Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Harimau lembam

Posted: 21 Jul 2013 12:14 PM PDT

Shah Alam: Jaringan minit akhir perlawanan oleh pertahanan negara Mohd Fadhli Shas menghidupkan suasana persahabatan Harimau Malaya menentang Chelsea malam tadi sekali gus menyaksikan perlawanan berakhir dengan kekalahan 1-4 kepada skuad negara.

Walau bagaimanapun terdapat kelemahan yang perlu dipertingkatkan jurulatih Datuk K Rajagobal seandainya mahu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.


Blues yang mendapat sokongan kira-kira 40,000 penyokong menjaringkan tiga gol pada babak pertama disusuli ledakan Victor Moses pada minit ke-89 yang menggamatkan Stadium Shah Alam.

Pelawat kendalian Jose Mourinho jelas mendominasi perlawanan dengan mengamalkan corak permainan pantas dan kelebihan fizikal yang dimiliki sesetengah pemainnya.


Chelsea FC membuat percubaan pertama perlawanan menerusi Romelu Lukaku seawal minit kelima permainan namun berjaya ditampan Mohd Farizal Marlias yang ditugaskan mengawal gawang negara.


Walau bagaimanapun selang beberapa saat, jaringan berjaya dihasilkan menerusi Bertrand Traore yang menolak mudah hantaran rendah Kevin De Brunye.

Foto

PELBAGAI gelagat penyokong Chelsea ketika menentang skuad negara.

Foto

ROMELU Lukaku jaring gol ketiga Chelsea.

Chelsea FC menambah gol kedua m-28 menerusi De Brunye disusuli Lukaku yang akhirnya meledak jaringan pada masa kecederaan pertama selepas sering kali mengasak kubu negara.


Malaysia turut mendapat peluang untuk menjaringkan gol dengan peluang terbaik hadir menerusi sepakan kencang luar kotak penalti kapten pasukan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak namun ditolak Mark Shwarzer di gawang.

Bersambung babak kedua Chelsea menukar sembilan pemain apabila merehatkan Micheal Essien, Lukaku dan John Terry untuk menurunkan pemain seperti Demba Ba, Ramires, Peter Cech dan Victor Moses.


Nyata percaturan Mourinho membuahkan hasil apabila corak permainan Blues semakin mantap dengan lebih banyak serangan diatur ke kubu skuad negara.


Rajagobal turut melakukan beberapa pertukaran termasuk menurunkan Safee Sali, Mohd Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim dan Norfarhan Muhammad untuk merapatkan kedudukan namun tidak berhasil.


Tiada gerakan berbahaya mampu dihasilkan pemain negara sehinggalah tandukan pemain Harimau Muda A itu menewaskan Petr Cech dan usaha untuk Nizab Ayub menambah jaringan kedua menemui kegagalan.


Keputusan ini mengekalkan rekod bersih Chelsea FC di Malaysia sejak 2011 dengan mencatatkan empat kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Moyes tak sabar perang

Posted: 21 Jul 2013 12:05 PM PDT

Sydney: Pengurus baru Manchester United David Moyes tidak sabar untuk "berperang psikologi" dengan pengendali Chelsea Jose Mourinho yang berminat mendapatkan penyerang Wayne Rooney yang mahu meninggalkan kelab itu.

Laporan mendakwa Mourinho menimbang untuk menawarkan £40 juta (RM195.1 juta) bagi mendapatkan Rooney namun juara Liga Perdana itu menegaskan penyerang England itu bukan untuk dijual ketika Moyes cuba menjulang trofi selepas mengambil alih daripada Alex Ferguson.


Moyes memenangi perlawanan pertama sebagai pengurus United selepas Red Devils menewaskan Bintang Liga Australia (Liga A), 5-1 kelmarin namun sekali lagi tumpuan utama adalah berkenaan pemain yang tidak bersama pasukan di aksi pra-musim jelajah Asia.

Moyes kekal tidak mahu mengulas situasi Rooney dan cubaan mendapatkan pemain tengah Barcelona, Cesc Fabregas.


