Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Keletihan punca aksi tak menarik

Posted: 19 May 2013 09:09 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan pemainnya keletihan kerana terpaksa mengharungi perlawanan paling banyak di dunia dalam tempoh satu setengah bulan sehingga mengakibatkan mereka kurang cemerlang ketika berdepan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Malah, jurulatih dari Crotia itu berpendapat, pasukan Selangor yang dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim turut menerima tekanan sama sekali gus menyebabkan sekadar mampu berkongsi satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1.


Hodak berkata, aksi yang dipamerkan anak buahnya di luar kemampuan sebenar anak didiknya dan mereka banyak melakukan kesilapan sehingga gagal mengutip mata penuh.

"Saya fikir secara teknikal ia perlawanan yang lemah dan penuh dengan kesilapan. Ini kerana kedua-dua pasukan (Kelantan dan Selangor) mengharungi perlawanan terbanyak di dunia dalam tempoh satu setengah bulan kebelakangan ini.


"Jadi, jika kita mahu lihat perlawanan bagus dan berkualiti mereka (pemain) perlu mendapat rehat secukupnya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan, kelmarin.


Hodak tanpa berselindung turut menyuarakan kekecewaannya terhadap prestasi tidak menentu pemain baru, Ahmad Fakri Saarani meskipun sudah diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama.

Foto

PEMAIN Kelantan, Indra Putra (tengah) membuat percubaan ke pintu gol.

Katanya, dia tidak tahu apakah punca bekas pemain kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC itu gagal mengekalkan prestasinya, namun akan membincangkan perkara berkenaan dengan pemain terbabit dalam masa terdekat.


"Saya tidak pasti apa masalah dia (Ahmad Fakri) sehingga gagal memberikan aksi terbaik. Ia dapat dilihat dengan jelas apabila bermain di sini (Kota Bharu) dan saya juga tidak tahu sama ada bermain di depan penyokong sendiri memberi tekanan kepadanya.

"Saya mungkin perlu bercakap dengan dia dan bertanya punca dia gagal memberikan aksi terbaik. Apa yang saya lihat dia bagus ketika latihan dan dapat bermain lebih baik di tempat lawan berbanding di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

Azam, Woan Yi gah

Posted: 19 May 2013 09:05 AM PDT

Kuantan: Dua pelari pecut Melaka menyapu bersih acara final 100 meter lelaki 18 (L18) dan lelaki 15 (L15) pada Kejohanan Padang dan Balapan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-55 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Muhammad Azam Masri menepati jangkaan apabila mengungguli acara 100m L18 dengan mencatat rekod peribadi terbaik, 10.87s diikuti rakan sepasukan, Badrul Hisyam Abdul Manap dan pelari dari MSS Selangor, Muhammad Hafiz Razali, sekadar melakukan 11.07s.


Sekalipun kaki kanan berbalut akibat kesakitan otot, pelari Sekolah Sains Sukan Melaka itu mempamer pecutan mantap dari awal hingga garisan meninggalkan tujuh pencabar lain.

"Kejayaan ini begitu manis kerana mencatat masa peribadi terbaik selepas beberapa percubaan sebelum ini tidak berhasil. Fokus sekarang memperbaiki catatan masa dan berharap dapat menyertai kontinjen olahraga Malaysia selepas ini," katanya. Rekod acara 100m lelaki 18 masih dipegang pelari Sabah, Rayzam Shah Sofian pada MSSM 2006 dengan 10.57s. Sekalipun membuat permulaan kurang baik, Asnawi bangkit mempamer pecutan bertenaga pada 50m terakhir memenangi 100m L15, meninggalkan pencabar utama dari Sabah, Ibrahim Saldam (11.30s) dan Andian Ijau Collin dari Sarawak (11.34s). Dalam acara 100m L 12, Danial Luqman Khairul Nizam dan Shahrul Aiman mencerikan kontinjen MSS Pahang apabila meraih pingat emas dan perak acara itu dengan tempat ketiga menjadi milik pelari Terengganu, Luqman Hakim Sairu. Danial mencatat masa 11.74s.


Danial berkata, dia gembira selepas mengambil keputusan mencuba acara 100m apabila dicadangkan jurulatih balapan MSS Pahang, Ismin Hakim.


