Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Main gitar ketika dibedah

Posted: 24 May 2013 08:55 AM PDT

Los Angeles: Sebuah hospital semalam mencipta sejarah kerana menyiarkan secara langsung pembedahan otak pesakit mereka melalui kemudahan perkongsian video terkini Twitter, Vine.

Melalui siaran langsung itu, orang ramai dapat melihat Brad Carter, 39, gembira memetik gitar di atas katil ketika doktor membedah kepalanya. Dalam pembedahan itu, pakar bedah memasukkan perentak (pacemaker) ke otak Carter bagi mengatasi kesan penyakit Parkinson dialaminya. Tidak sesuai untuk orang yang lemah semangat, tweet mengenai pembedahan itu turut disertakan dengan video memaparkan setiap tahap prosedur berkenaan.


Walaupun klip itu cuma singkat, kandungannya tetap mengerikan. Carter disahkan menghidap Parkinson selepas dia mengalami masalah goyangan tangan tak terkawal pada 2006 yang menyebabkan dia tidak mampu bermain gitarnya. Pembedahan itu membabitkan rangsangan di kawasan otak dan mengimplan perentak otak bagi merawat pergerakan tangan Carter. Ketika pembedahan berlangsung, Carter tidak dibius keseluruhan badan bagi membolehkan dia bermain gitar dan membantu doktor meletakkan elektrod ke tempat yang tepat. Siaran langsung itu diadakan kerana meraikan pembedahan otak ke-500 di Pusat Perubatan UCLA Ronald Reagan. Ketika kepalanya dibedah, Carter bukan saja boleh bermain gitar, malah mampu menyanyi ketika doktor selesai meletakkan beberapa elektrod ke tempat otaknya. Bercakap kepada kamera, Carter berkata, dia teruja untuk bermain gitar semula.

"Ini adalah lagu asli berjudul Mabuk Kembali," katanya. - Daily Mail

Foto

CARTER mampu bermain gitar kegemarannya semasa pembedahan otak dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Lahir anak ketika 'mati' sebelum kembali hidup

Posted: 24 May 2013 08:55 AM PDT

Austin (Texas): Keluarga seorang guru yang terhenti jantungnya atas sebab tidak diketahui, semalam meraikan keajaiban pemulihan serta kelahiran bayi perempuannya.

Erica Nigrelli yang bertugas sebagai guru bahasa Inggeris, tidak sedarkan diri ketika di sekolahnya pada Mac lalu.


Ketika itu, Erica, 32, sedang hamil 36 minggu.

Tindakan pantas rakan sekerjanya di Sekolah Tinggi Elkins di Missouri City melakukan bantuan pernafasan membolehkan Erica terus mendapat oksigen sehingga dia dapat dipindahkan ke hospital.


Kini Erica dan bayinya yang berusia tiba bulan, Elayna, didapati tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.


Keluarga Erica juga terlalu gembira melihat keadaan itu. Menceritakan pengalamannya, Erica berkata, dia sempat memberitahu rakan sekerja bahawa dia berasa seperti mahu pitam sejurus sebelum dia tidak sedarkan diri. Suami Erica, Nathan Nigrelli yang mengajar di sekolah sama segera dimaklumkan.

Ketika itu, kata Nigrelli, dia mendapati mulut Erica berbuih, matanya terbeliak dan terdengar bunyi mengerang dari kerongkongnya. Pada masa itu juga jantung Erica berhenti berdegup.


Seorang pembantu klinikal, jururawat sekolah dan jurulatih atlet sekolah itu melakukan bantuan pernafasan.

Mereka juga menggunakan defibrillator untuk menggerakkan semula degupan jantung Erica. Dia kemudian dikejarkan ke hospital tempatan oleh pasukan paramedik yang tiba sejurus kemudian.


Di hospital, Erica menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayinya - sebulan lebih awal daripada sepatutnya.


