Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Suami impian

Posted: 16 May 2013 09:59 AM PDT

London: Pada 2009, seorang pelukis menghasilkan karya memaparkan sepasang kekasih sedang bercinta sebagai tema kerja tangannya.

Empat tahun kemudian, Chloe Mayo, 31, benar-benar mengahwini lelaki yang mempunyai wajah mirip dengan imej khayalannya sebelum ini. Menurut Chloe, ketika dia menghasilkan lukisan itu, dia tidak mempunyai teman lelaki, sebaliknya secara spontan melakarkan imej dirinya dengan seorang lelaki yang wujud dalam khayalan. "Saya tidak memikirkan sesiapa ketika itu," katanya.


Selepas menyiapkan lukisan berkenaan, ia kemudian dibiarkan berhabuk di sudut ruang tamu rumahnya. Untuk mencari pasangan, Chloe menyertai laman mencari jodoh yang diuruskan secara dalam talian dan akhirnya berkenalan dengan Michael Goeman.

Dua bulan kemudian, mereka bertemu dan Chloe terkejut melihat Goeman, 30, saling tidak tumpah seperti lelaki dalam lukisannya. Kata Chloe, bagi mengelak ditinggalkan Goeman, dia menyorokkan lukisan itu di bawah tilam dan hanya menunjukkannya selepas benar-benar yakin hubungan mereka akan berpanjangan. "Nasib baik Goeman tidak tawar hati dengan lukisan itu dan kami terus menjalin hubungan selama 18 bulan sebelum dia melamar saya ketika kami bercuti di selatan Perancis," katanya. Tiga tahun selepas bertemu, Chloe dan Goeman akhirnya berkahwin dan lukisan itu mendapat tempat istimewa di ruang tamu rumah mereka di Worcester Park dekat Croydon di Surrey.


Kata Chloe, dia berpindah balik ke Britain selepas menghabiskan masa bekerja di Australia pada 2009.


"Ketika itu saya nampak rumah saya perlu diberi kesegaran baru.

Foto

LUKISAN cat minyak yang dihasilkan Chloe saling tak tumpah dengan wajah suaminya.

Foto

PASANGAN Chloe dan Goeman berkahwin selepas tiga tahun berkenalan.

"Justeru, saya mula melukis beberapa gambar untuk mencantikkan dinding dan saya ada beberapa idea untuk menjayakannya," katanya. Menurut Chloe, dia mahu menghasilkan gambar sepasang kekasih pada waktu malam, tetapi tidak mempunyai gambaran secara khusus.


Dia kemudian mula melukis mengikut rasa hatinya.

"Saya melukis ciuman berguguran dari pokok supaya ia kelihatan romantik tetapi wajah pasangan itu saya hasilkan secara spontan," katanya. Selepas berkenalan dengan Goeman dan keluar makan malam bersama, kata Chloe, barulah dia tersedar wujud persamaan wajah kekasihnya dengan gambar yang dilukis. Sejak berkahwin, rakan mereka menggelarkan Goeman sebagai 'lelaki di dalam lukisan' kerana persamaan berkenaan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Mati diserang sakit jantung akibat terlebih kerja

Posted: 16 May 2013 09:53 AM PDT

Beijing: Seorang pemuda meninggal dunia akibat serangan jantung di pejabatnya, dipercayai akibat menanggung kerja berlebihan.

Menurut media tempatan, Li Yuan menghabiskan masa bekerja sehingga jam 11 malam di pejabat Ogilvy & Mather cawangan China di Beijing.


Rutin berkenaan berlanjutan sejak lebih sebulan lalu. Kira-kira jam 5 petang kelmarin, saksi berkata, Li, 24, tiba-tiba berdiri dan meraung kesakitan sebelum jaun ke lantai. Menurut saksi, Li dikejarkan ke Kolej Perubatan Peking Union tetapi doktor di situ mengesahkan dia meninggal dunia akibat serangan jantung. Majikan Li mengesahkan kematian itu melalui pos Twitter semalam.

