javi Martinez juga sudah siap untuk diturunkan selepas tugasan Piala Konfederasi, beberapa bintang Bayern akan menyaksikan mereka bakal memanaskan bangku simpanan kecuali jika berhijrah ke kelab baru.


"Kami akan berbincang mengenai perkara ini selepas Piala Super. Kami perlu melihat kembali prestasi setiap pemain," kata Guardiola yang meletakkan pemain sayap Jerman, Thomas Mueller sebagai penyerang tunggal ketika bertemu Barcelona.

Selepas berjaya mendapatkan kapten antarabangsa Sepanyol Bawah 21 tahun, Thiago Alcantara dari Barcelona, Guardiola berkata, beliau ingin cuba beberapa strategi baru.


Bagaimanapun pemain Brazil, Luiz Gustavo dikaitkan ke Wolfsburg sementara Liverpool dilapor berminat mendapatkan pemain sayap Switzerland, Xherdan Shaqiri.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang boleh beraksi di posisi berlainan. Saya lebih gemar pemain yang boleh beraksi di mana-manapun dan serasi dengan pelbagai sistem diterapkan," kata pengendali berusia 42 tahun itu.


"Toni Kroos umpamanya sudahpun beralih ke posisi pertahanan tengah. Saya mahu mencuba beberapa perkara baru dan menguji segala strategi pada perlawanan persahabatan itu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Higuain, Reina lulus ujian perubatan

Posted: 25 Jul 2013 09:10 AM PDT

Rome: Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain dan penjaga gol Sepanyol, Pepe Reina semakin hampir melengkapkan perpindahan ke Napoli selepas lulus pemeriksaan kesihatan.

Presiden Napoli Aurelio De Laurentiis menggunakan media sosial untuk mendedahkan berita itu kepada penyokong kelab yang sesetengahnya sudah menunggu Higuain di lapangan terbang Napoli.


"Higuain dan Reina sudah lulus pemeriksaan perubatan dan akan menyertai pasukan ini," kata De Laurentiis menerusi akaun Twitter miliknya.

"Kami boleh katakan sudah bekerja kuat namun kami tidak akan berhenti di sini!" Bagi mendapatkan penyerang Real Madrid, Higuain yang dilapor turut menjadi sasaran Arsenal dan Juventus, Napoli perlu membayar 37 juta euro (RM156.1 juta) serta tambahan tiga juta euro (RM12.6 juta) berasaskan bonus.


Reina meninggalkan Liverpool sebagai pemain pinjaman dan akan bergabung semula dengan bekas pengurus di Anfield, Rafael Benitez yang menyertai kelab Itali itu selepas musim lalu berakhir.


"Dia gembira dapat bekerjasama semula dengan Benitez yang dikenalinya selama lima tahun di Sepanyol dan England serta mampu bergandingan dengan sangat baik seperti sebelum ini," kata pengurus Reina, Manuel Quilon.

Napoli menjual penyerang Uruguay, Edinson Cavani ke Paris Saint-Germain dengan harga 64 juta euro (RM270.1 juta) untuk mencatatkan rekod Perancis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Massa tak gentar

Posted: 25 Jul 2013 09:09 AM PDT

Budapest: Felipe Massa kembali ke Budapest, bandar yang melakar sejarah hitam dalam sejarah Formula Satu (F1) bagi dirinya empat tahun lalu tapi kali ini dia pantas melaung amaran untuk bangkit bagi menyelamatkan kerjayanya di Ferrari.

Pemandu Brazil berusia 32 tahun yang mengalami kecederaan kepala hingga mengancam nyawanya pada aksi kelayakan di Hungaroring, empat tahun lalu tetap meyakini kemampuannya biarpun gagal menghasilkan keputusan baik musim ini.


Massa lebih percaya pada prestasi konsisten berbanding kuasa pecutan dan fakta itu memainkan peranan utama menghasilkan keputusan perlumbaan.

Dia mahu meletakkan dirinya sebaris dengan juara dunia dua kali dari Sepanyol, Fernando Alonso dari Ferrari yang mahu menamatkan penguasaan Sebastian Vettel dari Red Bull.


