Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Liga Juara-Juara penting

Posted: 20 May 2013 10:08 AM PDT

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger percaya kejayaan menempah tempat ke Liga Juara-Juara musim depan amat penting untuk kelab itu memancing ramai pemain terbaik.

Gol tunggal Laurent Koscielny membantu Gunners menewaskan Newcastle, 1-0 untuk menamatkan cabaran Liga Perdana musim ini di tangga keempat.


"Layak ke Liga Juara-Juara memudahkan kami menarik minat pemain menyertai kelab ini. Dalam tiga bulan terakhir, kami beraksi dengan konsisten," katanya.

Wenger mempunyai peruntukan besar untuk dibelanjakan pada musim panas ini dan beliau berkata, tarikan beraksi dalam liga terbaik di Eropah akan memberi kelebihan kepada mereka membentuk semula skuad terbaik.


"Kami menang setiap perlawanan di tempat lawan dan ia meningkatkan keyakinan untuk memulakan saingan musim depan," kata pengendali dari Perancis itu.


"Kami perlukan kestabilan dan kekuatan dalam pasukan ini kerana banyak pasukan lain membuat pelaburan besar. Saingan makin sukar dan tidak ramai pemain hebat berbanding duit yang kelab miliki dalam bola sepak sekarang." Wenger memuji sikap pemainnya apabila memenangi lapan daripada 10 perlawanan Liga Perdana terakhir untuk melenyapkan jurang tujuh mata di belakang Spurs selepas tumpas kepada musuh ketat itu 3 Mac lalu.

Foto

GOL tunggal jaringan Koscielny (tengah) bantu Arsenal raih tempat keempat.

Pengurus Gunners itu menegaskan, kemenangan pasukannya dalam aksi Liga Juara-Juara ke atas Bayern Munich 10 hari kemudian membangkitkan semangat mereka selepas berdepan situasi sukar musim ini.


Arsenal disingkirkan pasukan Liga Dua Bradford daripada Piala Liga, tumpas kepada Blackburn dalam Piala FA dan kecundang di tangan Bayern di laman sendiri dalam Liga Juara-Juara sebelum menang di Jerman.

Sejak menewaskan Bayern, Arsenal memenangi semua lima perlawanan terakhir Liga Perdana di gelanggang lawan, menyamai rekod 2004. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Pengajaran berguna

Posted: 20 May 2013 10:05 AM PDT

Paris: Kegagalan di Litar Le Mans tidak melemahkan semangat penunggang muda negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Pemuda berusia 19 tahun dari Cheras itu mahu bangkit membuktikan keupayaan pada pusingan kedua Kejuaraan CEV Buckler Sepanyol di Litar Aragon, hujung minggu ini.


Bagi Hafizh, dia tidak akan berputus asa menempatkan diri dalam kalangan pelumba terbaik dunia satu hari nanti.

"Hari ini (kelmarin) kalah, saya terima hakikat itu tapi tidak akan berdiam diri kerana tahu satu hari nanti saya akan menang juga. Tak mungkin selama-lamanya saya mengalami kekalahan," katanya.


Masalah patah pemegang klac apabila terjatuh seawal selekoh keempat kategori Moto2 Kejuaraan Motosikal Grand Prix Perancis di Le Mans kelmarin menjadi punca kegagalannya beraksi baik dan sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-22.


Lantaran dia gagal mengulangi kehebatan beraksi secara wildcard di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu apabila menghuni tangga keempat dan berjaya mendahului perlumbaan buat beberapa pusingan.

Episod di Le Mans kini mahu dilupakan pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu yang kembali tampil memberikan saingan pada Kejuaraan CEV Buckler hujung minggu ini, kejohanan yang dikelolakan penganjur MotoGP, Dorna dan menjadi pentas pemilihan pelumba terbaik ke kejuaraan dunia.


"Saya akan kembali ke Sepanyol dan memberikan tumpuan kepada perlumbaan di Aragon." Pada pusingan pertama di Litar Catalunya bulan lalu, Hafizh bermula dengan cemerlang apabila mengungguli setiap sesi latihan bebas, kelayakan dan memanaskan badan namun pada perlumbaan sebenar, dia terjatuh dan gagal mengutip sebarang mata.

