Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Khairy sinar baru bolasepak

Posted: 16 May 2013 11:22 AM PDT

Kehadiran Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan bakal memberi sinar kepada bolasepak negara untuk terus berkembang di pentas lebih tinggi.

Pandangan itu disuarakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyambut baik pelantikan Khairy menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.


"Tahniah diucapkan kepada beliau. Ia petanda baik kepada kami kerana sebelum ini beliau turut terbabit secara langsung dalam badan induk bolasepak negara sebagai Timbalan Presiden FAM," kata Hamidin.

Hamidin yakin bekas orang nombor dua FAM selama tiga tahun bermula 2007 adalah individu paling layak membantu pembangunan bolasepak tempatan terutamanya dalam meletakkan skuad negara ke tahap lebih membanggakan.


"Beliau amat memahami permasalahan tentang apa yang perlu FAM lakukan terutamanya bantuan daripada KBS dan ia akan lebih menyenangkan proses situ. "Saya turut berpandangan Khairy akan terus membantu FAM, tambah lagi dalam usaha FAM menerusi Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membida hos Piala Dunia 2034," katanya.


Khairy turut pernah mencetuskan rancangan realiti televisyen bolasepak apabila mewujudkan MyTeam dengan mengumpulkan pemain tidak dikenali untuk diasah bakat dan skuad terbabit pernah menentang skuad kebangsaan. Skuad terbabit yang turut menyertai Liga Perdana dan Super berjaya menjadi medan melahirkan bakat bolasepak negara seperti pemain pertahanan Felda United Azmi Muslim, pemain T-Team G Mahadevan dan penjaga gol Pahang Rosfaizul Azuar Ali.

Foto

KHAIRY keluar dari perkarangan Istana Negara selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan di hadapan Yang DiPertuan Agong, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Button tidak sabar

Posted: 16 May 2013 10:03 AM PDT

London: Jenson Button, pemandu terakhir yang memenangi Grand Prix bersama Honda cukup teruja apabila mengetahui pengeluar kereta dari Jepun itu kembali ke Formula Satu sebagai rakan kongsi enjin bersama pasukannya McLaren bermula 2015.

Juara dunia 2009 dari Britain itu yang memenangi Grand Prix Hungary untuk Honda pada 2006 setia bersama Honda hingga mereka meninggalkan sukan itu dua tahun kemudian dan pengumuman di Tokyo berita baik untuk semua peminat F1.


"Saya membesar dengan menonton kereta F1 McLaren-Honda berlumba dan menang di seluruh dunia. Mereka melakarkan sejarah gemilang mereka sendiri dalam F1," kata pelumba berusia 33 tahun itu.

"Malah kini mula membayangkan dengan jelas kereta merah dan putih yang membangkitkan kenangan beberapa perlumbaan paling dramatik dan menarik dalam dunia permotoran yang pernah dilihat." Honda dan McLaren sebelum itu mengumumkan perjanjian, memperbaharui perkongsian yang bermula 1988 hingga 1992 ketika bekas pemandu dari Brazil Ayrton Senna dan Alain Prost Perancis menguasai sukan itu.


McLaren meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini, memenangi 15 daripada 16 perlumbaan pada 1988. Kombinasi McLaren dan Honda merangkul enam gelaran juara dunia dan 44 Grand Prix, 53 kali berada di petak utama dan mencatatkan 30 catatan sepusingan terpantas. Button yang menganggap Jepun sebagai rumah keduanya, berhubung rapat dengan Honda sejak menyertai pasukan BAR Honda dari Renault pada 2003.


Gelaran juara di Litar Hungary adalah gelaran pertama daripada 15 kemenangan F1 setakat ini.

"Saya tahu bagaimana Honda begitu bersemangat mengenai sukan permotoran dan khususnya F1," kata Button yang berhijrah ke McLaren pada penghujung 2009. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Tanding jawatan

Posted: 16 May 2013 10:02 AM PDT

Paris: Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Ng Ser Miang dari Singapura semalam secara rasmi mengumumkan akan bertanding jawatan presiden organisasi itu, semalam.