"Tiada berita lanjut sejak kali terakhir kami berhubung Jumaat lalu," kata Moyes. "Saya tidak mempunyai sebarang perkembangan terbaru dan tidak boleh memberikan berita positif atau negatif." Media British melaporkan selepas perlawanan di Sydney, United bersedia meningkatkan tawaran mendapatkan bekas perancang tengah Arsenal, Fabregas berpindah ke Old Trafford.


Moyes terbang bersama skuadnya ke Tokyo semalam, mengesahkan minggu lalu surat rasmi dengan nilai £26 juta (RM126.8 juta) ditawarkan untuk Fabregas.

United dijadual menentang Yokohama F Marinos di Jepun esok. Moyes kini gembira dengan persembahan Danny Welbeck dan Jesse Lingard ketika menewaskan Bintang Liga A itu.


Welbeck dan Lingard masing-masing meledak dua gol dan bintang Belanda, Robin van Persie melengkapkan kemenangan dengan jaringan kelima United pada hujung perlawanan apabila masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua.

"Bagus memiliki kembali Robin namun Danny mengagumkan pada aksi itu. Saya berkata kepadanya sebelum itu dia mungkin mampu menjaringkan empat atau lima gol," kata Moyes. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Canio 'ugut' hukum pemain lebih berat

Posted: 21 Jul 2013 12:04 PM PDT

HONG KONG: Bos Sunderland Paolo Di Canio kelmarin sedia membayar wang tunai kepada pemainnya selepas sebelum ini menggugut menghukum mereka jika kembali untuk aksi pra-musim dengan berat badan berlebihan.

Pengurus Itali itu berkata, beliau sangat gembira dengan tahap kecergasan skuadnya yang berwajah baru dan ketawa apabila bakal kehilangan wang tunai kepada pemainnya kerana sesetengahnya lebih kurus.


"Mereka bertuah. Kini saya perlu membayar mereka kerana lebih kurus," kata Di Canio sejurus tiba di Hong Kong. Skuad kendaliannya akan menentang Tottenham dalam saingan Trofi Barclays Asia pada Rabu.

Penghujung musim lalu Di Canio menjadi tumpuan apabila memberi amaran kepada pemain Black Cats mungkin mendenda mereka andai kembali daripada cuti musim panas dengan berat badan lebih dua kilogram.


"Tiada denda. Bagus," kata pengurus itu. "Saya sangat gembira. Ada yang kembali lebih kurus dua kilogram dan saya kini mungkin memberi mereka £1,000 (RM4,877)." Di Canio yang mengambil alih Sunderland hujung musim lalu dan mengekalkan mereka di Liga Perdana, mencetuskan kontroversi dengan pendekatan tegas.


Bekas penyerang Lazio dan West Ham sudah menambah baik skuadnya musim panas ini bagi mengelak nasib sama musim lalu dengan membawa masuk beberapa muka baru termasuk pemain antarabangsa Itali, Emanuele Giaccherini dan penyerang Jozy Altidore. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Wenger kembali!

Posted: 21 Jul 2013 12:03 PM PDT

Tokyo: Kunjungan pra-musim Arsenal di Jepun menggamit kembali kenangan buat Arsene Wenger apabila dijadual berdepan bekas kelab Nagoya Grampus yang kini dilatih salah seorang bekas pemainnya.

Bos Gunners itu menentang bekas kapten Yugoslavia, Dragan Stojkovic yang bersama kelab Liga Jepun (J-League) ketika Wenger menjadi jurulatih selama 18 bulan sebelum mengambil alih kelab utara London itu pada 1996.


Perlawanan hari ini kunjungan pertama pengurus kelahiran Perancis itu ke Nagoya Grampus sejak meraih pencapaian cemerlang di sana.

Stojkovic sudah lama dinamakan media British untuk menggantikan Wenger apabila beliau bersara di Arsenal sekali gus menambahkan daya tarikan perlawanan itu.


"Saya selalu menganggap individu yang pernah berkerja dengan saya boleh menjadi pengurus," kata Wenger pada sidang media menjelang perlawanan di Stadium Toyota yang terletak di luar Nagoya.


Wenger, 63 turut akur jurulatih Serbia itu berpotensi mengganti tugasnya.

