Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Usah gentar jumpa Chelsea'

Posted: 18 Jul 2013 07:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain paling senior skuad negara Mohd Amri Yahyah mengingatkan rakan sepasukan terutamanya pemain baru tidak gentar mempamerkan corak permainan sebenar apabila menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea FC, Ahad ini.

"Jangan takut dan jaga maruah negara," itu peringatan pemain berusia 32 tahun itu yang tampil buat kali ketiga menentang kelab EPL seandainya diturunkan pengendali negara Datuk K Rajagobal menentang anak buah Jose Mourinho Malah ia bakal menjadi aksi kedua penyerang Selangor itu menentang Blues selepas turut berada dalam skuad kendalian Ong Kim Swee yang kecundang tipis 0-1 hasil sepakan percuma Didier Drogba pada aksi persahabatan dua tahun lalu.


"Kami perlu jaringkan gol kerana tanpanya, kita tidak boleh meraih kemenangan atau sesuatu yang positif. Paling penting kami perlu fokus sepenuhnya terhadap aksi 90 minit itu walaupun perlawanan berlangsung ketika Ramadan kerana ia bukan alasan untuk bermain sambil lewa," katanya, dilihat antara pemain yang menyerlah ketika skuad negara terikat tanpa jaringan menentang kelab Thailand, Chonburi FC beberapa hari lalu.

Chelsea membuka aksi persahabatan pra musim Jelajah Asia dengan menewaskan Singha All Star 1-0 di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, malam kelmarin menerusi jaringan penalti Romelu Lukaku selepas Wallace Dos Santos dijatuhkan pada minit ke-33.


Amri mempunyai sejarah unik ketika menentang kelab EPL apabila pernah meledak dua gol sewaktu menentang Manchester United pada aksi persahabatan 2009 namun skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan 2-3.


Sementara itu pemain sayap Kelantan, Norfarhan Muhammad nyata teruja walaupun tampil buat kali pertama menentang kelab EPL.

Foto

Mohd Amri Yahyah

"Andai diberikan peluang, saya akan bermain bersungguh-sungguh kerana saya yakin tidak mustahil untuk kami mencipta kejutan mencatatkan kemenangan," katanya yang mempamerkan aksi konsisten bersama Kelantan hingga membantu pasukan itu muncul juara Piala FA musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Panas melampau tak sesuai

Posted: 18 Jul 2013 07:34 AM PDT

Kitzbuehel, Austria: Presiden FIFA Sepp Blatter berkata, Piala Dunia 2022 patut dianjurkan pada musim sejuk kerana cuaca panas melampau di Qatar ketika musim panas.

Blatter mengaku beliau turut patut dipersalahkan kerana tidak mengambil kira masalah cuaca apabila menghadiahkan kejohanan itu kepada Qatar pada 2010.


"Piala Dunia adalah satu pesta buat semua. Namun untuk menjadikannya satu pesta, anda tidak boleh bermain bola sepak pada musim panas," kata Blatter.

"Anda boleh menurunkan suhu di stadium tapi tidak boleh menyejukkan satu negara dan anda tidak boleh mengurangkan kemeriahan Piala Dunia. Pemain mesti boleh beraksi dalam keadaan terbaik pada Piala Dunia." Blatter sebelum ini berkata, sebarang permintaan untuk mengubah tempoh penganjuran Piala Dunia 2022 harus datang daripada penganjur. Mac lalu beliau berkata, Piala Dunia adalah kejohanan "yang harus dilangsungkan pada Jun dan Julai".


"Kami perlu menjaga kepentingan rakan rasmi, penaja dan televisyen. Kami perlu tegas mengenai perkara ini. Kami masih ada masa. Saya akan memulakan perbincangan dalam jawatankuasa eksekutif Oktober ini," kata Blatter.


"Jawatankuasa eksekutif akan mengikut saranan saya. Kemudian kami akan menangani topik ini demi kebaikan semua." Ketua jawatankuasa penganjur Qatar Hassan Al-Thawadi yang memberitahu persidangan di Austria menerusi perbualan video berkata: "Jika komuniti bola sepak mahukan Piala Dunia pada musim sejuk, kami bersikap terbuka mengenainya." Perlawanan dijadual di stadium yang dilengkapi alat hawa dingin.

