Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Hantu' terperap dalam tembok

Posted: 17 Jul 2013 09:10 AM PDT

Beijing: Seorang wanita di timur China yang ingin melalui jalan pintas untuk pulang ke rumah terperangkap dalam sebuah tembok selama tujuh jam kerana penduduk menyangkanya hantu.

Jalan susur itu bagaimanapun menjadi sangat sempit menyebabkan dia tersepit di dalamnya, lapor televisyen kerajaan CCTV.


Disebabkan jalan untuk berpatah balik terlalu jauh, wanita dari wilayah Anhui, China itu memilih laluan itu sebelum terperangkap dalam tembok konkrit berkenaan.

Jeritannya tidak membantu kerana penduduk menyangka ia suara hantu.


Akhirnya, seorang penduduk yang melalui kawasan itu menyedari bahawa jeritannya itu benar-benar suara manusia sebelum menghulurkan bantuan.


Dalam rakaman video, anggota bomba dilihat memecahkan bahagian dalam tembok konkrit itu bagi mengeluarkan wanita berkenaan. Menurut laporan media tempatan, operasi menyelamat itu mengambil masa kira-kira 20 minit. - Agensi

Foto

GAMBAR mengikut turutan menunjukkan bagaimana anggota bomba berusaha mengeluarkan wanita yang terperangkap dalam sebuah tembok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Bintang Glee mati akibat heroin, alkohol

Posted: 17 Jul 2013 08:48 AM PDT

Montreal: Cory Monteith, bintang Kanada dalam siri muzikal televisyen popular Glee maut akibat mengambil heroin dan alkohol secara berlebihan, kata pejabat koroner British Columbia kelmarin.

Monteith, 31, yang berusaha mengatasi masalah ketagihan dadah sejak dulu dan turut memasuki pusat pemulihan April lalu ditemui mati Sabtu lalu di bilik hotel di Vancouver. "Tiada bukti menunjukkan kematiannya disebabkan faktor lain kecuali kemalangan tragik yang menyedihkan ini," kata pakar koroner Barbara McLintock dalam satu kenyataan dimuat turun di YouTube. "Punca kematian disebabkan paduan toksik dadah membabitkan heroin dan alkohol," katanya.


Barbara berkata, bedah siasat masih berjalan dan tiada kenyataan lanjut akan dibuat hingga ia selesai.

Polis percaya Monteith bersendirian ketika dia mengambil heroin dan ketika dia meninggal dunia.


Monteith berlakon dalam Glee sebagai Finn Hudson, bintang bola sepak sekolah tinggi yang menyertai sekumpulan pelajar dalam kelab Glee. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Jadi lelaki paling kaya di dunia seketika

Posted: 17 Jul 2013 08:47 AM PDT

Pittsburg: Sebagai pelanggan tetap PayPal, Chris Reynolds membelanjakan tidak lebih AS$100 (RM318) sebulan.

Jadi apabila lelaki berusia 56 tahun itu memeriksa baki dalam akaun syarikat pemindahan wang dalam talian itu baru-baru ini, ia cukup mengejutkan baginya apabila diberitahu dia adalah 'quadrillionaire', orang terkaya di dunia.


Reynolds dari daerah Delaware membuka kenyataan bulanannya melalui e-mel pada Jumaat sebelum mendapat tahu baki dalam akaunnya melonjak kepada AS$92,233,720,368,547,800.

Bercakap kepada New York Daily News, Reynolds berkata, dia terkejut dengan angka itu.


"Saya rasa seperti bilionair segera kerana mulanya, saya sangka saya memiliki quadrillion," katanya. Reynolds menggunakan PayPal selama 10 tahun untuk menjual dan membeli barangan di eBay termasuk alat ganti kereta vintaj. Selepas reda daripada kejutan, dia mendaftar masuk dalam laman web PayPal dan melihat bakinya kosong.


Tetapi itu tidak membuatkan dia daripada terus berangan untuk membelanjakan wang itu. Reynolds yang memiliki firma perhubungan awam bersama isterinya berkata, dia pasti akan membayar hutang Amerika Syarikat dengan kekayaan sebanyak itu. "Saya lelaki yang bertanggungjawab. Mula-mula saya akan membayar hutang negara." Dia juga berangan membeli pasukan besbol Philadelphia Phillies. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

12 banduan lolos penjara

Posted: 17 Jul 2013 08:45 AM PDT

Batam: Polis Indonesia semalam melancarkan gerakan memburu besar-besaran untuk menangkap semula 12 banduan yang melarikan diri dari penjara di pulau ini, kejadian kedua seumpamanya di Indonesia dalam masa kurang seminggu.

Kejadian semalam berlaku awal pagi apabila 12 tahanan, semuanya menanti perbicaraan berkait dengan kes dadah, memukul dua pengawal dan seorang tukang cuci sebelum melarikan diri dari penjara, kata Ketua Polis Batam Brigadier Jeneral Endjang Sudrajat.