Bagaimanapun beliau pantas menambah belum bersedia bersara dan menyerahkan kepada lembaga pengarah Arsenal untuk membuat keputusan.


"Tunggu 10 tahun lagi," kata Stojkovic, 48 berjenaka.

Jurulatih berasal dari Serbia itu berkata, beliau menghormati gergasi Liga Perdana Inggeris itu dan hampir setiap tahun ke London untuk menyaksikan mereka berlatih.


Wenger mengemudi Nagoya memenangi saingan piala peringkat kebangsaan, Piala Maharaja, pada musim pertama di Liga J. Beliau dianugerah pengurus terbaik J-League pada 1995.


Pada 1996, Nagoya Grampus muncul naib juara liga, kedudukan terbaik kelab itu hingga 2010, Stojkovic membimbing mereka meraih gelaran pertama Liga J.


Arsenal mengharungi jelajah pra-musim cemerlang setakat ini dengan membelasah Pasukan Impian Indonesia, 7-0 dan skuad kebangsaan Vietnam, 7-1.


Arsenal akan menentang juara Asia 2007, Urawa Reds di Saitama pada Jumaat sebagai aksi terakhir jelajah di Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Guardiola simpati nasib Vilanova

Posted: 21 Jul 2013 12:03 PM PDT

Berlin: Bos baru Bayern Munich Pep Guardiola sentiasa memikirkan kebajikan bekas jurulatih Barcelona Tito Vilanova selepas menyaksikan perlawanan pertamanya selaku jurulatih Bavarians.

Bayern membelasah Hamburg, 4-0 selepas beraksi 60 minit dalam pertemuan pra musim Piala Telekom untuk menempah perlawanan akhir bertemu tuan rumah, Borussia Moenchengladbach selepas menewaskan Borussia Dortmund, 1-0 hasil penalti Filip Daems.


Namun keputusan itu bukan perkara utama difikirkan oleh Guardiola selepas bercakap kepada pemberita secara ringkas mengenai bekas pembantunya Vilanova yang meletak jawatan sebagai bos Barcelona akibat barah tekak.

"Ia sangat sukar buat saya bercakap mengenai perkara ini di Jerman. Vilanova teman rapat dan saya amat menyayanginya," kata Guardiola.


"Saya harap dia dan keluarga tabah menempuhi saat sukar ini. Perkara ini sangat sukar untuk saya," katanya.


Kedua-dua lelaki itu terperangkap dalam pertelingkahan beberapa hari lalu selepas Guardiola yang kembali daripada cuti panjang di Amerika Syarikat menuduh ahli lembaga pengarah Barcelona menggunakan penyakit Vilanova untuk 'memusnahkannya'.

Vilanova membantu kejayaan Guardiola apabila muncul juara Liga Juara-Juara dua kali dan terbabit mengendalikan kelab Catalan selama empat tahun hingga musim panas 2012 dan walaupun sakitnya memerlukan cuti panjang untuk menjalani rawatan, dia berjaya membawa kelab itu menjulang gelaran juara La Liga musim lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Impian tinggi Politeknik

Posted: 21 Jul 2013 12:02 PM PDT

Melaka: Pusat Pembangunan Sukan Bola Sepak Politeknik Malaysia memiliki pemain terbaik bagi mengharungi Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia Kelima (SIPMA 5) di Kuantan Pahang, hujung tahun ini.

Pusat pembangunan yang terletak di Politeknik Kota Bahru (PKB) turut menjadi medan latihan pemain Majlis Sukan Politeknik (MSP) termasuk Politeknik Merlimau Melaka, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Johor Bahru.


Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan dan Kebajikan Pelajar Politeknik Malaysia Nazamuddin Ahmad Razali berkata, pusat itu turut menjadi gelanggang latihan menjelang kejohanan terbabit.

Pusat itu yang meraih pelbagai kejayaan termasuk juara Kejohanan Bolasepak Politeknik Asia kali pertama diketuai Pengarah PKB Noor Azahan Othman selain jurulatih Sazami Shafi'i dan Hazril Hisham Hussin. Kejohanan itu membabitkan pasukan Universitas Ibnu Sina dan Politeknik Batam Indonesia serta Politeknik Nanyang Singapura.


