Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bekas ahli gusti playboy dadah

Posted: 21 May 2013 09:09 AM PDT

London: Seorang penggusti kandang yang bersara dari sukan itu untuk mengetuai kumpulan penyeludup kokain selepas hilang sebelah kaki dalam kemalangan jalan raya, diarah membayar £700,000 (RM3.5 juta) - atau berdepan dengan tempoh tahanan yang lebih lama di penjara.

Vincent Graham, 33, bapa kepada 10 anak menjalani kehidupan yang sangat mewah dan memiliki beberapa kereta sport selepas mengetuai sindiket penyeludupan dadah ke Britain dari Afrika Selatan.


Playboy itu yang lebih dikenali dengan gelaran 'Big Vin' bergambar separuh bogel di beberapa laman web dan berpacaran dengan beberapa wanita yang tertarik dengan gaya hidup mewahnya.

Bagaimanapun, kegiatan dadahnya terbongkar selepas ditangkap dan disoal siasat berhubung dakwaan rancangan menculik di Belanda.


Polis di negara itu membebaskannya tanpa sebarang tuduhan tetapi memaklumkan kepada rakan mereka di Britain mengenai hartanah yang dimiliki Graham kerana mengesyaki ia digunakan untuk perniagaan dadah kelas A.


Polis menemui 25 kilogram benzocaine, bahan yang digunakan untuk melarutkan kokain di sebuah rumah di Liverpool. Ia dipercayai mampu untuk menghasilkan kokain bernilai lebih £1 juta (RM5 juta).

Foto

DADAH yang ditemui polis di rumah sewa Graham. Gambar kecil, Graham.

Foto

ANTARA barang mewah yang dirampas daripada Graham, termasuk dua jam bernilai lebih RM275,000.

Graham menyewa rumah mewah lima bilik di Brockhall Village, Lancashire dengan bayaran £1,500 (RM7,500) sebulan serta memiliki sembilan kereta, termasuk sebuah Lamborghini Gallardo berharga lebih £40,000 (RM200,000), sebuah Nissan Skyline,dan sebuah Audi Q7.


Polis turut menemui wang tunai berjumlah £5,000 (RM25,000) apabila menyerbu beberapa premis yang dimiliki atau disewanya.

Motosikal, jet ski, motor empat roda, barangan elektrik, barang kemas dan hasil seni bernilai lebih £150,000 (RM450,000) ditemui dalam garajnya.


Pemeriksaan akaun banknya menunjukkan deposit berjumlah lebih £35,000 (RM175,000). Mereka juga merampas jam tangan berjenama Jacobs berharga kira-kira £50,000 (RM250,000) dan rantai leher berlian bernilai £32,000 (RM160,000) daripadanya.


Pada Julai 2011, Graham yang disifatkan oleh polis sebagai 'orang penting' dalam bekalan dadah di Barat Laut England mengaku terbabit mengedar kokain dan dipenjara tujuh tahun.


Semalam, dia dihadapkan ke mahkamah Preston dan diberi amaran berdepan dengan hukuman penjara tambahan selama empat tahun setengah jika tidak membayar balik £700,000 (RM3.5 juta). - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Wanita 'bom jangka' ada 8 ketumbuhan di otak, tulang belakang

Posted: 21 May 2013 08:35 AM PDT

Worcester: Seorang ibu menyifatkan dirinya sebagai 'bom jangka' selepas disahkan menghidap penyakit ganjil yang menyebabkannya terpaksa hidup dengan lapan ketumbuhan.

Derrie Tustin, 25, dijangkiti lima ketumbuhan bukan barah di otak dan tiga di tulang belakang.


Doktor memberi amaran lebih banyak ketumbuhan akan muncul bila-bila masa.

Derrie dari Worcester didiagnos dengan penyakit neurofibromatosis jenis dua (NF2), yang menyebabkan ketumbuhan pada sistem saraf.


NF2 menyebabkan ketumbuhan pada sistem saraf pendengaran dan keseimbangan badan, menyebabkan kehilangan pendengaran, tinitus dan masalah keseimbangan badan.


Ketumbuhan boleh juga berlaku dalam otak atau tulang belakang dan saraf ke lengan dan kaki.

Ia boleh menyebabkan lemah pada kaki dan tangan serta pening.


"Penyakit saya menjadikan saya seperti 'bom jangka. Ketumbuhan boleh muncul bila-bila masa sepanjang hidup saya. "Saya tidak boleh mengelaknya. Doktor memantau ketumbuhan itu tetapi ia seperti bermain 'Russian roulette' kerana anda tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya ketika ditemui, semalam.