"Saya tahu apa yang perlu dilakukan," kata Massa. "Saya hanya perlu dapatkan keputusan. Saya tidak bimbangkan kelajuan.


"Saya sudah membuktikan mampu memandu lebih laju tapi insiden yang berlaku menyebabkan saya tidak boleh menamatkan perlumbaan. Saya perlu fokus mengekalkan kelajuan dan jika tiada halangan, saya pasti menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik." Kesukaran dihadapi Massa menjadi satu-satunya isu yang boleh dikaji di Grand Prix Hungary, perlumbaan terakhir sebelum F1 berehat. Litar Hungary yang terkenal sebagai litar perlahan, berdebu, mempunyai saingan getir dan banyak selekoh itu menjadi venue tetap perlumbaan sejak 1986.

Litar Hungaroring memiliki 14 selekoh dan hanya satu jalan lurus, menampilkan cabaran kepada setiap pasukan terutamanya yang mementingkan kelajuan di litar Eropah.


Ujian utama perlu diharungi pastinya penggunaan tayar baru Pirelli yang dibangunkan buat kali pertama dalam perlumbaan ini selepas beberapa siri pemeriksaan dilakukan di litar Silverstone minggu lalu, malah prestasi dalam suhu tinggi juga bakal menjadi faktor penentu pada perlumbaan sebenar hujung minggu ini.

Pendahulu keseluruhan, Vettel yang juga juara bertahan dan juara dunia tiga kali sudah menang di tempat sendiri iaitu Grand Prix Jerman tiga minggu lalu, pasti mahukan kemenangan kerana hanya dua litar saja belum pernah ditaklukinya iaitu Hungary dan Amerika Syarikat.


Massa dijangka dicabar hebat bukan hanya oleh rakan sepasukan, Mark Webber (Australia) tetapi juga pemandu Britain, Lewis Hamilton dari Mercedes (juara tiga kali di Hungary, 2007, 2009 dan 2012). Satu lagi kemenangan akan meletakkan nama Hamilton sebaris pemegang rekod dari Jerman, Michael Schumacher. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Pilih skuad terbaik

Posted: 25 Jul 2013 09:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara Paul Revington menegaskan tiada pemain boleh berasa kedudukan mereka sudah terjamin untuk terpilih beraksi di Piala Asia di Ipoh, bermula 24 Ogos.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pemain, pengendali berusia 40 tahun dari Afrika Selatan itu sebaliknya berkata, setiap pemain perlu bersaing untuk merebut 18 tempat disediakan.


Pendirian Revington itu bermakna, segala pencapaian skuad negara pada saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru sebelum ini bukanlah menjadi ukuran utama baginya dalam memilih senarai pemain untuk menggalas tugas di Ipoh.

Meskipun sedar misi pada Piala Asia penting merebut satu tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda, Revington tetap menganggap prestasi semasa menjadi pertimbangan utamanya.


"Sudah pasti saya akan memilih yang terbaik, tak kira pemain senior atau remaja, mereka semua tak boleh mengelak daripada untuk bersaing merebut tempat yang disediakan.


"Saya akan umum senarai akhir sebelum sambutan Hari Raya, mungkin sekitar 7 Ogos," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara.

Revington berkata, meskipun ketika ini rata-rata pemain skuad negara yang beragama Islam menunaikan tanggungjawab berpuasa di bulan Ramadan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka menghentikan sesi latihan di padang.


"Saya hargai komitmen setiap pemain walaupun mereka berpuasa. Benar, mereka nampak agak lemah sedikit tapi kita sudah tidak mempunyai banyak masa lagi.

"Sekarang masa terbaik untuk meneruskan sesi latihan sebelum ke Ipoh untuk persiapan Piala Asia," katanya.


Revington juga berkata, skuad negara tidak akan diberi cuti panjang untuk menyambut Hari Raya bulan depan.