Menurutnya, kumpulan itu memukul tukang cuci terbabit dan seorang warden dengan besi katil. Mereka kemudian menyerang seorang lagi warden sebelum memecahkan tingkap bilik pengawal untuk melarikan diri.

Gerakan besar-besaran yang dilancarkan di seluruh pulau berkenaan membolehkan polis menawan seorang tahanan. Penjara itu yang mempunyai kapasiti untuk 250 orang tetapi memuatkan lebih 400 banduan.


Khamis lalu 212 banduan, termasuk sembilan pengganas, melarikan diri dari sebuah penjara di Medan, Sumatera selepas merusuh. Sehingga semalam 103 daripada mereka sudah ditangkap semula atau menyerah diri.


Rusuhan itu itu turut menyebabkan lima orang mati.

"Kami akan menyiasat sama ada kejadian di Medan mendorong tahanan di sini untuk melarikan diri," kata Endjang.

Rusuhan di Medan dipercayai berpunca daripada ketiadaan bekalan air sepanjang hari di penjara yang menempatkan lebih 2,600 tahanan, hampir tiga kali ganda daripada kapasiti asalnya, 1054 orang.

Polis masih menjejaki baki 109 tahanan, termasuk empat orang yang didapati bersalah atas tuduhan keganasan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

30 cedera kereta api tergelincir

Posted: 17 Jul 2013 08:45 AM PDT

Bangkok: Sekurang-kurangnya 30 penumpang, kebanyakannya pelancong asing cedera apabila kereta api yang mereka naiki tergelincir dari landasan di kawasan pergunungan di utara Thailand.

Ia kejadian kedua seumpamanya di laluan yang sama bulan ini.


Gabenor Agensi Kereta Api Thai, Prapas Jongsanguan berkata, kereta api yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Chiang Mai itu tergelincir di wilayah Phrae, menyebabkan tujuh daripada 10 gerabaknya terbalik.

Pihak berkuasa kereta api percaya kemalangan berpunca daripada landasan lama yang sepatutnya sudah diganti.


Menurut Prapas, seorang penumpang cedera parah sementara yang cedera ringan disediakan pengangkutan untuk membawa mereka ke destinasi masing-masing secara percuma. Sebuah kereta api dalam perjalanan ke Bangkok dari Chiang Mai, tergelincir awal bulan ini di kawasan sama, tetapi tiada yang cedera.


Kereta api Bangkok-Chiang Mai amat popular di kalangan pelancong asing. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Letupan bom tak gugat gencatan senjata

Posted: 17 Jul 2013 08:44 AM PDT

Yala: Seorang renjer separa tentera Thai cedera ringan akibat letupan bom di daerah Bannang Sata, Yala semalam.

Kejadian berlaku ketika Thop Chaipol, 31, meronda bersama rakan sepasukannya mengawal keselamatan guru berulang-alik ke sekolah di daerah berkenaan.


Thop hanya cedera di kaki kanannya.

Ia keganasan pertama selepas Majlis Keselamatan Kebangsaan Thai (NSC) dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengumumkan persetujuan mewujudkan keamanan di selatan Thai selama 40 hari dengan mengisytihar Ramadan sebagai bulan bebas keganasan.


Menteri Kehakiman Pracha Promnok berkata, serangan semalam adalah kerja kumpulan serpihan pemisah, bukan BRN.


"Kejadian itu tidak boleh dibiarkan menjejaskan gencatan senjata. Kita dan BRN komited terhadap gencatan senjata Ramadan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama kumpulan berkenaan bagi mengelak ia menjadi lebih bongkak dan ganas. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Golkar, PDI-P pilihan rakyat Indonesia

Posted: 17 Jul 2013 08:44 AM PDT

Jakarta: Parti Golkar dan Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) menduduki tempat pertama dan kedua jika pilihan raya umum diadakan semalam.

Demikian menurut kajian yang dilakukan Lembaga Survei Nasional (LSN).


Hasil kajian menunjukkan Golkar meraih 19.7 peratus undi dan PDI-P 18.3 peratus.

"Kedua-dua parti itu dilihat rakyat Indonesia sebagai jarang terbabit dalam rasuah," kata penyelidik LSN, Dipa Pradipta ketika mengumumkan hasil kajian itu di Jakarta, semalam.


Menurutnya, selain dipandang bersih, jentera politik Golkar dan PDI-P juga bekerja dengan baik. Tempat ketiga ialah Parti Gerindra (13.9 peratus), Hanura (6.9 peratus) dan Parti Demokrat yang diketuai Presiden Susilo (6.1 peratus). Kajian dilakukan dari 1 hingga 10 Mei lalu di 33 wilayah seluruh Indonesia, membabitkan 1,230 responden. - Lensa

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Hassan ketawakan ancaman Israel

Posted: 17 Jul 2013 08:43 AM PDT

Teheran: Bakal presiden baru Iran Hassan Rowhani menolak ancaman tindakan ketenteraan ke atas negaranya oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan berkata, amaran yang diberikan itu hanya membuat beliau ketawa.

