Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Bale rayu dilepaskan

Posted: 27 Jul 2013 07:59 AM PDT

London: Ketika bertemu dengan pengurusan Tottenham, hanya satu yang dipinta Gareth Bale iaitu: "Lepaskan saya. Saya mahu menyertai Real Madrid."

Sebuah akhbar tabloid Britain yang mendedahkan cerita itu secara ekslusif mendakwa kelab gergasi Sepanyol itu ada membuat tawaran rasmi sebanyak £81 juta (RM399 juta) untuk mendapatkan pemain sayap Wales itu tetapi ditolak oleh Spurs.


Akhbar Sepanyol, Marca, yang mempunyai hubungan rapat kepada Madrid, mendakwa Bale berang apabila Spurs menolak tawaran itu sekalipun mengatasi bayaran dibuat Real kepada Manchester United untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo pada Julai 2009.

Bale, 24, berkata, apa yang dia faham ialah pengerusi Spurs, Daniel Levy penah berkata bahawa mereka sedia melepaskannya jika menerima tawaran lumayan.


Marca mendakwa Bale pernah memberitahu Levy: "Berjanjilah dengan saya. Jika kita tidak layak beraksi pada Liga Juara-Juara dan ada tawaran baik yang datang untuk membeli saya, anda perlu menimbangkan tawaran berkenaan.


"Sekarang tawaran itu sudah tiba dan saya mahu beraksi untuk Real Madrid. Jadi, berpeganglah pada janji anda dan adakan rundingan secara segera." Bale ada berbincang dengan Levy dan berterus-terang mengatakan bahawa dia tidak lagi dapat melihat masa depannya di White Hart Lane.

Hubungan pemain dan ahli lembaga kelab begitu tegang apabila Madrid berterusan menggunakan kekuatan kewangan mereka untuk mendapatkan Bale.


Pengurus Spurs, Andre Villas- Boas (AVB) pernah membuat kenyataan menjelang perlawanan pra-musim menentang China Selatan mengenai kontrak pemain antarabangsa Wales itu masih sah hingga dua tahun lagi.

Bagaimanapun, sumber dari Sepanyol mendakwa tiada sebarang perbincangan diadakan sejak 2012 untuk memperbaharui kontrak pemain berkenaan.


Bale terlepas beraksi bersama Spurs untuk perlawanan pembukaan jelajah pra-musim kelab itu selain tidak berlatih bersama skuad itu ketika mereka berada di luar negara.

AVB menegaskan Bale direhatkan kerana mengalami kecederaan punggung tetapi rakan rapat kepada Pemain Terbaik dua kali itu mendedahkan dia berada dalam keadaan cukup cergas untuk beraksi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Pengganti terbaik: Hamidin

Posted: 27 Jul 2013 07:56 AM PDT

Kuala Lumpur: "Dengan pengalaman serta kemampuan dimilikinya, saya yakin beliau mampu memikul tugas sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baru. Saya ucapkan tahniah dan selamat berjaya untuknya," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dua hari lalu, Rosman Mohd Ibrahim yang mengabdikan diri lebih 15 tahun bersama FAS, dilantik menggantikan Hamidin selaku Setiausaha Agung FAS dan pengumuman itu dibuat Menteri Besar Selangor yang juga Presiden FAS Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Dengan pengumuman itu, tamatlah teka-teki siapakah yang bakal dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan FAS selepas Hamidin dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM bagi menggantikan Datuk Azzudin Ahmad, mulai 1 Julai lalu.

Hamidin berkata, Rosman berpengalaman luas dan antara kejayaan yang pastinya membanggakan seluruh warga FAS ialah ketika beliau menguruskan skuad futsal wanita Selangor hingga muncul juara musim 2008 dan 2009.


"Saya tidak nampak mengapa beliau tidak layak memegang jawatan itu dan saya percaya beliau mampu menjulang Selangor selaku antara pasukan gergasi di persada bola sepak tanah air.


"Beliau seorang yang mudah mesra dengan sesiapapun dan untuk itu, saya yakin beliau akan mendapat sokongan serta kerjasama baik semua pihak. Ditambah lagi dengan peribadinya yang baik, beliau pasti disenangi semua pihak," katanya.

