Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Salah siapa semua ini?

Posted: 28 May 2013 10:12 AM PDT

Kuantan: Dua penyokong Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) cedera terkena objek dibaling individu tidak bertanggungjawab pada aksi separuh akhir kedua Piala FA yang melakar episod mendukacitakan di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Seorang wanita dipercayai penyokong Pahang terpaksa dibawa keluar polis selepas mata kanannya cedera terkena objek dibaling ketika dia dan lebih 7,000 penyokong tuan rumah terpaksa duduk di trek gara-gara stadium skuad Tok Gajah itu penuh sesak.


Seorang penyokong Johor DT pula memegang kepalanya selepas terkena balingan objek sekali gus menghidangkan risiko besar buat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terhadap tindakan yang boleh dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang pasti berang dengan insiden ini.

Pertemuan yang diungguli Johor DT hasil kemenangan 1-0 di Stadium Larkin, Sabtu lalu itu gagal dimulakan mengikut jadual sebenar selepas 7,000 penyokong tuan rumah memenuhi trek, memaksa semua pihak terbabit mengadakan mesyuarat tergempar mencari jalan penyelesaian serta-merta.


Perlawanan dijadual bermula 8.45 malam tertangguh satu jam 40 minit sebelum pengadil perlawanan membatalkan aksi itu pada jam 10.25 malam.


Untuk rekod, Stadium Darul Makmur hanya mampu menampung 35,000 penyokong tapi 42,000 penyokong kedua-dua pasukan dianggar membanjiri stadium yang pernah menyaksikan anak didik Dollah Salleh menewaskan Johor DT, 3-2 pada saingan Liga Super, beberapa bulan lalu.

Foto

SULTAN Ahmad Shah (dua dari kiri) berbincang dengan pegawai perlawanan.

Foto

PENYOKONG Pahang yang cedera selepas terkena objek yang dibaling.

Bagi meredakan keadaan, Sultan Pahang yang juga Presiden FAM Sultan Ahmad Shah serta Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turun bertanyakan situasi sebenar kepada barisan pegawai perlawanan selain bertemu penyokong Tok Gajah di trek.


Berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap perlawanan tidak boleh dilangsungkan andai ada penyokong pasukan duduk terlalu hampir dengan padang kerana dibimbangi bakal mencetuskan keadaan tidak selesa pemain yang pastinya risaukan keselamatan masing-masing.

Penyokong Johor DT, Salehan Sakiran, 39, yang datang bersama rakan dari Muar kesal insiden ini berlaku dan menyifatkan ia berpunca daripada kesilapan PBNP kerana menjual tiket melebihi kapasiti stadium.


"Memang saya takut kerana kami kelompok kecil dan ia pastinya mengundang masalah. Saya harap ia tidak berlaku lagi dan memohon kawalan keselamatan diperketatkan lagi," katanya.


Seorang lagi penyokong Johor DT, Rosli Shariff, 43, berkata, penganjur perlawanan perlu lebih peka dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Nadal 'derita'

Posted: 28 May 2013 10:02 AM PDT

Paris: Sesuatu yang jarang berlaku apabila Rafael Nadal memasuki gelanggang di Terbuka Perancis dan mengulas penderitaan dialami di tangan lawannya.

Itu adalah kesan aksi dipamer Daniel Brands (gambar) pada pertemuan pusingan pertama kelmarin dengan juara tujuh kali itu mempersoal bagaimana pemain Jerman itu boleh menduduki ranking ke-59 dunia.


"Saya tidak tahu ranking Brands tapi apa yang boleh saya maklumkan kepada anda, dia tidak boleh berada di kedudukan 60. Cara dia bermain, saya tidak percaya," kata Nadal, selepas melangkah ke pusingan kedua selepas ditentang sengit sebelum menang 4-6, 7-6, 6-4, 6-3.

"Dia membuatkan saya menderita dan saya ingin memberi penghormatan terhadap apa yang dia lakukan," katanya.


