Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei di puncak prestasi

Posted: 10 Jul 2013 02:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Tey Seu Bock yakin pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akan berada di puncak prestasi pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 5-11 Ogos.

Beliau berkata, Chong Wei kini berada di tahap terbaik dan melakukan persiapan paling menyeluruh bersama dua lagi rakan, Chong Wei Feng dan Liew Daren.


"Kondisi Chong Wei ketika ini di tahap terbaik, begitu juga dengan fizikal dan motivasinya. Saya lihat kesungguhannya kali ini jauh lebih bernafsu dalam usaha memburu gelaran pertama untuk negara," kata Seu Bock.

Sambil mengakui latihan di bulan Ramadhan dijalankan seperti biasa kerana tiada pemain beragama Islam dalam skuad, Seu Bock juga mengakui Wei Feng dan Daren menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mencipta keputusan luar biasa di Guangzhou nanti.


"Tempoh dua minggu ini paling getir buat pemain kerana mereka diberi jumlah latihan fizikal yang tinggi. Meskipun ketika menjalani latihan dalam gelanggang, kapasiti latihan ditingkatkan bagi memaksimumkan kecergasan dan ketangkasan pemain sebagai persediaan menghadapi lawan getir nanti." Sambil mengakui pemain negara mula berlatih menggunakan bulu tangkis berjenama "Li Ning" seperti yang akan digunakan ketika kejohanan utama itu, Seu Bock berkata, barisan jurulatih juga memutuskan penggunaan bulu tangkis mengikut kelajuan berbeza.


"Kami gunakan mutu bulu tangkis berlainan yang menghasilkan kelajuan berbeza untuk memastikan pemain biasa dengan tahap kelajuan tidak menentu dalam kejohanan itu nanti.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

"Dalam dewan pertandingan, bukan bulu tangkis saja menjadi faktor mempengaruhi permainan tapi juga keadaan angin.


"Di sini (Bukit Kiara), kita tidak berlatih dalam keadan penghawa dingin dibuka, jadi kita boleh menggunakan bulu tangkis dengan kelajuan berbeza," kata Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

PAKK Gadek pamer taring

Posted: 10 Jul 2013 01:59 PM PDT

Melaka: Unit Sukan Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz (RBLTAA) menganjurkan Karnival Futsal Institusi Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka (JKMNM) 2013 di Futsal Cheng baru-baru ini.

Program kerjasama Penyelaras Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka terbabit disertai empat pasukan termasuk RBLTAA, PAKK Nyalas dan PAKK Gadek.


PAKK Gadek muncul juara selepas menewaskan RBLTAA Team 'A' di pentas final dengan 2-0 manakala PAKK Nyalas menduduki tempat ketiga selepas menewaskan pasukan tuan rumah, RBLTAA Team 'B' dengan 3-0.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Biro Sukan RBLTAA merangkap Pengurus Acara Futsal Kontinjen JKMN Melaka Azmil Sambari yang mewakili Pengetua RBLTAA Abdul Rahaman Jaafar.


Penyelaras pertandingan, Zaihairi Zailani berkata, program dianjurkan bertujuan memilih bakat-bakat baru dalam kalangan penghuni institusi dan PAKK di JKM.


Katanya, mereka yang terpilih bakal mewakili JKMN Melaka dalam Fiesta Sukan dan Kesenian Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru, pada 13 hingga 16 September.

Menurutnya, secara keseluruhan ramai bakat baru berjaya memperaga persembahan terbaik sekali gus membuktikan pasukan JKMN Melaka memiliki pemain berbakat untuk kejohanan di Johor kelak.


Katanya, keputusan perlawanan tidak penting dalam kejohanan berkenaan berikutan matlamat utama penganjuran untuk mengenal pasti pemain terbaik dalam kalangan peserta terbabit.

Menurutnya, latihan intensif untuk acara sukan itu akan diteruskan bagi memantapkan persembahan pasukan selain pentas membentuk pemain berwibawa menjelang kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Beregu Saratok bukti kemampuan

Posted: 10 Jul 2013 01:58 PM PDT

Kuching: Pasangan beregu dari Saratok, Muhaizam Muhammad-Mohamad Najib Yusuf membuktikan kehandalan mereka apabila dinobatkan juara pertandingan badminton Piala Morza Solution Badminton Club (MSBC) Tertutup Bumiputera Sarawak 2013 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, kelmarin.