Ser Miang yang turut menjadi naib presiden jawatankuasa Olimpik negaranya, memaklumkan perkara itu di universiti terkemuka Paris, Sorbonne selepas menyuarakan hasratnya itu kepada penyandang jawatan, Jacques Rogge.


Presiden dari Belgium itu dipilih pada 2001, tidak akan menawarkan diri untuk pemilihan semula.

"Ia satu penghormatan dan keistimewaan untuk mengumumkan kepada anda di lokasi yang berprestij dan simbolik mengenai pencalonan saya bagi jawatan presiden IOC," katanya.


Anggota jawatankuasa eksekutif IOC sejak 2005, Ser Miang menjadi calon kedua selepas Thomas Back dari Jerman yang juga naib presiden dan presiden Jawatankuasa Olimpik Jerman mengumumkan untuk bertanding. Calon lain yang dijangka bertanding termasuk Presiden Jawatankuasa Kewangan IOC Richard Carrion dari Puerto Rico, Presiden Hoki Ais Antarabangsa dari Switzerland Rene Fasel, bekas atlet Maghribi dan naib presiden IOC Nawal El Moutawakel dan legenda lompat bergalah Ukraine Sergei Bubka yang juga ahli jawatankuasa eksekutif IOC. Presiden Persekutuan Mendayung Switzerland Denis Oswald dan Presiden Persekutuan Tinju Amatur Antarabangsa Taiwan Wu Ching-Kuo turut dijangka bertanding. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

UKM teruskan aksi terbaik

Posted: 16 May 2013 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan rentak cemerlang menewaskan Universiti Malaya (UM) 1-0 pada saingan Divisyen Satu Liga IPT, kelmarin, sekali gus memberi tekanan kepada pendahulu, UiTM Shah Alam.

Jadual asal pertemuan UKM-UM ini ialah 27 April lalu tetapi ditunda atas sebab teknikal. UKM juga tidak bermain Sabtu ini kerana aksi menentang Universiti Multimedia (MMU) juga ditunda.


UiTM selaku juara bertahan, menguasai takhta selepas lapan perlawanan, mengekalkan rekod tanpa kalah, lima menang tiga seri. Manakala UKM juga tanpa kalah selepas melakar empat menang, tiga seri dengan 15 mata tetapi beraksi kurang satu perlawanan.

"Penangguhan beberapa perlawanan memberi kesan kepada kecergasan pemain saya," kata pengendali UKM Sulaiman Hussin. "Namun saya bangga kesungguhan pemain ketika menentang Universiti Malaya. Satu ketika kami beraksi 10 pemain apabila Mohd Rijal Fikri dibuang padang. Tetapi mereka mampu menahan asakan dan sekali-sekala menyerang menyaksikan Khairun Affiemi Zahari meledak gol kemenangan." Sementara itu saingan Divisyen Dua menyaksikan Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang) yang hilang lima pemain utama musim lalu, menampakkan penguasaannya apabila selesa mendahului di tangga pertama dengan 19 mata selepas melakar enam menang, satu seri, lima mata di hadapan Kolej Komuniti Perak.


"Dengan kedudukan terkini, saya percaya pasukan kami mampu merebut satu daripada dua tiket untuk mara ke Divisyen Satu musim depan," kata pengendali KK Pahang Raimi Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

MIMMA cungkil bakat pejuang tempatan

Posted: 16 May 2013 10:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Penaklukan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MIMMA FC) teruja dengan penyiaran episod pertama daripada enam episod aksi pejuang berbakat tempatan di saluran Star Sports bermula Rabu lalu.

Siaran enam episod itu difilemkan di Pusat Beli Belah Paradigm, Malaysia berdasarkan format diilhamkan oleh pengasas MyTeam, Jason Lo (gambar) dan Khairy Jamaluddin. Tujuan utama ialah untuk peserta amatur seluruh negara mencuba nasib dan akhirnya muncul juara MIMMA FC mengikut kategori dipertandingkan, Flyweight (hingga 56.7kg), Bantamweight (hingga 61.2kg), Featherweight (65.8 kg), Lightweight (70.3 kg), Welterweight (hingga 77.1kg), Middleweight (hingga 83.9kg) dan Light Heavyweight (hingga 93kg).


