Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Putera William, Catherine dapat anak lelaki

Posted: 23 Jul 2013 03:18 AM PDT

LONDON: Isteri Putera William, Catherine selamat melahirkan anak lelaki di hospital St Mary's, di sini, awal pagi tadi.

Anak sulung pasangan ini dilahirkan pada jam 4.24 petang (waktu tempatan) dengan berat 3.8 kilogram.

Putera William berada di sisi isterinya ketika dia melahirkan anak pertama mereka.

"Ibu dan anak selamat dan akan bermalam di hospital," menurut keyataan Kensington Palace. - AP

Foto

Paparan muka depan beberapa akhbar di Britain. FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Kate hanya menanti masa

Posted: 22 Jul 2013 02:57 PM PDT

London: Duchess of Cambridge, Kate Middleton dilaporkan sudah mengalami kesakitan untuk bersalin dan dimasukkan ke hospital kira-kira jam 5.30 pagi semalam (1.30 tengah hari waktu Malaysia) untuk melahirkan bakal raja atau ratu Britain.

Putera William turut menemani isterinya ke Lindo Wing, Hospital St Mary di Paddington, barat London, tempat yang sama beliau dilahirkan pada 1982.


Sementara itu, di luar wad dan pagar Istana Buckingham, tempat kelahiran itu bakal diumumkan secara rasmi, orang ramai yang teruja berhimpun pada hari yang dianggap sebagai paling sensasi tahun ini.

"Duchess of Cambridge sudah dimasukkan ke hospital pagi ini di Hospital St Mary, Paddington, London pada peringkat awal proses bersalin," kata jurucakap diraja.


"Duchess menaiki kereta dari Istana Kesington ke Lindo Wing bersama Duke Of Cambridge." Kate dan William yang menghabiskan hujung minggu di Istana Kensington menuju ke hospital tanpa diiringi polis dan memasuki hospital melalui pintu belakang. Sumber memberitahu media bahawa Kate mahu bersalin secara semula jadi dan tidak mahu disuntik bius sambil menambah bakal ibu itu dalam keadaan baik.


Sementara itu, Ratu Elizabeth di Istana Windsor sudah dimaklumkan mengenai keadaan Kate. Beliau dijangka pulang ke istana Buckingham dan pancaragam Pertukaran Pengawal di istana itu memainkan "Walking on Sunshine" untuk menghiburkan orang ramai yang berhimpun di luar istana.

Foto

KATE, kali terakhir dilihat di tempat awam Jun lalu.

Foto

MEDIA dari seluruh dunia berkumpul di luar hospital, menanti kelahiran bayi diraja.

Bapa William, Putera Charles yang dalam lawatan dua hari ke Yorkshire memberitahu orang ramai pagi ini bahawa belum ada berita lagi dari Hospital St Mary.


Perdana Menteri David Cameron berkata, semalam adalah hari yang sangat menarik dan seluruh negara mengharapkan yang terbaik. Archbishop of Canterbury, Rev Justin Welby menulis di Twitter: "Ingatan dan doa saya bersama Kate dan seluruh keluarga diraja pada hari yang amat istimewa ini".

Terdapat sebilangan besar anggota polis di sekitar kawasan hospital dan dua pegawai polis turut mengawal pintu masuk ke Lindo Wing. Pakar percaya Kate akan mengambil masa setengah hari sebelum bersalin.


Pakar sakit puan, Patrick O'Brien berkata, tempoh purata sakit bersalin untuk bakal ibu yang melahirkan anak kali pertama ialah 12 jam.


Ini memungkinkan bayi diraja itu dilahirkan lewat petang atau awal malam (waktu London). Anak pasangan itu bakalmenjadi pewaris ketiga, mengambil tempat Putera Harry yang bakal menjadi pewaris keempat dan Duke of York sebagai pewaris kelima.


Berikutan perubahan dalam undang-undang baru-baru ini, bayi itu juga akan membawa gelaran HRH (Yang Teramat Mulia) dan diberikan gelaran Prince atau Princess of Cambridge. Jika perempuan, suatu hari kelak dia akan menjadi ratu dan jika lelaki dia ialah bakal raja. Dia juga akan menjadi ketua angkatan tentera, gabenor tertinggi Gereja England dan ketua Commonwealth, yang terdiri daripada 54 negara di seluruh dunia, selain turut menjadi ketua kepada 16 negara.


Anggota polis yang melindungi pasangan diraja itu yang dilihat mengiringi mereka masuk ke hospital dengan selamat juga bakal menjadi antara orang pertama mengetahui jantina bayi diraja pasangan berkenaan.


Sementara itu, pihak hospital menyediakan bantuan, nasihat dan sokongan logistik, selain daripada pembantu setia pasangan diraja itu - Miguel Head, setiausaha peribadi William dan temannya Rebecca Deacon yang bertugas sebagai setiausaha peribadi kepada Kate.


Kedua-duanya sangat rapat dengan pasangan itu bagaikan anggota keluarga diraja.


