Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pelakon disamun di stesen minyak

Posted: 11 May 2013 09:57 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya merayu dikasihani tapi mereka mengugut mahu rampas beg bimbit pula," kata pelakon, Suriati Baharom, 42, menceritakan detik cemas dia disamun sekumpulan empat lelaki bermotosikal di depan sebuah stesen minyak di sini, pagi semalam, ketika dalam perjalanan membeli barang.

Dalam kejadian jam 7 pagi, Suriati berkata, dia berhenti di stesen minyak berkenaan untuk membeli minuman.


"Selepas membeli minuman di kaunter stesen minyak itu dan menoleh ke belakang, saya lihat empat motosikal dinaiki remaja berusia 20-an berpusing-pusing mengelilingi kereta saya," katanya.

Menurutnya, dia kemudian melihat seorang daripada lelaki itu memecahkan cermin sebelah penumpang lalu mengambil telefon Samsung Galaxy Tab miliknya yang diletakkan di tempat letak kaki sebelah penumpang.


"Saya berlari ke arah kereta sebelum merayu dikasihani, namun empat lelaki itu hanya ketawa sebelum seorang daripada mereka mengugut merampas beg bimbit yang digalas.


"Saya yang ketakutan berlari semula ke kaunter stesen minyak itu bagi mendapatkan bantuan," katanya sambil menambah, pekerja stesen minyak itu juga bagaikan tergamam dan tidak tahu berbuat apa-apa.

Foto

KERETA dipecah penyamun untuk merampas telefonnya.

Menurutnya, dia bernasib baik apabila sebuah teksi berhenti di stesen minyak, menyebabkan kumpulan penjenayah itu melarikan diri walaupun dia kerugian lebih RM1,500.


"Dengan bantuan pemandu teksi terbabit dan tiga lagi pemuda yang datang ke stesen minyak itu, saya dibawa ke balai polis berhampiran," katanya.

Katanya, biarpun masih trauma dengan insiden berkenaan, dia bersyukur kerana tidak cedera dan menasihatkan orang ramai, terutama wanita, supaya lebih berhati-hati.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

'Amanat arwah ibu jadi azimat'

Posted: 11 May 2013 09:54 AM PDT

Shah Alam: Emak Noorhazrinadia, Norma Wan Ishak, 49, meninggal dunia akibat barah payu dara kira-kira dua tahun lalu.

"Walaupun emak dah pergi meninggalkan saya dan keluarga, pesan dan amanatnya sewaktu masih hidup untuk melihat saya berjaya tidak sesekali dilupakan. Emak, anugerah ini hadiah kakak untuk emak!," itu antara kata-kata yang dapat diungkap Noorhazrinadia Hamidon, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan sempena Majlis Graduasi ke-17, Kumpulan Kolej PTPL, di sini, semalam. Noorhazrinadia, 24, berkata sepanjang pengajiannya di Kolej PTPL dalam jurusan Diploma Teknologi Makmal Perubatan, dia sering mengingatkan dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh bukan saja untuk memastikan segulung diploma dalam genggaman tetapi apa yang lebih penting hasrat arwah emaknya untuk melihat dia berjaya terlaksana.


Dia yang baru saja melahirkan anak perempuan Nuraisha Emelyn Mohd Akmal, dua bulan, membuktikan dirinya dapat menjadi insan yang berjaya seperti orang lain walaupun kehilangan seorang insan yang paling disayangi.

"Saya menerima perkhabaran kehilangan emak ketika sedang melanjutkan pengajian di semester keempat. Berita itu menyebabkan saya terganggu kerana orang yang selama ini menyokong saya sudah tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Kanser tak halang kejayaan

Posted: 11 May 2013 09:53 AM PDT

Shah Alam: Walaupun menghidap kanser kolon tahap pertama ketika mula mendaftar pada Jun 2010, ia tidak menjadi penghalang penerima Anugerah Naib Canselor ini untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini.

Berbekalkan iltizam tinggi serta sokongan daripada isteri dan sahabat, Abd Latif Ahmad, 39, berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang walaupun terpaksa memakai beg khas yang sentiasa tergantung di bahagian perutnya dalam tempoh enam bulan.


Abd Latif berkata, lebih manis apabila dirinya kini bebas daripada kanser di samping berjaya merangkul anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen ke-78 UiTM, di sini, semalam.

Beliau berkata, isterinya, Salwah Che Mat, 37, dan rakan karibnya, Norzarmila Azura Hamid, 38, adalah dua insan yang menjadi tulang belakang dalam menghadapi segala kesulitan sepanjang menuntut di UiTM.


"Sewaktu mengetahui bahawa saya menghidap kanser kolon tahap pertama, pandangan terus gelap dan hati bimbang memikirkan apa yang bakal berlaku selepas itu. Namun pada masa sama saya ingin meneruskan kehidupan dan berjuang.