NF2 disebabkan oleh mutasi genetik dan dalam sebahagian kes, mutasi itu diwariskan kepada anak daripada ibu bapa.


Dalam kes lain seperti yang dialami Derrie, mutasi itu berkembang sendiri pada seorang kanak-kanak yang keluarganya tidak menghidap penyakit itu.


Tidak ada ubat untuk NF2. Rawatan yang dijalankan ialah mengawalnya ketika ia berlaku, sebagai contoh, pembedahan untuk membuang ketumbuhan. Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan pesakit pekak atau lemah.


Semangat Derrie hancur selepas mengetahui penyakit itu mungkin diwarisi oleh anak lelakinya, Kai yang kini berusia empat tahun. Bagaimanapun, dia perlu menunggu sehingga kanak-kanak itu berusia 18 tahun sebelum doktor dapat mengesahkannya.


"Kai menghadapi 50 peratus peluang mewarisi penyakit berkenaan. Tiada ibu bapa yang sanggup berdepan dengan keadaan itu," katanya ketika ditemui. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Pembuli siber cetus trauma

Posted: 21 May 2013 08:28 AM PDT

Bangkok: Semakin ramai remaja dan keluarga mendapatkan kaunseling daripada pakar psikiatrik akibat menjadi mangsa gangguan dalam talian.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Mental Thailand, Panpimol Wipulakorn berkata, gangguan pembuli siber semakin lazim di negara itu, terutama dalam bentuk ugutan melalui media sosial. Kata Panpimol, antara insiden paling meluas berlaku adalah perkongsian gambar atau video mengaibkan bersama keterangan menghina di laman sesawang sekolah.


"Disebabkan gangguan itu, mangsa hilang keyakinan diri dan dipulaukan rakan sebaya," katanya.

Panpimol berkata, kebanyakan mangsa gangguan siber itu akhirnya terdorong melakukan keganasan.


Dalam sesetengah kes, katanya, mangsa membunuh diri. "Bagi ibu bapa kaya, mereka boleh memindahkan anak mereka ke sekolah lain, tetapi bagi golongan kurang berkemampuan, tiada pilihan kecuali terus bersekolah di tempat sama.


"Dalam keadaan begitu, mangsa mengalami trauma," katanya. Rangkaian sosial kini menjadi sebahagian daripada cara hidup remaja di Thailand.

Justeru, kata Panpimol, ibu bapa, guru dan pengendali laman sesawang perlu menyesuaikan diri untuk menangani pembuli siber. "Remaja perlu diajar untuk menghormati hak orang lain ketika mengepos atau berkongsi sesuatu di Internet.


"Mereka juga perlu didedahkan dengan cara-cara bertindak balas apabila diganggu," katanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Tentera Udara Indonesia pintas pesawat tentera AS

Posted: 21 May 2013 08:27 AM PDT

Aceh: Tentera Udara Indonesia semalam memaksa sebuah pesawat dipercayai milik tentera Amerika Syarikat mendarat selepas memasuki ruang udara negara itu tanpa kebenaran.

Komander Pangkalan Tentera Udara Sultan Iskandar Muda, Supriabu berkata, pesawat pengangkut itu dalam perjalanan dari Maldives ke Singapura melalui Sri Lanka.


Katanya, ia dipintas kira-kira jam 2 petang. "Kami mengesan kehadiran pesawat itu di ruang udara Indonesia melalui radar di Pangkalan Tentera Udara Lhok Seumawe," katanya. Supriabu berkata, sebaik saja pesawat tentera AS itu dikesan, mereka menghubungi juruterbangnya dan meminta pengesahan dia mendapat kebenaran melalui kawasan berkenaan.

Disebabkan gagal menyatakan kebenaran sewajarnya, pesawat itu diarah mendarat di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda di Banda Aceh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Warga Australia disyaki ketua rangkaian penyeludupan manusia ditahan

Posted: 21 May 2013 08:26 AM PDT

Jakarta: Polis Indonesia semalam berkata, mereka menahan seorang penduduk tetap Australia yang disyaki mengetuai rangkaian penyeludupan manusia ke negara itu. Mohammad Abdi, 36, ditahan di sebuah apartmen di Jakarta kelmarin bersama dua lelaki Iran.

Pegawai kanan pasukan khas antipenyeludupan manusia polis Indonesia, Nani Rusiani berkata, suspek - yang lahir di Iran - memainkan peranan penting dalam perdagangan penyeludupan manusia. "Mohammad berulang-alik dari Australia ke Indonesia sekurang-kurangnya lima kali sebulan untuk mengatur perjalanan bot," katanya. Kata Nani, polis mengesan suspek selepas menahan seorang lelaki - dikenali sebagai Habid Abdullah - yang bekerja untuk Mohammad.


