Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Fergie, Scholes kongsi ucapan selamat tinggal

Posted: 11 May 2013 08:11 AM PDT

Manchester: Pengurus Manchester United Alex Ferguson akan berkongsi ucapan selamat tinggal kepada Old Trafford dengan Paul Scholes dalam perlawanan penuh emosi di Theatre of Dreams malam ini.

Ia adalah penampilan pertama Scholes sejak 5 Januari lalu selepas mengadu sakit lutut tetapi juga yang terakhir di tempat sendiri bersama United.


Scholes pernah memutuskan untuk meninggalkan United, Disember lalu selepas kembali daripada persaraan musim lalu.

Pakar bahagian tengah kelab itu memerlukan pembedahan lutut jika mahu terus bermain dan dia tidak bersedia untuk melalui semua itu.


Biarpun tanpa pembedahan dia percaya pada usia 38 tahun dan selepas 700 permainan untuk kelab itu, sudah tiba masanya untuk berundur dan memberi laluan kepada muka baru.


Begitupun pengurus, Ferguson bertekad mahu menurunkannya sebagai kesebelasan utama menentang Swansea yang dikendalikan Michael Laudrup.

Foto

SCHOLES

Ia akan menjadi perlawanan liga ke-498 buat Scholes bersama United dan masih kurang daripada 500, jika dia turut bermain dalam perlawanan terakhir menentang West Brom di tempat lawan.


Scholes bersara buat pertama kali pada akhir musim 2010-11 selepas United menjulang gelaran ke-19.

Begitupun dia kesal dengan keputusannya itu dan mula melatih pasukan simpanan dan kembali menyertai pasukan utama Januari tahun lalu.


Biarpun United kehilangan takhta kepada City musim lalu, Scholes tetap bersemangat untuk kembali tetapi kempen kali ini lebih tertumpu terhadap pergelutan memulihkan prestasi.


Dia bagaimanapun akan menyertai pemain lain malam ini untuk menjulang trofi kejuaraan liga kali -20 buat United dan 11, buatnya.


Ferguson, 71 dijangka meluahkan penghargaan kepada semua pemain tetapi tidak syak lagi, Scholes khususnya akan menyertai beliau untuk bersara.


Pengurus itu juga akan memastikan Ryan Giggs, 39, akan diturunkan dalam skuad utama supaya kedua-dua bintang itu boleh bergandingan buat kali terakhir di laman sendiri.


Giggs akan bermain untuk sekurang-kurangnya semusim selepas menandatangani kontrak setahun.


Rakan sepasukan, Jonny Evanas mengakui perlawanan menentang Swansea akan membawa mereka ke era yang tidak diketahui selepas Ferguson mengumumkan persaraan.


Begitupun dia mengharapkan proses peralihan berjalan lancar apabila David Moyes mengambil alih 1 Julai ini.


"Saya pasti ia satu hari yang sungguh emosional. Penting untuk beraksi dengan baik di Old Trafford tetapi memandangkan ini perlawanan terakhir kendalian pengurus itu di laman sendiri, ia memberi semangat tambahan untuk mempamerkan aksi hebat dan mendapat keputusan terbaik," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Supermokh 'Istimewa'

Posted: 11 May 2013 08:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketika membaca novel autobiografi SuperMokh: Legenda Bola Sepak Tanah Air, nama Reduan Abdullah (gambar) segera menjadi tumpuan. Buku setebal 177 halaman tulisan Zabidin Ismail, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu menceritakan kisah Allahyarham Mokhtar Dahari sejak kecil hingga ke akhir hayatnya. Reduan, sahabat karib Allahyarham lebih mengetahui apa yang menjadikan beliau pemain hebat yang masih gagal ditandingi pemain sekarang. Ikuti wawancara bersama beliau.

SOALAN: Apa pandangan anda mengenai buku ini?

JAWAPAN: Buku ini boleh dijadikan satu rujukan tetapi lebih baik jika ada gambar dan kejayaan yang dilakar beliau, dari mula Allahyarham bermain bola hingga ke akhir hayatnya. Tanpa gambar, sukar untuk generasi muda membayangkan siapa itu Mokhtar Dahari, mereka mungkin kenal nama tetapi bukan wajahnya.

