Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Nampak tenang tapi bergelora

Posted: 23 May 2013 11:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Nampak tenang di luar tetapi hakikatnya tidak di dalam. Itulah gambaran sebenar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang sebenarnya berdepan kemelut dalaman cukup serius membabitkan konspirasi untuk menjatuhkan Setiausaha Kehormat Datuk Sieh Kok Chi.

Menerusi perancangan rapi, Kok Chi dikatakan menerima tekanan cukup hebat daripada 'kem lain' yang tidak menyukai tokoh berusia 74 tahun itu dan berusaha untuk menyingkirkannya pada pemilihan Perhimpunan Agung Tahunan MOM pada 22 Jun.


Satu sumber mendedahkan, faktor utama kem itu mahu menjatuhkan Kok Chi kerana mahu menguasai dana MOM yang hampir kebanyakannya atas usaha Setiausaha Kehormat itu sendiri.

Difahamkan nilai dana itu cukup banyak. Antara tujuan tabung dana itu bagi membantu persatuan sukan kebangsaan yang mempunyai masalah kewangan.


"Mereka sanggup membuat fitnah untuk memburuk-burukkan Kok Chi sehingga sampai kepada ahli gabungan yang lain.


"Setahu sayalah, selama lebih 20 tahun mengenali Kok Chi, beliau cukup komited bekerja dalam MOM dan tidak pernah berkira.

Foto

Datuk Sieh Kok Chi.

"Saya bukan mahu menyebelahi Kok Chi, tapi saya faham sangat tingkah lakunya dan tidak percaya beliau akan lakukan perkara seperti itu," katanya.


Sumber yang mempunyai pengalaman luas dalam Kementerian Belia dan Sukan itu serta sering turun naik MOM mendakwa, antara fitnah yang dilemparkan kepada Kok Chi termasuk mereka-reka cerita beliau sering menyalahgunakan wang MOM untuk ke luar negara.

"Kok Chi sering ke luar negara atas urusan kerja kerana beliau Setiausaha Kehormat kita. Jadi mengapa mahu timbulkan cerita yang tidak benar? "Bagi saya ini fitnah serta krisis paling buruk dalam MOM, lebih buruk berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 yang baru kita lalui baru-baru ini," katanya.


Justeru beliau berharap fitnah itu dapat dihentikan dan meminta kem yang sering memburuk-burukkan Kok Chi melihat kembali sumbangan tokoh itu selama hampir 30 tahun dalam dunia sukan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Terlepas pingat

Posted: 23 May 2013 10:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba cilik Masziyaton Mohd Radzi mempersia-sia peluang terbaik menambah koleksi kutipan pingat pasukan lebuh raya Malaysia apabila sekadar menduduki tempat keempat acara lepas beramai-ramai elit wanita sejauh 81.5 kilometer di Kejohanan Pra-Sukan SEA 2013 di Naypyitaw, Myanmar semalam.

Selepas lebih tiga kali melakukan pemecahan bersama seorang lagi pelumba negara, Mariana Mohammad, kelekaan Masziyaton pada 500 meter menuju ke garisan penamat membawa padah apabila tonggak Singapura, Chan Siew Kheng memintasnya sekali gus merampas gangsa yang kelihatan hampir dalam genggaman.


Masziyaton yang merangkul perak menerusi acara rentas desa (cross country) di Naypyitaw bulan lalu merakam masa 2 jam 38 minit 44 saat.

Perlumbaan dimenangi pelumba Vietnam, Nguyen Thi That manakala Jutatip Maneephan perak.


Nurul Suhada Zainal yang mengalami kecederaan sekadar menduduki tempat ketujuh, keciciran tiga saat di belakang pemenang manakala Mariana mengisi posisi ke-10 dan Suryani Mohammad, ke-16.


Keputusan itu bermakna Malaysia masih mengutip satu emas menerusi Muhammad Rauf Nur Misbah dalam acara ujian masa individu (ITT) dan dua perak disumbang acara ujian masa berpasukan (TTT) elit lelaki serta Mariana dalam ITT elit wanita.

"Saya rasa terkilan kerana tidak dapat menghadiahkan pingat. Saya sudah berusaha dan memberikan yang terbaik namun rezeki tidak memihak kepada saya. "Apa yang berlaku dalam perlumbaan hari ini banyak memberikan kami pengajaran berguna untuk digunakan pada Sukan SEA nanti," katanya. Masziyaton berkata, kekalahannya disebabkan ramai pelumba bijak mengambil kesempatan dan pandai menjimatkan tenaga.