"Bertukar acara daripada pemain bola sepak kepada olahraga memang berbaloi. Saya dapat membalas kepercayaan diberikan kontinjen Tok Gajah dan berharap meneruskan aksi cemerlang dalam acara saya gemari ini dan berlatih di Bukit Jalil bersama senior," katanya yang menuntut di Sekolah Kebangsaan Kota Gelanggi, Kuala Lipis.

Pelari Perak, Kang Woan Yi memenangi 100m perempuan (P18) dengan masa 12.41s manakala P15 dimenangi pelari Sarawak, Norris Foo dengan masa 12.45s dan P12, Nor Aliyah Abdul Rahman, 13.38s.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

SBS Giant Racing Team beraksi tanpa Anuar

Posted: 19 May 2013 09:04 AM PDT

Batu Pahat: Biarpun ketiadaan Anuar Manan selaku tonggak harapan buat pasukan SBS Giant Racing Team, pasukan itu masih mempunyai beberapa lagi nama 'bintang' yang akan menjadi sandaran pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dalam saingan XCO pada 1 dan 2 Jun ini.

Jurucakap pasukan itu, Azizul Azli Shaari berkata, pasukannya akan menghantar 11 pelumba pada sirkit pertama dengan meletakkan barisan pelumba yang mempunyai rekod cemerlang dalam beberapa kejohanan Moutain Bike sebelum ini.


Menurutnya, juara tiga kali Kejohanan Mountain Bike Kebangsaan, Shahrin Amir bakal menjadi sandaran pasukannya berikutan rekod cemerlangnya di dalam pasukan.

"Selain itu, kita turut juga menghantar juara dalam kategori Junior pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix ini.


"Kemungkinan akan ada penambahan pelumba, tetapi setakat ini 11 pelumba akan dihantar bagi memberi saingan," kataya ketika ditemui Harian Metro.


Azizul berkata, pihaknya melakukan persiapan dengan menyertai dua kejohanan sebelum bersaing pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013.

"Kejohanan pertama yang akan disertai sebagai persiapan ialah BP Cops XC Ride di Batu Pahat dan kemudian kami akan menyertai UiTM Pahang Jamboree.


"Pelumba kita nampak bersedia dan bersemangat bagi menyertai Grand Prix Harian Metro Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 ini kerana boleh dianggap kejohanan yang terbesar kami sertai," katanya.

Sementara itu, bagi Shahrin Amir, beliau mengharapkan laluan pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 mengikut spesifikasi Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).


"Kalau mengikut spesifikasi ini, kejohanan akan lebih menarik kerana 80 peratus daripada laluan itu laluan off-road manakala selebihnya on-road.


"Jika mengikut piawaian ini, pelumba akan lebih bersaing. Dari segi keselamatan pula kita berharap penganjur mempunyai petugas yang ramai bagi memastikan kejohanan berjalan lancar tanpa sebarang insiden," katanya.


Menurut Shahrin, beliau menyasar kedudukan terbaik pada kejohanan itu berikutan bakal menerima persaingan daripada pasukan lain.


"Setakat ini saya hanya menyasar saya berada di kedudukan baik iaitu tidak jauh di belakang dan akan memberi saingan sengit kepada pelumba lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

Kontinjen Melaka gembira kejayaan Azam, Asnawi

Posted: 19 May 2013 09:03 AM PDT

Kuantan: Ketua kontinjen balapan Melaka, Mohd Poad menjadi orang paling gembira melihatkan kejayaan dua anak didiknya, Muhammad Azam Masri dan Asnawi Hashim mengungguli acara 100m L18 dan L15.

"Tiga tahun membimbing mereka akhirnya membuahkan hasil terutamanya Azam yang dapat memperbaiki rekod peribadi terbaik. Meskipun Azam berlari dengan keadaan kaki kanan berbalut, semangatnya tetap kuat berjuang hingga ke akhir.


"Beberapa jam sebelum berlari, dia mengadu mengalami kesakitan kaki tapi saya memintanya menguatkan semangat dan membalut kakinya. Dia akhirnya membuktikan semangat kental dimilikinya tidak mudah goyah apabila bersaing dengan rakan sepasukan dan pencabar lain yang lebih bersedia dari segi fizikal.

