Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tikam anak guna gunting

Posted: 12 Jul 2013 03:47 PM PDT

Beijing: Seorang bayi lelaki bernasib kerana masih hidup walaupun selepas ditikam 90 kali oleh ibunya kerana menggigit wanita terbabit ketika menyusu.

Disebabkan serangan ganas itu, Xiao Bao terpaksa menerima lebih 100 jahitan kebanyakannya di bahagian muka.


Media semalam melaporkan, Xiao tinggal bersama ibu dan dua bapa saudaranya di Xuzhou di wilayah Jiangsu, timur China.

Mereka hidup dengan menyelongkar sampah untuk mendapatkan bahan terbuang dan yang boleh dikitar semula.


Xiao bernasib baik kerana keadaannya yang cedera parah itu diketahui seorang daripada bapa saudaranya.


Menurut media, lelaki terbabit terkejut melihat Xiao terbaring berlumuran darah di kawasan luar rumah mereka dan segera menghantarnya ke hospital.

Foto

XIAO terpaksa menerima lebih 100 jahitan dalam kejadian di Xuzhou, China.

Ibu Xiao kemudian mengaku menikam bayi berusia lapan bulan itu kerana marah apabila putingnya digigit ketika menyusukan anaknya.


Sumber polis berkata, wanita terbabit menggunakan gunting untuk menikam Xiao.

Sementara itu, penduduk setempat merayu kepada kerajaan supaya mengambil bayi itu daripada ibunya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berulang. Bagaimanapun, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk mengambil alih hak penjagaan Xiao.


Kata sumber, tiada bukti menunjukkan ibu Xiao mengalami masalah mental.


"Pihak berkuasa juga berpendapat bahawa Xiao masih boleh dijaga dua bapa saudaranya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Padah rapat dengan singa

Posted: 12 Jul 2013 03:43 PM PDT

Johannesburg: Gara-gara terlalu rapat dengan seekor singa yang dijaganya, seorang remaja nyaris maut apabila dia dibaham dan cuba diheret ke dalam kandang.

Lauren Fagen, sukarelawan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Moholoholo - membongkok untuk mencium singa berkenaan apabila dia ditarik ke sangkar.


Singa itu membaham paha Lauren, 18, dan cuba diheret masuk ke sangkar sebelum seorang lagi sukarelawan di situ sempat menyambar remaja terbabit dan menariknya keluar. Remaja dari Montreal, Kanada itu pergi ke wilayah Limpopo di Afrika Selatan untuk menjadi tenaga sukarela di pusat pemuliharaan berkenaan kerana minatnya yang mendalam kepada haiwan.

Pusat itu dibuka pada 1991 untuk memulihkan pelbagai hidupan liar Afrika.


Di pusat pemuliharaan itu Lauren diberi tugas membersihkan kandang walaupun sepatutnya tugas itu dilakukan kakitangan terlatih. Lauren sedang memberi makan Duma - singa berusia lima tahun itu - apabila serangan berlaku.


Kata Lauren, dia tidak sedar tangan Duma membolosi kandang berkenaan. "Sebelum ini Duma dan singa lain sangat jinak," katanya. Walaupun berdepan dengan maut, Lauren yakin singa berkenaan tidak benar-benar berniat mahu menjadikan dia mangsa. Pemeriksaan perubatan mendapati Lauren cedera pada kedua-dua lutut, betis dan paha. Ia adalah serangan ganas pertama di pusat pemuliharaan itu sejak 20 tahun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Bayi dicampak ibu mati dilenyek

Posted: 12 Jul 2013 03:43 PM PDT

Beijing: Seorang wanita mencampak anaknya keluar dari tingkap sebuah apartmen sebelum bayi terbabit dilanggar sebuah kereta, lapor media semalam.

Rakaman kamera litar tertutup di situ menunjukkan sebuah beg berisi bayi perempuan itu terhempas ke jalan raya di pinggir bangunan. Ia kemudian dilenyek sebuah kenderaan. Ibu mangsa seorang pekerja salun rambut berusia 18 tahun melahirkan bayi itu di sebuah bilik mandi di tingkat dua bangunan berkenaan Selasa lalu.


Dia tinggal di apartmen berkenaan bersama hampir 10 penghuni lain.

Sumber berkata, sejurus selepas bersalin wanita terbabit pergi ke tangga di antara tingkat dua dan tiga sebelum mencampak bayinya dari tingkap.


Tidak dapat dipastikan sama ada bayi itu mati kerana terhempas atau akibat dilanggar. Wanita itu kemudian ditahan atas kesalahan membunuh sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Banduan merusuh, lima maut

Posted: 12 Jul 2013 03:41 PM PDT

Medan: Polis semalam melancarkan gerakan memburu kira-kira 100 banduan, termasuk militan yang melarikan diri dari sebuah penjara yang sesak selepas membakarnya dalam satu rusuhan.