Untuk tempoh yang singkat di gelanggang Philippe Chatrier, pemain Jerman itu kelihatan di ambang kejayaan melakar kejutan terbesar sejarah Grand Slam apabila mendahului Nadal satu set dan 3-0 tiebreak set kedua.


Permainan hanya berubah arah apabila pukulan kilas Brands tersekat di jaring pada kedudukan 3-2 sekali gus membenarkan Nadal menyamakan kedudukan dan kemudian memenangi lima daripada enam mata untuk menang set itu.

"Saya umpama mendapat oksigen," kata Nadal. "Saya akhirnya dapat bernafas dan membuatkan saya kembali berfikir menghadapi baki perlawanan tanpa tekanan.


"Pada set seterusnya, saya berjaya menguasai perlawanan dan membalas servis kedua Brands." Ia penampilan pertama Nadal di Grand Slam selepas tewas kepada Lukas Rosol pada pusingan kedua di Wimbledon tahun lalu.

Selepas itu dia terpaksa berehat tujuh bulan kerana masalah lutut yang merencatkan kariernya.


Sejak kembali beraksi, dia menjuarai enam kejohanan daripada lapan pertandingan disertai dan mempamerkan permainan bertenaga.


"Saya gembira dengan situasi semasa. Saya kini berada di satu tahap berbeza berbanding beberapa bulan lalu.


"Saya kini menikmati setiap detik dan tidak mahu memikirkan apa yang sudah berlaku. Setiap hari yang berlalu akan mengurangkan tekanan dan apa yang saya lakukan lebih daripada apa yang dimimpikan selepas kembali beraksi beberapa bulan saja." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Amaran Caroline

Posted: 28 May 2013 10:01 AM PDT

Paris: Meskipun hingga kini gagal memenangi gelaran Grand Slam, Caroline Wozniacki masih dianggap sebagai pemain remaja yang baru berusia 22 tahun.

Pemain Denmark yang tidak lama dulu pernah bergelar nombor satu dunia dan belum dilupakan, bagaimanapun sudah jarang disebut sebagai pesaing utama yang mampu memberi saingan merebut gelaran grand slam.


Pada tahun lalu hubungannya dengan pemain golf Ireland Utara, Rory McIlroy lebih menjadi keutamaan berbanding karier tenisnya. Kelmarin Caroline membuktikan kepada pemain muda Britain, Laura Robson dia masih jauh untuk diketepikan.

Laura sama seperti Caroline seorang remaja yang dikatakan mampu menjadi pesaing merebut hadiah utama namun tewas pada pusingan pertama Terbuka Perancis, 3-6, 2-6.


Caroline pernah tewas pusingan pertama pada empat kejohanan terakhir yang disertainya sebelum hadir ke Roland Garros dilihat jauh berpengalaman berbanding pemain berusia 19 tahun itu.


Pilihan ke-10 di Paris itu dikatakan mengalami 'krisis keyakinan' tapi memberi sedikit simpati terhadap Laura yang melonjak ke ranking ke-37 dunia dan cenderung melakukan kesilapan seperti ketika menentang Suzanne Lenglen.

"Keyakinan saya sentiasa baik," kata Caroline yang menamatkan saingan 2010 dan 2011 di kedudukan nombor satu meskipun gagal memenangi sebarang gelaran utama. "Dia baru berusia 19 tahun, masih muda. Saya baru 22 tapi ia tiga tahun lebih tua. Ia membawa makna besar." Walaupun pengkritik menyatakan Caroline mungkin bermimpi untuk memenangi Grand Slam, dia percaya aksi terbaiknya pasti hadir.


Masa sudah berlalu dan dia percaya apabila remaja matang dengan cepat seperti Monica Seles, Martina Hingis dan Maria Sharapova perlawanan akan dapat dikuasai. "Lebih ramai pemain berusia bermain dengan baik. Lima belas tahun lalu, seorang remaja perempuan atau wanita berusia 15 tahun memenangi Grand Slam.