Mengubah Piala Dunia ke musim sejuk mungkin memberi kesan di Eropah. Kebanyakan liga di luar Britain mempunyai rehat musim sejuk namun mereka memerlukan sekurang-kurangnya rehat enam minggu untuk menyediakan pasukan kebangsaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Olimpia bawa bekal selesa

Posted: 18 Jul 2013 07:34 AM PDT

Asuncion: Olimpia menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan untuk mengukuhkan peluang menjuarai Piala Libertadores buat kali keempat dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan akhir pertama menentang Atletico Mineiro, semalam.

Pertahanan tengah, Alejandro Silva meletakkan kelab Paraguay itu di depan pada minit ke-22 dengan rembatan dari penjuru kotak penalti sebelum pemain tengah, Wilson Pittoni menggembirakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua pada minit ketiga masa kecederaan.


Pertahanan Atletico, Richarlyson terlepas aksi final kedua Khamis depan di Belo Horizonte selepas dibuang padang kerana kad kuning kedua pada minit ke-89 namun kekecewaan besar buat pelawat adalah persembahan Ronaldinho.

Perancang utama itu beraksi hambar buat pasukan pilihan pertandingan itu dan jurulatih Cuca mengeluarkannya selepas sejam dan membawa masuk Guilherme, yang menjaringkan gol penyamaan penting pada separuh akhir kedua minggu lalu menentang Newell's Old Boys.


"Dia tidak bagus, tidak beraksi dengan baik dan setaraf dengan pemain lain," kata Cuca.


Di sebalik kejutan itu, Atletico tidak akan berputus asa meraih kejuaraan sulung Piala Libertadores selepas layak ke final dengan mengatasi defisit 0-2 pada perlawanan pertama menentang kelab Argentina Newell's sebelum mara menerusi penentuan sepakan penalti. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Kejutan Hamilton

Posted: 18 Jul 2013 07:32 AM PDT

Gullane, Scotland: Pemain Amerika Syarikat, Todd Hamilton yang melakar kejutan apabila memenangi Terbuka British 2004 muncul pendahulu sementara pada kejohanan tahun ini selepas mencatat dua bawah par 69 pada pusingan pertama, semalam.

Bermain dalam kelompok kedua, pemain berusia 47 tahun itu mempamerkan kelibat aksi yang membantunya menjulang Claret Jug sembilan tahun lalu dengan empat birdie di lapangan Muirfield.


Ia saat paling menggembirakan buat Hamilton yang tidak pernah menang lagi sama ada dalam Jelajah AS atau Eropah sejak menundukkan Ernie Els menerusi penentuan playoff untuk meraih kejuaraan Terbuka British di Troon.

"Saya ingatkan karier golf saya bertambah baik selepas itu," katanya.


"Ia terlalu sukar," kata Hamilton. "Saya cuba tidak mengendahkannya. Saya sudah mencuba tapi ada harinya apabila saya tidak mahu turun bermain." Hamilton bertindak cemerlang dalam jelajah Jepun sebelum meraih kad Jelajah PGA selepas mencuba kali kelapan pada 2003.


Dia memenangi Terbuka British dan Klasik Honda pada Jelajah PGA 2004 namun gagal mengekalkan prestasi dan sekadar melakar tiga kelompok 10 terbaik di Amerika Syarikat (AS) sejak itu.

"Saya melakukan banyak perkara bagus di luar negara, di tempat yang orang mungkin fikir golf tidak wujud," kata Hamilton.


"Saya banyak beraksi di Jepun dan Asia. Apabila saya menang Terbuka British saya fikir ia menghampiri penamat satu karier gemilang," katanya.

"Ia pencapaian gemilang tapi saya tidak melakukannya di Jelajah Eropah atau AS." Hamilton tidak pernah menerima status selebriti di AS termasuk di kampung halamannya di Oquawka, Illinois.


