Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ranting kayu tusuk leher

Posted: 29 Jul 2013 01:32 PM PDT

London: Seorang penunggang basikal tertusuk ranting kayu sepanjang 38 sentimeter di lehernya.

Kejadian berlaku selepas Adrian Wood, 34, terjatuh ketika menunggang basikal.

Ranting itu tertusuk pada vena jugular, peti suara dan esofagus bapa dua anak itu.

Dia bernasib baik kerana ranting itu tidak mengena arterinya yang boleh menyebabkan dia mengalami pendarahan teruk hingga meragut nyawanya.

Foto

RANTING kayu yang tertusuk di leher Wood.

Foto

WOOD berhasrat untuk menyimpan ranting itu sebagai kenang-kenangan.


Wood dikejarkan ke hospital Petersborough oleh rakannya dan doktor memberi harapan 50-50 untuk dia diselamatkan.


Bagaimanapun, pakar bedah berjaya membuang ranting itu dalam pembedahan yang memakan masa lima jam.

Wood kini semakin pulih dan berharap dapat pulang ke rumahnya tidak lama lagi.

"Saya akan menunggang semula secepat mungkin. Dan saya akan menyimpan ranting itu sebagai kenang-kenangan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Gusti dengan buaya untuk sara hidup

Posted: 29 Jul 2013 01:23 PM PDT

Miami: Seorang wanita berusia 25 tahun Ashley Lawrence melakukan kerja berbahaya untuk menyara hidupnya bergelut dengan buaya seberat 350 kilogram.

Ashley ialah sebahagian daripada kumpulan yang menyelamatkan haiwan itu dari kawasan paya di Everglades Florida sebelum dipindahkan ke kawasan lebih selamat.


Dia sering berdepan dengan haiwan pemangsa itu dan terpaksa bergelut dengannya untuk memindahkan reptilia berkenaan.

Ashley berkata: "Apabila ia membabitkan haiwan yang perlu diselamatkan, ia memberikan saya tenaga.


"Ia adalah kecenderungan saya, ia sesuatu yang saya sangat ambil berat," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Psy mengaku kaki botol

Posted: 29 Jul 2013 01:23 PM PDT

Seoul: Penyanyi Gangnam Style, Psy mengaku dia memang kaki botol dan menyifatkan vodka sebagai "teman baiknya".

Bintang ternama Korea Selatan berusia 35 tahun itu yang turut meminati wiski dan tequila mula menjadi kaki botol sejak berusaha untuk menyesuaikan diri dengan kemasyhuran yang diraihnya. Psy berkata: "Jika saya gembira, saya minum. Jika saya sedih, saya minum. Jika hari hujan, saya minum. Jika hari cerah, saya minum. Jika hari panas, saya minum dan jika hari sejuk, saya juga minum." Psy juga berkata, dia "banyak berkhayal" akibat mengambil dadah.


Laporan sebelum ini mendedahkan, Psy menjalani hukuman penjara sebelum lagu popularnya, Gangnam Style dilancarkan kerana didapati bersalah memiliki ganja pada 2001. Bercakap buat kali pertama mengenai pengalamannya di penjara, dia menyifatkannya sebagai "kejatuhan amat teruk dalam hidupnya". "Tetapi sebagai artis, lebih banyak pengalaman, lebih baik hasilnya. Saya seorang yang positif. Jadi, jika sesuatu yang buruk berlaku, saya fikir mungkin ia terjadi kerana terlalu banyak kebahagiaan datang kepada saya." Psy turut berkata dia mempersembahkan Gangnam Style 1,000 kali di 20 negara berbeza tahun lalu dan tidak bertemu dengan isteri serta anak perempuan kembar mereka yang berusia lima tahun sejak April. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Bas terhumban, 38 maut

Posted: 29 Jul 2013 01:22 PM PDT

Avellino: Sebuah bas membawa penumpang pulang daripada menghadiri satu upacara keagamaan terhumban ke dalam gaung di lebuh raya di selatan Itali menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh.

Kejadian itu dianggap sebagai kemalangan yang terburuk di Eropah dalam masa beberapa tahun.


Pendakwa raya tempatan semalam melancarkan siasatan mengenai kemungkinan ada unsur jenayah dalam kejadian itu yang berlaku di bandar Avellino, berhampiran Naples, lapor media Itali.