S: Anda mengenali Allahyarham sejak sekian lama, malah pernah bermain bersama di Kampung Pandan. Bagaimana perkenalan anda dengan Allahyarham?

J: Saya berkenalan dengan Allahyarham sudah lama, ia bermula sejak kecil apabila kami bertanding dalam perlawanan persahabatan antara kawasan di antara kami yang mewakili Keramat menentang beliau yang mewakili Kampung Pandan. Pada masa itu memang selalu diadakan perlawanan persahabatan dan dari situlah saya mengenali Allahyarham.

Kemudiannya ada pemilihan untuk Piala Burnley yang mana saya dan Allahyarham terbabit sama dan persahabatan kami menjadi semakin rapat iaitu pada 1970.

S: Kali pertama bertemu Allahyarham, beliau itu bagaimana orangnya?

J: Melihat pada tubuh beliau, saya yakin beliau mempunyai potensi besar dalam sukan. Sebelum itu saya hanya tahu beliau seorang pemain bola sepak. Selepas kami kenal lebih rapat, saya dapat tahu beliau mewakili sekolah dalam hoki, olahraga tetapi lebih cenderung dalam bola sepak. Beliau juga bermain badminton dan sepak takraw. Beliau berbakat dalam semua sukan.

Saya rasa dia ada potensi untuk pergi lebih jauh, dengan susuk badan yang dimiliki serta gerak lariannya.

S: Selain itu, apa karakter yang membuat Allahyarham menonjol?

J: Beliau mesra dalam pergaulan, seorang yang ceria. Kawannya memang ramai.

S: Boleh ceritakan serba sedikit pengalaman bersama Allahyarham dalam satu pasukan?

J: Kami lebih kerap bersama dalam pasukan Selangor. Saya satu bilik dengannya. Ke mana saja pergi kami akan menginap di bilik sama. Kami sentiasa berbincang mengenai strategi perlawanan. Beliau seorang yang berdisiplin dengan apa dilakukannya terutamanya menjelang perlawanan. Beliau mahu fokus terhadap perlawanan dan tidak mahu ada gangguan.

S: Sewaktu bersama Selangor, apa pengalaman manis bersama Allahyarham?

J: Banyak. Jika dulu sebelum kami berkahwin, selepas habis liga, beliau mempelawa saya ke Singapura untuk melawat saudara-maranya dan bercuti di sana. Saya dengan keluarga arwah memang rapat.

S: Menurut buku ini juga, Allahyarham pernah bercadang untuk bersara beberapa kali tetapi apabila mengenangkan cintanya terhadap negara, kembali menyertai pasukan...

J: Beliau ada juga meluahkan hasrat untuk bersara, mungkin disebabkan keadaan semasa tetapi pujukan pegawai pasukan, terutama sekali pengurus pasukan seperti Allahyarham Datuk Harun dan Mazlan sukar untuk beliau berkata tidak, sebab arwah cepat 'memberi'. Disebabkan kegagalan untuk mara ke final, mungkin arwah rasa mahu bersara tetapi dengan pujukan pengurus pasukan, beliau berfikir untuk kembali. Ada juga kritikan yang dilemparkan media, sewaktu beliau tidak bermain baik dan itu menyebabkan beliau ingin mengundur diri daripada bola sepak. Selepas dipujuk, beliau kembali bermain dan ini menunjukkan beliau masih diperlukan negeri dan negara. Kita tidak nafikan pemain ada masanya mengalami penurunan prestasi. Beliau ambil itu sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi dan maju.

S: Allahyarham juga pernah mendapat tawaran di luar negara tetapi ditolak...

J: Yang saya tahu, beliau dapat tawaran ke Kuwait selepas Malaysia menang 3-1 ke atas negara itu dalam Pestabola Merdeka apabila pengurus pasukan Kuwait mempelawa untuk menyertai pasukan mereka tetapi beliau menolak. Tawaran lain hanya sekadar berita, tiada yang konkrit.