Menurut laman Twitter itu, Li digambarkan sebagai seorang pekerja yang disenangi semua dan banyak menyumbang untuk syarikat. Sementara itu, data menunjukkan, China kini mencatat kematian berkaitan kerja lebih tinggi mengatasi Jepun. Hampir 60,000 pekerja di China mati akibat "kepenatan" disebabkan tekanan kerja setiap tahun. Kebanyakan kematian berkenaan disebabkan serangan jantung dan strok berkaitan tekanan kerja. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Lambung syiling pilih datuk bandar

Posted: 16 May 2013 09:51 AM PDT

Manila: Lambungan duit syiling memutuskan pemenang bertuah bagi jawatan datuk bandar sebuah bandar kecil di Filipina, selepas calon bertanding mendapat undian seri pada akhir hitungan undi, kata pegawai pilihan raya semalam.

Keputusan dramatik bagi jawatan di San Teodoro, bandar perladangan yang dihuni kira-kira 16,000 orang di tengah Filipina itu berlangsung di pejabat pilihan raya tempatan dengan ahli politik bertanding masing-masing melambung duit syiling bagi menentukan nasib mereka. "Mereka bersetuju untuk melambung duit dengan calon yang mendapat lebih hitungan simbol kepala diisytiharkan sebagai pemenang," kata ketua pilihan raya San Teodoro, Reny Pagilagan kepada media. Menurutnya, ketegangan semakin memuncak apabila pusingan pertama lima lambungan duit syiling turut berakhir dengan seri berikutan kedua-dua ahli politik memperoleh dua kepala.


Marvic Feraren, anggota parti Liberal yang memerintah akhirnya muncul sebagai pemenang dalam pusingan kedua lambungan duit syiling apabila memperoleh dua kepala berbanding lawannya yang mendapat satu kepala. "Kedua-dua calon menerima keputusan itu. Mereka bersalaman dan berpelukan," katanya.

Pagilagan berkata, undang-undang pilihan raya di negara itu menegaskan bahawa keputusan seri dalam undian perlu diselesaikan dengan pelbagai cara dan lambungan duit syiling adalah antara kaedah yang diterima. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Indonesia mansuh peperiksaan nasional untuk murid sekolah rendah

Posted: 16 May 2013 09:51 AM PDT

Jakarta: Kerajaan Indonesia melaksana peraturan baru menerusi No. 32/2013 yang menggariskan bahawa peperiksaan nasional untuk murid sekolah rendah dimansuhkan mulai tahun depan.

Pengarah bahagian persekolahan rendah Kementerian Pendidikan, Ibrahim Bafadal, mengesahkan perkara itu dan memberitahu kementerian mungkin akan memperkenalkan bentuk penilaian lain, lapor kompas.com. Menurutnya, pemansuhan peperiksaan itu selaras dengan pelan kerajaan untuk melaksanakan polisi persekolahan sekolah rendah selama sembilan tahun bermula pertengahan tahun ini.


Ibrahim berkata, ujian penilaian untuk murid sekolah rendah akan dikendalikan oleh pejabat pendidikan tempatan.

Tidak seperti murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah rendah dan menengah tinggi masih perlu menduduki peperiksaan nasional. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Polis Thailand tahan lima warga Afrika miliki pasport palsu

Posted: 16 May 2013 09:50 AM PDT

Hua Hin (Thailand): Polis semalam menahan lima warga Afrika yang mempunyai pasport palsu dari pelbagai negara.

Lima lelaki terbabit ditahan sebaik mereka tiba di bandar peranginan di Prachuap Khiri Khan dengan sebuah van dari Bangkok. Mereka dikenali sebagai ngelr Ibekwa, 29, warga Nigerian; Seyyid Zena Abdulai, 33, (Ghana); Kelvin Sesay, 34, (Sierra Leone); Daka Nhamo, 32, (Zambian); dan Simwkba Charles Tizaso, 32, juga dari Zambia.