Mereka yang mewakili MSBC muncul juara selepas menewaskan pasangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Naim Kamar-Mang Sainuddin dengan 21-18, 21-19.


Berikutan kemenangan itu, Muhaizam-Muhamad membawa pulang RM500 serta piala manakala Naim-Mang RM200 serta piala.

Tempat ketiga milik pasangan Abang Daud-Mohamad Haizat dari Kuching yang menerima RM100 dan pingat.


Hadiah disampaikan Pengerusi Pertandingan, Mohammed Yaakub Morshidi.


Sebanyak 28 beregu berentap dalam pertandingan dua hari dengan penyertaan dari Kuching, Serian, Sri Aman, Betong dan Saratok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Leetonia B wira libas LSUS

Posted: 10 Jul 2013 01:58 PM PDT

Mukah: Leetonia B dinobatkan juara kejohanan sepak takraw Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) 2013 selepas menundukkan AAJMTT dalam pertembungan akhir di Kompleks Sukan Komuniti Mukah (KSK), Mukah, baru-baru ini.

Sebagai juara, Leetonia B membawa pulang RM500, piala dan medal, manakala AAJM TT, naib juara, RM400, piala dan medal.


Pasukan Igan A ketiga RM300, piala dan medal manakala Leetonia 3445 keempat, RM200, piala dan medal.

Sebanyak 18 pasukan menyertai kejohanan anjuran Pejabat Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Belia Parlimen Mukah dan SABERKAS Leetonia itu.


Setiausaha SABERKAS Cawangan Balingian merangkap Penyelaras Bersama Kejohanan, Royston Valentine berkata kejohanan itu bertujuan memberi peluang kepada belia di Bahagian Mukah mengasah bakat dalam sukan sepak takraw.


Katanya, kejohanan seumpama itu juga bertujuan menggalakkan penggunaan kemudahan sukan sedia ada iaitu Kompleks Sukan Komuniti Mukah (KSK) yang baru siap sepenuhnya pada 3 Oktober tahun lalu.

"Kompleks ini menyediakan kemudahan gelanggang futsal, bola jaring, sepak takraw dan badminton di samping kemudahan asas seperti bilik persalinan, surau, tandas dan bilik mandi. "Selain itu, aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim melalui sukan di kalangan belia disamping mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah," katanya.


Hadir sama, Pegawai JASA Parlimen Mukah merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Generasi Melanau Balingian, Hafizzul Abdul Halim serta Pegawai Penyelaras Liga Sukan Untuk Semua LSUS 2013, Lanting Mala.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

'Selesai segera'

Posted: 10 Jul 2013 01:57 PM PDT

Kuala Lumpur: Kes rogol yang menggemparkan arena sukan tahan air apabila membabitkan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) disifatkan berpunca daripada kelalaian pentadbiran dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong meminta kes berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin agar tidak mengganggu persiapan atlet.

Beliau berkata, satu jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi memutuskan hukuman terhadap tiga atlet terbabit termasuk pengurus, jurulatih dan seorang pegawai pengiring bagaimanapun ia hanya membabitkan isu berkaitan dengan disiplin dan bukannya hukuman terhadap kes rogol berkenaan.


"Tribunal siasatan ini ditubuhkan hanya menentukan kesalahan terhadap pelanggaran yang membabitkan disiplin atlet seperti membawa minuman keras dan wanita ke bilik serta kes yang membabitkan disiplin.

"Jawatankuasa siasatan itu akan diketuai Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan wakil MSN yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan penginapan. Saya juga mencadangkan agar jawatankuasa itu turut membabitkan wakil peguam dan ia dipersetujui MSWP, manakala hukuman kes rogol itu diserah kepada polis," katanya. Zolkples turut mencadangkan jawatankuasa siasatan itu membabitkan Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM) kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab bersama.


Bagaimanapun keputusan penuh berada di tangan MSWP yang akan menentukan bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan agar ia memberi pengajaran kepada semua pihak.


Sementara itu Pengarah MSWP, Mohd Hamidi Abu Bakar berkata semua terbabit digantung sehingga jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan selesai menjalankan siasatan terhadap dakwaan atlet bola baling lelaki WP yang membawa masuk minum minuman keras di perkampungan Sukma ke-16 di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang pegawai pengiring wanita berusia 19 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan di UPM, Rabu lalu.