"Apabila semakin berusia, anda tahu corak permainan dan diri sendiri." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Olazabal sah tiket Terbuka AS

Posted: 28 May 2013 10:01 AM PDT

London: Bekas kapten Piala Ryder Eropah, Jose Maria Olazabal mengesahkan tempat di Terbuka AS bulan depan selepas mengharungi pusingan kelayakan 36 lubang dan play-off di Walton Heath di pinggir London, kelmarin.

Pemain berusia 47 tahun itu salah seorang daripada 12 pemain layak menyertai kejohanan utama kedua musim ini di Kelab Golf Merion, Pennsylvania pada 13-16 Jun, mencatat 68 dan 73 untuk mengumpul tiga bawah par 141.


"Saya gembira kerana dapat ke Merion," kata Olazabal yang juga juara berganda Masters AS itu. "Bukan selalu bermain play-off dengan enam pemain dan saya gembira memenanginya." Pemain Sepanyol itu serta dua pemain British, David Howell dan John Parry mara selepas melakukan birdie di lubang tambahan pertama.

Estanislao Goya (Argentina) dan Chris Doak (Britain) juga layak sekali gus menyaksikan Rikard Karlberg (Sweden) menjadi satu-satunya pemain yang gagal mara daripada playoff itu.


Simon Khan (Britain) yang tewas kepada Matteo Manassero (Itali) dalam aksi playoff di Kejohanan PGA di Wentworth, Ahad lalu, menjadi pendahulu kelayakan dengan tujuh bawah par 137.


Pasangan British, Paul Casey dan Eddie Pepperell, Jaco van Zyl (Afrika Selatan), Morten Madsen (Denmark), Peter Hedblom (Sweden) serta Marcus Fraser (Australia) akan turut beraksi di Merion. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Tuah penalti!

Posted: 28 May 2013 10:00 AM PDT

Kuantan: Jaringan penyamaan pemain Putra MB, Shahid Hanafi pada babak kedua memadam gol awal penyerang Kartallar SC, Muhammad Faizuddin Abidin bagi menjadikan kedudukan 1-1 hingga memaksa juara kejohanan Bawah 16 Tahun ditentukan melalui sepakan penalti pada final Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 (KFMHB) di Ferro Futsal Kuantan.

Tuah nyata milik Putra MB dari Klang apabila menang penalti 3-2 seterusnya mengungguli KFMHB peringkat negeri Pahang.


Pada separuh akhir, Kartallar SC mengalahkan Panglima United dari Kuantan, 3-0 manakala Putra MB menumpaskan Perantau SC juga dari Kuantan, 3-1.

Kategori Bawah 12 Tahun menyaksikan juara milik Absolute Mutiara Selatan (ABS) dari Johor yang mengalahkan wakil Terengganu Sinaran Muda B, 2-1 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1.


Sebelum itu, ABS mengalahkan AZ Corner Kids dari Kelantan, 3-1 manakala Sinaran Muda B menumpaskan Masrina FC juga dari Kelantan, 3-0.


Mutiara Selatan dan Sinaran Muda B akan membawa cabaran Pahang ke peringkat grand final.

Putra MB, Kartallar SC, ABS dan Sinaran Muda B layak beraksi di grand final di Ampang Sports Planet, 7 Julai ini.


Hadiah disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Product Sdn Bhd Kerwin Lim.

Kota Bharu Futsal Arena, Pengkalan Chepa menjadi lokasi ke-11 KFMHB bagi mengisi empat lagi kuota saingan grand final, Sabtu ini. Maklumat lanjut layari www.syoknyasukan.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Peserta wajib semak nama

Posted: 28 May 2013 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Saingan sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 bakal membuka tirai pertandingan di Putrajaya pada hujung minggu ini dengan semua peserta berdaftar diminta menyemak semula nama masing-masing.