Ketua Polis Prachuap Khiri Khan, Thanet Sunthorasuk berkata, sebuah institusi kewangan memberi maklumat kepada polis bahawa sekumpulan warga asing membuka akaun bank menggunakan pasport palsu. Anggota kumpulan terbabit mengakui bahawa mereka diupah agar membuka akaun bank di Hua Hin, dengan menerima 5,000 baht (RM505) untuk setiap akaun. Mereka membeli pasport berkenaan di kawasan Pratunam di Bangkok pada harga 5,000 hingga 10,000 baht (RM505 hingga RM1,011) setiap satu.

Polis mengesyaki kumpulan lelaki berkenaan bercadang menggunakan pasport palsu itu untuk kegiatan penipuan. Thanet berkata, Nhamo dan Tizaso menawarkan 90,000 baht (RM9,105) sebagai rasuah ketika ditahan di balai polis Hua Hin.


Pihak polis berpura-pura bersetuju untuk menerimanya tetapi apabila pihak polis memperoleh wang berkenaan, kedua-dua suspek kemudian ditahan kerana merasuah pihak berkuasa. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Pemandu biadab enggan beri laluan kepada ambulans didenda

Posted: 16 May 2013 09:49 AM PDT

Singapura: Seorang lelaki yang memandu kereta Honda biru dan enggan memberikan laluan kepada ambulans sudah disaman polis trafik selepas imej kenderaannya dirakam di kamera.

Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean, berkata dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen West Coast GRC, Arthur Fong bahawa pemandu terbabit telah didenda Sg$160 (RM384) dan ditolak empat markah merit dalam rekod pemanduannya.


Tindakan pemandu kereta Honda itu dirakam dalam video kerana enggan memberi laluan kepada ambulans walaupun siren kenderaan terbabit berbunyi kuat sambil lampu merahnya menyala-nyala. Video dirakam pada 14 Mac itu dimuat naik ke laman YouTube pada keesokan harinya. Ia menjadi sensasi di Internet. Dalam video berkenaan, kereta Honda biru itu berada di lorong kanan di depan ambulans berkenaan. Walaupun kedua-dua kenderaan itu melalui Lebuhraya Pan-Island, kereta terbabit masih berada di depan ambulans itu dan enggan memberikan laluan. Tidak lama selepas itu, pemandu ambulans berkenaan mengubah haluan ke lorong kiri. Dia kemudian menurunkan kaca tingkap dan memberikan gerak isyarat kepada pemandu kereta terbabit sebelum memecut. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Siling bangunan timpa pekerja

Posted: 16 May 2013 09:47 AM PDT

Phnom Penh: Siling sebuah kilang yang membuat kasut sukan Asics di Kemboja semalam runtuh menimpa pekerja, membunuh dua orang dan mencederakan tujuh yang lain dalam nahas terbaru yang mendedahkan kurangnya tahap keselamatan dalam industri pakaian dunia.

Kira-kira 50 pekerja berada dalam kilang di selatan Phnom Penh itu ketika silingnya runtuh, kata pegawai polis Khem Pannara. Menurutnya, peralatan logam berat yang disimpan di tingkat atas mungkin menyebabkan punca runtuhan itu.


Pannara berkata, dua mayat ditarik keluar dari sisa runtuhan dan tujuh mangsa mengalami kecederaan. Petugas penyelamat membersihkan serpihan konkrit selama beberapa jam dan selepas selesai memberitahu bahawa tiada sesiapa lagi yang terperangkap di situ.

Di klinik tempat dia dirawat, seorang pekerja, Kong Tharu menangis di telefon ketika menceritakan mengenai kejadian itu. "Kami sedang bekerja seperti biasa dan tiba-tiba beberapa serpihan batu dan logam mula runtuh menimpa kami," katanya.


Siasatan awal menunjukkan siling yang runtuh itu dibina secara tidak sempurna dan kekurangan bahan pembinaan sesuai menjadikannya gagal menyokong berat, kata Gabenor wilayah Kampong Speu, Ou Sam Oun, di mana terletaknya kilang itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Toyota atasi Samsung, muncul sebagai syarikat terbesar di Asia

Posted: 16 May 2013 09:46 AM PDT

Tokyo: Toyota berjaya memintas syarikat Korea Selatan, Samsung Electronics untuk menjadi syarikat terbesar Asia dari segi nilai pasaran selepas saham pengilang automobil Jepun itu bertambah sekali ganda tahun lalu.