Dua daripada pasukan kecil media pasangan itu Setiausaha Akhbar Ed Perkins dan pembantunya, Nick Loughran juga sudah berada di hospital, berulang-alik antara Lindo Wing di hospital itu dengan tempat beratus-ratus jurugambar, wartawan dan kru kamera berkumpul di luar.


Pengawal peribadi pasangan itu dari Scotland Yard juga tidak ketinggalan. Malah, anggota polis yang melindungi pasangan diraja itu yang dilihat mengiringi mereka masuk ke hospital dengan selamat juga bakal menjadi antara orang pertama mengetahui jantina bayi diraja pasangan itu.


Pegawai istana memilih untuk membuat pengumuman bahawa Kate mengalami sakit bersalin kepada khalayak ramai dalam usaha untuk mengimbangi 'maruahnya' berikutan sukar untuk merahsiakan ketibaan bayi itu daripada media sosial. Bayi William dan Kate akan menjadi cicit ketiga Ratu Elizabeth. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

75 korban gempa di China

Posted: 22 Jul 2013 02:48 PM PDT

Beijing: Sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh apabila gempa bumi yang kuat melanda kawasan pertanian berbukit dan kering di barat China, semalam.

Pihak berkuasa tempatan berkata, lebih 400 cedera dalam bencana itu yang turut memusnahkan beribu-ribu rumah di bandar raya Dingxi, wilayah Gansu.


Gegaran dapat dirasakan di ibu negeri wilayah itu, Lanzhuo, kira-kira 177 kilometer ke utara dan hingga sejauh Xi'an, 400 kilometer ke timur.

"Anda boleh lihat lampu berhayun dan tingkap bergegar, tetapi tiada rekahan di dinding. "Pembantu kedai semua bertempiaran keluar ke jalan raya apabila gegaran berlaku," kata kerani di Hotel Wuyang di daerah Zhang, kira-kira 40 kilometer dari pusat gempa.


Pusat pemantauan gempa kerajaan berkata, gempa awal berlaku pada 7.45 pagi (waktu tempatan), berukuran 6.6 magnitud dan beberapa gempa susulan termasuk yang berukuran 5.6 magnitud.


Badan Kajiselidik Geologi Amerika Syarikat menyatakan gempa itu berukuran 5.9 magnitud dengan kedalaman 10 kilometer. Kematian dan kecederaan berlaku di daerah Min dan kawasan luar bandar di selatan, kata Datuk Bandar Dingxi, Tang Xiaoming kepada stesen penyiaran CCTV. Menurutnya, kerosakan teruk dikesan di Zhang dan Min, di mana kediaman rosak dan bekalan elektrik serta khidmat telefon terputus. Ketua pasukan penyelamat Su Wei berkata, usaha menyelamat sukar dijalankan kerana lumpur dan bongkah batu menghalang jalan raya.

Persatuan Palang Merah China berkata, pihaknya menghantar 200 khemah, 1,000 peralatan rumah dan 2,000 jaket ke kawasan terjejas, selain menghantar petugas dari Lanzhuo dan Beijing bagi membantu kerja menyelamat. Hujan lebat dijangka melanda kawasan itu minggu ini, meningkatkan keperluan perlindungan dan ancaman tanah runtuh.


Lebih 1,200 kediaman musnah akibat gempa dan 21,000 lagi rosak teruk, kata jurucakap kerajaan Chang Zhengguo kepada agensi berita rasmi Xinhua. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

RM5.6j untuk bebas amah

Posted: 22 Jul 2013 02:43 PM PDT

Jakarta: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dihukum mati kerana membunuh majikannya di Arab Saudi mungkin terselamat apabila kerajaan membayar wang darah AS$1.87 juta (RM5.94 juta) kepada keluarga mangsa.

"Peguam kami dan keluarga mangsa sudah berbincang mengenai 'diyah' (ganti rugi dalam bentuk wang) dan keputusan akan diketahui Ogos ini," kata Ketua Agensi Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Jumhur Hidayat.


Pembantu rumah, Satinah Binti Jumadi Ahmad dari Ungaran, Jawa Tengah berdepan dengan hukuman mati kerana membunuh majikannya, Nura al-Garib dan melarikan diri bersama wang tunai milik mangsa berjumlah AS$10,000 (RM31,805) pada 2007.

Satinah mengaku membunuh Nura tetapi mendakwa ia kemalangan. Dia mendakwa Nura cuba menghentak kepalanya pada dinding tetapi dia sempat mencucuk leher mangsa dengan benda tajam.


Menurutnya, dia hanya cuba mempertahankan diri. Satinah juga mendakwa dia didera dan dicaci selama beberapa bulan oleh Nura.


Kedutaan Indonesia di Riyadh berusaha mendapatkan pengampunan Satinah sejak 2007, termasuk berbincang dengan keluarga mangsa mengenai pembayaran wang darah.