"Saya dan Mariana lebih empat kali melakukan pemecahan. Banyak situasi hanya kami yang berusaha untuk kekalkan perbezaan masa. Pelumba Thailand dan Vietnam hanya banyak memerhati. Pelumba Singapura pula bijak jimatkan tenaga. "Bagaimanapun, perlumbaan di sini banyak memberi pengajaran kepada kami. Semua pelumba yang datang hari ini (semalam) adalah calon pemenang pingat di Sukan SEA nanti. Yang tak datang hanya Yanti (Fuchianti) dari Indonesia. Dia pun seorang pelumba handal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Erat semangat perpaduan

Posted: 23 May 2013 10:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Demi menyemarakkan semangat perpaduan serta kesukanan di kalangan kanak-kanak, Kelab Sukan SportsUnite, Pusat Sukan NPNG dengan kerjasama erat Milo, Figos, Revive, Munchy's dan McDonalds menganjurkan Karnival Perpaduan U R MY Bro Bawah 12 tahun di gelanggang futsal NPNG, Damansara Damai, 9 Jun ini.

Menariknya setiap penyertaan tiada dikenakan bayaran malah setiap pemain diberi baju-T, minuman segar Milo, Revive, makanan ringan McDonalds dan Munchy's.


Hanya 24 pasukan layak bertanding dan penyertaan mengikut proses 'siapa cepat dia dapat'. Pasukan mestilah menyenaraikan pemain sekurang-kurang dua pemain berlainan kaum sebagai syarat utama penyertaan.

Tarikh tutup penyertaan pada 2 Jun. Empat pasukan terbaik menerima pingat, hamper dan barangan sukan.


Maklumat lanjut sila hubungi Pengurus Pusat Sukan NPNG, S Sivaraj di talian 012 2775514 atau Nik Muhd Radzi di 019 3519934. Borang penyertaan boleh dimuat turun melalui facebook.com/sportsunite dan www.syoknyasukan.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Kuasa baru 'riben biru'

Posted: 23 May 2013 10:51 AM PDT

Kuantan: Jika bendera Sarawak berkibar megah muncul juara keseluruhan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi dua tahun berturut-turut, Melaka boleh berbangga mencatat rekod baru menyapu bersih lapan pingat emas acara pecut dan lari berganti-ganti lelaki.

Semalam, kontinjen Melaka meraih dua lagi emas acara 4x400m lari berganti-ganti L15 dan L18 manakala kuartet P15 Terengganu P15 mencatat rekod baru acara itu pada hari penutup Kejohanan Balapan dan Padang MSSM Ke-55 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.


Pencapaian itu meletakkan Melaka sebagai kuasa baru acara 'riben biru' dengan menguasai lapan acara pecut MSSM tahun ini. Pada acara terakhir semalam, Muhammad Azam Masri dan Asnawi Hashim memberikan dua lagi emas acara 4x400m kategori L15 dan L18.

Sebelum ini, negeri Hang Tuah itu mempamer kelancaran pecutan menerusi Azam dan Asnawi, dua ayam tambatan membantu Melaka mengungguli acara 100m, 400m dan 4x100m L18 serta 100m, 200m, 4x100m P15 dengan mencatat rekod baru kejohanan, 43.17s, kelmarin. Asnawi, 15, pelajar Sekolah Sukan Sains Negeri Sri Kota, Melaka berkata pencapaian diraih hasil kerjasama berpasukan yang komited bertanding di MSSM. "Alhamdulillah, segala kerja-keras sejak tiga tahun lalu membuahkan empat emas individu buat saya dan Azam. Saya mengucapkan tahniah kepada Azam kerana hampir merangkul emas kelima acara 200m tetapi tidak bernasib baik apabila tewas tipis di garis penamat untuk gangsa," katanya.


Kuartet P15 Asnawi bersama Khairil Anuar Khairul Nizam, Khairul Hafiz Jantan dan Starnis Andrew pula beraksi kental, berlari konsisten dalam cuaca panas terik bagi meraih emas manakala L18 menyaksikan Azam menebus kehampaan acara 200m, bergandingan dengan Amirul Haziq Borhan, Shukor Md Jani dan Badrul Hisham Manap.


Jurulatih Melaka, Mohd Poad berkata, beliau gembira dengan anak buahnya selepas memberikan lapan emas sekali gus menepati sasaran kontinjen.