Hamidin berkata, yang penting bagi Rosman ialah memastikan hubungan baik antara FAS dengan FAM serta persatuan bola sepak (FA) negeri lain diteruskan kerana faktor itu bakal memainkan peranan penting bagi membuktikan sama ada beliau berjaya atau tidak melaksanakan tanggungjawabnya.


"Untuk bergelar setiausaha yang berjaya, beliau perlu bijak memainkan peranan. Bukan setakat mengurus dan mengendalikan FAS tanpa ada cacat cela, malah beliau juga perlu rendah diri dan sanggup menerima teguran serta kritikan.

"Saya faham sangat tugas selaku Setiausaha Agung FAS kerana saya memegang jawatan itu lebih 10 tahun. Selangor sebuah pasukan yang hebat dan ia memerlukan seorang pemimpin yang hebat dan berkarisma.


"Saya sedia menunjuk ajar beliau atau mana-mana setiausaha FA negeri lain andai diperlukan kerana yang penting, hubungan antara FAM dan semua FA negeri perlu baik dan kami harus berjalan seiring."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Sinar baru Merah Kuning

Posted: 27 Jul 2013 07:56 AM PDT

Komen Azman Adnan mengenai pelantikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim

Bekas penyerang Selangor, Azman Adnan berharap pelantikan Rosman Mohd Ibrahim sebagai Setiausaha Agung FAS yang baru dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.


Azman berkata, kehadiran beliau diharap memberi satu wajah dan sinar baru terhadap bola sepak Selangor untuk kembali mantap sebagai pasukan bolasepak yang digeruni di negara ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Rosman atas pelantikan itu. Ia bukan tugas mudah malah sesiapapun yang memikul tugas itu mesti mempunyai perancangan rapi dan hala tuju masa depan.


"Harapan utama adalah beliau (Rosman) akan menyusun program baru untuk merencanakan semula pembangunan bola sepak negeri supaya menjadi lebih berkesan dan mampu melahirkan pemain yang terbilang," katanya kepada Metro Ahad.


Azman berkata, perkara utama mesti dititikberatkan adalah menjaga kepentingan dan kebajikan pemain terutamanya yang pernah memberi sumbangan menjadikan Selangor sebuah pasukan yang cemerlang.

"Bagi saya, kesempatan terbaik pada bulan Ramadan ini perlu dimanfaatkan beliau untuk mengunjungi dan bertanya khabar pemain-pemain lama yang pernah beraksi bersama Selangor.


"Pendekatan ini cara terbaik untuk mendekatkan hubungan kekeluargaan bola sepak Selangor supaya mereka merasakan sumbangan selama ini dihargai dan pada masa sama menjadi contoh kepada pemain baru terhadap kepentingan memupuk semangat berpasukan dan mengambil berat satu sama lain," katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai persiapan Selangor dan pasukan lain yang akan bersaing dalam Piala Malaysia yang akan bermula pada 20 Ogos ini, Azman berkata:" Selangor sebuah pasukan digeruni dan tiada masalah untuk kembali ke peringkat kegemilangan mereka.


"Senario sekarang membuktikan tiada pasukan yang benar-benar mantap atau tidak boleh dikalahkan tetapi saya berharap Selangor akan berjaya dan bergelar juara Piala Malaysia tahun ini. Pada kesempatan ini juga, saya dan keluarga mahu mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut hari lebaran kepada seluruh rakyat Malaysia,".

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Rina tak lokek ilmu

Posted: 27 Jul 2013 07:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Nama Rina Jordana Adnan tidak perlu diperkenalkan lagi di pentas silat tempatan dan antarabangsa. Lincah di gelanggang, pelbagai gelaran sudah menjadi miliknya. Kini tiba gilirannya menyumbang bakti kepada anak muda yang berminat mempelajari seni mempertahankan diri ini.