Menurut Nani, Habid ditahan di Jawa Barat pada 8 Mei lalu.

"Turut ditahan, kira-kira 30 pencari suaka Iran yang dalam perjalanan ke Australia," katanya. Habid mengaku dia diupah RM35,600 untuk menguruskan perjalanan pencari suaka itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Filipina peruntuk RM5b bangunkan tentera laut

Posted: 21 May 2013 08:26 AM PDT

Manila: Presiden Benigno Aquino semalam mengumumkan peruntukan bernilai AS$1.8 bilion (RM5.4 bilion) untuk meningkatkan taraf tentera bagi membantu mempertahankan wilayah maritim negara itu daripada "pembuli."

Pengumuman itu dibuat ketika Manila masih berdepan dengan pertikaian tuntutan wilayah maritim dengan China.


Tanpa membuat rujukan jelas kepada China, Benigno berikrar untuk memberikan sumber mencukupi bagi mempertahankan kedaulatan Filipina.

"Kita ada mesej yang jelas kepada dunia: Filipina adalah untuk warga Filipina dan kita mempunyai kemampuan menghadapi pembuli yang memasuki wilayah kita," katanya pada sambutan ulang tahun ke-155 tentera negara itu, semalam. Benigno turut memperincikan peruntukan itu adalah bagi program pemodenan yang memberi keutamaan kepada peningkatan kemampuan tentera laut.


Pasukan itu dianggap antara yang paling lemah di Asia Tenggara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Oklahoma dilanda bencana besar: Obama

Posted: 21 May 2013 08:25 AM PDT

Moore (Oklahoma): Sekurang-kurangnya 24 orang, termasuk 7 kanak-kanak, dikhuatiri terbunuh apabila puting beliung seluas lebih tiga kilometer melanda pinggir Oklahoma City, semalam.

Presiden Barack Obama mengumumkan Oklahoma dilanda bencana besar dan mengarahkan bantuan Persekutuan disalurkan ke negeri berkenaan.

Bencana di kawasan Moore itu dianggap paling buruk di Amerika Syarikat sejak puting beliung melanda Joplin, Missouri dan membunuh 161 orang dua tahun lalu.

Pekerja penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa di bawah runtuhan Sekolah Rendah Plaza Towers yang musnah kerana berada di laluan puting beliung berkenaan.


Penolong Gabenor Oklahoma, Todd Lamb berkata, kejadian berlaku tengah hari semalam (waktu tempatan).


Sebuah lagi sekolah rendah, hospital dan sebahagian besar kediaman adalah antara bangunan yang musnah, menyebabkan penduduk di bandar didiami kira-kira 50,000 orang itu kehilangan tempat tinggal akibat kemusnahan yang berlaku.
Kakitangan perubatan Oklahoma sudah mengesahkan 24 kematian dan menjangkakan ramai lagi mayat akan ditemui di bawah runtuhan.

Pegawai hospital berkata, sekurang-kurangnya 60 daripada 240 mangsa yang cedera adalah kanak-kanak.

Mangsa, Ricky Stover berkata, dia berada dalam bilik bawah tanah ketika puting beliung melanda kediamannya.

"Kami menyangka akan mati kerana puting beliung itu menerbangkan pintu bilik bawah tanah dan serpihan kaca serta bangunan mula masuk.

"Kami memang menyangka kami akan mati," katanya.

Bandar Moore kini dipenuhi runtuhan dan serpihan binaan, manakala papan tanda diterbangkan angin, rumah musnah, kenderaan tunggang terbalik seolah-olah alat mainan.

Bercakap di luar Hospital Daerah Norman, Ninia Lay, 48, berkata dia bersembunyi dalam almari sepanjang tempoh dua amaran ribut dikeluarkan.

Ninia berkata, ketika puting beliung melanda pada amaran ketiga, dia masih bersembunyi di situ.

"Saya terdengar bunyi seperti kereta api datang.

"Nasib baik telefon bimbit saya masih boleh digunakan dan saya dapat menghubungi suami bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Dia terperangkap di bawah runtuhan selama dua jam sebelum suaminya, Kevin, 50, dan penyelamat datang membantu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menganggap puting beliung itu berada dalam kategori kedua paling kuat dengan tiupan angin sehingga 320 kilometer sejam.