"Saya bercadang membawanya bersama apabila saya berpindah menjadi jurulatih untuk Sekolah Sukan Sains Penawar, Johor selepas ini. Saya harap dia mencapai impian berada dalam skuad pelapis Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). "Pada pandangan saya, Azam mampu mencatat masa lebih baik jika tidak kerana kakinya mengalami sedikit kejang. Apapun, dia membuktikan pengorbanannya berlatih dan tidak pernah kenal erti mahu kalah membawanya hingga ke tahap ini," katanya.


Skuad kontinjen Melaka kini mendahului carta pungutan pingat keseluruhan dengan mengumpul empat pingat, dua daripadanya emas pada hari kedua kejohanan MSSM diikuti Johor dan Pahang, masing-masing dengan tiga pingat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

KLHC lakar hatrik

Posted: 19 May 2013 09:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) muncul juara Piala TNB selepas menewaskan TNB 2-1 semalam sekali gus melakar hatrik memenangi piala berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut.

Berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, ia kekalahan ketiga berturut-turut dialami TNB ke atas lawan sama selepas kecundang dua final sebelum ini.


"Satu kemenangan yang amat manis kerana ini kejayaan ketiga berturut-turut kami pada saingan Piala TNB.

"TNB sememangnya memberi saingan cukup sengit tetapi kami berjaya juga mempertahankan kejuaraan ini," kata kapten pasukan Muhd Razie Abd Rahim. Amir Farid Ahmad Fuzi meletakkan TNB di depan seawal minit kelapan menerusi larian solo selepas menerima hantaran cantik dari Muhamad Azammi Adabi.


Tersentak dengan gol awal itu, KLHC menggandakan asakan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi Mohd Syamim Mohd Yusof hasil pukulan sudut penalti pertama.


TNB berpeluang untuk kembali di depan empat minit kemudian apabila dihadiahkan pukulan penalti stroke selepas Fareed Ahmed menjatuhkan Faizal Saari dalam kawasan D.

Namun Faizal mensia-siakan peluang itu sekali gus turut melepaskan peluang untuk menjaringkan gol peribadi ke-18 untuknya.


Bersambung babak kedua, KLHC berpeluang berada di depan pada minit ke-45, tetapi mereka mensia-siakan peluang terbaik itu.

Penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan gerakan solo Faizal empat minit selepas itu.


KLHC dihadiahkan pukulan penalti stroke pada minit ke-64 dan pemain kebangsaan Pakistan Muhammad Imran tidak mensia-siakan peluang itu apabila tenang memperdaya penjaga gol TNB S Kumar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

Velodrom baru bakal direalisasikan

Posted: 19 May 2013 09:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Pembikinan velodrom tertutup yang dicanangkan sebelum ini bakal direalisasikan dalam masa terdekat dengan jumlah kos pembinaan dijangka mencecah RM70 juta.

Velodrom itu bakal menjadi kenyataan apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memaklumkan sudah menerima surat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Velodrom itu bakal dibina di Cheras, Kuala Lumpur mempunyai ciri-ciri trek bertaraf Sukan Olimpik, Kejohanan Trek Sedunia dan Klasik Piala Dunia dengan DBKL kini sudah memulakan proses penawaran tender sekali gus membayangkan velodrom tertutup Kategori Satu akan siap dalam tempoh terdekat. Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab menegaskan pembinaan velodrom Kategori Satu satu detik bersejarah buat Malaysia kerana bakal menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang boleh menawarkan diri untuk menganjurkan Kejohanan Trek Dunia dan Klasik Piala Dunia.

"Sebenarnya kita sudah pun menawarkan diri untuk menganjurkan kejohanan Klasik Piala Dunia dan Kejohanan Trek Dunia. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa)," katanya.


Buat masa ini DBKL sudah membuka proses tender bagi memanggil syarikat yang berminat menjadi kontraktor bagi membina velodrom itu. Mengulas mengenai velodrom sedia ada di Cheras, Abu Samah berkata, DBKL hanya akan merobohkan satu-satunya velodrom di Lembah Klang itu selepas velodrom tertutup itu siap dibina. Abu Samah yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC), menegaskan UCI sudah menamakan tiga syarikat juru perunding yang berdaftar dengan UCI bagi memastikan velodrom Kategori Satu itu mematuhi spesifikasi ditetapkan.


Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang membina sebuah velodrom Kategori Satu di Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

PKNS dalami budaya juara Real Madrid

Posted: 19 May 2013 09:01 AM PDT

Petaling Jaya: Akademi Bola Sepak PKNS bakal mendapat sentuhan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid apabila tiga jurulatihnya Pablo Gomez Revenga, Javier Garcia Torres dan Ivan Garcia Sacristan akan meluangkan masa selama tiga hari bermula 31 Mei ini bagi mengadakan klinik bola sepak di padang PKNS.

Kehadiran tiga jurulatih berpengalaman itu pastinya amat dinantikan 30 jurulatih tempatan serta 260 kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun yang menyertai klinik bola sepak buat kali pertama membabitkan kerjasama dengan Real Madrid.


Menurut Presiden Bolasepak PKNS Noor Hisham Mohd Ghouth, objektif utama penganjuran klinik bolasepak itu adalah untuk mendalami budaya juara yang diterapkan dalam kelab juara Eropah sembilan kali itu.

"Ini bukan mengenai teknikal atau latihan saja tetapi lebih penting ialah pertukaran ilmu. Kami dapat berkongsi pengalaman dan memahami budaya bola sepak sebenar di Eropah. Kami ingin tahu bagaimana untuk menerapkan budaya seperti itu di kelab ini.


"Real Madrid adalah juara, jadi budaya itu perlu kami tahu untuk menjadi juara suatu masa nanti," katanya.


Kehadiran Real bakal dimanfaatkan pemain-pemain untuk mempelajari asas disiplin untuk menjadi seorang pemain berjaya. "Bola sepak juga satu budaya dan cara hidup...untuk menjadi seorang pemain yang bagus, kena ada disiplin diri yang sangat tinggi," jelas Noor Hisham.

Menerusi program yang diatur pada 1 dan 2 Jun ini, 30 jurulatih tempatan dan 260 kanak-kanak terpilih dari rumah anak yatim dan miskin akan berpeluang berlatih bersama tiga jurulatih dari Yayasan Real Madrid itu selama tiga jam.


"PKNS dipilih untuk bekerjasama dengan Real Madrid dengan bantuan YKK sebagai penaja. Ini satu penghargaan," kata Noor Hisham.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

Sathianathan tetap tenang

Posted: 19 May 2013 09:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan tetap tenang meskipun menyaksikan anak buahnya dikejutkan dengan kekalahan di tangan pasukan di tangga tercorot Negeri Sembilan 1-2 Sabtu lalu sekali gus menjejaskan peluang mereka memintas peneraju liga LionsXII.

Bagi Sathianathan kekalahan itu memberi peringatan kepada skuad bimbingannya yang kini menduduki tangga kedua liga supaya tidak mengambil mudah baki empat perlawanan terakhir jika masih berhajat meraih gelaran musim ini.


"Ini satu pengajaran kepada pemain-pemain saya bahawa tiada pasukan yang mudah dikalahkan. Setiap perlawanan mereka perlu ambil serius," kata bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Tambahnya, ketinggalan dua mata di belakang pasukan dari Singapura itu yang mengumpul 35 mata dan beraksi kurang satu perlawanan tidak bermakna peluang mereka sudah tertutup.


"Sasaran kami pada awalnya adalah menduduki tiga tempat teratas tapi kami akan cuba mendapatkan kedudukan lebih baik. Kami perlu mengutip mata penuh dalam baki empat perlawanan lagi sambil mengharapkan pasukan lain akan mengalahkan LionsXII.


"LionsXII akan bertemu Johor (Darul Takzim), Kelantan dan Perak selepas ini dan itu bukan perlawanan yang mudah, jadi kami berharap agar pasukan lain dapat membuat kejutan," kata Sathianathan.

Tanpa kehadiran penyerang prolifik Marlon Alex James ternyata memberi kesan dalam aksi menentang Negeri Sembilan yang masih tercari-cari kemenangan pertama selepas 16 perlawanan.


Negeri Sembilan mendahului seawal minit pertama menerusi rembatan Mohd Fauzi Nan namun ATM bangkit menyamakan kedudukan menerusi percubaan kapten Hairuddin Omar pada minit ke-14 sebelum Mohd Nazrin Shah menghasilkan gol kemenangan enam minit kemudian.