MIMMA FC yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM150,000 adalah pertandingan amatur pertama yang dianjurkan hanya untuk rakyat negara ini. Sesi ujian Februari lalu menyaksikan kehadiran 500 peserta yang ingin mencuba nasib untuk menjadi atlet profesional.

"Kami di Tune Talk teruja menjadi sebahagian daripada kumpulan yang berdedikasi untuk menjayakan program ini," kata Jason yang juga Ketua Eksekutif Tune Talk.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Laung amaran sirkit kedua

Posted: 16 May 2013 10:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Kecederaan dialami Anuar Manan menyekat hasratnya mengibarkan cabaran pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 pada 1 dan 2 Jun ini.

Bagaimanapun pakar pecut negara yang beraksi bersama pasukan benua Baku Cycling Project berpangkalan di Azerbaijan melaungkan amaran akan kembali memberi saingan pada sirkit kedua di Terengganu. "Jadual saya padat sedikit tahun ini. Pada tarikh kejohanan itu saya sepatutnya ke Jelajah Estonia bersama pasukan saya, Baku tapi saya perlu tunggu dulu laporan daripada ISN (Institut Sukan Negara) berhubung tahap kecederaan sebelum dapat menyusun rancangan seterusnya.


"Bagaimanapun saya tidak akan melepaskan peluang menyertai kejohanan julung kali dianjurkan Harian Metro ini dan jika tiada aral melintang, saya akan menyertai sirkit kedua di Terengganu," katanya yang dijangka berlepas ke Estonia pada 26 Mei ini.

Anuar yang semakin serasi bersama pasukan Baku sejak menyertainya pada Januari, mengalami kecederaan ketika berlatih di Bukit Fraser minggu lalu.


Kejohanan anjuran Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang diadakan buat kali pertama akan berlangsung di lima venue menarik dan mencabar. Aksi bermula di Presint 15, Putrajaya (1-2 Jun), Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu (23-24 Ogos), Legoland Nusajaya (28-29 Oktober), Kellie Castle (26-27 Oktober) dan Selangor yang belum diputuskan tarikhnya. Saingan membabitkan Elit, Terbuka Metro (Jamboree) dan Demonstrasi/Pameran dengan sasaran menarik peserta tempatan dan Asia Tenggara. Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro. com.my atau hubungi Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

DRCT Kajang warnai cabaran

Posted: 16 May 2013 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan DRCT Kajang kini bersedia menghantar 12 pelumba pada sirkit pertama kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Putrajaya pada 1-2 Jun ini.

Bagaimanapun menurut jurucakap pasukan itu Mohd Asri Idrus, jumlah penyertaan itu mungkin bertambah berikutan maklum balas positif diterima daripada ahli pasukan yang menunjukkan minat untuk turut sama mengambil bahagian.


Katanya, kelab itu bergiat aktif dalam sukan basikal bukit sejak tiga tahun lalu dan sering menyertai kejohanan dianjurkan di setiap pelusuk negara termasuk ke utara atau ke selatan tanah air. "Kami menjadikan sukan ini sebagai aktiviti riadah untuk menjaga kesihatan dan sekadar untuk suka-suka pada mulanya.

"Penyertaan kami di setiap kejohanan bukanlah untuk bergelar juara tapi dengan menyertai pertandingan seperti ini sebenarnya dapat meluaskan lagi pergaulan dan menambah kenalan dan jika bernasib baik mungkin dapat membawa pulang cabutan bertuah," katanya menjalani latihan setiap hari Ahad dan cuti umum.


Asri yang kali terakhir menyertai Jamboree di Janda Baik berharap penganjur mengetatkan kawalan keselamatan dan menjaga kualiti penganjuran kerana ia dapat menarik lebih banyak penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Medal istimewa untuk pelumba

Posted: 16 May 2013 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Perlumbaan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1 Malaysia 2013 pada 1 dan 2 Jun ini menyediakan medal yang cukup unik.