S: Jika dilihat pada prestasi yang Allahyarham miliki, pastinya lebih banyak tawaran diterima beliau ketika ini...

J: Sudah tentu, dengan imbuhan yang diterima pemain zaman sekarang, sudah tentu beliau akan mencuba di luar negara. Kevin Keegan pernah mengatakan beliau seorang penyerang terbaik. Dalam perlawanan di antara Malaysia dengan England B beliau menjaringkan satu gol yang begitu menarik dan mendapat pujian majalah bola sepak di sana.

S: Apa karakter yang ada pada Allahyarham yang tiada dengan pemain sekarang?

J: Pada pandangan saya, sikap merendah diri, sentiasa inginkan yang terbaik untuk diri dan negara. Beliau berlatih bersungguh-sungguh, tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak sepatutnya. Beliau lebih fokus terhadap kariernya sebagai pemain bola sepak. Pemain hari ini hanya lebih dari segi publisiti dan bukannya kemampuan mereka sebagai pemain bola sepak.

S: Adakah pemain ketika ini mempunyai kualiti setanding atau setidak-tidaknya menghampiri Allahyarham?

J: Saya lihat pemain ketika ini ada kesungguhan tetapi tidak mencukupi, bukan untuk mencapai yang kita inginkan sebagai pemain yang hebat, belum lagi. Arwah tetap arwah, keistimewaannya kerana kita kenal beliau pada masa itu. Kita sepatutnya boleh melahirkan pemain yang lebih baik memandangkan kita di zaman pemain profesional dan mata pencarian pemain sekarang hanya dengan bermain bola sepak. Dulu tidak, kita bekerja dan petangnya bermain bola, kita bermain sebagai amatur, tiada imbuhan besar pun yang kita dapat tetapi bagaimana kita lebih baik daripada sekarang. Dulu kemudahan latihan kurang tetapi dengan kemudahan yang kita ada sekarang, kita masih gagal melahirkan pemain yang lebih baik. Saya ingin melihat pemain yang lebih baik, mungkin lebih baik daripada arwah.

S: Kita banyak mendengar cerita-cerita di luar padang berbanding di dalam padang...

J: Ini yang kita tidak mahu. Sebagai pemain bola sepak, anda perlu tunjukkan kemajuan di padang. Itu yang kita hendak. Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Dari segi imbuhan, apa yang kami terima jauh daripada apa yang diterima sekarang tetapi, kami menampilkan permainan berkualiti di Asia Tenggara. Bila pergi ke Korea, mereka akan bertanya di mana Mokhtar, di mana Soh Chin Aun, di mana R Arumugam? Mereka berkata pemain kita berkualiti tinggi tetapi berbeza dengan sekarang. Kita hanya bangga di kawasan kita saja, tidak mampu pergi lebih jauh. Allahyarham Mokhtar mengagumkan semua dengan susuk tubuh, larian, rembatan, gelecek, tandukan dan kesungguhannya di padang. Soalnya, mengapa kita tidak mampu lahirkan pemain sehebat itu dengan kemudahan yang kita ada sekarang?

Dulu, kita menyertai kejohanan luar dan ia satu pendedahan tanpa perlu untuk berlatih di luar negara. Kita masih mampu melahirkan pemain hebat. Selain Allahyarham Mokhtar, kita ada Syed Ahmad, Sharuddin, Isa Bakar, James Wong, Hassan Sani. Kita masih mampu melahirkan penyerang tanpa perlu bergantung kepada pemain import. Ranking kita di Asia cukup baik dan menang pingat gangsa Sukan Asia dan dua kali ke Olimpik, dua kali menang Sukan SEA. Sekarang, siapa lagi yang kita boleh harapkan?

S: Akhir sekali, apa pandangan anda mengenai penerbitan buku membabitkan ahli sukan yang masih berkurangan?

J: Pada pandangan saya kita patut membukukan kisah ahli sukan yang berjaya supaya ia menjadi rujukan kepada generasi akan datang. Bagus jika dapat dibukukan kisah pemain yang berjaya, ia sesuatu yang dialu-alukan supaya generasi sekarang lebih tahu pencapaian atlet terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Pilih jadi guru PJ

Posted: 11 May 2013 07:55 AM PDT

Atlet lontar peluru negara, Adi Alifuddin Hussin pernah terfikir untuk menjadi guru Pendidikan Jasmani (PJ).