Beliau berkata, pemain turut terbabit dalam penganjuran Program Sentuhan Bola di Tawau dan Sandakan, baru-baru ini dalam misi tangggugjawab sosial menerusi kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah.


"Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu yang turut memiliki pemain MSP muncul juara kejohanan bola sepak 9 sebelah antara politeknik hujung tahun lalu.

"Pemain MSP juga menyertai siri perlawanan persahabatan dengan pasukan Divisyen Satu dan Dua Thailand di Krabi dan Satun bulan lalu dalam misi memperkasa pasukan," katanya.


Beliau berkata demkian selepas majlis memperkenal sembilan ikon bola sepak MSP membabitkan pemain Liga M baru-baru ini .

Azahan pula berkata, sepanjang SIPMA, MSP berjaya meraih juara 2005 dan 2007 selain ketiga 2009 dan naib juara 2011 di Melaka.


"Kami yakin mampu memperbaiki kedudukan di kejohanan dwi tahunan itu dengan meraih kejuaraan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

MBC juara final Fisherman's Friend

Posted: 21 Jul 2013 12:02 PM PDT

Kota Damansara: Final Grand Final Kejohanan Futsal Fisherman's Friend 2013 berlangsung di Sports Planet Kota Damansara antara MBC dari Selayang bertemu Brabus United diwarnai aksi penuh bertenaga memaksa juara ditentukan melalui penentuan sepakan penalti selepas kedudukan sebenar terikat 1-1.

Tuah nyata milik MBC yang memenangi perlawanan itu 2-1. Hasil kejayaan itu mereka membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi, pingat manakala Brabus United RM3,000. Tempat ketiga bersama milik Bertam Ulu dan Manjung United, masing-masing menerima RM1,000.


Sebelum itu pada saingan suku akhir Brabus United mengalahkan TOT A 2-1, Bertam Ulu menumpaskan Dani FC 3-1 menerusi penalti selepas terikat 0-0 manakala MBC menewaskan ABY 4-3 dan Manjung United mengatasi Kelab Futsal Jalan Mengkuang 3-2.

Pada separuh akhir, Brabus United melangkah ke final selepas mengalahkan Bertam Ulu 3-0 manakala MBC menewaskan Manjung United 2-1.


Empat terbaik akan mewakili Fisherman's Friend ke Kejohanan Tiger Street bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Fazli kekal gelaran

Posted: 21 Jul 2013 12:02 PM PDT

Sungai Petani: Mohamad Fazli Hassan muncul juara Pertandingan Tenpin Bowling Tertutup Seri Astana Siri 2 2013 selepas melakar 471 jatuhan pin di Pusat Bowling Sejati Park Avenue, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Pertandingan tahun ketiga sejak 2011 itu dianjur Kelab Sukan dan Rekreasi Bandar Seri Astana Fasa Thalia (KESURAT).


Fazli mengatasi tujuh pencabar lain dan meninggalkan naib juara, Harun Ishak (419 pin) dan ketiga, Asrul Nizam Ahmad (415 pin).

Dia memulakan buruan juara sebaik aksi permainan pertama dengan menjatuhkan 160 pin diikuti 165 dan melengkapkan kecemerlangan pada permainan terakhir 146 pin.


Kemenangan itu membolehkan Fazli mengekalkan kejuaraan sirkit pertama dan meraih wang tunai RM500, Harun RM300 selaku naib juara dan Asrul Nizam ketiga RM150.


"Pertandingan kali ini sengit kerana pesaing lain juga menunjukkan balingan mantap. Saya bernasib baik kerana dapat mengatasi mereka pada awal permainan dengan melakukan banyak strike dan juga spare.

"Gelaran juara ini merealisasikan azam saya untuk mempertahankan kejuaraan dan saya sedia melakukannya lagi pada edisi akan datang," kata Mohamad Fazli.