"Mereka tidak merungut, memberikan alasan, tapi membuktikan prestasi menerusi acara masing-masing. Sekarang kami boleh pulang dengan senyuman lebar, menikmati asam pedas dan memikirkan pula memperbaharui rekod MSSM selepas ini. Yang penting, kami akan terus menghasilkan atlet terbaik," katanya.


Kuartet P15 Terengganu mempamer kepantasan dalam kelas tersendiri acara 4x400m dengan mencatat rekod baru kejohanan 4 minit 04.56 saat, memperbaharui rekod lama dilakukan Johor, 4:08.07s pada 2010. Apa menariknya, Terengganu menggandingkan empat pelari dianggap 'kuartet' eksperimen iaitu Nazatul Nadira Rusli, Nabilah Syazwina Mohamad, Nur Hafizuhaini Marzuky dan Siti Nur Afiqah Abdul Razak, Olahragawan Daerah Dungun yang juga pelari terbaik P15 Terengganu acara 4x400m lari berganti-ganti P15. "Kali pertama berganding tetapi kami serasi. Setiap antara kami faham dan tidak mahu menghampakan satu sama lain. Saya berterima kasih kepada guru dan jurulatih, Zainun Hussain (SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Lee Yong, Aliyah terbaik MSSM

Posted: 23 May 2013 10:50 AM PDT

Kuantan: Atlet Sarawak, Quek Lee Yong dan Nor Aliyah Abdul Rahman dari Johor dipilih Olahragawan dan Olahragawati MSSM Ke-55 Pahang yang berakhir di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Lee Yong, 15, memenangi pingat emas acara 100m berpagar dan 200m berpagar dengan mencatat rekod baru kejohanan, 25.63s, antara penyumbang 18 emas kontinjen Sarawak yang muncul juara keseluruhan.


Nor Aliyah, 11, pemenang emas acara 100m dan mencipta rekod baru 200m dengan 27.27s serta anggota pemenang 4x100m P12 antara permata baru digilap Johor untuk menyerlah selama beberapa tahun lagi dalam saingan MSSM.

Lee Yong atau dikenali 'Quick Iban' meraih emas terakhir Sarawak acara 200m berpagar, lebih selesa bersikap tenang dengan pencapaiannya.


"Saya tinggal di kawasan pedalaman di Sibu, lapan jam menaiki kenderaan dan 45 minit menaiki belon (kapal terbang), bukan datang dari keluarga senang kerana bapa saya petani sayur, tapi apa saya capai membuat saya gembira kerana usaha keras selama ini berhasil. "Pada penampilan pertama di Johor pada 2010, saya tidak capai apa-apa dan mudah patah semangat, sekarang saya mampu menang emas dan mencipta rekod kejohanan acara 200m berpagar, jadi ini permulaan bagus dan saya mahu menjadi seperti Liu Xiang satu hari nanti," katanya. Xiang adalah pelari 110m berpagar China yang memenangi emas di Sukan Olimpik Athens 2004.


Aliyah, bersekolah di Taman Seri Pulai, Kulai, Johor, MSSM Pahang menganggap penyertaan pertamanya sebagai atlet berbaloi.

"Seronok rasa dapat bergelar pemenang tiga emas pelbagai kategori. Saya mungkin perlu memperbaiki prestasi pada MSSM Kedah tahun depan untuk terus membantu Johor mendapat pingat. Ini kali pertama saya buat rekod, saya seperti tidak percaya sehinggalah rekod rasmi dipaparkan di skrin besar," katanya.


Dalam beberapa acara akhir semalam, Shereen Samson Vellabouy, anak kepada pelari jarak sederhana, Samson Vellabouy meraih emas acara 200m P15 dengan catatan 25.76s. Acara rejam lembing L15 menyaksikan emas milik Stanlee Mamat dari Sarawak dengan rejaman sejauh 51.74s manakala atlet Pahang, Syed Muhammad Nazrul Izzudin Syed Yahya, mencatat rekod baru lari 2,000m berhalangan dengan masa 6:27.53s. Dia memadam rekod lama 6:34.00s yang dibuat Amirul Hakim Johari dari Selangor pada 2011.

Pahang pula merakam 15 rekod baru berbanding 10 yang dicapai di Perlis tahun lalu. Selepas berakhir acara balapan dan padang selama lima hari, Sarawak mengumpul 18 emas, 15 perak dan 16 gangsa diikuti Selangor (12-8-5).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

'Macam mana nak tangkap penyangak?'

