Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kepala keluar cermin depan

Posted: 20 Jul 2013 11:53 AM PDT

Beijing: Seorang wanita China terselamat dalam satu kemalangan ngeri yang menyaksikan kepalanya terhempas pada cermin depan kenderaan yang dinaiki dan tersepit di dalam lubang.

Wanita yang namanya tidak didedahkan itu adalah penumpang kenderaan terbabit apabila ia merempuh belakang sebuah trak di wilayah Guanxi, selatan China.


Rempuhan itu menyebabkan wanita yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika kejadian, tercampak ke depan dan kepalanya terhantuk pada cermin. Hantukan yang kuat itu menyebabkan cermin itu pecah dan kepalanya tersepit dalam lubang terbabit.

Anggota penyelamat terpaksa mengeluarkan pemandu kereta itu yang pengsan terlebih dulu sebelum dapat menyelamatkan wanita berkenaan.


Mereka mengambil masa yang agak lama untuk memembesarkan lubang di sekitar tengkuk mangsa sebelum dia boleh dikeluarkan dengan selamat.


Dengan berlumur darah serta kelihatan pening, wanita itu diusung oleh pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital berhampiran.

Foto

ANGGOTA penyelamat mengeluarkan pemandu kenderaan yang pengsan sebelum menyelamatkan wanita berkenaan.

Foto

PASUKAN penyelamat mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa.

Kecederaan yang dialami wanita itu dan juga teman lelakinya yang memandu kenderaan itu dikatakan tidak mengancam nyawa mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Kanye West bergaduh dengan paparazzi

Posted: 20 Jul 2013 11:49 AM PDT

Los Angeles: Polis menyiasat kekecohan berlaku di antara penyanyi rap Kanye West dengan jurufoto di Lapangan Terbang Los Angeles yang menjadi tumpuan paparazzi merakamkan gambar selebriti.

Sejumlah saksi ditemubual mengenai kejadian tengah hari kelmarin bagi mengumpul maklumat secukupnya.


Rakaman video dimuat naik laman sesawang TMZ menunjukkan West dikerumuni jurugambar ketika cuba masuk ke sebuah kereta mewah di lapangan terbang berkenaan. Ketika lampu kamera menyinari mukanya, West menuduh jurugambar cuba melakukan provokasi.

Dia kemudian cuba merampas kamera paparazzi berkenaan. West pernah terbabit dalam perselisihan faham dan bertengkar dengan jurugambar di lapangan terbang sama sebelum ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

4 warga emas dikurung, diperas

Posted: 20 Jul 2013 11:49 AM PDT

Chicago: Empat lelaki warga emas ditahan mungkin sejak lebih 10 tahun lalu di sebuah rumah di Texas dan memaksa mereka menyerahkan cek faedah yang disalurkan kerajaan, kata polis semalam.

Tiga daripada mereka dilaporkan sangat uzur dan kekurangan zat dan terpaksa dibawa ke hospital.


Seorang lelaki yang tidak tinggal di rumah di Houston itu telah ditahan untuk soal siasat tetapi belum didakwa. Pihak berkuasa masih menyiasat sama ada tiga wanita yang mengalami masalah mental tetapi ditemui dalam keadaan yang lebih baik di rumah itu - turut menjadi mangsa. Jurucakap polis Houston, Kese Smith berkata, tiga lelaki terbabit hidup dalam sebuah garaj yang diubah suai dan tidur di atas lantai.

Mereka juga, kata Smith, tidak disediakan kemudahan bilik air. "Mereka dipujuk ke situ kononnya untuk diberikan minuman keras dan rokok tetapi kemudian dilarang keluar dan cek faedah yang diberi kerajaan dipaksa diserahkan kepada pihak ketiga," katanya.


Polis berkata, satu-satunya perabot yang ada di situ ialah sebuah kerusi. Seorang daripada lelaki terbabit memberitahu polis, dia berada di situ sejak 10 tahun lalu tetapi Smith berkata, maklumat berkenaan belum disahkan. Polis berkata, seorang daripada mereka berusia 50-an manakala dua lagi 80 dan 74 tahun. Lelaki keempat ditemui dalam keadaan lebih baik dan berusia 65 tahun ditemui di sebuah banglo kayu.


Veteran perang Vietnam itu berkata, dia berada di rumah berkenaan sejak kira-kira enam bulan lalu dan tidak bercadang mahu berpindah ke mana-mana walaupun keadaan di situ tidak sesuai untuknya.

"Saya tinggal dalam sebuah rumah, bukan bilik," katanya.


Menurut Smith, mereka ditemui selepas seseorang menghubungi polis bagi memaklumkan ada beberapa orang 'dikurung' di rumah berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Pemberontak tahan warga AS

Posted: 20 Jul 2013 11:48 AM PDT

Bogota: Pergerakan pemberontak utama Colombia berkata, mereka menahan seorang anggota pasukan keselamatan AS sejak hampir sebulan lalu dan menawarkan pembebasannya, semalam.