Lima orang terbunuh dalam kejadian itu.

Banduan berkenaan mula bertindak ganas petang kelmarin dengan membakar dan melontar botol ke arah pengawal kerana berang selepas bekalan tenaga dan air ke penjara itu diputuskan.

Penjara Tanjung Gusta itu terbakar dengan api menjulang tinggi hingga memaksa puluhan anggota bomba bekerja keras sepanjang malam memadamkannya.


Kira-kira 150 tahanan dilapor melarikan diri dan polis serta tentera berkata semalam, mereka masih memburu 100 lagi selepas berjaya menangkap puluhan yang lain.


"Kami sudah menguasai semula keadaan dan tentera memasuki penjara tanpa sebarang tentangan," kata Akbar Hadi Prabowo, jurucakap Jabatan Penjara.

Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia, Amir Syamsuddin sebelum itu mengadakan perbincangan dengan wakil banduan, kata Akbar tanpa menjelaskan maklumat perbincangan secara lanjut.

Banduan di Indonesia sering ditahan di penjara yang sesak dan Tanjung Gusta tidak terkecuali.

Menurut laporan, sehingga kelmarin, terdapat 2,600 tahanan di penjara itu, lebih separuh daripada kemampuannya.

Banduan membenarkan 20 anggota tentera memasuki penjara , tetapi tidak anggota polis, pagi semalam.

"Kami tidak suka polis. Mereka tidak berperikemanusiaan. Mereka memukul kami," jerit seorang tahanan sementara seorang lagi melambaikan pistol dan gari ke arah pegawai.

Lima orang termasuk tiga tahanan dan dua kakitangan penjara terbunuh dalam rusuhan berkenaan.

Kedua-dua kakitangan itu mati kerana terperangkap dalam pejabat mereka.

Kira-kira 1,000 anggota polis dan tentera dikerah mengawal pusat tahanan itu serta melancarkan gerakan memburu besar-besaran di sekitar kawasan.

Banduan yang melarikan diri itu termasuk enam orang yang didapati bersalah atas tuduhan keganasan.

Di Jakarta, Menteri Kanan Keselamatan Joko Suyanto berkata, 64 banduan yang melarikan diri sudah ditangkap termasuk dua militan.

Menurut sumber, kira-kira 500 banduan enggan berhenti merusuh sehingga pasukan keselamatan menguasai semula keadaan dalam penjara itu.

Timbalan Menteri Kehakiman Denny Indrayana yang berada di Medan untuk memantau keadaan merayu mereka yang melarikan diri supaya menyerah diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

31 bakal haji kandas

Posted: 12 Jul 2013 03:40 PM PDT

Manila: Tiga puluh dua rakyat Indonesia yang merancang menggunakan pasport Filipina menunaikan haji dilarang memasuki negara itu.

Pegawai Biro Imigresen Filipina berkata, anggotanya di Tawi-Tawi membongkar skim yang dikendalikan satu sindiket berpusat di Mindanao yang membekalkan pasport Filipina kepada penganut Islam untuk membolehkan mereka mengerjakan haji menggunakan kuota jemaah Filipina.


Rakyat Indonesia itu tiba di Pelabuhan Bongao semalam, tetapi tidak dibenarkan masuk pegawai imigresen selepas mengetahui tujuan lawatan mereka.

Dengan bantuan seorang pegawai imigresen Indonesia di Bongao, rakyat Indonesia itu mengaku merancang memohon pasport Filipina sebaik tiba di negara itu supaya dia boleh dimasukkan ke dalam kuota jemaah haji Filipina. Mereka berhasrat menetap sementara dan belajar bahasa Sinama, dialek penduduk Tawi-Tawi sementara menanti memperoleh pasport Filipina itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Budak hafal separuh Quran dipenggal

Posted: 12 Jul 2013 03:39 PM PDT

Riyadh: Seorang pembantu rumah warga Habsyah memenggal seorang kanak-kanak Syria berusia 10 tahun ketika mangsa tidur, kelmarin.

Media tempatan melaporkan, mayat kanak-kanak itu ditemui anggota keluarganya pagi semalam. Amah itu ditangkap ketika cuba melarikan diri.


Seorang anggota keluarga memberitahu wartawan, wanita Habsyah itu berusia lewat 20-an tahun baru bekerja dengan keluarga itu sebulan setengah lalu setelah dipinjamkan oleh keluarga Saudi.

"Keluarga mangsa terkenal kerana kebaikan dan melayani amah itu dengan baik Mangsa sudah menghafal separuh al-Quran dan tidak pernah meninggalkan solat sejak berusia tujuh tahun," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

No comments:

Post a Comment