Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Boleh bergaduh kerana ketiadaan air

Posted: 29 May 2013 11:55 AM PDT

Puchong: "Masalah ketiadaan air ini amat merunsingkan malah ada ketikanya penduduk bergaduh sesama sendiri akibat tertekan dengan kehidupan seharian mereka yang tidak terurus serta memenatkan selepas bekalan sering terputus," kata penduduk Pangsapuri Ruvena Villa, Noriah Said, 40.

Berikutan itu, lebih 4,000 penghuni pangsapuri berkenaan mahu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyegerakan tindakan menukar meter paip pukal yang digunakan sekarang kepada meter individu.


Menurutnya, apabila menggunakan meter individu masalah tunggakan air hanya tertanggung atas penyewa atau pemilik rumah dan tidak membebankan keseluruhan penduduk seperti mana yang berlaku sekarang.

"Kami amat berharap Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri ini mengemukakan segera permohonan menukar meter individu ini kepada SYABAS atau terus berdepan dengan masalah pemotongan bekalan air.


"Ketiadaan bekalan air bersih ini sudah tiga minggu berlarutan di sini sehinggakan penduduk terpaksa beratur panjang menadah air daripada pili bomba selepas waktu bekerja," katanya.


Penduduk R. Subramaniam, 36, berkata masalah bekalan air yang dihadapi penduduk berkenaan berpunca daripada tunggakan bil pangsapuri yang melebihi RM720,000 sehingga SYABAS bertindak menghentikan bekalan air.

Foto

PENDUDUK terpaksa menggunakan bekalan air daripada pili bomba berikutan pemotong air yang dilakukan SYABAS.

"Pihak JMB mendakwa meter rosak dan terdapat kebocoran paip di bawah tanah sehingga menyebabkan bil meningkat tinggi. Terus terang, keseluruhan penduduk di sini tidak mampu menjelaskan bil yang tertunggak lebih RM720,000 itu kepada SYABAS.


"Kami sudah mengemukakan masalah ini kepada Biro Pengaduan Awam Selangor di Shah Alam April lalu. Namun kesal dengan tindakan JMB yang dari awal tidak cuba menyelesaikan setidak-tidaknya membaiki paip bocor yang berlaku sehingga ke hari ini," katanya.

Dalam mesyuarat yang diadakan bersama JMB memutuskan setiap penghuni rumah perlu membayar bil tambahan RM25 untuk bil yang melebihi RM6 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Amaran geng lawan

Posted: 29 May 2013 11:53 AM PDT

Kapar: Kemunculan kain rentang yang memaparkan logo tertentu sekitar Pekan Meru sejak semalam dipercayai mempunyai hubung kait dengan kematian seorang lelaki juga ahli kumpulan kongsi gelap yang terbunuh akibat ditembak di sebuah restoran di Jalan Meru, awal pagi Isnin lalu.

Kain rentang yang dilekat ahli kumpulan kongsi gelap disertai mangsa dipercayai sebagai 'amaran' awal kepada kumpulan lawan bahawa mereka akan membalas dendam dan menuntut bela atas kematian rakan mereka.


Kemunculan kain rentang itu mendapat reaksi kurang senang daripada orang ramai yang melalui kawasan Meru selain menimbulkan kerisauan kejadian sama akan berulang.

Tinjauan Harian Metro semalam bagaimanapun tidak menemui kain rentang yang dimaksudkan kerana difahamkan pihak polis yang dimaklumkan perkara itu oleh orang awam mengambil tindakan drastik menurunkan kain rentang itu dengan kadar segera.


Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Jani Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan kewujudan kain rentang itu daripada orang ramai yang melalui kawasan Meru.


Menurutnya, polis mengambil tindakan segera dengan mengarahkan anggota bertugas untuk membuat rondaan sekitar daerah ini selain menurunkan kain rentang berkenaan.

"Kami faham kerisauan orang ramai dengan wujudnya kain rentang itu. Jadi tindakan menurunkan sudah dibuat di kawasan Meru dan sekitarnya. Namun, jika ada sesiapa yang melihat kain rentang yang mempunyai logo atau lambang tertentu diminta menghubungi polis.


"Polis juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan huru-hara dan suasana tegang agar menghentikan tindakan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang," katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan majlis sambutan hari lahir seorang lelaki dipercayai ahli satu kumpulan gengster bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditembak anggota kumpulan lain di sebuah restoran.


Bukan itu saja, seorang lagi anggota kongsi gelap yang diserang kini koma akibat ditetak dengan parang menyebabkan telinga kanannya hampir putus selain cedera di muka.


Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun yang terbunuh itu bersama 20 rakannya berada di premis berkenaan untuk menyambut hari lahir seorang ahli kumpulan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

5 lelaki perkosa remaja bergilir-gilir

Posted: 29 May 2013 11:52 AM PDT

Klang: Kegembiraan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah, di sini, menghabiskan waktu selepas sesi persekolahan dengan bertemu kawan lelakinya bertukar detik hitam dalam hidupnya apabila dia dirogol remaja terbabit dalam sebuah rumah di daerah ini, 23 Mei lalu.

Lebih malang, pelajar berusia 13 tahun itu turut dirogol empat lagi rakan temannya itu termasuk dua daripada mereka adalah adik beradik dalam dua kejadian berasingan dalam rumah berkenaan, lebih menyedihkan mangsa dirogol secara bergilir-gilir. Kejadian menakutkan itu berlaku selepas mangsa terpedaya dengan helah seorang daripada remaja itu yang membawanya ke sebuah pasar raya di Pandamaran jam 1.30 petang.


Sebaik tiba di situ, remaja itu bertemu dengan dua remaja lelaki lain dipercayai rakannya lalu membawa mangsa ke rumah seorang daripada mereka di kawasan berhampiran.

Sumber berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, mangsa diminta berehat dalam bilik selain diarahkan agar tidak membuat bising manakala semua remaja itu meninggalkan mangsa kononnya untuk melepak di luar.


Bagaimanapun, kira-kira jam 3.30 petang, ketiga-tiga remaja itu pulang semula ke rumah sebelum masuk ke bilik mangsa yang ketika itu dikatakan sedang tidur.


"Remaja itu kemudian mengetuk pintu bilik menyebabkan mangsa terjaga sebelum diminta melayan nafsu ketiga-tiga remaja berkenaan secara bergilir-gilir," katanya.

"Mangsa sekali lagi diminta pula melayan nafsu dua lagi remaja lain yang turut tinggal di rumah berkenaan.


"Selepas semua mereka selesai melempiaskan nafsu, mangsa dihantar pulang ke rumahnya dan diminta merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan sesiapa," katanya.

Harian Metro difahamkan, mangsa dihantar pulang oleh rakan sama yang membawanya dari sekolah kira-kira jam 11.30 malam dan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga yang kemudian membuat laporan polis.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop sewaktu dihubungi mengesahkan laporan daripada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Nyaris maut terkena tembakan penyamun

Posted: 29 May 2013 11:49 AM PDT

Jerantut: Seorang pemilik restoran nyaris maut selepas terkena satu das tembakan dilepaskan seorang penyamun yang berang dalam kejadian di Batu 1, Jalan Jerantut-Benta dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berusia 50 tahun cedera parah terkena tembakan dilepaskan penyamun terbabit yang menembusi lengan kiri hingga rusuk kirinya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, siasatan awal mendapati penyamun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo dan memakai topi keledar berpenutup penuh berhenti di depan mangsa yang sedang menyapu lantai restorannya sebelum pulang.

Menurutnya, penyamun terbabit kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan semua wang hasil perniagaannya.


Katanya, siasatan awal mendapati mangsa enggan mengikut arahan penyamun membuatkan lelaki itu berang dan menyingkap tudung dipakai isteri mangsa untuk merentap rantai leher dipakai wanita berkenaan yang berada berdekatan.


"Bagaimanapun, penyamun terkejut selepas melihat wanita berkenaan tidak mempunyai rantai emas sebelum penyamun melepaskan satu das tembakan yang terkena lengan kiri mangsa hingga menembusi rusuknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Tahan sakit 10 minit rempuh lori sampah

Posted: 29 May 2013 11:49 AM PDT

Port Dickson: Seorang wanita hanya mampu menahan azab hampir 10 minit akibat tersepit di tempat duduk pemandu apabila Perodua Kancil dipandunya merempuh belakang sebuah lori sampah berhampiran tapak pelupusan sampah Bukit Palong, Lukut, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa berusia 20-an itu cedera parah di kaki dan muka selepas kereta dipandu hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori berkenaan. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengekori lori itu yang menghala Lukut sebelum tiba-tiba hilang kawalan dan merempuhnya.


"Siasatan juga mendapati lori itu dipercayai mahu membelok ke kanan memasuki pintu utama tapak pelupusan sampah itu sebelum tiba-tiba kereta dipandu wanita itu merempuhnya dari belakang.

"Akibat rempuhan itu, wanita itu meraung kesakitan selepas tersepit hampir 10 minit di tempat duduk pemandu," katanya kepada, semalam. Katanya, mangsa yang kelihatan parah di muka dikeluarkan bomba dan terus dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.


"Pemandu lori berusia lingkungan 40-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah diambil keterangan," katanya.


Menurutnya, polis terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun mengesahkan menerima laporan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

No comments:

Post a Comment