"Saya lebih dikenali di tempat lain." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Federer bangkit benam Brands

Posted: 18 Jul 2013 07:31 AM PDT

Hamburg: Roger Federer terpaksa berhempas pulas pada perlawanan pertama sejak diaib di Wimbledon apabila bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum mengalahkan pemain Jerman, Daniel Brands pada pusingan kedua ATP Hamburg, kelmarin.

Pemain berusia 31 tahun yang juga pilihan utama itu menang 3-6, 6-3, 6-2 ke atas pemain nombor 58 dunia yang meraikan hari jadi ke-26, untuk layak ke pusingan ketiga kejohanan yang kali terakhir disertainya pada 2008.


Ia kemenangan ke-30 kariernya pada kejohanan itu.

"Lebih bagus saya berdepan perlawanan sukar begini dan melepasinya," kata Federer.


"Perlawanan seperti ini amat penting, terutama selepas kalah set pertama dan menyukarkan keadaan. Anda tidak boleh melakukan banyak kesilapan pada waktu genting dan saya melepasinya dan bermain lebih baik. Ia pasti bagus bagi menghadapi pusingan seterusnya." Federer, kini di ranking kelima dunia, kedudukan terburuknya dalam tempoh sedekad, akan berdepan Jan Hajek dari Republik Czech untuk memburu tempat ke suku akhir.


Bintang Switzerland itu menggunakan kejohanan itu dan kejohanan Gstaad, bermula 22 Julai ini, sebagai persiapan menghadapi Terbuka AS bulan depan.

Federer kecundang di tangan pemain ranking ke-116 dari Ukraine Sergiy Stakhovsky di Wimbledon, kekalahan terburuknya dalam acara Grand Slam dalam tempoh sedekad.


Hajek layak ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-4, 2-6, 6-4 ke atas pilihan ke-15 dari Latvia Ernests Gulbis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Lorenzo cuba nasib

Posted: 18 Jul 2013 07:31 AM PDT

Monterey, California: Penyandang juara MotoGP dunia Jorge Lorenzo, yang pulih daripada pembedahan kedua di tulang selangka kiri, mencuba nasib dengan berlumba pada Grand Prix AS hujung minggu ini.

Pasukan Yamaha yang diwakili penunggang Sepanyol itu mengumumkan Lorenzo akan berada di Laguna Seca dan berharap mampu bertanding selepas terlepas aksi hujung minggu lalu di Jerman.


Lorenzo sebelum ini berkata, dia tidak mahu mengambil risiko berlumba di Laguna Seca dan hanya kembali di Indianapolis bulan depan namun puas hati dengan pemulihannya sejak beberapa hari lalu selepas terjatuh pada sesi latihan Jumaat lalu.

"Kami putuskan untuk pergi ke Laguna Seca," kata Lorenzo. "Susulan pemeriksaan terakhir perubatan dan selepas bercakap dengan Dr (Joaquin) Rodriguez kami akan mencuba.


"Saya pada mulanya serius memikirkan mungkin lebih baik berehat lebih lama untuk pulih sepenuhnya dan kembali di Indy tapi sejak dua hari lalu saya berasa lebih baik dan mahu mencuba di sana." Lorenzo menang sekali di Laguna Seca pada 2010 dalam laluannya merangkul kejuaraan dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Ariff, Rabiatul terbaik

Posted: 18 Jul 2013 07:31 AM PDT

Jitra: Muhammad Ariff Johari, 15, dan Rabiatul Adawiyah Shamsuddin, 17, diumum Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kubang Pasu 2013 di SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, baru-baru ini.

Ariff, pelajar SMK Changloon memperoleh tiga emas dan mencipta rekod baru acara lempar cakera manakala Rabiatul dari SMK Paya Kemunting, Jitra turut memperoleh tiga emas.


Bagi kategori sekolah rendah, juara dimenangi Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tunjang dengan 10 emas, lima perak dan lima gangsa manakala naib juara PKG Ayer Hitam (7-8-7) dan ketiga, PKG Hosba (4-6-8).

Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim pula muncul juara kategori sekolah menengah selepas meraih 13-14-15.


Naib juara milik SMK Paya Kemunting (13- 8-10) dan ketiga SMK Pulau Nyior (8-9-6).


Bagi kategori lelaki dan perempuan B-10, peserta terbaik dimenangi Sharif Muhammad Nor dan Nur Adibah dari PKG Tunjang dengan masing-masing meraih satu emas.

Muhammad Aftar dari PKG Ayer Hitam (satu emas dan satu rekod MSSD) dan Nor Fazira Omar dari PKG Tunjang (dua emas) muncul peserta terbaik B-12.


Bagi kategori lelaki dan perempuan B-15, peserta terbaik dimenangi Muhammad Ariff Johari dari SMK Changloon (tiga emas, satu rekod) dan Nur Hidayah dari SMK Megat Dewa (tiga emas).

Ku Ariff Aiman dari SMK Hosba (dua emas, satu rekod) dan Rabiatul Adawiyah Shamsuddin dari SMK Paya Kemunting (tiga emas) muncul peserta terbaik B-18.


Hadiah disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Roslee Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

40 siswa tambah ilmu

Posted: 18 Jul 2013 07:30 AM PDT

Mersing: Seramai 40 pelajar institusi pengajian tinggi dan politeknik dari seluruh negara menyertai Kursus Pengadilan Taekwondo Tahap Satu peringkat Kebangsaan di Politeknik Mersing, Johor baru-baru ini.

Kursus empat hari anjuran Politeknik Mersing dengan kerjasama Majlis Sukan Politeknik Malaysia dan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia itu dirasmikan Setiausaha Majlis Sukan Politeknik Malaysia Mohd Nor Halim.


Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Mersing Kamisan Anas berkata, kursus itu satu wahana untuk mencapai wawasan negara membudayakan sukan taekwondo dalam kalangan mahasiswa negara ini.

"Budaya sukan taekwondo dan sukan lain dalam kalangan siswa untuk memperlengkapkan kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek selain membantu ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia berjaya," katanya.


Kamisan berkata, melalui disiplin komitmen baik ditunjukkan, semua peserta mampu memupuk perpaduan siswa berlainan bangsa.


Menurutnya, aktiviti sukan ini juga memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dan fizikal.

Katanya, ini pertama kali Politeknik Mersing diberi kepercayaan menganjurkan kursus seumpama itu bagi melahirkan lebih ramai pengadil taekwondo bertauliah diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Beberapa siswa yang menyertai kursus berkenaan menyifatkan kursus itu memberikan pengalaman berguna kepada mereka untuk menjadi pengadil taekwondo.

Siswi Universiti Pertahanan Malaysia Nasional Malysia (UPNM), Fitriya Abu Mansur, 19, gembira dapat menyertai kursus itu kerana berminat menjadi pengadil sukan itu.


Menurutnya, banyak pengetahuan baru ditimba melalui kursus empat hari itu.


Siswa Kolej Komuniti Bandar Penawar (KKBP) Kota Tinggi, Johor Muhamad Sukri Omar Sidek, 18, berkata untuk menjadi pengadil taekwondo bukan mudah dan melalui kursus itu dia banyak men dapat pengetahuan berguna untuk dijadikan panduan.


Menurutnya, selain mendapat latihan secukupnya daripada jurulatih berpengalaman, dia dan rakan lain turut ditunjuk ajar cara mengendalikan cara-cara pengadilan dengan menggunakan alat elektronik.


Siswi Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Nabilah Farhana, 18, memang berminat menjadi pengadil taekwondo sejak sekolah rendah.


"Dengan menyertai kursus ini, saya mendapat sijil Tahap Satu yang membolehkan saya mengambil kursus lagi di masa akan datang bagi peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Terpulang MSN buat keputusan

Posted: 18 Jul 2013 07:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat keputusan berhubung kedudukan peninju negara, Mohd Farkhan Haron dalam skuad kebangsaan.