Raja Arab Saudi, Abdullah bersetuju menangguhkan hukuman mati Satinah pada 2010 untuk membolehkan kerajaan Indonesia mendapatkan pengampunan daripada keluarga mangsa. Keluarga itu dilapor menuntut sebanyak AS$2.67 juta (RM8.49 juta) pada 2011.


"Persertujuan hampir tercapai. Kita melaksanakan segala yang terdaya untuk menyelamatkan Satinah," kata Jumhur.

1.5 juta warga Indonesia bekerja di Arab Saudi, kebanyakan sebagai buruh dan pembantu rumah.


Sehingga 2012, terdapat 45 di kalangan mereka menanti hukuman mati di negara itu.


Pada 18 Jun 2011, seorang pembantu rumah, Ruyati, dipenggal kerana membunuh majikannya, menyebabkan kerajaan Indonesia menghentikan buat sementara penghantaran pembantu rumah ke Arab Saudi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Gunung Merapi hambur asap, debu

Posted: 22 Jul 2013 02:40 PM PDT

Yogyakarta: Gunung berapi paling aktif Indonesia semalam menghamburkan asap dan debu, memaksa beratus-ratus penduduk meninggalkan kediaman mereka di lereng gunung berkenaan.

Jurucakap Agensi Bencana Sutopo Purwo Nugroho. berkata Gunung Merapi yang terletak di Jawa Tengah memuntahkan asap dan debu ketika hujan lebat membasahi kawahnya yang ditutupi awan.

Gunung itu menghamburkan bahan volkanik merah gelap setinggi 1,000 meter ke udara dan debu menyebabkan suasana hujan menjadi kelam dan berlumpur di beberapa perkampungan ketika penduduk menyelamatkan diri.

Menurut Sutopo, gunung berkenaan mengeluarkan bunyi seolah-olah ia akan meletup kedengaran hingga 30 kilometer jauhnya tetapi letupan tidak berlaku dan amaran kecemasan juga tidak dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

2 militan ditembak mati

Posted: 22 Jul 2013 02:39 PM PDT

Surabaya: Polis menembak mati dua suspek pengganas yang bersenjatakan bom buatan sendiri semalam.

Ketua unit antikeganasan Ansyaad Mbai berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki dalam kejadian itu.


"Mereka adalah sebahagian kumpulan pelampau Islam dan ditembak mati oleh unit Densus 88 yang melakukan serbuan di sebuah bandar di Jawa Timur. "Keempat-empat suspek memang menjadi buruan unit berkenaan berhubung cubaan melancarkan pengeboman berani mati dan satu kes membiayai aktiviti militan," kata Ansyaad.

Jurucakap polis kebangsaan Boy Rafli Amar berkata, skuad antikeganasan itu menyerang hendap lelaki berkenaan ketika mereka menanti pengangkutan awam di daerah Tulungagung. Seorang yang terbunuh itu yang dikenal pasti sebagai Dayah, mengeluarkan senjata dan mula menembak polis. "Ia menyebabkan tembak-menembak tercetus. Dua suspek mati dan dua lagi menyerah diri," kata Boy.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

63 juta masih buang air besar merata-rata

Posted: 22 Jul 2013 02:33 PM PDT

Jakarta: Seramai 63 juta penduduk Indonesia didapati masih membuang air besar di merata tempat, termasuk di sungai, laut dan darat kerana tidak mempunyai tandas sempurna.

"Kurang daripada 100 juta penduduk negara ini belum memiliki tandas sempurna dan 63 juta dikesan masih membuang air besar di merata tempat," kata Naning Adiwoso dari Persatuan Tandas Indonesia, semalam.


Menurutnya, setakat ini, 55 peratus penduduk di negara itu memiliki kemudahan tandas yang sempurna. Tandas awam di lapangan terbang, pusat beli-belah dan stesen minyak juga kebanyakannya didapati belum mencapai standard bersih yang sempurna.

"Keadaan ini mendorong kepada jangkitan pelbagai penyakit," katanya.


Persatuan berkenaan bersama Organisasi Tandas Sedunia (WTO) bakal mengadakan persidangan Tandas Sedunia di Solo, Jawa Tengah pada 2 hingga 4 Oktober depan.


Perwakilan dari negara anggota dijangka hadir dalam persidangan yang mendapat sokongan kerajaan itu. - Antara

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Parlimen gesa tindakan ke atas FPI

Posted: 22 Jul 2013 02:32 PM PDT

Jakarta: Anggota Parlimen semalam menggesa kerajaan bertindak terhadap kumpulan Front Pembela Islam (FPI) berikutan pertempuran dengan penduduk kampung Sukorejo, Kedal, di Jawa Tengah yang meragut nyawa seorang wanita.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil langkah mengelak kejadian buruk berlaku.


"FPI melanggar undang-undang pertubuhan massa dengan melakukan keganasan.

"Kerajaan perlu menggantung pertubuhan itu," kata Abdul Malik Haramain, pengerusi jawatankuasa khas yang bertanggungjawab membahaskan Undang-Undang Organisasi Massa di Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

No comments:

Post a Comment