"Saya akan lebih berhati-hati selepas ini. Le Mans memberikan saya pengajaran berguna menghadapi banyak lagi perlumbaan selepas ini. Saya perlu lebih fokus berdepan setiap perlumbaan." Pada musim sulung Kejuaraan CEV Buckler tahun lalu, Hafizh menduduki tangga keenam keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Emir Fareez makin matang

Posted: 20 May 2013 10:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba muda CP115, Mohd Emir Fareez Hasan berazam meningkatkan prestasi pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berlangsung di Terengganu, halaman sendiri pasukannya pada 24 dan 25 Mei ini.

Pelumba Suzuki FortyOne Racing yang beralih ke kelas CP115 musim ini yakin litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak memberikan sedikit kelebihan kepada mereka dalam usaha menempatkan diri di kelompok depan pada setiap perlumbaan.


Pencapaian menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh di Melaka juga memberi petanda jentera Suzuki berupaya memberikan cabaran kompetitif pada musim ini.

"Saya menantikan perlumbaan minggu ini. Litar ini boleh dianggap sebagai gelanggang kami yang berpangkalan di sini. Saya juga percaya litar ini sesuai dengan gaya saya dan jika ditambah dengan jentera baik, tidak mustahil saya mampu mencapai keputusan lebih baik berbanding Melaka," kata Emir yang turut bergandingan bersama abangnya, Mohd Emir Firdaus dalam pasukan Suzuki FortyOne.


"Abang juga banyak membantu. Dia bertindak sebagai mentor dan berkongsi pengalaman serta pengetahuannya. Saya yakin tunjuk ajarnya mampu memantapkan lagi aksi saya dalam kelas ini." Emir Fareez kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan dengan sembilan mata berkata, musim pertama beralih kelas ini pasti sukar tetapi dia akan menggunakan setiap pusingan untuk menimba ilmu baru. "Setakat ini, jentera Suzuki kami mampu memberikan saingan kompetitif tapi saya perlu tingkatkan kemahiran untuk berdepan pelumba lain." Maklumat lanjut hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, www.malaysiancubprix.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Ketepikan beregu utama

Posted: 20 May 2013 10:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Berdasarkan prestasi dipamer Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kelmarin, gandingan utama negara ini tidak seharusnya menjadi pilihan ketua jurulatih beregu Tan Kim Her untuk turun beraksi menentang Jerman hari ini kerana setiap mata amat ditagih bagi memastikan Malaysia mencapai kemenangan pertama sekali gus memburu tempat ke suku akhir Piala Sudirman.

Kim Her seharusnya mendapat pengajaran berguna dengan mengetepikan kedudukan ranking, sebaliknya mengutamakan prestasi semasa atlet.


Begitupun Kim Her seperti tidak berani untuk mengetepikan gandingan ini.

"Kami perlu berbincang dengan semua jurulatih selain bersemuka dengan pemain. Keputusan siapa akan diturunkan hanya akan diputuskan tengah hari esok (hari ini)," kata Kim Her.


Atas kertas, pilihan yang ada bagi Kim Her adalah menurunkan beregu kedua Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang masih segar dengan kemenangan dua set tanpa balas ke atas gandingan utama Jerman, Ingo Kindervater-Johannes Schoettler di Seluruh England lalu, namun selepas kekalahan Kein Keat-Boon Heong kelmarin, Thien How seolah-olah goyah untuk beraksi.


Justeru Kim Her tiada pilihan lain, harus menurunkan Goh V Shem-Lim Khim Wah biarpun gandingan ini tewas kepada pasangan Jerman terbabit di Terbuka Jerman lalu.

Perkara positif adalah gandingan ini menunjukkan peningkatan apabila muncul juara GP Emas Terbuka Malaysia dengan mengalahkan Kien Keat-Boon Heong serta mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC) bulan lalu.


Ketika berdepan konflik menentukan siapa beregu lelaki yang boleh diharapkan untuk aksi menentang Jerman, ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek bagaikan pasti menurunkan Datuk Lee Chong Wei dan Sonia Cheah dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

"Saya harap beregu lelaki kita menghadiahkan mata kerana apa yang berlaku terhadap Sonia Cheah kelmarin disebabkan dia tidak dapat mengekang tekanan selepas Kien Keat-Boon Heong hilang satu mata penting, lalu permainannya tidak menjadi," kata Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Cabaran Malaysia di hujung tanduk

Posted: 20 May 2013 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Bersedialah dengan kemungkinan berdepan China di suku akhir atau lebih buruk, diaib Jerman hari ini kerana Taiwan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir sebagai juara Kumpulan C selepas menewaskan Jerman.