Bertemu dengannya ketika melatih Skuad Indera Bentara, pasukan silat Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa, baru-baru ini, Arena Metro turut memberi peluang buat dua pesilat muda, Noor Hamimi Abdul Aziz dan Mujahidah Mujin bertanya soalan kepada idola mereka.


SOALAN (S): Siapa yang mula-mula mendorong anda menceburi silat?

JAWAPAN (J): Saya bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga silat. Ibu dan bapa membawa saya ke gelanggang dan pada masa itu saya hanya mengikut mereka. Namun pada masa itu saya sekadar melihat ayah melatih pelajar sekolah teknik.

Minat itu akhirnya datang dengan sendiri hingga saya pasang impian untuk menyertai pasukan kebangsaan meskipun pada mulanya tidak kesampaian kerana baru berusia 15 tahun. Hanya selepas usia 18 tahun, saya berpeluang menyertai pertandingan peringkat remaja.

Saya kemudian menyertai Kejohanan Silat Kebangsaan 1998 dan memenangi pingat emas dan sejak itu saya terus aktif hingga sekarang.

S: Adakah anda mempelajari silat dari ibu bapa atau turut belajar dengan orang lain?

J: Saya hanya belajar dengan ibu bapa dan tidak belajar dengan guru lain. Mereka mengajar saya bagaimana melakukan tumbukan dan tendangan dengan betul. Hanya apabila saya wakili daerah dan kebangsaan, tugas itu digalas jurulatih. Asas silat saya adalah silat lincah.

S: Adakah pembabitan anda mengganggu pelajaran memandangkan anda bermula pada usia muda?

J: Pernah dulu kegiatan saya dalam silat bertembung dengan SPM apabila menyertai pemilihan Sukan Malaysia. Ketika itu seminggu sebelum SPM dan saya sertai pemilihan sebelum memberi tumpuan sepenuhnya terhadap SPM. Selepas terpilih saya hanya membuat persediaan dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Begitupun saya terpilih menyertai Sukan Sea 1999 dan terpaksa berhenti dari UiTM pada semester pertama. Jika berada di semester kedua, mungkin saya boleh menangguhkan pengajian.

Selepas berbincang dengan dekan, saya membuat permohonan semula. Saya mengambil jurusan sains sukan, yang dekat dengan kerjaya sebagai atlet silat. Apa yang ada dalam akademik saya terapkan dalam situasi sebenar.

S: Bagaimana pula anda menyeimbangkan masa antara pelajaran dan silat?

J: Bagi saya, waktu belajar kita belajar dan waktu bersukan kita bersukan. Saya memberikan 100 peratus untuk kedua-duanya. Jika menjalani latihan silat, jangan fikirkan pelajaran, tumpukan kepada latihan sepenuhnya.

Saya tidak percaya kita boleh belajar dengan membawa buku ke gelanggang latihan. Bila latihan, jangan fikir perkara lain dan bila belajar, yang lain perlu diketepikan.

S: Memandangkan anda aktif dalam silat, adakah masa untuk bersosial?

J: Saya sebenarnya bukan jenis orang yang terlalu sosial. Masa terlalu terbatas, masa untuk bersuka-suka hampir tidak ada. Pada jam 6 pagi saya mula jalani latihan kecergasan, masuk ke gelanggang 10 pagi, rehat 12 tengah hari dan kembali ke gelanggang 3.30 petang. Itulah aktiviti saya sepanjang hari dan saya perlu tidur awal untuk kekal cergas. Meskipun tidak mempunyai kehidupan seperti orang lain, saya bangga dengan kehidupan sendiri.

S: Apa matlamat anda dalam sukan ini?

J: Sewaktu masih aktif, saya ingin menjadi juara dunia dan tinggalkan nama dalam sukan ini selain mahu dikenali orang. Bukan saya ingin berbangga tapi ingin melihat apa yang dilakukan ada hasilnya. Meskipun tidak aktif seperti dulu, sekurang-kurangnya orang masih kenal saya.

Yang penting sekarang adalah berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain. Jika kedekut ilmu, kita juga yang rugi. Jika berkongsi, kita juga boleh perbaiki diri sendiri.