"Mungkin dua atau tiga hari saja, tidak lebih daripada itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Remaja negara belasah Poland

Posted: 25 Jul 2013 09:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia menebus kehampaan tewas kepada skuad senior Poland kelmarin apabila mencatat kemenangan 8-2 ke atas skuad remaja Poland pada perlawanan persahabatan ketiga siri Jelajah Eropah di Stadium Hoki WFA, Poznan semalam.

Skuad hoki remaja negara bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah bermula baik apabila Haziq Syamsol menjaringkan gol pertama seawal minit kelima sebelum Poland menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat separuh masa pertama.


Bersambung babak kedua, Azwar Rahman menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-40 dan 41 tetapi Poland mengurangkan defisit pada minit ke-43 bagi kedudukan 3-2.

Tetapi skuad negara kekal fokus dan akhirnya menjaringkan lima gol berturut-turut menerusi Syamim Yusof pada minit ke-45, Nor Aqmal Ghaffar (gambar) (m-58 dan 63) serta Dangerous Lee (m-61 dan 65).


"Ini persembahan paling meyakinkan selepas tiga siri perlawanan persahabatan kerana kami menjaringkan tujuh gol menerusi jaringan padang dan hanya satu pukulan sudut penalti.


"Kami perlu lebih konsisten apabila mengambil pukulan sudut penalti kerana mensia-siakan tujuh peluang pada perlawanan ini," kata pengurus pasukan Mirnawan Nawawi.

Skuad remaja negara akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang remaja Belgium di Antwerp bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Skuad MIFA sasar juara

Posted: 25 Jul 2013 09:06 AM PDT

Putrajaya: "Kami sudah bersedia fizikal dan mental. Harapan kami semestinya mahu menang dan membawa pulang kejayaan untuk Malaysia," kata jurulatih skuad Persekutuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) K Thaiyananthan.

Menurutnya, skuad yang membariskan 20 pemain yakin memberikan saingan mantap pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa India di Paris, Perancis anjuran Majlis Sukan Tamil Perancis, minggu ini. "Sebagai jurulatih saya mahu menang dan muncul juara. Kebanyakan pemain membabitkan pemain muda sudah menimba pengalaman dalam Liga Perdana dan Liga FAM.


"Mereka juga diberikan pendedahan dan latihan secukupnya kerana kebanyakan mereka berpengalaman serta pernah menyertai kejohanan sama tahun lalu," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang, semalam. Majlis disempurnakan Menteri Kesihatan yang juga Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam. Skuad berkenaan turut diiringi enam pegawai berlepas ke Paris hari ini.

Thaiyananthan berkata, pemain menjalani latihan pusat 10 hari di padang bola sepak Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. Sementara itu, Subramaniam bangga kerana skuad negara kali ini membabitkan anak muda berbakat besar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

'Enggan fikir cabaran awal'

Posted: 25 Jul 2013 08:44 AM PDT

Kota Bharu: Jurulatih Bojan Hodak tidak mahu memikirkan lawan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia menjelang undian esok.

Musim lalu Kelantan berada dalam kumpulan maut apabila disenaraikan bersama ATM, Terengganu dan Kedah, namun berjaya muncul juara.


jurulatih dari Croatia itu berkata, misi mempertahankan kejuaraan agak berat malah kebangkitan beberapa pasukan lain pasti menyukarkan gergasi Pantai Timur itu.

"Sesiapa saja boleh beri tentangan. Kita tidak boleh pandang rendah keupayaan pasukan lain termasuk dari Liga Perdana.


"Saya harap latihan dalam bulan puasa tidak mengganggu kecergasan pemain kerana perlu memantapkan pasukan sebelum perlawanan bermula," katanya.


Hodak turut lega Indraputra Mahayuddin dan Zairul Fitree Ishak pulih daripada kecederaan dan bakal diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Katanya, kapten Mohd Badhri Radzi juga sudah pulih 70 peratus namun hanya menjalani latihan ringan dan tidak akan turun dalam aksi persahabatan.


"Beberapa pemain menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan namun saya lega pemain yang cedera sudah sembuh dan dapat menjalani latihan.