Sementara itu bagi kategori berpasukan, pasangan Asrul dan Adnan Zakaria muncul juara selepas mengutip 815 jatuhan pin keseluruhan diikuti pasangan Harun dan Annuar Ishak kedua (813 pin), pasangan Mohamad Fazli dan Jamil Yahya ketiga (805 pin) dan tercorot gandingan Ahmad Nawawi Ismail dan Mohd Shahrul Yahya (733 pin).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Sejarah baru

Posted: 21 Jul 2013 12:01 PM PDT

Kuala Lumpur: Penerjun terbaik negara Pandelela Rinong melakar sejarah peribadi buat negara apabila bergandingan dengan Cheong Jun Hoong untuk menduduki tempat kelima acara akhir 3 meter papan anjal seirama pada Kejohanan Dunia di Barcelona, semalam.

Biarpun keputusan itu tidak menghadiahkan pingat, ia dianggap pencapaian terbaik apabila mencipta sejarah baru dalam acara itu.


Pandelela-Jun Heong mara ke akhir apabila menduduki tempat kelima pusingan kelayakan dan meraih 229.80 mata pada aksi akhir di belakang pasangan China, Itali, Kanada dan Mexico.

Bayangan pingat pada mulanya seakan memihak penerjun negara apabila memulakan terjunan menarik untuk berada di kedudukan ketiga selepas meraih 50.40 mata bagaimanapun aksi tidak konsisten menyaksikan mereka sekadar mengumpul 46.20 mata pada terjunan kedua dan bangkit mengumpul 65.70 pada terjunan seterusnya dan 67.50 serta 59.40 pada terjunan terakhir.


"Kami melakar sejarah buat Malaysia apabila berada di kelompok lima terbaik dunia. Saya dan Jun Hoong sudah mencuba yang terbaik. Terima kasih atas sokongan yang diberikan," katanya.


Acara itu dikuasai penerjun China, Wu Minxia-Shi Tingmao yang memperoleh 338.40 mata manakala perak milik pasangan Itali, Tania Cagnotto-Francesca Dallape 307.80 mata dan gangsa penerjun Kanada, Pamela Ware-Jennifer Abel (292.08 mata).

Pemenang pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik London itu bagaimanapun berpeluang untuk meraih pingat apabila turun bergandingan dengan Leong Mun Yee, 10m platform seirama dan 10m platform.


Sementara itu dalam acara lelaki, penerjun negara Ahmad Amsyar Azman dan Chey Yi Wei yang turun dalam acara 1m papan anjal individu lelaki gagal menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik untuk layak ke pusingan akhir.

Amsyar sekadar menduduki tempat ke-24 selepas mengumpul 309.15 mata manakala Yi Wei di tempat ke-28 (297.00 mata).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Kontinjen Pahang nanti habuan

Posted: 21 Jul 2013 12:00 PM PDT

Kuantan: Kerajaan Pahang bangga dengan pencapaian kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang yang berjaya meraih lapan pingat emas, lima perak dan enam gangsa pada temasya SUKMA XVI Kuala Lumpur 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Mohd Johari Hussain berkata, kejayaan itu membuktikan atlet negeri itu mampu bersaing selepas sekadar meraih satu pingat emas pada edisi 2011.


Menurutnya, pungutan lapan emas itu memberikan motivasi terbaik buat atlet lain mencipta lebih banyak kejayaan pada temasya akan datang.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kejayaan lapan emas itu amat membanggakan dan sudah pasti ia menjadi pendorong kepada atlet untuk mengharumkan nama Pahang," katanya.


Pada SUKMA Kuala Lumpur 2013, Pahang menduduki tangga kelapan daripada 14 kontinjen yang menyertai temasya sukan itu dan SUKMA Pahang 2011 pula meraih satu emas melalui acara berbasikal dan 11 perak serta tujuh gangsa.


Mohd Johari berkata, kerajaan negeri menawarkan insentif khas dengan pemenang pingat emas individu RM3,000 dan RM1,000 berpasukan, manakala perak RM2,000 dan RM1,000 bagi gangsa.

"Atlet berpasukan yang memenangi perak dan gangsa pula menerima RM600 dan RM400," katanya.


Pada SUKMA kali ini, Pahang membariskan 264 atlet yang bertanding dalam 16 daripada 20 acara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

No comments:

Post a Comment