Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Nyaris lemas dibawa arus

Posted: 14 May 2013 12:24 PM PDT

Kuala Selangor: Dua lelaki disyaki penagih dadah bertindak nekad terjun ke dalam sungai apabila lokasi mereka melepaskan gian diserbu sepasukan tujuh anggota polis dari Balai Polis Jeram yang melancarkan 'Ops Tapis' dalam kebun kelapa sawit di Kampung Parit Mahang, dekat sini petang kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan kedua-dua lelaki berusia 30-an itu sia-saia apabila mereka akhirnya diberkas kerana terpaksa berpatah balik dan diselamatkan anggota terbabit berikutan arus sungai yang deras serta hampir meragut nyawa mereka.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, serbuan selama empat jam itu dilakukan anggota dari Cawangan Peronda Jenayah (CPJ) balai berkenaan bermula kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai selepas kawasan berkenaan didapati sering menjadi 'port' penagih melepaskan gian.


"Lapan lelaki berusia 19 hingga 41 tahun diberkas dalam serbuan itu dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut. Ujian air kencing dijalankan mendapati semua mereka positif dadah dan kini ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.


Sementara itu, Harian Metro yang kebetulan berada di lokasi kejadian sempat memerhatikan aksi kumpulan penagih terbabit dalam usaha mereka meloloskan diri sebaik diserbu.

Foto

TUJUH penagih dadah yang cuba memperdayakan polis untuk meloloskan diri ditahan.

Selain terjun ke sungai, ada antara penagih berkenaan memberi pelbagai alasan sebaik ditahan kononnya mengunjungi lokasi berkenaan untuk melihat kebun sawit sedangkan kebun berkenaan sebenarnya milik penduduk yang tinggal di situ.


Antara alasan yang diberikan ialah: "Saya datang ke sini untuk melihat kebun kelapa sawit saya encik... tidak tahu pulak kebun saya ini jadi tempat penagih melepaskan gian."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Khalid perlu lunas janji selesai masalah

Posted: 14 May 2013 12:21 PM PDT

Shah Alam: Pelantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua diharap dapat menyelesaikan pelbagai masalah setempat yang masih gagal diselesaikan sejak lima tahun lalu.

Selain itu, Abdul Khalid juga perlu menunaikan janji terdahulu yang dibuat kepada rakyat Selangor selain menunaikan janji yang terdapat dalam manifesto pakatan pembangkang untuk negeri ini ketika berkempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.


Penganalisis Politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, walaupun mendapat mandat untuk kembali mentadbir Selangor, Abdul Khalid perlu membuktikan beliau adalah pemimpin yang berpegang pada janji.

"Kalau dalam tempoh lima tahun lalu, banyak perkara termasuk janji kepada rakyat yang tidak dilaksanakan. Jadi mandat baru yang diberikan ini perlu digunakan untuk membuktikan kepada rakyat janji yang dibuat akan dilaksanakan.


"Abdul Khalid termasuk barisan Exco kerajaan negeri perlu menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam pelbagai perkara dan menolak kepentingan politik dengan mengutamakan rakyat. Sebagai contoh Projek Langat Dua, kedua-dua kerajaan perlu duduk semeja dan berbincang bagi memastikan projek itu dilaksanakan. "Banyak manfaat yang akan diperoleh sekiranya projek berkenaan dilaksanakan bukan saja dari segi pelaburan, malah rakyat juga mendapat manfaat apabila masalah bekalan air yang sering membelenggu penduduk Lembah Klang dapat dipulihkan sepenuhnya," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Kaedah bersemuka demi khidmat terbaik

Posted: 14 May 2013 12:21 PM PDT

Kuala Lumpur: Rapid Bus, operator perkhidmatan bas RapidKL, mengambil pendekatan berani dan tidak pernah dilakukan sebelum ini iaitu mengadakan sesi 'bersemuka' dengan pengkritik paling lantang mereka itu dalam usaha memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penumpang.

Dikenali sebagai 'Brunch with the CEO', sesi itu akan diadakan secara tetap untuk lebih memahami kebimbangan penumpang serta menangani masalah mereka.


Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Zohari Sulaiman berkata, menyediakan perkhidmatan baik adalah teras Rapid Bus, selaras aspirasinya untuk menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam kelas dunia.