Setiap peserta dikehendaki menyemak senarai nama dalam laman web rasmi http://mtbgp.hmetro.com.my bagi memastikan nombor kad pengenalan yang betul, kategori disertai serta saiz baju masing-masing.


Pengarah Kejohanan Noor Azam Ab Aziz berkata, pemeriksaan maklumat diri ini penting agar tidak timbul sebarang kesulitan pada hari pendaftaran kelak.

Beliau turut memberitahu pasukan yang berminat masih lagi boleh mendaftarkan di kaunter pendaftaran khas di lokasi perlumbaan di Dataran Diplomatik Presint 15, Putrajaya pada Sabtu ini, bermula jam 10 pagi.


"Saya memohon kerjasama semua peserta yang mendaftar agar menyemak nama mereka. Ini penting untuk mengelak sebarang kesulitan timbul terutama pada hari pertandingan kerana lebih daripada 2,000 peserta akan mengambil bahagian.


"Peserta harus memastikan nama, nombor kad pengenalan, kategori dan juga saiz baju yang betul. Jika ada keraguan, hubungi penganjur secepat mungkin," katanya.

Sirkit pertama bermula di Presint 15, Putrajaya (1-2 Jun), Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu (23-24 Ogos), Legoland Nusajaya (28-29 Oktober), Kellie Castle (26-27 Oktober) dan Selangor yang belum diputuskan tarikhnya. Saingan membabitkan Elit, Terbuka Metro (Jamboree) dan Demonstrasi/Pameran dengan sasaran menarik peserta tempatan dan Asia Tenggara. Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa yang ditetapkan. Saingan membabitkan Terbuka Metro (Jamboree) pula terbahagi kepada empat kategori, Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer.


Maklumat lanjut layari laman http://mtbgp.hmetro. com.my atau hubungi Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

PG Express sedia sahut cabaran

Posted: 28 May 2013 09:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Biarpun belum pernah menduduki kedudukan 10 terbaik dalam mana-mana kejohanan, pasukan PG Express MTB Team tetap bersemangat melaungkan cabaran.

Justeru penyertaan mereka pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 pada 2 Jun ini di Putrajaya mahu mencatat keputusan terbaik.


Ketua pasukan Azim Fauzi berkata, seramai 40 peserta lelaki dan wanita pasukan itu akan mengibarkan cabaran dengan harapan berada dalam kelompok 100 peserta terbaik.

"Penyertaan kami lebih kepada untuk menguji keupayaan diri sendiri dan pasukan. Biarpun gagal menempatkan diri dalam kelompok terbaik, yang penting semangat tinggi kami yang tidak mahu mengaku kalah.


"Apapun kami masih lagi positif untuk terus cuba memberikan cabaran. Saya harap mereka boleh bekerjasama untuk membantu rakan pasukan yang lain," katanya. Azim sedar, cabaran sengit bakal diterima justeru mereka giat menjalani latihan setiap Selasa, Jumaat dan Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

'Tamparan buat kita'

Posted: 28 May 2013 09:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Andai trofi Liga Super menyeberangi Tambak Johor musim ini, ia bakal memberi tamparan hebat buat pasukan tempatan.

Itu pandangan disuarakan jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan yang masih menaruh harapan anak buahnya ataupun pasukan tempatan lain mampu menyekat LionsXII daripada muncul juara dalam baki empat perlawanan terakhir liga.


"Jika LionsXII menang Liga Super, ia pasti tamparan hebat buat kita tapi apa kita (pasukan tempatan) boleh lakukan adalah meningkatkan prestasi untuk menjadi pasukan lebih kuat selepas ini. Kalau mereka jadi juara tahun ini, kita perlu pastikan ia tidak berulang tahun depan.