Meskipun tewas, Jerman tetap berazam ingin mengatasi Malaysia sekali gus mencuri satu lagi slot ke suku akhir bagi mengiringi Taiwan.


"Saya harap Malaysia menurunkan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kerana ada peluang untuk menang ke atas mereka," kata beregu lelaki negara itu, Johannes Schoettler.

"Jika Malaysia tidak menurunkan Kien Keat-Boon Heong sekalipun, kami tetap mahu sumbangkan satu mata menerusi beregu lelaki." Semalam gandingan utama Jerman itu tewas kepada kombinasi Taiwan, Lee vSheng Mu-Tsai Chia Hsin 18-21, 7-21.


Schoettler yang bergandingan dengan Ingo Kindervater tewas kepada Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pada Seluruh England tahun ini namun menang pertemuan tunggal dengan beregu ketiga negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah di Terbuka Jerman, Mac lalu.


Jerman dilihat memiliki kekuatan seimbang namun ketiadaan perseorangan wanita nombor satu negara itu, Juliane Schenk dan perseorangan lelaki Marc Zwiebler menjejaskan kekuatan mereka.

Negara itu juga memiliki beregu campuran mantap, Michael Fuchs-Michels Birgit yang tewas pertarungan tiga set kepada gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Lai Chia Wen 21-13, 20-22, 21-23 ketika gandingan utama negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berada pada tahap prestasi tidak menentu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

'Kami juga mahu tewaskan China 5-0'

Posted: 20 May 2013 10:01 AM PDT

Kuala Lumpur: "Jika China mahu jadikan kami sebagai mangsa, kami juga mahu menewaskan mereka 5-0," kata Pengarah Prestasi Tinggi (HPD) Badminton Indonesia Rexy Mainaky mengenai pertemuan Indonesia-China pada perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini.

Semalam ketua jurulatih China Li Yongbo berkata, pasukannya yakin mampu membelasah Indonesia 5-0 dan kenyataannya itu sememangnya berasas jika rekod menjadi ukuran namun semangat sepasukan Indonesia juga sering menjadi kekebalan pasukan itu selama ini.


"Ya kami datang dengan misi khas meskipun sedar ia mungkin mustahil. Kemenangan ke atas India sudah kami jangka 4-1 atau 3-2 dan kemenangan ini (semalam) melonjakkan lagi keyakinan pasukan." Semalam Indonesia menang 4-1 ke atas India, dengan hanya Dionysius Hayom Rumbaka kalah kepada P Kashyap.

"Dalam acara berpasukan apa saja boleh berlaku seperti Dionysius yang sebelum ini menewaskan Kashyap dua kali tapi dia tewas pula kali ini," kata Rexy.


Liliyana Natsir yang bergandingan dengan Tantowi Ahmad dalam beregu campuran juga menaruh keyakinan terhadap pasukannya apabila berdepan China hari ini.


"Tiada yang mustahil kerana kali terakhir saya bertemu gandingan China, kami menewaskan Zhang Nan-Zhao Yunlei di Seluruh England lalu," kata Liliyana.

Gandingan itu muncul juara Seluruh England dengan menewaskan gandingan nombor tiga dunia China itu pada final namun negara Tembok Besar itu memiliki satu lagi beregu campuran yang berada di ranking pertama dunia, Xu Chen-Ma Jin.


Jika China menurunkan gandingan nombor satu dunia ini, Indonesia juga boleh bermain strategi menurunkan gandingan nombor lapan dunia, Muhammad Rijal-Debby Susanto yang menyingkir gandingan China itu di suku akhir Seluruh England, Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Bookie ' Main Darah'

Posted: 20 May 2013 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Gejala mengatur perlawanan dalam liga bolasepak tempatan tampak semakin meruncing apabila beberapa pemain pasukan Liga Malaysia (Liga-M) didakwa menerima ancaman bunuh jika tidak mengikut arahan sindiket perjudian itu.