Saya sudah mencapai matlamat apabila meraih gelaran juara dunia pada 2007. Saya juga meraih pelbagai kejayaan di Sukan SEA, Sukan Dalam Dewan Asia, Terbuka Belgium selain berjaya di peringkat kebangsaan. Perjalanan saya semakin jauh sejak menyertai silat.

S: Apa harapan anda dalam silat?

J: Harapan saya terlalu tinggi. Jangan matikan silat separuh jalan. Silat seni mempertahankan diri yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Jika muay thai boleh diterima seluruh dunia, mengapa tidak silat. Harapan saya buat anak muda, perlu ada matlamat dalam silat untuk memperkembangkan sukan tempur ini.

S: Apakah tips untuk menjadi pesilat yang baik?

J: Pertamanya disiplin diri kena tinggi dan ia amat penting dalam sukan tempur seperti silat. Keduanya, perlu hormat guru kerana guru turunkan ilmu. Jika tidak ilmu yang diterima tidak akan ke mana, lambat laun ia akan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Kongsi tip keselamatan

Posted: 27 Jul 2013 07:37 AM PDT

Sabak Bernam: Enam pelumba PETRONAS mengambil kesempatan cuti rehat sepanjang Ramadan untuk berkongsi panduan keselamatan di jalan raya bersama penduduk terutamanya golongan remaja di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor, kelmarin.

Beberapa pelumba muda pasukan termasuk yang pernah memenangi pelbagai kejuaraan, tampil untuk turut menyertai program berkenaan.


Antaranya ialah pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Mohd Ramdan Mohd Rosli, pelumba Formel 3 Jerman, Nabil Jeffri, pelumba Masters China, Afiq Ikhwan dan trio Super Taikyu, Fariqe Hairuman, Dominic Ang dan Melvin Moh.

Semua mereka meluangkan masa bersama kira-kira 100 remaja setempat untuk berkongsi panduan kepentingan penggunaan topi keledar terutama di musim perayaan menerusi satu aktiviti Bengkel Keselamatan Jalan Raya Street Smart yang dikendalikan Petrosains bersempena Program Sentuhan Kasih bersama Pelumba Program Bakat PETRONAS.


Salah seorang pelumba, Mohd Ramdan, 17, berkata program seperti itu dapat memberi kesedaran kepada remaja tentang keselamatan tambahan di jalan raya.


"Sebagai pelumba, kami sentiasa mementingkan aspek keselamatan tidak kira di litar mahupun di jalan raya.

"Setiap kali beraksi di litar, kami sentiasa terbabit kepada bahaya sewaktu berlumba. Jadi aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Tidak hanya di litar malah kami turut mengutamakan keselamatan di luar litar. Pemakaian topi keledar adalah penting setiap kali kita menunggang.


"Sebagai pelumba kami juga ingin menyampaikan mesej penting kepada masyarakat di luar sana. Musim perayaan ini adalah musim untuk kita bergembira, bukan berduka akibat nahas. Kami berharap semua penunggang motosikal sentiasa mementingkan keselamatan setiap kali berada di jalan raya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Lepas geram!

Posted: 27 Jul 2013 07:36 AM PDT

Bangkok: Seluruh Thailand terkejut dan malu dengan adegan dipaparkan Youtube menunjukkan pemain badminton, Bodin Issara mengejar dan menyerang bekas gandingan beregu, Maneepong Jongjit di depan penonton pada Terbuka Kanada di Richmond Olympic Oval, Vancouver itu.

Final beregu lelaki Terbuka Kanada bertukar menjadi satu daripada insiden paling ganas pernah dilihat di sirkit badminton antarabangsa dan berakhir dengan Bodin menerima dua jahitan di telinga kanan manakala Maneepong turut mengalami luka.


Paparan di Youtube menunjukkan Bodin bertengkar dengan Maneepong ketika bertukar gelanggang selepas set pertama yang dimenangi Maneepong dan Nipitphon Puangpuapech. Bodin kemudian memulakan serangan tetapi telinganya terkena raket Maneepong ketika cuba melarikan diri.

Bodin yang luka di telinga kemudian menyerang Maneepong dan mula menumbuk serta menendang rakannya yang terbaring di gelanggang.