Tiga atlet yang dipercayai membawa minuman keras ke dalam Perkampungan Sukan itu ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol.

Suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lalu, di Perkampungan Sukan di UPM, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Keselamatan bukan tanggungjawab UPM

Posted: 10 Jul 2013 01:57 PM PDT

Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam menjelaskan keselamatan atlet di perkampungan Sukan Malaysia (SUKMA) di universiti berkenaan baru-baru ini, di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Keselamatan sukan berkenaan.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata universiti berkenaan hanya membantu jawatankuasa itu yang turut bertanggungjawab mengawal penginapan, lalu-lintas dan kolej penginapan atlet Sukma.


"UPM sudah menyerahkan tanggungjawab kepada jawatankuasa berkenaan terhadap keselamatan atlet. UPM hanya menyediakan tempat penginapan dan mengawal di luar kolej penginapan atlet," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang pegawai pengiring berusia 19 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dirogol bergilir-gilir beberapa atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan di UPM, Rabu lepas.


Tiga atlet yang dipercayai turut membawa minuman keras ke dalam Perkampungan Sukan berkenaan, ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.


Tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lalu, di Perkampungan Sukan SUKMA di UPM, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. Mohd Fauzi berkata mengikut peraturan, semua bahan larangan termasuk arak dicegah dibawa masuk ke dalam universiti berkenaan.

"Bahagian Keselamatan UPM hanya membenarkan kemasukan atlet dan pegawai yang mempunyai pas ke kolej penginapan tapi tidak mempunyai bidang kuasa melakukan pemeriksaan barangan dalam kenderaan mereka," katanya.


Beliau berkata UPM juga akan sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan polis berhubung siasatan terhadap insiden di Perkampungan Sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Hak MSWP gantung skuad bola baling lelaki

Posted: 10 Jul 2013 01:55 PM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menggantung pasukan bola baling lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) negeri itu daripada menyertai sebarang aktiviti sukan anjuran MSWP berdasarkan hak badan induk berkenaan untuk berbuat demikian.

Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM) Pandak Ahmad berkata PBBM tidak mempunyai hak mencampuri keputusan itu kerana penyertaan pasukan bola baling Wilayah Persekutuan (WP) pada temasya SUKMA baru-baru ini, adalah di bawah seliaan MSWP.


"PBBM hanya menggantung tiga atlet selain pengurus, jurulatih dan seorang pegawai pengiring. Kalau MSWP nak gantung seluruh pasukan, terpulang kepada mereka.

"MSWP yang membiayai pasukan berkenaan dan mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan tersebut," katanya.


Akhbar melaporkan, MSWP menggantung seluruh pasukan bola baling lelaki WP termasuk pemain, jurulatih dan pegawai daripada menyertai sebarang aktiviti sukan anjuran badan induk berkenaan.


Pengarah MSWP, Mohd Hamidi Abu Bakar berkata mereka digantung sehingga jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan selesai menjalankan siasatan terhadap dakwaan atlet bola baling lelaki WP membawa masuk dan minum minuman keras di Perkampungan SUKMA di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang pegawai pengiring wanita berusia 19 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan di UPM, Rabu lalu.


Tiga atlet yang dipercayai membawa minuman keras ke Perkampungan Sukan berkenaan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Selangor lumayan

Posted: 10 Jul 2013 01:51 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun sekadar menduduki tempat kedua Liga Super, ia sudah cukup buat Selangor meraih ganjaran tertinggi yang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila meraih ganjaran RM793,783.

Skuad kendalian jurulatih Irfan Bakti Abu Salim itu meraih RM450,000 kerana bergelar naib juara dengan RM343,783 pula menerusi insentif yang ditawarkan kepada setiap pasukan Liga Super dan Perdana mengikut posisi mereka menamatkan saingan Liga Super.


Selain membelanjakan RM2.02 juta sebagai hadiah kemenangan untuk tiga pasukan teratas Liga Super dan Perdana, FAM membelanjakan sejumlah RM3.4 juta sebagai insentif kepada semua pasukan tempatan yang bersaing dalam kedua-dua liga berkenaan.

LionsXII pula tidak layak meraih sebarang insentif yang hanya ditawarkan kepada pasukan tempatan, namun kelab jemputan dari Singapura itu tetap meraih hadiah wang tunai sebanyak RM750,000 sebagai juara Liga Super.