Saksi berkata, puting beliung itu kelihatan lebih menggerunkan berbanding dua puting beliung yang melanda kawasan berkenaan pada 3 Mei 1999 dan membunuh lebih 40 orang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Al-Aqsa digali Yahudi

Posted: 21 May 2013 08:23 AM PDT

Ramallah: Pihak berkuasa Israel semalam mula menjalankan kerja penggalian berhampiran kompleks Masjid Al-Aqsa.

Rejim Zionis itu turut membatalkan lawatan pegawai Pertubuhan Pelajaran, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang sepatutnya memeriksa kerja pemuliharaan di Bandar Lama Baitulmaqdis.


Ketua Jabatan Wakaf Baitulmakdis, Sheikh Azzam Al-Khatib berkata, rejim Israel itu memulakan kerja penggalian di Plaza Barat dan di kawasan istana Umayyah yang selari dengan tembok selatan Masjid Al-Aqsa.

Kerja penggalian di plaza berkenaan bertujuan untuk membina apa yang dipanggil Strauss House, rancangan yang diluluskan oleh pihak berkuasa Israel pada 2010.


Bangunan empat tingkat seluas 944 meter persegi adalah tambahan kepada bangunan sedia ada yang seluas 772 meter persegi di plaza itu.


Sheikh Azzam juga berkata, rejim Israel turut memulakan kerja penggalian baru di kawasan istana Umayyah untuk membina rangkaian jambatan dan tangga besi di kawasan bersejarah itu bagi memindahkannya ke kawasan yang dinamakan kuil kedua.

Pegawai Israel berkata, rejim itu menolak kenyataan Menteri Luar Palestin Riyad Al-Maliki yang merujuk lawatan UNESCO sebagai 'siasatan terhadap tindakan penjajah' di bandar raya itu.


"Kerana itu kami membatalkan lawatan berkenaan," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

AS selar peningkatan sentimen anti-Islam di Eropah, Asia

Posted: 21 May 2013 08:22 AM PDT

Washington: Amerika Syarikat semalam menyelar apa yang disifatkannya sebagai peningkatan sentimen anti-Islam di Eropah dan Asia dengan merujuk kepada sekatan dan keganasan ke atas Muslim.

Kecaman itu terkandung dalam laporan tahunan mengenai kebebasan beragama yang diterbitkan oleh Setiausaha Negara John Kerry.


Laporan Jabatan Negara itu yang meliputi peristiwa sepanjang 2012 berkata: "Retorik dan tindakan anti-Islam jelas semakin meningkat, khususnya di Eropah dan Asia.

"Sekatan kerajaan yang sering kali bertembung dengan kemarahan masyarakat mencetuskan tindakan anti-Islam sehingga menjejaskan kehidupan seharian penganut agama itu," katanya.


Menurut laporan itu, di Myanmar, pemerintah sengaja mengapi-apikan sentimen anti-Islam, khususnya di negeri Rakhine sementara di China, pihak berkuasa ternyata tidak bertolak-ansur dengan masyarakat Islam Uighur dan komuniti Tibet.


"Masyarakat Islam juga berdepan dengan sekatan baru pada 2012, seperti di Belgium yang mengharamkan pemakaian purdah di sekolah dan India, di mana sekolah di Mangalore melarang pelajar Islam memakai tudung.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membentuk jawatankuasa Pemerhati Islamophobia dan menerbitkan laporan mengenai isu itu.


Islamophobia berkembang dari fasa awal dengan dipertahankan atas nama kebebasan bersuara seperti yang berlaku dalam kes karikatur yang menghina Nabi Muhammad (SAW) di Denmark.

OIC juga mengumumkan rancangan untuk mewujudkan sebuah rangkaian televisyen satelit untuk menangani Islamophobia. – Agensi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Tentera Zionis balas serangan Syria di Golan

Posted: 21 May 2013 08:21 AM PDT

Baitulmaqdis: Tentera Israel semalam melepaskan tembakan ke arah Syria sebagai tindakan balas terhadap serangan yang menyasarkan tenteranya di Bukit Golan.

Menurut satu kenyataan, sebuah kenderaan tentera rosak akibat tembakan dari Syria tetapi tidak menyebabkan kecederaan.


Menurut kenyataan itu, tentera Israel melepaskan tembakan balas.

Kejadian tembakan di sempadan dari Syria berlaku berulang kali sejak beberapa bulan lalu ketika perang saudara yang meletus untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad memuncak.


Israel menawan Golan dari Syria dalam Perang 1967 dan kemudian menjajahnya. Rundingan untuk menyelesaikan isu itu gagal pada tahun 2000.


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata sebelum ini, rejim itu bersedia berdepan dengan apa juga senario yang berlaku di Syria. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

No comments:

Post a Comment