"Setakat ini, saya tidak boleh beritahu bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap Farkhan hingga mesyuarat jawatankuasa kerja bersama PTAM dan MSN pada 31 Julai ini," kata Setiausaha Kehormat PTAM Mohamed Jani Ismail.


Mohd Farkhan dijangka mengadakan sidang media minggu depan untuk mendedahkan apa yang disifatkannya perkara sebenar yang berlaku dalam PTAM dan bagi membersihkan nama baiknya daripada tuduhan yang dilempar individu tertentu persatuan.

Sebelum ini, Mohd Farkhan mendakwa menarik diri daripada skuad kebangsaan sejak bulan lalu kerana mendapati kurangnya kemajuan dan perancangan PTAM menghadapi temasya Sukan SEA Myanmar, Disember ini.


Peninju kelahiran Johor itu juga mempersoal kewajaran persatuan yang sebelum itu mahu menghantarnya ke pertandingan antarabangsa berstatus lima bintang iaitu Kejohanan Asia di Jordan baru-baru ini, biarpun dalam keadaan dirinya yang hanya berlatih empat minggu.


Mengulas lanjut, Mohamed Jani berkata, tindakan pemenang pingat emas kategori 75kg Sukan SEA 2009 itu memberi kenyataan kepada media tanpa merujuk terlebih dulu kepada PTAM mahupun MSN sebagai tidak profesional.

"Dia (Farkhan) sepatutnya menggunakan saluran betul jika tidak puas hati dengan persatuan," katanya.


Mohamed Jani berkata, hingga kini, Mohd Farkhan belum menghubungi PTAM bagi membincangkan perkara itu sebaliknya lebih gemar memberi kenyataan kepada media. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Jijoe tak bimbang

Posted: 18 Jul 2013 07:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Azizulhasni Awang tidak bimbang dengan prestasinya biarpun kemampuannya dibandingkan dengan rakan sepelatih, Josiah Ng yang semakin menyerlah dari segi kedudukan ranking.

Josiah menghuni tangga ketujuh dunia berbanding Azizul yang berada di ranking ke-14 selepas Josiah yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi itu beraksi cemerlang merangkul dua perak dalam acara keirin di Grand Prix Adelaide dengan Azizul menegaskan apa yang penting dia kini layak beraksi dalam empat siri perlumbaan Piala Dunia Klasik.


"(Ketua jurulatih) John Beasley menetapkan sasaran untuk saya menyerlah di satu-satu kejohanan dan beliau memilih Piala Dunia. Kedudukan dikeluarkan UCI (Kesatuan Basikal Antarabangsa) itu hanyalah untuk menentukan mata layak ke kejohanan berkenaan dan yang penting saya sudah melayakkan diri.

"Saya tidak bimbang dengan situasi itu kerana prestasi saya semakin baik. Saya lebih bimbang jika sampai ke tahap kemuncak lebih awal kerana ia mungkin lebih memudaratkan. Seseorang atlet tidak mungkin dapat bertahan lama dengan keadaan itu," katanya yang mesra dipanggil Jijoe. Mengambil contoh tahap keupayaan Robert Forstemann yang mengagumkan ketika di Grand Prix Adelaide mampu melakar di bawah 10 saat - catatan masa yang sering dilakukan pelumba ketika di Kejohanan Dunia, Azizul berkata dia tidak terkejut dengan kemampuan pelumba Jerman itu.


"Memang ramai pelumba terkejut dengan kemampuan Forstemann yang seperti sudah memulakan saingan musim ini berbanding kebanyakan pelumba yang masih mencari rentak namun saya tahu di mana kedudukan saya.


"Biasanya jika terlalu cepat mencapai kemuncak pelumba tidak akan dapat bertahan hingga ke Kejohanan Dunia. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dengan terus memperbaiki catatan secara perlahan-lahan.

"Saya hanya perlu terus berlatih dengan Beasley kini merangka corak latihan berbeza antara saya dan Josiah. Penggunaan gear saya dan Josiah juga berbeza dan di sini ada dua rentak kayuhan," katanya yang perlu memberi fokus untuk menang lebih banyak pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

No comments:

Post a Comment