Menjelaskan operasi RapidKL membabitkan lebih 1,500 pemandu setiap hari, meliputi 167 laluan di Lembah Klang dan Selangor, beliau mengakui syarikat itu berdepan pelbagai cabaran termasuk pemandu tidak berdisiplin.


"Kami telah mengadakan sesi pertama di Depot Bas RapidKL di Jalan Klang Lama pada 27 April. Keadaan agak tegang pada mulanya, tetapi pada akhirnya, semuanya berjalan dengan baik. Kami dengar kebimbangan mereka, mengambil perhatian mengenainya dan menjelaskan kepada pelanggan mengenai keadaan di pihak kami," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Zohari berkata, pengkritik pada sesi itu dipilih daripada pangkalan data di Pusat Panggilan RapidKL, yang beroperasi setiap hari dari Subang dalam menerima dan memberi respons kepada semua kebimbangan yang dibuat menerusi RapidKL Helpline, serta e-mel dan twitter. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

'Saya tak pernah halau dia'

Posted: 14 May 2013 12:15 PM PDT

Kuala Lumpur: "Saya tidak pernah menyifatkan Afiq anak derhaka, tetapi berdoa dia kembali menjadi Afiq yang dulu...seorang yang lemah-lembut, sayangkan keluarga dan memikirkan semula matlamat asal bergelar pelakon," kata Hasliza Mohd, 48, ibu pelakon, Afiq Muiz, 21.

Haliza berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro bagi mengulas mengenai sidang media diadakan Afiq mengenai keretakan hubungan mereka dua beranak.


Terkejut apabila Afiq mendakwa dia dihalau dari rumah, Haliza menafikan dia pernah berbuat demikian.

"Demi Allah saya tidak pernah usir Afiq keluar, tetapi dia memilih keluar rumah selepas menyatakan tidak selesa berada di rumah kami yang kecil.


"Saya tidak pernah meminta wang daripada Afiq dan hanya Allah tahu bagaimana susah payah saya membesarkan dia dan anak-anak lain," katanya sambil memaklumkan Afiq keluar rumah sejak November lalu.


Bagaimanapun, Haliza mengakui dia tidak bersetuju apabila Afiq menjalin hubungan dengan pelakon remaja, Eina Azman, 18.

"Saya tidak tuduh wanita itu mengikis wang Afiq, tetapi saya persoalkan ke mana wang simpanan RM30,000 milik Afiq kerana sebelum ini dia beritahu mahu simpan wang untuk beli rumah, kereta dan kegunaan masa depannya," katanya.


Menurutnya, sikap Afiq sebenar adalah penyayang dan lemah-lembut, tetapi sejak lima bulan lalu anaknya itu banyak berubah.

"Selepas keluar rumah, saya mengirimkan mesej meminta Afiq pulang, tetapi dia enggan. Hanya beberapa kali dia menghubungi saya," katanya.


Hazliza berkata, dia tidak tahu mengenai masalah kesihatan dialami Afiq kerana tidak dimaklumkan perkara itu, namun terkejut apabila ada yang menuduh dia mengenakan santau terhadap Afiq.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Selamba usung mesin basuh

Posted: 14 May 2013 12:14 PM PDT

Kota Bharu: Seorang lelaki nekad mengusung mesin basuh seberat 20 kilogram (kg) ketika melarikan peralatan elektrik itu yang dipamerkan untuk promosi di sebuah kedai barangan elektrik di Kubang Kerian, petang Sabtu lalu.

Gelagat pencuri kira-kira jam 3.30 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai terbabit.


Difahamkan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu seorang diri, mengangkat dan mengusung mesin basuh berkenaan yang diletak di kaki lima kedai.

Perbuatannya dirakam selama 20 saat sebelum terkeluar daripada jangkauan rakaman.


Pemilik kedai Mahmood, 44, berkata, dia tidak menyangka lelaki terbabit begitu terdesak kerana melarikan mesin basuh ketika kedai masih beroperasi menyebabkan dia kerugian RM600.


"Walaupun barang elektrik yang dicurinya tidak bernilai besar, saya geram. Wajah pencuri itu jelas kelihatan dalam rakaman CCTV," katanya.

Menurutnya, itu kejadian pertama berlaku di kedainya dan dia akan mempertingkatkan tahap keselamatan selepas ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi menasihatkan pemilik kedai sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

No comments:

Post a Comment