Insiden itu lebih mengejutkan apabila kedua-dua pemain pernah menjadi teman rapat dan tahun lalu mereka digelar harapan masa depan Thailand dalam acara beregu.


Tahun lalu, Bodin dan Maneepong menawan hati peminat badminton negara itu hasil persembahan di Sukan Olimpik London. Mereka meninggalkan Bangkok sebagai pemain kurang dikenali tetapi tiba-tiba meraih reputasi peringkat global dengan kemenangan 21-5, 21-14 ke atas beregu nombor empat dunia, Hyun Ko-sung dan Seong Yoo-yeon dari Korea Selatan di peringkat kumpulan.

Mereka kemudian tewas di suku akhir tetapi menerima sambutan wira sebaik kembali ke tanah air. Selaku beregu, mereka juga mencapai ranking tertinggi apabila menduduki nombor tujuh dunia.


Ikatan mereka begitu kuat apabila menjuarai Terbuka Vietnam Ogos lalu, gelaran kedua mereka musim ini selepas Terbuka Sunrise di India, April lalu.

Begitupun, akhir tahun lalu, Bodin yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan dikatakan memerlukan pendapatan tambahan untuk menyara keluarganya. Dia membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Thailand (BAT) dan mendapatkan penaja sendiri.


Yakin Maneepong akan mengikutinya, Bodin bagaimanapun kecewa apabila mengetahui gandingannya itu enggan meninggalkan BAT.


Ia bermakna berakhirnya persahabatan mereka di gelanggang dan Bodin berpasangan dengan Pakkawat Vilailak manakala Maneepong bergandingan dengan Nipitphon. Bermula dari situlah hubungan dingin di antara bekas rakan sepasukan itu semakin ketara.


Maneepong yang menerima sokongan BAT dihantar menyertai lebih banyak acara antarabangsa manakala Bodin dan rakan barunya kurang beraksi di peringkat antarabangsa, menjadikan mereka tidak lagi bertegur sapa. Di luar gelanggang mereka mengelak berjalan bersama atau berkumpul dengan kumpulan yang sama.


Semua itu berubah Ahad lalu, apabila mereka terpaksa berdepan antara satu sama lain. Tekanan yang memuncak hasil persaingan sengit itu akhirnya mencetuskan insiden malang berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Dunk jadi igauan

Posted: 27 Jul 2013 07:35 AM PDT

Filipina: Selepas berhujan dan berpanas selama tiga hari demi minat mendalam terhadap bintang sukan bola keranjang, LeBron James, lebih 15,000 individu di Filipina akhirnya lega dan puas hati sebaik melihat pemain Miami Heat itu muncul di depan mata mereka.

Kehadiran James disambut letupan bunga api serta sorakan MVP (pemain paling bernilai) dan sorakan terhadapnya semakin menggila sebaik melihatnya melompat untuk menghasilkan jaringan dunk sepanjang mengadakan klinik bola keranjang selama sejam, Selasa lalu.


"Memang sukar dipercayai," kata James ketika menerima sanjungan sehebat itu sebelum bersama pasukan bola keranjang kebangsaan Filipina dan beberapa pemain pilihan Liga Manila.

Ahli perniagaan Manila, Franco Miguel, 32, berkata dia dan seorang rakan bergilir-gilir beratur di luar kedai pakaian sukan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu yang mengumumkan mereka memberi tiket percuma untuk ke klinik itu.


"Melihat LeBron James, oh Tuhan! Biarpun saya beratur selama dua hari, melihatnya di depan mata walaupun untuk seketika satu pengalaman yang amat hebat," kata Miguel.


Bola keranjang sukan nombor satu di Filipina dan bekas negara jajahan AS itu lebih menyanjungi bola keranjang berbanding sukan lain.

Kunjungan itu yang menjadi sebahagian jelajah Asia berlangsung selepas James membantu Heat mempertahankan kejuaraan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA).


Seorang kerani, Ian Castillo hadir ke klinik itu bersama anaknya berusia lapan tahun, sanggup mengambil cuti selama seminggu demi beratur mendapatkan tiket.