"Piya tidak akan beraksi dalam tempoh terdekat kerana tidak mahu menanggung risiko kecederaannya berpanjangan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Stadium pasti pulih

Posted: 25 Jul 2013 08:41 AM PDT

Bukit Jalil: Tiada sebab penganjur menukar venue perlawanan Harimau Malaya menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berjanji membaik pulih padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam tempoh 10 hari dan dijangka berada di tahap terbaik sebelum 10 Ogos.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyuarakan keyakinan pengurusan stadium mampu menyelesaikan masalah itu dalam tempoh dijanjikan bagi memastikan permainan menarik disajikan kedua-dua pasukan.


"Kami sudah mendapat jaminan pihak stadium akan membaik pulih permukaan padang dalam tempoh 10 hari. Memang keadaan rumput tidak berapa elok tapi kami yakin padang lebih baik minggu depan," kata Hamidin selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan sempena Jelajah Asia Barcelona itu.

Ini kali pertama juara La Liga, Barcelona berkunjung ke Malaysia dan meskipun kehadiran skuad Catalan dalam suasana hari raya, Hamidin yakin perlawanan itu tetap mendapat sambutan.


Malah beliau yakin tumpuan pemain tidak terganggu biarpun hanya diberi cuti singkat sebelum perlawanan yang berlangsung pada hari raya ketiga.


"Saya difahamkan jurulatih Datuk K Rajagobal hanya memberi cuti dua hari kepada pemain dan memang kita semua dalam 'mood' raya tapi saya yakin pemain tetap fokus kerana mereka akan menentang pasukan hebat. Saya yakin mereka akan memberikan aksi terbaik kerana sudah biasa berdepan situasi ini, inilah pengorbanan perlu dilakukan pemain." Sementara itu Pengarah Urusan BSC Soccer (M) Sdn Bhd Effendi Jagan Abdullah yang bertindak sebagai promoter perlawanan berkata, tiada perubahan barisan pemain Barcelona apabila dua pemain tumpuan, Lionel Messi dan Neymar dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.

Malah Effendi turut mengesahkan jurulatih baru Gerardo Martino yang baru dilantik menggantikan Tito Vilanova bakal memberikan sentuhan pertama kepada juara empat kali Eropah itu.


"Tiada perubahan dan seperti dimaklumkan sebelum ini, Messi dan Neymar akan datang ke sini. Jurulatih baru, Martino juga bersama skuad kerana ini perlawanan penting dalam persiapan pramusim sebelum pulang ke Sepanyol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Tok Gajah idam final Piala Malaysia

Posted: 25 Jul 2013 08:40 AM PDT

Kuantan: Menyedari cabaran lebih getir bakal diharungi pada saingan Piala Malaysia, pemain Pahang tidak mahu terus kempunan meraih gelaran juara musim ini.

Justeru, kegagalan meraih piala berprestij Liga Super dan Piala FA menjadikan mereka lebih mantap dan bersedia memberi tentangan. Pada masa sama, Piala Malaysia satu-satunya piala yang tinggal dan sudah pasti ia medan terbaik memastikan piala itu berada di Pahang.


Bagi pemain tengah Mohd Hafiz Kamal, dia bersama rakan sepasukan tidak sabar memastikan kejayaan manis memihak skuad Tok Gajah.

Menurutnya, tangga kelima Liga Super dan layak ke separuh akhir Piala FA mematangkan mereka untuk bekerja lebih keras jika mahu meraih kejayaan membanggakan.


"Sebab itu sesi latihan sepanjang Ramadan ini digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan persefahaman serta kekuatan mental dan fizikal.


"Saya percaya latihan intensif itu akan membuahkan hasil positif biarpun belum pasti siapa lawan peringkat kumpulan," katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan, Mohd Shahrizan Salleh berazam mengurangkan kesilapan ketika mengawal benteng.


Menurutnya, dengan kerjasama rakan lain seperti kapten, Jalaluddin Jaafar, Damion Stewart dan Mohd Razman Roslan, segala-galanya diharap berjalan lancar.

"Fokus utama kami ialah layak ke final dan berharap dengan sokongan pengurusan serta penyokong, ia menjadi kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

No comments:

Post a Comment