Johor Darul Takzim (DT) yang dibarisi pemain bintang tempatan terpaksa berpuas hati sebagai pasukan di tempat ketiga selepas mencatatkan keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang Selangor meraih RM300,000 selain insentif berjumlah RM312,530. Kelantan yang meraih imbuhan hampir mencecah RM1.1 juta pada musim lalu sebagai juara Liga Super sekadar meraih RM281,277 sebagai pasukan di kedudukan keempat musim ini.


Sarawak menjadi pasukan paling lumayan menerima ganjaran dengan RM460,728 manakala Sime Darby FC selaku naib juara menerima RM150,000 selain insentif RM147,334.

FAM turut berlaku adil apabila memberi insentif kepada setiap pasukan termasuk yang berada di tercorot Liga Super dan Perdana. Negeri Sembilan yang terbawah Liga Super meraih RM31,253 manakala RM13,394 diberikan kepada NS Betaria yang menduduki tempat terakhir Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

N Sembilan, FELDA layak Piala Malaysia

Posted: 10 Jul 2013 01:51 PM PDT

Kuala Lumpur: Negeri Sembilan dan FELDA United memastikan tiket terakhir untuk melengkapkan 16 pasukan bersaing dalam kancah Piala Malaysia 2013 apabila menewaskan lawan masing-masing dalam aksi play-off yang berlangsung semalam.

Juara tiga kali Piala Malaysia, Negeri Sembilan mengenepikan Sabah dengan kemenangan 4-0 dalam aksi penentuan di Stadium Shah Alam sekali gus memastikan skuad Rusa berpeluang menebus maruah mereka selepas menamatkan saingan di tempat tercorot Liga Super musim ini dan bakal beraksi di Liga Perdana musim depan.


Pemain kebangsaan Nazrin Nawi mencetuskan keyakinan buat Negeri Sembilan apabila sepakan percuma pada minit ke-10 menggegar gawang lawan sebelum dia menggandakan kedudukan empat minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas anak buah jurulatih Ridzuan Abu Shah dilihat lebih banyak mengawal perlawanan menentang lawan dari Liga Perdana itu.

Peluang terbaik Sabah untuk merapatkan kedudukan pada babak pertama melalui Zainizam Marjan pada minit ke-26 namun tandukannya sedikit tersasar sekali gus babak pertama beraksi dengan kedudukan 2-0 memihak kepada Negeri Sembilan.


Penyerang import Negeri Sembilan, Leandro Barbosa melengkapkan kemenangan bergaya bekas juara Piala Malaysia 1948, 2009 dan 2011 itu apabila rembatannya dalam kotak penalti pada minit ke-51 sebelum Nazrin memastikan hatrik dalam perlawanan itu menerusi kencang rembatan di luar kotak penalti ketika perlawanan berbaki enam minit.


Saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil pula menyaksikan FELDA United melangkah ke saingan Piala Malaysia dengan kemenangan 1-0, mengatasi Pos Malaysia hasil sepakan penalti Shafizam Hashim pada minit ke-64 sekali gus melegakan pasukan berstatus kelab itu yang dibayangi kecederaan sebahagian besar tonggak utamanya.

Majlis undian untuk menentukan kedudukan kumpulan dijangka diadakan pada 27 Julai dengan 10 pasukan teratas Liga Super dan empat pasukan terbaik Liga Perdana mara secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Harimau Muda jumpa Jepun

Posted: 10 Jul 2013 01:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Muda A layak ke suku akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan Russia selepas Itali hanya menewaskan Great Britain 1-0.

Kemenangan tipis Itali itu masih belum cukup untuk membolehkan mereka layak ke pusingan seterusnya apabila anak buah Ong Kim Swee mempunyai kelebihan jaringan gol bagi mengiringi Britain ke suku akhir.


Ketiga-tiga pasukan terikat dengan tiga mata namun perbezaan jaringan membezakan mereka.

Malaysia sebelum ini memulakan saingan dengan baik apabila menewaskan Itali 2-0 sebelum tunduk 0-2 kepada Great Britain pada aksi kedua.


Bagaimanapun kejayaan ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C menyebabkan Malaysia terpaksa berdepan Jepun yang muncul juara Kumpulan B esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

No comments:

Post a Comment