Tentera Revolusi Colombia berkata, tahanan itu dikenali sebagai Kevin Scott Sutay. Berdasarkan pasport Sutay, kata kumpulan itu, lelaki terbabit lahir di New York City dan memperkenalkan dirinya sebagai bekas tentera yang berkhidmat di Afghanistan pada 2010 hingga 2011.


"Dia juga pakar pemusnah periuk api dalam pasukan tentera marin AS sehingga Mac lalu," kata pemberontak terbabit. Dalam kenyataan dikeluarkan itu, pemberontak berkata Sutay 'ditangkap' di selatan Colombia pada 20 Jun.

Bagaimanapun tidak dinyatakan bagaimana dia ditahan. Sutay ditawarkan untuk dibebaskan sebagai tanda berbaik-baik pemberontak menjelang rundingan damai di Cuba bagi menamatkan konflik dengan kejadaan sejak hampir setengah abad lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Paku, logam dalam kepala

Posted: 20 Jul 2013 11:47 AM PDT

Cianjur: Penemuan pelbagai objek berbahaya, termasuk paku dan logam dalam kepala seorang wanita masih membingungkan doktor di Cianjur.

Media semalam melaporkan, Indri Yani, 22, kini dirawat di Hospital Cianjur selepas beberapa objek asing ditemui dalam telinganya. Timbalan Pengarah Hospital Cianjur, Toton Suryotono berkata doktor belum dapat memastikan apa lagi yang ada dalam tubuh Indri.


"Pemeriksaan lanjut masih diperlukan," katanya. Setakat ini, kata Toton, banyak objek logam ditemui dalam badan Indri, terutama pada bahagian telinga suri rumah itu.

Sebelum ini, katanya, objek asing itu keluar sendiri dari mulut dan telinga Indri. Menurut sumber, penemuan aneh itu disedari dua bulan lalu apabila Indri terjatuh di bilik mandi dan telinganya berdarah. Darah terus keluar sehingga hampir dua bulan tetapi Indri tidak mengalami sebarang rasa sakit, kecuali apabila darah itu berhenti. Bingung dengan keadaan itu Indri mengorek sendiri telinganya dan berasa ada sesuatu di situ.


Dengan bantuan rakannya, mereka mendapati telinga Indri mengandungi paku.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Berebut beri makan percuma

Posted: 20 Jul 2013 11:47 AM PDT

Madinah: Seperti tahun sebelum ini, beberapa keluarga di Madinah berebut-rebut untuk menyediakan juadah buka puasa bagi 250,000 jemaah dan pengunjung Masjid Nabawi setiap hari, amalan yang menjadi tradisi sejak berabad lalu.

Hidangan itu disediakan di perkarangan masjid dengan bahagian khas untuk wanita.


Antara yang disajikan ialah daging, nasi, kari, buah-buahan dan jus.

Mereka memulakan kerja sejurus selepas solat Zuhur setiap hari. Ada yang memasak di rumah sebelum tengah hari. Ada yang membelinya di restoran dan mengarahkan pekerja menghantar dan menyusun makanan itu di masjid.


Keluarga itu juga berebut-rebut untuk memastikan hanya kurma terbaik disajikan kepada jemaah.


"Kami membuat perancangan untuk menyediakan buka puasa dua bulan sebelum Ramadan," kata seorang penderma, Muhammad Baghdadi.

Menurut Muhammad, sudah menjadi amalan nenek moyangnya menyediakan makanan berbuka untuk jemaah di Masjid Nabawi secara percuma.


Lebih menarik lagi, katanya, cawan tembaga yang digunakan untuk menyediakan air dibasuh setiap hari dengan cecair pewangi bagi menaikkan aroma air yang akan disajikan.

Kurma terbaik dipilih dan disajikan dalam makanan istimewa, katanya.


Kebanyakan keluarga di Madinah menganggap menyediakan juadah untuk berbuka berpuasa di Masjid Nabawi sepanjang Ramadan sebagai satu penghormatan. Dan ada juga yang sanggup berdiri bersama-sama anak mereka, berebut-rebut membahagi makanan kepada jemaah di sekitar masjid itu pada sebelah petang, "Saya kagum dengan kesungguhan penduduk Madinah memberi khidmat kepada jemaah dengan menyediakan pelbagai makanan, termasuk buah dan minuman," kata seorang jemaah umrah Algeria, Saeedi Abdul Ghani.


Pihak berkuasa pula hanya menyediakan hidangan berbuka kepada jemaah di dalam masjid. Ia terdiri daripada kurma, air zamzam, kopi dan roti. Makanan lain tidak dibenarkan dibawa masuk. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Tiga pembekal pelacur Berlusconi dihukum penjara

Posted: 20 Jul 2013 11:45 AM PDT

Milan: Tiga bekas sekutu Silvio Berlusconi didapati bersalah mendapatkan wanita yang rela menjual diri mereka ketika berlangsung pesta 'bunga bunga' di kediaman mewah bekas Perdana Menteri Itali itu.