Medal keluaran Elitkraf Sdn Bhd yang beroperasi di Johor Bharu itu agak istimewa kerana ia direka khas Pengurus Pembangunan Perniagaan Elitkraf sendiri Abdul Aziz Alkhatib.


"Yang membuatkan medal ini istimewa adalah kerana rekaan ini tidak ada dalam pasaran.

"Selain itu, ini medal terbesar pernah kami reka iaitu sebesar 80mm x 80mm dan seberat 140 hingga 200 gram," katanya di Pejabat Harian Metro, semalam. Menurut Abdul Aziz, pihaknya bangga menjadi sebahagian daripada penaja kejohanan ini.


Katanya, medal eksklusif itu hanya dihadiahkan kepada peserta yang berjaya menghabiskan setiap perlumbaan. "Selain itu, saya yakin penganjuran ini akan menggalakkan lagi semangat kesukanan dalam jiwa rakyat Malaysia lebih-lebih lagi sukan berbasikal."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Laluan getir Pahang

Posted: 16 May 2013 10:00 AM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang Dollah Salleh mengaku tugas sukar menanti skuadnya melayan kunjungan pendahulu Liga Super LionsXII di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Namun beliau percaya anak buahnya mampu melakar kejutan untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad Tok Gajah berdasarkan kelebihan beraksi di halaman sendiri.


Justeru, Dollah mahu pemain menggunakan kelebihan sokongan padu peminat tempatan untuk menewaskan LionsXII jika mahu berada dalam kelompok tiga terbaik liga musim ini.

"Berbekal sokongan peminat, saya percaya pemain dapat melakukan kejutan. Saya minta mereka fokus dan mengelakkan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah.


"Pemain perlu memberikan tumpuan 100 peratus dan menggunakan kepercayaan diberikan untuk merobek gawang dan mempertahankan gawang daripada dibolosi," katanya.


Ditanya sama ada Matias Conti yang mengalami kecederaan hamstring diturunkan, Dollah berkata, pihaknya perlu menunggu pengesahan doktor pasukan sebelum membuat keputusan.

"Sama ada Conti turun atau tidak masih belum pasti. Tetapi jika tidak disenaraikan, penyerang lain perlu lebih komited untuk memastikan kemenangan." Sementara itu, pengurus Pahang Datuk Che Nasir Salleh berkata, aksi lesu dan lambat panas perlu segera dikikis.


"Saya mahu pemain kembali mempamerkan aksi mantap dan meyakinkan seperti yang pernah ditunjukkan pada peringkat awal saingan liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Penyu tekad jerat Seladang

Posted: 16 May 2013 09:59 AM PDT

Kuala Terengganu: Skrip kemenangan perlu diterjemahkan pemain Terengganu apabila bertemu Perak, malam ini, sebagai pemangkin semangat sebelum beraksi di separuh akhir pertama Piala FA bertemu Kelantan, 25 Mei ini.

Pemain pertahanan Zubir Mohd Azmi berkata, selain memperbaiki keputusan liga, Terengganu juga mahu pembakar semangat untuk beraksi dalam saingan Piala FA.


"Kemenangan penting sebagai bekalan semangat untuk bertemu Kelantan yang sudah pasti menjanjikan pertemuan sengit dalam misi merebut slot ke final.

"Sebagai pemain muda, saya harap kami mampu memperagakan aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan mudah," katanya.


Sementara itu, pengurus pasukan Marzuki Sulong berharap pemain tidak lagi mengulangi penyakit hilang fokus pada minit-minit akhir sebaliknya terus bersaing hingga ke wisel penamat untuk membawa pulang tiga mata.


Menurutnya, kemenangan ke atas Perak amat ditagih kerana Terengganu kini sudah jauh ketinggalan berbanding pendahulu liga LionsXII yang mengumpul 34 mata.

Jika gagal membawa pulang mata, sudah pasti matlamat meraih kedudukan sekurang-kurangnya tempat ketiga liga berkecai kerana saingan hanya tinggal enam perlawanan.


"Berdasarkan prestasi semasa selain sikap positif pemain, saya yakin mereka tidak akan menghampakan pengurusan dan peminat setia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

No comments:

Post a Comment