Posted: 23 May 2013 10:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Aktiviti haram bookie dalam mengatur perlawanan tidak akan ada kesudahannya selagi tiada pihak berani tampil menyalurkan maklumat untuk menangkap 'penyangak sukan tanah air' itu.

Biarpun ada pemain sebuah pasukan Liga Malaysia (Liga-M) didakwa dipukul dan menerima ugutan bunuh oleh bookie namun hingga kini belum ada laporan diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga pihak berkuasa.


"Bagaimana kami mahu menjalankan siasatan sekiranya tiada pihak mengemukakan laporan rasmi? Hingga kini, tiada pemain atau mana-mana pihak melaporkan mengenai ugutan, ancaman bunuh atau dipukul bookie kepada pihak FAM.

"Apa yang kami tahu hanyalah maklumat menerusi laporan akhbar saja," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad semalam.


Arena Metro semalam melaporkan mengenai tindakan ganas bookie yang memukul beberapa pemain yang mewakili sebuah pasukan Liga-M kerana sudah tidak mahu mengikut arahan mereka.


Pendedahan yang dibuat sumber dalaman pasukan itu menyusul selepas pemain dilapor menerima ugutan bunuh oleh sindiket perjudian itu yang turut mengancam keselamatan keluarga pemain terbabit.

Dengan gejala mengatur perlawanan tampak semakin berleluasa satu pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin Abu Bakar, Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.


Azzuddin yang turut hadir dalam mesyuarat itu berkata, mereka berharap pemain atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan bookie memberanikan diri untuk tampil ke depan.

"Mereka tidak perlu takut untuk membuat laporan. Sekiranya lebih ramai pemain tampil dengan maklumat untuk dijadikan bukti ia boleh mengheret bookie ke muka pengadilan. Mereka tidak perlu bimbang kerana mereka bakal dilindungi kerana kita mempunyai Akta Perlindungan Saksi dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Hanya 5 negeri tubuh Jawatankuasa Integriti

Posted: 23 May 2013 10:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Komitmen persatuan bolasepak negeri membanteras gejala mengatur perlawanan kini menjadi persoalan apabila hanya lima negeri yang menyahut seruan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menubuhkan Jawatankuasa Integriti.

Lebih mengecewakan terdapat negeri yang langsung tidak memberi ruang kepada Jawatankuasa Integriti FAM untuk memberi taklimat kepada pemain dan jurulatih.


Perkara terbabit didedahkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mengadakan perbincangan bersama Jawatankuasa Integriti FAM semalam yang turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Jawatankuasa Integriti FAM pernah memutuskan supaya jawatankuasa yang saya ditubuhkan di setiap negeri namun hanya lima yang menyahut cabaran. Saya tidak mahu mendedahkan mereka yang belum mewujudkan jawatankuasa terbabit kerana saya akan menulis surat kepada setiap presiden persatuan negeri berhubung perkara ini.


"Saya tidak mahu memalukan mereka, saya akan tulis surat dulu dan kalau mereka enggan mungkin kita akan dedahkan persatuan terbabit," katanya.


Khairy turut menegaskan, langkah terbabit bukanlah campur tangan KBS kerana mereka hadir untuk membantu FAM seperti yang dilakukan PDRM dan SPRM selain gejala buruk berkenaan adalah isu nasional yang mempunyai unsur jenayah dan membabitkan imej negara.

Gejala mengatur perlawanan kembali hangat diperkatakan selepas terdapat pemain Liga Malaysia mendakwa diugut bunuh selain dipukul bookie sekiranya enggan mengikut arahan.


"Memang kita ada dengar menerusi akhbar pemain kena pukul dan sebagainya namun mereka enggan mendedahkan identiti. Ini adalah satu masalah besar yang kami hadapi selain mahu mendapatkan bukti yang kukuh untuk memastikan mereka dikenakan hukuman apabila dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Mengenai tahap sebenar gejala terbabit dalam LM, Khairy berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya, ia tidak merebak dengan luas seperti insiden 1993/94 dalam aspek membabitkan pemain senior atau kebangsaan.


"Namun kini saya melihat ia lebih serius kerana sasaran bookie adalah pemain muda, staf kejurulatihan dan pegawai termasuk pengadil."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Cabaran Piala Sultan Selangor 28 September

Posted: 23 May 2013 10:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Saingan merebut Piala Sultan Selangor edisi ke-12 akan ditentukan pada 28 September apabila Selangor dijadual turun menentang Singapura untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

Pengerusi Pengelola Piala Sultan Selangor 2013 Datuk Abdul Karim Munisar berkata, tarikh itu sudah dipersetujui semua pihak terbabit dengan perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam.