"Saya dan rakan beratur tiga hari. Kami mengadakan sistem giliran supaya yang lain boleh pulang dan tidur beberapa jam," kata Castillo.


Media tempatan minggu lalu turut menyiarkan gambar muka depan menunjukkan ribuan peminat beratur di depan kedai di sebuah pusat beli belah Manila dan ada yang tidur di dalam khemah.


Media melaporkan mereka sanggup berhujan, berpanas dan keletihan apabila beratur tiga hari sebelum tiket diberikan. Jurucakap tempatan Nike yang menaja kunjungan James berkata, pihaknya memberikan 15,000 tiket percuma.


Bagaimanapun, ada tiket dilelong dalam talian hingga mencapai harga 10,000 peso (RM740) setiap satu atau sama nilai dengan tiga hari gaji harian minimum di negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Minat buka kedai makan

Posted: 27 Jul 2013 07:33 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain hoki kebangsaan, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin ingin menjadi ahli perniagaan berjaya andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang...

Jawapan (J): Saya ingin membuka rangkaian restoran makan.

S: Menarik. Restoran makanan apa?

J: Lebih ke arah makanan barat seperti steak dan chicken chop.

S:Mengapa memilih dunia perniagaan?

J: Bagi saya dunia perniagaan ini amat mencabar.

S:Mungkin anda ada menerima dorongan dari sesiapa?

J: Kebetulan pula saudara mara saya sememangnya ramai yang mempunyai perniagaan sendiri. Namun, mereka membukanya di tempat asal saya, Pulau Pinang.

S: Diandaikan impian ini akan direalisasikan kelak?

J: Ya, membuka rangkaian restoran makanan sememangnya cita-cita dan misi saya.

S: Jika direalisasikan kelak, anda akan memulakannya di mana? dari sudut lokasi.

J: Saya akan membuka di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang terlebih dulu dan dari situ akan lihat potensi perniagaan di tempat lain.

S: Selain dari hoki anda ada meminati sukan lain?

J: Ada. Saya minat sukan bola sepak dan motor berkuasa tinggi.

S: Jadi mungkin anda ada idola dalam sukan bola sepak?

J: Saya meminati pasukan Brazil dan mengagumi Ronaldo.

S: Dalam arena pemotoran pula?

J: Jika sukan motor, saya meminati Valentino Rossi.

S: Mungkin anda ada motor idaman memandangkan anda meminati motor?

J: Motor R6 Yamaha sentiasa menjadi pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Agnieszka mara mudah ke separuh akhir

Posted: 27 Jul 2013 07:29 AM PDT

Stanford, California: Pilihan utama, Agnieszka Radwanska menundukkan pemain Amerika Syarikat, Varvara Lepchenko 7-6 (7/2), 3-6, 6-3 untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan WTA Bank of West Classic.

Agnieszka yang menduduki tangga keempat dunia dan sedang memburu gelaran ketiganya tahun ini selepas menang di Auckland dan Sydney, terpaksa berhempas pulas selama dua jam 14 minit sebelum menundukkan pemain yang menduduki ranking ke-40 dunia itu.


Selepas Varvara memenangi set kedua untuk menyamakan kedudukan, kedua-duanya saling bertukar mata penamat pada dua perlawanan pertama di set ketiga. Varvara dilihat mempunyai kelebihan apabila mengatasi Agnieszka 3-2 tetapi pemain kelahiran Poland itu menang semua empat perlawanan berikutnya.

Lawan Agnieszka selepas ini ialah pemain Amerika Syarikat, Jamie Hampton yang menang 6-4, 6-3 ke atas pemain Russia, Vera Dushevina.


Pilihan ketiga dari Slovakia, Dominika Cibulkova menewaskan pilihan ketujuh, Urszula Radwanska - adik Agnieszka - 7-5, 6-3 untuk menempah tiket ke separuh akhir dan akan bertemu pemain Romania, Sorana Cirstea.


Sorana layak ke kelompok empat terakhir itu selepas menewaskan Olga Govortsova dari Belarus, 6-3, 6-2.