"Saya memilih untuk melanjutkan pengajian dan tidak sangka isteri memberikan sokongan penuh ketika hasrat ini disuarakan. Sepanjang pengajian, saya banyak dibantu rakan sekelas serta Norzarmila yang menjadi sahabat dan pesaing saya," katanya.

Sepanjang pengajiannya, Abd Latif yang berjaya mencatatkan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.95 mengakui dirinya ketinggalan di dalam kuliah kerana terpaksa mencuci beg khas yang dipakainya setiap dua jam dalam sehari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Dapur ranap dihempap pokok

Posted: 11 May 2013 09:26 AM PDT

Parit:"Mak cik sangka hujan biasa, namun selang beberapa minit ribut petir melanda sebelum bahagian dapur rumah mak cik ranap ditimpa pokok nangka," kata seorang warga emas, Saerah Pilus, 68, mangsa banjir kilat di Kampung Raja di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 4 petang hingga 7 malam itu, empat rumah dinaiki air sedalam 0.1 meter.


Saerah ketika ditemui semalam berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah dapur.

Katanya, pada mulanya dia menyangka bunyi petir, namun sejurus mendapati bahagian dapur rumahnya ranap ditimpa pokok menyebabkan dia kerugian lebih RM3,000.


"Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Sementara itu, Rosidah Isa, 52, berkata, hujan lebat selama tiga jam itu menyebabkan rumahnya dimasuki air sehingga paras betis.

Katanya, ia kejadian kedua selepas Februari lalu dan banjir kali ini lebih teruk kerana membawa bersama lumpur.


"Saya terpaksa memohon cuti kerana perlu membersihkan rumah yang dipenuhi air lumpur dan kekotoran akibat banjir itu.

"Memang menyedihkan kerana setiap kali hujan lebat, pasti rumah kami dinaiki air," katanya.


Beban dihadapi mangsa banjir kilat itu sedikit terubat apabila Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Zaim Abu melawat mereka selain menghulurkan sumbangan.


Mohd Zaim berkata, kampung berkenaan sering dilanda banjir terutama apabila musim tengkujuh.


Beliau berkata, pihaknya mendapati banjir kilat itu berpunca daripada saluran perparitan yang agak sempit menyebabkan air mudah limpah seterusnya memasuki kediaman penduduk.


"Dalam kejadian banjir kilat pada Februari lalu, ada penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir kerana keadaan yang berbahaya selain air lambat surut.


"Saya akan memberi jaminan kejadian itu tidak akan berulang lagi berikutan Jabatan Pengairan dan Saliran sudah membuat beberapa langkah pencegahan banjir di kawasan itu termasuk membersihkan perparitan dan mendalamkan sungai bagi melancarkan pergerakan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Ajal di tengah padang

Posted: 11 May 2013 09:26 AM PDT

Petra Jaya: "Takziah...kemenangan (pasukan bola sepak) Sarawak malam tadi (kelmarin) adalah untuk arwah...terima kasih kerana menyokong Sarawak hingga akhir hayat," itulah luahan penyokong 'Ngap Sayot' menerusi laman Facebook, Sarawak Football selepas seorang rakan seperjuangan mereka meninggal dunia, malam kelmarin.

Razali Paee, 64, yang menetap di Samariang, di sini Jaya adalah penyokong setia skuad bimbingan Robert Alberts disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), pada jam 9.30 malam.


Insiden menimpa arwah berlaku ketika perlawanan membabitkan Sarawak menentang Sime Darby di Stadium Negeri, Kuching yang mana tuan rumah sedang mendahului 1-0 menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-26.

Difahamkan, mangsa yang sering bertandang ke stadium setiap kali Sarawak beraksi dipercayai sesak nafas di celah ribuan penyokong lain sebelum rakannya berlari mendapatkan bantuan pasukan keselamatan termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


Seorang peminat enggan dikenali berkata, kejadian berlaku di hadapannya apabila Razali kelihatan sesak nafas sebelum dia bergegas menghulurkan bantuan.


"Kami cuba memberitahu polis dan pada masa sama kami cuba mengeluarkan arwah dari celah penyokong lain. Bagaimanapun, kami terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia dalam perjalanan ke HUS.

"Kami reda dengan ketentuan Illahi atas pemergian rakan seperjuangan. Arwah adalah penyokong setia malah tidak pernah sekali pun terlepas menyaksikan perlawanan membabitkan Sarawak," katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman sempat meluangkan masa bersama pengurusan persatuan serta pemain menziarahi memberi penghormatan terakhir kepada arwah di rumahnya pagi semalam.

Sambil menyifatkan pemergian itu adalah satu kehilangan berharga, Sudarsono berkata, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.


"Dalam keadaan kita gembira meraikan kemenangan, kita juga merasai kesedihan atas pemergian seorang penyokong setia. Inilah dikatakan takdir dan kami di FAS amat mengenali arwah sejak sekian lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

No comments:

Post a Comment