Menurut sumber dalaman pasukan itu, ada pemain kini hidup dalam ketakutan kerana ancaman sindiket dan mahu membuat laporan polis.


"Mereka menerima ancaman bunuh itu kerana tidak mahu mengikut arahan sindiket. Namun mereka teragak-agak nak membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Senario yang didedahkan itu menceritakan betapa parahnya kegiatan bookie yang menjadikan Liga-M sebagai pusat mengaut keuntungan dengan menjadikan pemain sebagai mangsa.


Bagaimanapun masalah itu tidak akan berakhir selagi tiada pihak berani tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.


Pengerusi Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Aseh Che Mat yang dimaklumkan mengenai perkara itu berkata, sesuatu lebih serius perlu dilakukan demi keselamatan pemain dan sukan bolasepak tanah air.

"Jika ada pemain Liga Malaysia menerima ugutan bunuh, laporkan segera kepada pihak berkuasa. Ini perkara serius. Jika benar dakwaan itu, saya gesa pemain terbabit buat laporan polis.


"Perbuatan tidak bermoral mengatur perlawanan ini sememangnya menjadi musuh nombor satu sukan negara," katanya.

Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa FAM bagi menangani gejala mengatur perlawanan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis menegaskan akan menyiasat perkara itu dengan lebih terperinci.


"Kita akan siasat perkara ini dengan lebih mendalam sebelum keselamatan mereka diancam lebih teruk." Ini bukan dakwaan pertama membabitkan ancaman bookie apabila seorang pemain sebuah pasukan Liga-M diugut supaya tidak beraksi dalam satu perlawanan awal tahun ini.


Jika dakwaan itu berlaku, ia pastinya menceritakan betapa gejala mengatur perlawanan sentiasa menghimpit liga tempatan sejak skandal rasuah terbesar pada 1994.


Sejarah hitam yang sukar dilupakan itu menyaksikan 126 pemain dan jurulatih dipanggil membantu siasatan hingga mengakibatkan 58 daripada pemain dikenakan hukuman pergantungan satu sehingga empat tahun oleh FAM.


Selain itu, 21 pemain dan jurulatih diberhentikan dan beberapa pemain digantung seumur hidup dan dibuang daerah selain tidak dibenarkan menyertai kejuaraan di bawah pengelolaan FAM.


'Wabak' itu tidak berhenti di situ apabila seramai 11 pemain Piala Presiden Negeri Sembilan digantung antara setahun dan lima tahun manakala bekas jurulatih Yusarman Yusof digantung seumur hidup pertengahan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Tok Gajah laung amaran

Posted: 20 May 2013 09:59 AM PDT

Kuantan: Awas Negeri Sembilan, kami mahu tiga mata. Itu amaran diluahkan Pahang dalam misi melakar kemenangan pertama selepas memperoleh tiga keputusan seri berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini.

Pahang seri 2-2 ketika menentang Selangor dan Terengganu manakala terbaru, anak buah ketua jurulatih Dollah Salleh itu mengikat pendahulu liga, LionsXII, 1-1.


Walaupun boleh dianggap keputusan membanggakan, apatah lagi mereka berupaya mengekang LionsXII daripada terus bermaharajalela, Dollah mahu setiap pemain bangkit melakar kemenangan dan bukan lagi seri.

Negeri Sembilan mungkin dianggap lawan mudah dan menduduki tangga tercorot liga namun kejayaan skuad Rusa membenam ATM 2-1, Sabtu lalu pasti memaksa Pahang mengerah kudrat lebih jitu jika ingin menang di Paroi, malam esok.


Bagi Dollah, anak buahnya perlu lebih fokus dan tidak mempersia-siakan peluang menjaringkan gol kerana faktor itulah yang kerap menafikan mereka daripada berada di kedudukan lebih selesa berbanding tangga kelima liga ketika ini.


"Saya mahu pemain bijak memanfaatkan peluang dan lebih berhati-hati dengan kebangkitan Negeri Sembilan. Mereka pasti mahu mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam usaha melonjak keluar dari dasar liga.

"Kami perlu menang kerana hanya kemenangan akan memperbaiki kedudukan kami," katanya.