Bas berkenaan membawa 50 penumpang dikatakan dipandu laju apabila kemalangan itu berlaku di lebuh raya antara Naples dan Bari di kawasan yang sering berlaku nahas.


Bas itu merempuh beberapa buah kereta sebelum terhumban ke lereng yang curam.


Pemandunya adalah antara yang terbunuh dan kira-kira 12 orang, termasuk beberapa kanak-kanak cedera.

Ada laporan mendakwa beberapa penumpang kereta yang terbabit dalam kejadian itu juga cedera.


Perdana Menteri Enrico Letta yang berada di Athens kerana lawatan ke Greece menyifatkan kemalangan itu sebagai peristiwa sedih menyelubungi Itali.

Agensi berita ANSA berkata siasatan akan tertumpu pada peranan pemandu itu dalam kemalangan berkenaan serta keadaan bas dan penghadang di lebuh raya itu.


Menurutnya, mayat pemandu itu akan dibedah siasat untuk mengesan kemungkian ada kesan arak atau dadah.


Polis trafik dilapor sudah merampas dokumen kenderaan daripada syarikat pengendali, Mondotravel.


Pasukan penyelamat berkata, mereka mengeluarkan 33 mayat dari rangka bas itu dan menemui tiga lagi penumpang yang tercampak keluar dari kenderaan itu ketika ia jatuh setinggi 30 meter. Dua lagi mangsa mati di hospital.


Seorang mangsa yang terselamat dipetik oleh bapa saudaranya sebagai berkata di hospital, dia terdengar bunyi tayar meletup sebelum pemandu itu gagal mengawal bas berkenaan.


Penumpang bas itu dalam perjalanan pulang ke Naples selepas menghadiri upacara keagamaan di Pietrelcina. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Sam Rainsy tolak keputusan pilihan raya

Posted: 29 Jul 2013 01:21 PM PDT

Phnom Penh: Pemimpin pembangkang Kemboja semalam menolak keputusan pilihan raya negara itu yang dimenangi parti pimpinan Perdana Menteri Hun Sen.

Langkah Sam Rainsy itu meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan meletusnya kekacauan serta memburukkan lagi sengketa politiknya dengan Hun Sen.


Rainsy yang yang kembali dari hidup dalam buangan untuk berkempen untuk parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja yang diketuainya menolak keputusan berkenaan walaupun parti pembangkang mencatatkan keputusan terbaik pernah dicapainya dalam sejarah pilihan raya Kemboja.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan pembangkang memenangi 55 daripada 123 kerusi sementara Parti Rakyat Kemboja pimpinan Hun Sen menguasai 68 kerusi atau majoriti 55 peratus. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Video ancam bunuh palsu

Posted: 29 Jul 2013 01:21 PM PDT

Bangkok: Video ancaman bunuh terhadap bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang dimuat naik di YouTube adalah palsu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabut berkata, ia anggota kumpulan anti kerajaan, 'topeng putih.' "Mereka yang membuat klip video itu. Bukan orang lain. Mereka mahu memburukkan Thaksin.


"Ketika video itu dimuat naik, kumpulan topeng putih menulis di laman Facebook mereka seronok mengkritik Thaksin," katanya. Menurutnya, masalah di tiga wilayah selatan negara itu bukan disebabkan oleh al-Qaeda atau Thaksin seorang. Katanya, keganasan yang berlaku di tiga wilayah berkenaan berkait dengan kumpulan pemisah.

Paradon juga berkata, hasil video itu tidak sebaik dengan video yang dihasilkan kumpulan al-Qaeda.


"Mereka yang membuat video itu mengupah individu yang kelihatan seperti orang Arab dan boleh bertutur bahasa Arab serta membawa senjata sambil berdiri di depan kamera. Ia bukan kerja yang sukar.


"Gaya mereka bercakap dalam video itu menunjukkan mereka tiada kaitan dengan al-Qaeda," katanya.

Kementerian Penerangan dan Teknologi Komunikasi akan menyiasat asal-usul video itu.


Paradorn percaya ia dirakam di Thailand dan mereka pasti akan ditangkap.