Abdul Karim berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada penonton yang hadir menyaksikan perlawanan terbabit seperti pertunjukan bunga api dan sebagainya.

"Kami harap penonton dapat memenuhi stadium bagi memberikan sokongan kepada semua pemain yang bertanding," katanya.


Pada tahun lalu, Selangor menamatkan kemarau empat tahun apabila menjulang Piala Sultan Selangor dengan menewaskan Pilihan Singapura, 3-1 manakala aksi veteran menyaksikan lawan menewaskan veteran Selangor, 2-1.


Saingan piala itu, diilhamkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bermula 2001 yang bertujuan mengimbau kembali saingan sengit kedua-dua pasukan dalam kancah bolasepak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

FAM akan denda JDT gara-gara kekecohan

Posted: 23 May 2013 10:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Kemenangan Johor Darul Takzim (DT) ke atas Kelantan 2-0 dalam aksi Liga Super terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan ke atas kekecohan penyokong Harimau Selatan pada perlawanan di Stadium Larkin, kelmarin.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya sudah meneliti laporan mengenai insiden kekecohan yang berlaku hingga menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan 40 minit.


"Kami sudah menerima laporan dan masih meneliti satu, dua perkara sebelum memutuskan hukuman terhadap mereka (Persatuan Bolasepak Negeri Johor). Ini kerana (hukuman) sudah termaktub dalam peraturan FAM dan tindakan tegas akan diambil nanti," katanya.

Perlawanan ke-18 bagi kedua-dua pasukan itu dimulakan lewat 40 minit apabila pegawai perlawanan dan keselamatan terpaksa mengasingkan penyokong Johor DT dan Kelantan selepas salah seorang penyokong mengalami kecederaan di kepala akibat terkena balingan objek keras.


Bagi mententeramkan keadaan, segelintir penyokong Harimau Selatan terpaksa diarah berada di trek stadium buat seketika.


Ini bukan kali pertama PBNJ terpaksa berdepan malu angkara penyokong sendiri kerana mereka pernah didenda RM30,000 atas insiden pembakaran suar oleh penyokong ketika menentang Negeri Sembilan, 2 Mac lalu, Dalam perkembangan lain, Azzuddin turut mengesahkan skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat di Australia selepas perlawanan persahabatan menentang Singapura awal bulan ini dibatalkan.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Singapura, kami membuat keputusan membatalkan perlawanan itu. Berikutan itu, skuad negara akan mengadakan latihan pusat di Australia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Selangor raih mata berharga

Posted: 23 May 2013 10:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Barisan pemain Selangor berjaya mengatasi tekanan tinggi apabila meraih tiga mata berharga ketika saingan Liga Super berbaki empat perlawanan lagi.

Hakikat terbabit diakui pengendali Merah Kuning Irfan Bakti Abu Salim selepas menyaksikan anak buahnya menewaskan Terengganu, 2-0 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.


Menurutnya, pemain sememangnya tertekan kerana bimbang sekali lagi akan mencatatkan keputusan seri selepas seri lima kali berturut-turut sebelum ini.

"Walaupun corak permainan kami tidak cantik seperti lawan Kelantan (seri 1-1) tempoh hari, mereka berjaya keluar daripada badi keputusan seri. Ia satu keputusan yang baik kerana sudah lama kami tidak mengutip mata penuh," katanya.


Kemenangan terbabit terhasil menerusi dua jaringan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe bagi membolehkan Selangor kekal di kedudukan keempat liga mengumpul 30 mata, ketinggalan tiga mata di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tangga ketiga.


"Kemenangan ini membuka peluang untuk terus mengejar pasukan di atas. Saya masih yakin kami mampu menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik kerana dalam bolasepak apa saja boleh berlaku." Sementara itu pengendali Terengganu, E Elavarasan mengaku ketiadaan pertahanan import, Vincent Bikana memberikan kelebihan kepada tuan rumah untuk mengasak.

"Kita berusaha mencipta jaringan namun nasib tidak menyebelahi Terengganu," katanya mengenai dua cubaan Mohd Fakhrurazi Musa yang terkena palang walaupun Mohd Sharbinee Allawee Ramli sudah tertewas di gawang Selangor. Beliau turut mengaku melakukan beberapa rombakan bagi memastikan barisan terbaik dapat diturunkan untuk menentang Kelantan dalam separuh akhir Piala FA esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

No comments:

Post a Comment