Dalam penghakiman semalam, mahkamah menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun kepada Emilio Fede dan Dario 'Lele' Mora, manakala Nicole Minetti (gambar) diarah dipenjara lima tahun.


Fede ialah bekas eksekutif di syarikat televisyen milik Berlusconi, manakala Mora adalah ejen pencari bakat.

Nicole pula bekas ahli politik yang pernah mengaku mencintai Berlusconi.


Ketiga-tiga tertuduh adalah antara lingkungan orang kepercayaan Berlusconi yang menghadiri pesta di vila dekat Milan itu pada 2010.


Mahkamah mendapati tertuduh memainkan peranan menguruskan wanita untuk menghiburkan pengunjung pesta itu.

Walaupun Berlusconi tidak dibicarakan bersama tiga tertuduh itu, dia disabitkan kesalahan lain - mendapatkan khidmat seks berbayar dengan gadis bawah umur - pada bulan lalu.


Berlusconi juga disabitkan kesalahan cuba memberi tekanan kepada pegawai kerajaan menutup skandalnya dengan remaja kelahiran Maghribi, Karima el-Mahroug, yang ketika itu berusia 17 tahun.

Fede, Mora dan Nicole dijangka membuat rayuan bagi sabitan mereka tidak lama lagi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Tolak sambung rundingan damai

Posted: 20 Jul 2013 11:45 AM PDT

Gaza: Pemimpin Hamas semalam menolak penyambungan semula rundingan damai Israel-Palestin.

Keputusan itu dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat mengumumkan rundingan berkenaan yang tergendala sejak lebih tiga tahun lalu akan disambung semula selepas dipersetujui Pihak Berkuasa Palestin dan Israel.

"Hamas menolak pengumuman Kerry mengenai penyambungan semula rundingan damai. Kami menganggap persetujuan Pihak Berkuasa Palestin untuk berunding semula dengan rejim Zionis sebagai bertentangan dengan hasrat rakyat Palestion," kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.

Katanya, Prersiden Palestin yang berpejabat di Tebing Barat tidak berhak untuk berunding bagi pihak rakyat Palestin.


Seorang lagi jurucakap Hamas, Ihab al-Ghassin berkata: "Siapa juga yang tidak dipilih tetapi mahu bercakap untuk rakyat Palestin, hanya bercakap bagi dirinya sendiri."


Jurucakap Mahmoud sebelum ini mengalu-alukan pengumuman Kerry bahawa rundingan damai akan disambung semula sedikit masa lagi.

Kerry membuat pengumuman itu selepas menghabiskan masa empat hari berunding dengan rejim Zionis dan pemimpin Palestin.

"Saya dengan gembira mengumumkan bahawa kami sudah mencapai persetujuan untuk mewujudkan asas bagi menyambung semula rundingan damai secara langsung antara Palestin dengan Israel," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Suami isteri ditembak mati

Posted: 20 Jul 2013 11:44 AM PDT

Pattani: Dua penoreh getah ditembak mati dalam serang hendap di sini, awal semalam.

Mereka dikenali sebagai Ma-air Jehma, 45, dan isterinya, Ameenoh Kama, 42.


Saksi berkata, pasangan itumenunggang motosikal ke ladang mereka apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang bersembunyi di kawasan semak berhampiran melepaskan tembakan.

Kejadian itu mungkin keganasan pertama membabitkan kematian sejak Ramadan bermula 10 Julai lalu. - ABP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Wilayah autonomi Kurdis di utara Syria

Posted: 20 Jul 2013 11:44 AM PDT

Beirut: Etnik Kurdis Syria merancang membentuk kerajaan autonomi sementara bagi mentadbir wilayah Kurdis di utara negara yang dilanda peperangan itu, kata pegawai semalam.

Pemimpin Parti Kesatuan Demokratik Kurdis, Salih Muslim berkata mereka yakin krisis di Syria tidak akan tamat dalam tempoh terdekat.


"Justeru, kami perlu membentuk pemerintahan demokratik sendiri di barat Kurdistan," katanya.

Barat Kurdistan merujuk kepada kawasan yang didiami majoriti etnit Kurdis di utara Syria, termasuk wilayah Hassakeh dan sebahagian daripada Aleppo .


Kata Salih, rancangan itu memang ada sejak 2007 dan menegaskan, ia bersifat sementara. "Apabila wujud perjanjian menyeluruh mengenai masa depan Syria, kami akan menamatkan pemerintahan autonomi ini," katanya. Sementara itu jurucakap Majlis Rakyat Kurdistan Barat, Shirzad Izidi mengesahkan rancangan pemerintahan autonomi itu. "Pentadbiran Kurdis ini akan bertindak sebagai kerajaan tempatan sementara dan bakal mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya di kawasan Kurdis," katanya.


Dalam beberapa aspek, kata Shirzad, ia akan menyamai apa yang ada di kawasan Kurdis di Iraq.

Menurut Shirzad, idea pembentukan kerajaan dan pilihan raya sementara itu dibincangkan beberapa kumpulan Kurdis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

No comments:

Post a Comment