SOALAN (S): Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang..

JAWAPAN (J): Sewaktu kecil dulu, saya pernah terfikir mahu menjadi guru seperti emak dan ayah saya. Emak saya guru Bahasa Inggeris manakala ayah pula guru Matematik. Mereka masih mengajar hingga sekarang. Ayah saya kini seorang guru besar.

S: Adakah ada berminat mengajar mata pelajaran berkenaan atau ada subjek lain yang menjadi minat anda?

J:Saya mula menceburi sukan sejak darjah lima dan guru banyak memberi galakan, jadi saya berminat menjadi guru Pendidikan Jasmani. Memandangkan saya meminati sukan, saya rasa guru Pendidikan Jasmani lebih sesuai bagi saya.

S: Pernahkah ibu bapa anda mengajar anda di sekolah?

J: Tidak, tetapi mak ada juga mengajar saya bahasa Inggeris menerusi kelas tuisyen dikendalikannya di rumah. Ayah saya pula seorang yang tegas tetapi daripada apa yang saya tahu menerusi rakan yang pernah diajarnya, mereka memang guru penyayang. Begitupun kedua-dua mereka mendidik saya dengan baik, Alhamdulillah.

S: Pernahkah anda bayangkan bagaimana agaknya jika diajar oleh ibu bapa di sekolah?

J: Saya tidak dapat bayangkan bagaimana, sebab mereka tidak mengajar saya ketika di sekolah.

S: Sebagai 'guru Pendidikan Jasmani', apa pandangan anda mengenai pembangunan sukan di peringkat sekolah?

J: Pada pandangan saya, seseorang atlet itu dilahirkan di sekolah. Atlet muda dididik oleh cikgu menerusi sekolah, kemudian dari sekolah terpilih mewakili daerah dan begitulah seterusnya. Ramai yang tidak tahu mereka ini mempunyai bakat yang tidak ditonjolkan, jadi fokus perlu diberikan untuk pembangunan atlet di peringkat sekolah.

S: Bagaimana pula dengan anda?

J: Saya bermula sejak darjah lima dan mula serius sewaktu tingkatan satu. Saya menang kejohanan di sekolah, daerah dan juga memecahkan rekod di kejohanan Little Athletics Australia sewaktu di tingkatan dua. Malangnya rekod itu hanya bertahan setahun.

S: Kereta idaman anda?

J: Saya berminat memiliki Mitsubishi Lancer berwarna biru metalik tetapi masih belum ada lagi.

S: Jika anda tidak menyertai sukan lontar peluru, sukan apa yang akan anda ceburi?

J: Sewaktu bersekolah dulu, saya menyertai acara olahraga, bola sepak, hoki dan bola baling. Mungkin saya memilih bola baling.

S: Pemain bola sepak yang anda minati?

J: Saya mengambil program Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Bunyamin Omar dan Mahali Jasuli. Mereka pemain bola sepak yang saya betul-betul saya kenali.

S: Matlamat anda lima tahun lagi?

J: Saya berharap dapat ke peringkat yang lebih tinggi lagi, saya berminat untuk menyertai Olimpik. Meskipun sukar, kita tidak boleh berhenti berusaha.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Kejutan Thaznim

Posted: 11 May 2013 07:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Thaznim Hamdan cemerlang apabila mencatat 72 pukulan pada hari terakhir untuk 220 keseluruhan bagi mengungguli Kejohanan Golf Piala Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi/Akademi Golf Nasional, semalam.

Muhammad Thaznim gah mengenepikan rakan segandingan serta juara bertahan dan pilihan utama, Wafiyuddin Abdul Manaf yang sekadar berada di tangga kedua dengan 70 pukulan bagi mengumpul 223. Tempat ketiga turut memihak kepada UUM apabila Amirul Aizat Abdul Bahar yang mencatat 71 pukulan mengumpul 223.