Dominika mendahului 5-1 pada set pertama sebelum menang dengan catatan straight-set ke atas Urszula.


"Saya berjaya kerana bermain agak agresif," katanya. "Lawan saya bijak mengambil kesempatan di atas kesilapan lawannya dan saya berjaya mengelak daripada melakukan kesilapan mudah sekali gus menyukarkannya untuk menewaskan saya.

"Memang dia cuba bangkit tetapi mujur saya berjaya memadamkan semangat juangnya. Saya kembali beraksi baik dan menang. Pada set kedua, saya lebih banyak menyerang dan dia tidak lagi dapat mengagak arah permainan saya." Dominika menang dua daripada tiga pertemuannya dengan Sorana sebelum ini tetapi pemain Romania itu menang pada kali terakhir mereka bertemu di suku akhir kejohanan sama, tahun lalu.


"Dia memang gemarkan permukaan gelanggang keras kerana dia mempunyai servis yang laju dan mampu mengembalikan pukulan dengan bijak. Saya perlu bersedia untuk berdepan dengan pemain sepertinya," kata Cibulkova. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Mahan pendahulu hari kedua

Posted: 27 Jul 2013 07:28 AM PDT

Oakville, Kanada: Hunter Mahan mencatat lapan di bawah par par 64 untuk menduduki tangga teratas senarai pendahulu dengan kelebihan dua pukulan mengatasi John Merrick selepas hari kedua Kejohanan Terbuka Kanada yang turut disenaraikan di dalam Jelajah AS PGA.

Lapan birdie yang dilakar Mahan pada hari kedua, kelmarin sudah cukup untuk merampas kedudukan pendahulu yang sebelum itu dimiliki Merrick yang berjaya menyamai catatan rekod lapangan di Glen Abbey menerusi 10 di bawah par 62 apabila melakukan satu eagle dan lapan birdie.


Mahan mengumpul 13 di bawah 131 diikuti Merrick dengan 11 di bawah 133. Juara Kejohanan Masters, Bubba Watson (67) menduduki tangga ketiga diikuti Patrick Reed (68) dan Aaron Baddeley (68).

Mahan yang bermain dalam kumpulan terakhir pada Terbuka British, minggu lalu dan menamatkan aksi di tangga kesembilan di kejohanan berkenaan, membenam birdie di tiga lubang terakhir untuk mengatasi Merrick.


Mahan turut cemerlang di sembilang lubang kedua apabila membenam birdie di lubang kedua, ketiga, keempat, ke-11 dan ke-13.


"Saya masih lagi merasakan semangat Terbuka British," kata Mahan. "Pukulan saya bertambah baik dan semuanya berlaku dengan cukup sempurna. Saya merasakan permainan saya meningkat secara mendadak.

"Saya sedang menikmati permainan saya dan saya tahu, dalam keadaan ini saya perlu membiarkan semua ini berlaku kerana ia adalah baik." Catatan Merrick di pusingan kedua kelmarin menyamai rekod lapangan yang dilakar Leonard Thompson pada 1981 serta catatan yang dibuat Andy Bean pada 1983 serta Greg Norman pada 1986.


Tetapi dia pantas mengakui semua catatan itu tidak dapat dibanggakan apabila gagal meneruskan penguasaan.

"Pukulan dan permainan saya sedikit terganggu. Saya tidak selesa dengan keadaan itu," kata Merrick. "Mungkin saya perlu menumpukan lebih perhatian dan mencari apakah sebabnya ia boleh berlaku." Merrick yang memenangi gelaran Jelajah AS PGA pertamanya menerusi play-off di Kejohanan Terbuka Northern Trust di Los Angeles, Februari lalu, memulakan aksinya dengan catatan eagle di lubang kedua. Dia menambah dua lagi birdie secara berturut-turut di lubang ketujuh dan kelapan selain enam lagi mencatat birdie di sembilan lubang kedua.


"Ia hari yang hebat buat saya," kata Merrick. "Saya bermula dengan baik selain dapat mencatat eagle." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

No comments:

Post a Comment