Sementara itu, penjaga gol ketiga Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid berkemungkinan besar diberi tanggungjawab menjaga gawang berikutan prestasi tidak konsisten Rosfaizul Azuar Ali seperti dipamer ketika menentang LionsXII selepas penjaga gol utama, Mohd Nasril Mat Nordin belum sembuh daripada kecederaan jari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Ridzuan gesa NS pamer aksi konsisten

Posted: 20 May 2013 09:58 AM PDT

Seremban: Selepas berjaya dalam tugasan pertama membawa Negeri Sembilan melakar kemenangan sulung musim ini, Sabtu lalu, Ridzuan Abu Shah kini berdepan tugas lebih mencabar apabila melayani kunjungan Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok.

Dia kini kehilangan tonggak pertahanan, William Paul Modibo akibat penggantungan manakala penyerang import, Leandro Barbosa Fabio masih belum cergas hingga memaksanya menyandarkan harapan penuh kepada pemain tempatan.


"Persiapan menentang Pahang lebih mencabar. Ketiadaan Modibo pasti memberi kesan walaupun ada pemain boleh menggantikannya namun hakikatnya kali ini lebih sukar kerana saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan.

"Namun saya harap mereka boleh menggalas tanggungjawab dengan baik," katanya.


Ridzuan berkata, kelebihan gelanggang sendiri tidak harus disia-siakan untuk mencari tiga mata bagi keluar daripada kedudukan tercorot carta liga.


Katanya, bukan mudah menentang skuad bimbingan Dollah Salleh kerana dibarisi barisan pemain mantap tapi mengharapkan pengalaman menentang Tentera digunakan sebaik mungkin.

"Saya akan melakukan beberapa perubahan membabitkan pertahanan dan tengah bagi mengimbangi kekuatan Pahang dan berharap strategi itu akan membuahkan hasil." Beliau yang mengambilalih tugas itu bermula Selasa lalu turut mengekalkan Mohd Fauzi Nan sebagai kapten.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

'Saya tak resah'

Posted: 20 May 2013 09:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Hakikat semua pasukan yang bakal beraksi di saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia mempunyai reputasi hebat serta menduduki ranking lebih baik berbanding skuad negara langsung tidak mengundang resah ketua jurulatih Paul Revington.

"Tidak kisah sama ada Pakistan, England atau Afrika Selatan, semua itu tidak penting bagi saya. Faktanya ialah semua pasukan yang bertanding menduduki ranking lebih baik tapi kalau kami mampu berikan cabaran, apa saja boleh berlaku.


"Kami akan amal strategi menyerang ke atas semua pasukan, sama seperti dilakukan pada saingan Piala Sultan Azlan Shah lalu.

"Yang penting, setiap pemain perlu positif setiap kali turun mengharungi perlawanan dengan matlamat akhir cuba menamatkan saingan pada kedudukan terbaik," kata Revington yang tetap tenang meskipun sedar kejohanan itu cukup penting untuk mencari tiket ke Piala Dunia 2014.


Berlangsung pada 29 Jun hingga 7 Julai di Johor Bahru, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama gergasi Eropah, England, negara kelahiran Revington, Afrika Selatan serta Pakistan.


Berdasarkan jadual dikeluarkan Persekutuan Hoki Dunia (FIH), skuad negara bertemu Pakistan pada perlawanan pertama sebelum turun menentang Afrika Selatan dan England.

"Pakistan tetap kuat meskipun dikritik hebat selepas keputusan hambar di Sukan Olimpik. Tapi mereka tetap konsisten.


"Kekuatan sebenar England pula tidak diketahui tapi masih berbahaya. Begitu juga Afrika Selatan yang mempunyai barisan pemain bagus. Yang pasti kita tidak akan memandang rendah semua lawan." Semua perlawanan membabitkan skuad negara berlangsung lewat petang serta malam sekali gus dikatakan memberi kelebihan kepada skuad negara, apatah lagi beraksi di halaman sendiri tetapi Revington tidak bersetuju dengan dakwaan sedemikian.

"Ia mungkin memberi sedikit kelebihan kepada kita tapi negara seperti Argentina, Korea, England dan Jerman pasti cepat menyesuaikan diri dengan cuaca panas di sini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

No comments:

Post a Comment