UUM turut menjuarai kategori wanita apabila wakilnya, Hillferah Tan mendominasi hari penentuan semalam dengan catatan 75 pukulan bagi keseluruhan 228.

Hillferah menewaskan wakil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Khairunhanisah Azlan Hanif yang mencatat 72 (233). Tempat ketiga sekali lagi memihak kepada UUM dengan Nurul Atirah Abdullah mencatat 82 pukulan (244).


"Sebenarnya saya hadir ke kejohanan ini tanpa meletakkan sebarang sasaran untuk bergelar juara, apatah lagi menundukkan juara bertahan, Wafiyuddin. Namun siapa yang enggan menang cuma saya lebih utamakan peningkatan prestasi.


"Maka, kemenangan hari ini (semalam) umpama bonus buat saya. Meskipun pernah menewaskan Wafiyuddin dalam beberapa kejohanan lain sebelum ini, bagi saya dia pemain yang hebat.

"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan prestasi saya sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung. Saya amat berpuas hati pada persembahan hari terakhir ini dan berharap agar ia terus konsisten di masa akan datang," kata Muhammad Thaznim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Murray tersungkur

Posted: 11 May 2013 07:48 AM PDT

Madrid: Cubaan terbaru Andy Murray untuk meraih gelaran pertama di gelanggang tanah liat berakhir selepas tewas kepada Tomas Berdych di perlawanan suku akhir Terbuka Madrid semalam, sekali gus menjadikan Rafael Nadal satu-satunya daripada empat pemain terbaik dunia yang masih berjuang dalam kejohanan Masters.

Murray, pemain nombor tiga dunia itu tewas dalam dua perlawanan di gelanggang tanah liat menentang Berdych, naib juara kepada Roger Federer tahun lalu dan tewas 7-6, 6-4 kepada pilihan keenam dari Republik Czech sebaik Nadal menewaskan rakan senegaranya dari Sepanyol, David Ferrer 4-6, 7-6, 6-0.


Federer, pilihan kedua kejohanan yang kembali selepas berehat selama tujuh minggu, tewas di pusingan ketiga kepada pemain Jepun, Kei Nishikori kelmarin selepas pemain nombor satu dunia Novak Djokovic kalah mengejut kepada Grigor Dimitrov.

Kuartet hebat yang membabitkan Djokovic, Federer, Murray dan Nadal mendominasi 26 perlawanan berturut-turut mulai Rome 2010 apabila kesemua mereka terbabit dalam kejohanan sama.


Nadal yang memburu gelaran keempat sejak kembali daripada kecederaan lutut Februari lalu, akan bertemu Pablo Andujar di separuh akhir selepas rakan senegaranya, pemain wildcard yang menduduki tangga ke-113, mengecewakan pilihan ke-14, Nishikori di suku akhir.


Berdych, yang masih belum menang sebarang gelaran tahun ini akan berdepan pilihan ke-15, Stanislas Wawrinka untuk tiket ke final malam ini selepas pemain Switzerland menewaskan pilihan ketujuh Jo-Wilfried Tsonga dari Perancis 6-2, 6-7, 6-4.

"Biarpun saya tidak bermula baik, saya masih mampu memanfaatkan set pertama dan ia cukup penting," kata Berdych.


"Memang sukar setiap kali menentangnya (Murray)," kata pemain berusia 27 tahun itu.

"Biarpun kami bermain dua set, ia begitu lama. Anda perlu berjuang bermati-matian untuk mendapatkan peluang itu." Murray pula kecewa kerana tidak memanfaatkan dua daripada sembilan peluangnya untuk mematahkan servis Berdych dan mengalami kesakitan pinggul sejak awal permainan. "Saya bermain dalam perlawanan yang panjang semalam (kelmarin) dan berakhir lewat, jadi saya rasa sakit pada awal permainan tapi ia menjadi semakin baik selepas itu. Pemain Sepanyol selalunya lambat panas, jadi anda perlu membiasakan diri," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Garcia dahului 11 pukulan

Posted: 11 May 2013 07:46 AM PDT

Florida: Sergio Garcia melakukan tujuh bawah par 65 untuk mendahului dengan 11 pukulan selepas pusingan kedua Kejohanan Pemain di Sawgrass, kelmarin.