"Memang kami memerlukan Marlon untuk memperkuatkan jentera serangan dan dengan tempoh rehat lebih kurang empat minggu sebelum menentang Selangor saya yakin Marlon (cedera di bahagian belakang) akan kembali beraksi," kata Sathianathan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

Aksi Hadi bikin Azraai bingung

Posted: 19 May 2013 09:00 AM PDT

Ipoh: Mohd Azraai Khor Abdullah hairan dengan ketumpulan Abd Hadi Yahya yang sering mensia-siakan peluang terbuka menjaring gol hingga menjejas pencapaian Perak dalam kancah Liga Super setakat ini.

"Kegagalannya menyumbat gol dari peluang terbuka merugikan pasukan. Saya tidak tahu apa yang terjadi kerana dalam latihan peluang seperti itu pasti tidak disia-siakan," kata ketua jurulatih skuad Seladang itu ketika mengimbau kekalahan 1-3 di tangan Terengganu di Ipoh, yang kini menjejaskan kedudukan Seladang yang turun ke tangga kesembilan.


"Saya yakin Rangel akan memastikan bola berada dalam gawang lawan jika mendapat peluang terbuka seperti itu," katanya.

Justeru Azraai berkata tempoh berehat sebulan akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan pasukan Perak.


"Saya berharap pemain yang mengalami kecederaan akan pulih dalam tempoh penangguhan liga kerana mereka sudah berehat terlalu lama," katanya.


Jurulatih itu berkata gejala yang melanda Perak itu seharusnya menjadi pengajaran kepada pengurusan pasukan ketika mengambil pemain untuk musim akan datang.

"Ada beberapa pemain yang berehat lebih lama daripada beraksi untuk pasukan. Perkara ini perlu dipantau agar tidak berulang kerana ia merugikan pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

Koo membara, Tan berduka

Posted: 19 May 2013 08:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Koo Kien Keat tetap membara dan bersedia untuk turun beraksi dalam aksi seterusnya namun, Tan Boon Heong mengakui dia kini kurang bersemangat selepas menjadi punca kekalahan 2-3 pasukan negara kepada gandingan Taiwan, dalam perlawanan pertama Kumpulan C Piala Sudirman semalam.

Kekalahan di tangan Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 18-21, 18-21 pada aksi pertama Malaysia ketika menentang Taiwan menyaksikan negara jajahan China itu memungut mata pertama.


Ketika nada kedua-dua pemain itu tidak lagi seiringan, mungkinkah tiba masanya untuk mereka dipadankan dengan gandingan lain? "Mereka mengawal permainan di depan jaring dan mengawal sepanjang perlawanan, semuanya tidak menjadi buat kami," kata Kien Keat yang sedia untuk beraksi menentang Jerman, esok namun Boon Heong tidak lagi yakin untuk beraksi.

Kekalahan 18-21, 18-21 kepada Sheng Mu-Chai Hsin itu menyebabkan Sonia Cheah yang dua kali menang ke atas Tai Tzu Ying di Piala Axiata, tidak mampu menanggung tekanan lalu tewas 7-21, 13-21 bagi membolehkan Taiwan mendahului 2-0.


Begitupun kapten pasukan negara, Datuk Lee Chong Wei mahu rakan sepasukannya melupakan apa yang sudah berlaku dan fokus untuk perlawanan seterusnya bagi memastikan Malaysia ke suku akhir.


"Kalah atau menang jangan salahkan diri atau orang lain, ini acara berpasukan. Kita mesti menyokong satu dengan yang lain dan saya harap Kien Keat-Boon Heong mampu bangkit selepas ini. Harap jangan jatuhkan semangat mereka lagi," kata Chong Wei.

Chong Wei tiada masalah menewaskan Yang Chih Hsun 21-8, 21-13 untuk menjadikan kedudukan 2-1, namun seperti diramal Vivian Hoo-Woon Khe Wei tidak mampu menghadiahkan mata penyamaan untuk menghidupkan peluang kemenangan apabila tunduk kepada Cheng Wen Hsing-Hsieh Pei Chen 17-21, 19-21 sekali gus memahat kekalahan pasukan negara.


Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turun dengan misi memungut satu lagi mata untuk perkiraan strategi pasukan negara melangkah ke pusingan kedua, turut bergelut ketika berdepan Lu Ching Yao-Lai Chia Wen apabila dipaksa bekerja keras sebelum menang 25-23, 21-11.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

No comments:

Post a Comment