Pada pagi semalam, pasaran permodalan Toyota berada pada 21.89 trilion yen (RM642 bilion), menewaskan pengeluar gergasi tablet komputer dan telefon pintar Galaxy, dengan nilai 20.26 trilion yen (RM594 bilion). Toyota yang juga pengilang kereta terbesar dunia, menyaksikan sahamnya melonjak ekoran keputusan kewangan yang semakin baik dengan pembuat Corolla dan Camry itu mengatakan minggu lalu keuntungan bersihnya setahun penuh melebihi tiga kali ganda.


Samsung mengambil alih nilai pasaran dari gergasi Jepun itu pada 2011, menurut akhbar harian Nikkei Bussines ketika konglomerat Korea Selatan itu meraih keuntungan besar dalam persaingan dunia dengan pesaingnya, Apple dari Amerika Syarikat. Senarai saham Toyota Tokyo didagangkan pada 6,350 yen (RM186) semalam, mengakhiri sesi kelmarin dengan 6,440 yen (RM189), melebihi sekali ganda pada penutupan harga 3,165 yen (RM93) pada hari sama setahun lalu. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Kuwait larang rakyat asing pergi hospital waktu pagi

Posted: 16 May 2013 09:43 AM PDT

Bandar raya Kuwait: Kuwait akan melarang rakyat asing daripada pergi ke hospital awam pada waktu pagi, lapor media tempatan semalam dalam usaha yang dilabel aktivis sebagai bersifat "perkauman".

Keputusan itu dibuat selepas aduan di Parlimen mengatakan bahawa pesakit warga tempatan perlu menunggu terlalu lama untuk rawatan di pusat kesihatan awam kerana terdapat sebilangan besar pesakit rakyat asing. Menteri Kesihatan Mohammad al-Haifi, yang juga seorang pakar bedah mengarahkan agar klinik pesakit luar di hospital awam di Jahra, barat bandar raya Kuwait hanya menerima pesakit warga tempatan pada waktu pagi mulai 1 Jun depan. Penduduk warga asing boleh mendapatkan rawatan pada waktu petang.


Kuwait menjadi kediaman bagi jutaan rakyat asing, kebanyakan dari India, Pakistan, Bangladesh, Filipina, Mesir dan Syria, selain 1.2 juta penduduk tempatan. - Gulf News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Pesawat terhempas ke tebing sungai

Posted: 16 May 2013 09:42 AM PDT

Kathmandu: Sebuah pesawat terhempas ketika cuba mendarat di landasan di pergunungan dekat utara Nepal awal pagi semalam.

Semua 21 orang yang berada di atas pesawat itu, termasuk lapan pelancong Jepun mengalami kecederaan, kata polis. Empat yang cedera berada dalam keadaan kritikal, kata pegawai polis Bhim Bahadur Chand. Pesawat Nepal Airlines dimiliki kerajaan Nepal itu membawa lapan pelancong Jepun, manakala yang lain termasuk tiga kru kabin adalah rakyat tempatan. Pesawat Twin Otter yang dibuat di Kanada itu cuba mendarat di Lapangan Terbang Jomsom kira-kira 200 kilometer di barat laut Kathmandu apabila ia terhempas di tebing sungai Kaligandaki. Semua yang cedera diterbangkan dengan pesawat berbeza ke bandar berdekatan Pokhara, di mana terdapat hospital dengan kelengkapan lebih baik. Polis berkata, roda pesawat itu menyentuh landasan tetapi ia tersasar ke kanan dan terhempas di tebing Kaligandaki. Bahagian depan pesawat remuk tetapi bahagian belakangnya tidak terjejas. Sayap kirinya terbenam dalam sungai itu.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

No comments:

Post a Comment