Pemain dari Sepanyol itu melakukan lapan birdie termasuk lima berturut-turut bermula dengan lubang kedua bagi membolehkannya mendahului Tiger Woods dengan satu pukulan.

Woods yang juga pemain nombor satu dunia menyamai catatannya di pusingan pertama dengan 67 pukulan bagi 10 bawah par manakala wakil England, Lee Westwood ketinggalan satu pukulan dengan sembilan bawah par untuk 66.

Pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy pula mencatat 72, ketinggalan lima pukulan untuk berada 6 bawah par.


Garcia yang bermula dari lubang ke-10, mencatat enam par sebelum melakukan birdie pertamanya di lubang ke-16 par lima dan mengulanginya di lubang ke-18 untuk enam bawah par.


Bogey di lubang pertama menjejaskan rentak cemerlangnya buat seketika, tetapi enam birdie dalam tujuh lubang berikutnya, termasuk lima berturut-turut, meletakkan dia di depan.

"Saya rasa saya bermain lebih baik pada lubang ke-10 hingga 18 berbanding lubang pertama hingga sembilan, tapi saya memanfaatkan banyak pukulan putt pada sembilan lubang pertama itu," kata Garcia yang pernah menjuarai kejohanan berkenaan pada 2008.

"Ini antara padang golf kegemaran saya. Saya dapat rasakan rentak permainan saya bertambah baik dan berharap dapat kekal konsisten," katanya.

Woods yang gembira dengan catatan 67 pukulannya berkata: "Saya masih belum dapat temui sentuhan yang diharapkan dalam masa seminggu ini. Saya pernah melakukannya dua kali, tapi bagi sebahagian besar musim sebelum ini saya belum melakukan yang terbaik. Tapi, setakat ini, untuk tahun ini, saya sudah mula menjadi.

"Saya sekali lagi dapat menangani lubang yang mempunyai par lima dengan baik. Saya rasa tiada masalah untuk mencatat pukulan baik pada tujuh atau lapan lubang pertama," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Villas-Boas gesa Bale ikat kontrak baru

Posted: 11 May 2013 07:44 AM PDT

London: Andre Villas-Boas menggesa Gareth Bale untuk menandatangani kontrak baru di Tottenham sekali gus menamatkan sebarang spekulasi mengenai masa depannya.

Bale, 23, masih terikat dengan kontrak di White Hart Lane sehingga 2016, namun kelab itu berminat untuk melanjutkan tempoh berkenaan yang dilaporkan turut menawarkan ganjaran lebih baik buat penyerang berkenaan.


Pemain dari Wales itu sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan Manchester United. "Lebih baik jika dia menandatangani kontrak baru. Saya rasa dia berhak diberikan kontrak baru berdasarkan persembahan cemerlangnya sepanjang musim ini," kata Villas-Boas.

Minggu ini, Bale dinobat sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Sukan Bola Sepak, dua minggu selepas dia turut meraih anugerah Pemain Terbaik Persatuan Bola Sepak Profesional dan Pemain Muda Terbaik.


Selain Bale, setakat ini hanya dua pemain yang berjaya meraih dua anugerah PFA pada musim sama iaitu Andy Gray (1976-1977) dan Cristiano Ronaldo (2006-2007).


Bale tampil memberangsangkan musim ini dengan 20 gol dalam kancah Liga Perdana - 25 jaringan dalam semua perlawanan untuk Spurs - dan persembahan jitunya itu menarik minat kelab tempatan dan luar negara.

Setakat ini hanya Robin van Persie dari Manchester United dan pemain Liverpool, Luis Suarez berjaya mengatasi jumlah jaringan Bale bagi musim ini.


"Jelas sekali kita kini boleh melupakan semua spekulasi yang wujud (mengenai masa depan Bale). Kontrak barunya itu akan melengkapkan pencapaiannya bagi musim ini," kata Villas-Boas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

No comments:

Post a Comment