Video dua minit 45 saat itu bertajuk "Video al-Qaeda menentang bekas Perdana Menteri Thailand" mengancam membunuh Thaksin bagi membalas dendam terhadap pembunuhan umat Islam di selatan Thai pada 2004. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

50,000 liter minyak cemari pantai Ao Phrao

Posted: 29 Jul 2013 01:20 PM PDT

Bangkok: Tentera laut Thai semalam bekerja keras membersihkan pantai di pulau pelancongan popular selepas minyak dari saluran paip yang bocor mencemari kawasan yang diisyithar sebagai taman negara.

Hampir 50,000 liter minyak mentah mengalir ke laut Sabtu lalu kira-kira 20 kilometer dari pantai wilayah timur Rayong, kata syarikat PTT Global Chemical.


Minyak itu mencemari pantai Ao Phrao di Pulau Ko Samet.

Ia memaksa kerajaan Thai mengerah beratus-ratus anggota tentera laut, renjer taman negara, pekerja syarikat yang dibantu penduduk kampung membersihkannya.


Kejadian itu memaksa sebahagian pengunjung memendekkan percutian mereka di pulau yang menjadi destinasi popular untuk cuti hujung minggu di kalangan penduduk Bangkok. "Minyak itu mencemari hingga kawasan pantai di pulau itu. Pengunjung mula pulang," kata pekerja di pusat peranginan Ao Phrao.


Presiden sebuah kumpulan alam sekitar Thai, Srisuwan Janya berkata, pihaknya bimbang kejadian itu akan memusnahkan terumbu karang di kawasan sekitar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Brunei larang saji makanan siang hari

Posted: 29 Jul 2013 01:20 PM PDT

Bandar Seri Begawan: Kerajaan mengumumkan pengharaman sepenuhnya perkhidmatan menyaji makanan di restoran pada siang hari sepanjang baki bulan puasa ini, termasuk untuk orang bukan Islam.

Akhbar Brunei Times melaporkan, restoran boleh dibuka tetapi hanya dibenar menjual makanan untuk dibungkus.

"Penduduk bukan Islam tidak lagi dibenar makan di kedai atau restoran pada siang hari sepanjang Ramadan ini," lapor akhbar berkenaan.

Akhbar itu berkata, arahan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada 20 Julai lalu.


Kelewatan mengumumkan keputusan itu tidak dijelaskan.


Menurutnya, penganut agama lain perlu menghormati orang Islam yang berpuasa.
Sebelum ini, penduduk Islam yang ditangkap tidak berpuasa dikenakan denda. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Polis gagal kesan 250 dinamit

Posted: 29 Jul 2013 01:19 PM PDT

Jakarta: Usaha mencari 250 dinamit yang hilang bulan lalu masih belum berhasil.

Polis yang menahan seorang suspek berkait dengan kehilangan bahan peletup akhirnya terpaksa membebaskan lelaki berkenaan selepas tidak ada bukti menunjukkan dia terbabit.

"Kami tetap percaya ia dicuri. Dan kami masih berusaha menjejaki mereka yang terbabit," kata jurucakap polis Agus Rianto.

Menurutnya, kemungkinan pencuri tidak tahu barang seberat 50 kilogram yang itu adalah dinamit.


"Ada penjahat yang memang kerjanya mencuri di laluan itu.


"Tetapi apabila menyedari barangan yang dicuri itu tidak mendatangkan faedah, mereka membuangnya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Giliran Nikita pula diserang

Posted: 29 Jul 2013 01:19 PM PDT

Bandung: Hanya beberapa bulan selepas dibebaskan dari penjara kerana kesalahan menyerang, aktres dan model Nikita Mirzani mendapati dirinya menjadi mangsa selepas dipukul sekumpulan orang tidak dikenali di sebuah kelab malam di Bandung.

Ketua Unit Jenayah Polis Bandung, Trunoyudo Wisno Andiko berkata, kejadian berlaku jam 2 pagi kelmarin.

Nikita dengan berlumuran darah di dahi dan mulut, membuat laporan di ibu pejabat polis Bandung pada jam 4 pagi.

Selebriti berusia 27 tahun itu berkata, dia tidak tahu siapa yang menyerangnya atau sebab mereka menyerang.


"Tiba-tiba seorang wanita dan dua lelaki muncul di depan saya. Kedua-dua lelaki itu memegang saya sementara wanita itu menumbuk saya berulang kali," kata aktres itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

No comments:

Post a Comment