"Tapi kedudukan LionsXII masih belum selesa kerana mereka perlu berdepan Johor (Darul Takzim), Kelantan dan Perak selepas ini. Bagi saya ini pasukan yang sukar dan saya harap mereka kehilangan mata daripada pertemuan itu," katanya.


LionsXII yang muncul naib juara pada penampilan pertama Liga Super tahun lalu kini mengumpul 38 mata selepas pasukan dari Singapura itu menang 3-1 ke atas PKNS FC kelmarin, empat mata mengatasi Johor DT di tempat kedua manakala ATM ketiga, ketinggalan lima mata.


Sathianathan berkata, mereka tidak boleh hanya mengharapkan LionsXII yang dikendalikan bekas pemain V Sundramoorthy itu keciciran mata semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada empat perlawanan terakhir menentang Selangor, Terengganu, Pahang dan Perak.

"Kalau kita boleh meraih mata maksimum dalam baki empat perlawanan liga, kita pasti berpeluang menjadi juara. Tapi yang penting, pemain saya memberi tumpuan dan mempamerkan aksi konsisten. "Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak mempunyai tekanan kerana sasaran sebenarnya menduduki tiga tempat teratas. Tapi kalau Singapura boleh kehilangan mata, itu lagi bagus. Kita harap pasukan lain seperti Johor (DT) dan Kelantan boleh membantu menewaskan LionsXII," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

FAS terima surat kelmarin: Hamidin

Posted: 28 May 2013 09:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan hanya menerima surat penggantungan satu perlawanan membabitkan Francis Forkey Doe kelmarin walaupun ada pihak mendakwa Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah membuat keputusan minggu lalu.

Menurut FAS, tiada sebarang maklumat diberikan kepada mereka oleh FAM agar tidak menurunkan penyerang import dari Liberia itu walaupun Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH) mendakwa Doe sudah dijatuhkan penggantungan satu perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 21 Mei lalu.


"Kami hanya menerima dokumen mengenai perkara ini semalam (kelmarin). Secara tidak langsung Doe tidak diturunkan pada pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila Liga Super kembali bersambung hujung bulan depan," kata Setiausaha Agung FAS Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam.

Penggantungan bekas penyerang Terengganu itu menjadi pertikaian PETEH yang mempersoal ketelusan FAM selepas mendakwa Doe digantung satu perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib sehari sebelum perlawanan antara Terengganu dan Selangor di Stadium Shah Alam, 22 Mei lalu.


PETEH mendakwa insiden terbabit mencerminkan sikap tidak profesional badan induk bolasepak terbabit selain meminta FAM mengkaji semula keputusan perlawanan terbabit kerana lawan menurunkan pemain digantung dan menyifatkan alasan pegawai FAM yang menyatakan surat penggantungan tidak sempat dihantar tidak masuk akal.


Selangor menang 2-0 pertemuan terbabit dengan kedua-dua jaringan dihasilkan Doe.

Doe dijatuhkan hukuman itu selepas didapati terbabit dalam insiden pergaduhan dengan pemain Felda United pada 13 April lalu.


"Kami hanya mengetahui perkara ini semalam (kelmarin). Sekiranya kami tahu dia digantung pasti kami tidak akan menurunkannya pada perlawanan itu," kata Hamidin.

Sementara itu Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM mengesahkan final Piala FA akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Perlawanan ditangguh

Posted: 28 May 2013 09:57 AM PDT

Kuantan: Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur malam tadi terpaksa dibatalkan atas dasar keselamatan apabila lebih 7,000 penyokong tuan rumah memenuhi trek.

Pengumuman pembatalan perlawanan itu dibuat Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ahmad Fuad Daud selepas keadaan menjadi semakin tegang yang menyaksikan beberapa penyokong kedua-dua pasukan cedera terkena balingan objek terutamanya botol air.


Setakat malam tadi, badan induk kebangsaan itu masih belum membuat sebarang keputusan mengenai tarikh serta venue baru perlawanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

No comments:

Post a Comment