"Apabila ada pihak (Amerika Syarikat dan Israel) berkata semua pilihan sudah disediakan untuk menyerang Iran, lebih-lebih lagi apabila sebuah negara serantau yang teruk (Israel) berkata demikian, ia hanya akan membuat anda ketawa," kata Hassan ketika berucap kepada veteran perang Iran-Iraq.


"Siapakah Zionis yang hendak mengancam kita," kata ulama berfahaman sederhana itu.

Beliau menegaskan, amaran tindak balas Iran berjaya mengubah fikiran Israel untuk melancarkan serangan udara ke atas Iran.


Ahad lalu, Netanyahu mengulangi ancaman untuk melancarkan serangan bersendirian sebagai usaha menyekat program nuklear Iran. Pemimpin Zionis itu turut menggambarkan Hassan sebagai 'serigala berbulu biri-biri' dan yang akan sentiasa 'tersenyum serta membina bom nuklear.' "Kami lebih dekat dengan Iran berbanding Amerika Syarikat. Kami lebih terdedah. Kerana itu, kami akan menangani masalah mengenai bagaimana menyekat Iran, mungkin sebelum Amerika berbuat demikian," kata Netanyahu.


Amerika Syarikat, Israel dan sekutu Barat mereka mendakwa Iran merancang menghasilkan bom atom menerusi program nuklearnya. Teheran bagaimanapun menegaskan program itu bertujuan untuk keamanan.

Hassan akan mengambil alih jawatan presiden daripada Mahmoud Ahmadinejad pada 3 Ogos depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Pemimpin parti Islam dihukum mati

Posted: 17 Jul 2013 08:42 AM PDT

Dhaka: Mahkamah Bangladesh semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap pemimpin kanan parti Islam yang terbesar di negara itu atas jenayah yang dilakukannya ketika perang menuntut kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971.

Ali Ahsan Mohammad Mujahid, 65, didapati bersalah atas lima pertuduhan termasuk penculikan dan membunuh.


"Dia dijatuhi hukuman mati dalam tiga daripada lima pertuduhan," kata Penolong Peguam Negara MK Rahman.

Hakim Obaidul Hassan mengarahkan Ali Ahsan digantung hingga mati selepas panel tiga hakim membacakan keputusan di mahkamah yang penuh sesak di Dhaka.


Ali Ahsan menjawat jawatan kedua tertinggi parti Jamaat-e-Islami dan juga pemimpin berpengaruh dalam gabungan 18 parti pembangkang. Keputusan itu ialah yang kedua minggu ini oleh tribunal itu selepas bekas pemimpin Jamaat Ghulam Azam disabitkan Isnin lalu dan dijatuhkan hukuman penjara 90 tahun kerana menjadi dalang kekejaman ketika perang menuntut kemerdekaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Protes terbesar bantah kabinet baru

Posted: 17 Jul 2013 08:41 AM PDT

Kaherah: Penyokong Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi semalam menggesa tunjuk perasaan besar-besaran diadakan bagi membantah pembentukan kabinet baru sementara yang memulakan tugas mereka semalam.

Tentera yang menggulingkan presiden yang pertama dipilih menerusi pilihan raya bebas dua minggu lalu menuduh penyokong Mursi menghasut tunjuk perasaan bersenjata berhampiran pangkalan tentera dan cuba mengubah pertelingkahan politik menjadi sengketa agama.


Kabinet baru sementara itu yang mengangkat sumpah lewat malam kelmarin terdiri daripada 33 menteri, kebanyakan ahli teknokrat dan liberal. Tidak ada calon dari dua parti Islam utama yang memenangi lima pilihan raya yang diadakan revolusi 2011 yang menumbangkan kerajaan Hosni Mubarak.

Upacara mengangkat sumpah dilangsungkan di sebuah dewan beberapa jam selepas pertempuran di jalan raya antara penyokong Mursi dengan pasukan keselamatan yang meragut tujuh nyawa dan mencederakan lebih 260 orang, keganasan terburuk dalam masa seminggu.


Kebanyakan anggota baru Kabinet itu terdiri daripada mereka yang menyokong pembaharuan ekonomi seperti yang diarah oleh Tabung Matawang Antarabangsa sebagai ganti kepada pinjaman diberikannya.


Sementara itu, Mursi yang ditahan di lokasi yang tidak diketahui masih belum didakwa dengan sebarang tuduhan jenayah walaupun pihak berkuasa mengumumkan akan menyiasat beliau atas tuduhan mengintip, mencetuskan keganasan dan memporak-perandakan ekonomi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

No comments:

Post a Comment