Dalam keadaan begitu, Erica dianggap mati secara klinikal, tetapi dia sedar semula tidak lama kemudian. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Obama had serangan dron

Posted: 24 May 2013 08:55 AM PDT

Washington: Presiden Barack Obama semalam menganjakkan Amerika Syarikat daripada 'perang tanpa sempadan ke atas keganasan,' dengan mengehadkan serangan pesawat tanpa juruterbang (dron) dan mengorak langkah ke arah menutup penjara di Teluk Guantanamo.

Dalam ucapan penting mengenai dasar kerajaannya, Obama mempertahankan serangan menggunakan dron terhadap kumpulan al-Qaeda dan sekutunya tetapi dengan jelas berkata, ia bukan penyelesaian kepada segala masalah.

Menurutnya beliau akan mengambil langkah mengurangkan serangan seumpama itu yang dikecam baik di Amerika mahupun di luar negara.

Berucap di Universiti Pertahanan di Washington, Obama yang kerajaannya berdepan dengan kecaman mengenai moral terhadap penggunaan dron untuk melancarkan perang di luar negara berkata, Amerika Syarikat kini hanya akan menggunakan serangan seumpama itu jika ancaman itu 'berterusan dan pasti.'


Ucapannya itu bagaimanapun diselar oleh anggota pembangkang daripada Republikan yang menyifatkan tindakan itu sebagai tunduk kepada keganasan.


"Ucapan presiden hari ini akan dilihat oleh pengganas sebagai kejayaan.

"Beliau sepatutnya meneruskan kegiatan memerangi keganasan yang sudah menunjukkan kejayaan," kata Senator Saxby Chambliss dari Georgia.

Penggunaan dron oleh anggota tentera Amerika Syarikat untuk menyerang kedudukan pejuang meningkatkan ketegangan seperti di Pakistan dan dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Jambatan lebuh raya utama runtuh

Posted: 24 May 2013 08:53 AM PDT

Mount Vernon: Jambatan di lebuh raya utama menghubungkan Seattle dengan Kanada dan keseluruhan wilayah barat laut Pasifik runtuh petang semalam menyebabkan beberapa orang dan kenderaan terhumban ke dalam sungai.

Pihak berkuasa bagaimanapun berkata, tiada kematian berlaku kecuali tiga orang yang diselamatkan dan dibawa ke hospital. Jambatan lebuhraya Interstate 5 empat lorong itu - berusia setengah abad - runtuh separuh jalan antara Seattle dengan Vancouver, British Columbia di Kanada, kata polis peronda Mark Francis.


Pihak berkuasa belum dapat memastikan punca keruntuhan itu yang berlaku pada hari pertama cuti hujung minggu yang sibuk tahun ini.

Jabatan Pengangkutan Washington berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada trak terlebih muatan mungkin merempuh jambatan itu. Penduduk, Dan Sligh dan isterinya berada dalam pikap mereka menuju ke lokasi perkhemahan apabila jambatan di depan mereka lesap dalam "sekelip mata".


"Saya menekan brek dan terhumban ke dalam sungai," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Golongan sekular kutuk pengharaman alkohol

Posted: 24 May 2013 08:53 AM PDT

Ankara: Turki mengharamkan iklan alkohol dan memperketat undang-undang penjualan minuman keras semalam, mendorong kritikan daripada golongan sekular , selain industri bir negara itu.

Undang-undang baru itu termasuk mengharamkan kedai menjual alkohol dari jam 10 malam hingga 6 pagi dengan denda mencecah kepada 500,000 lira (RM) dikenakan terhadap pemilik dan pengendali kedai yang melanggar undang-undang, di samping hukuman penjara setahun jika menjual minuman keras kepada individu bawah umur.


Turki adalah negara Islam yang mengamalkan perlembagaan sekular, tetapi parti pemerintahan Perdana Menteri Tayyip Erdogan, parti AK dikecam sesetengah pihak kerana menjejaskan pemisahan antara negara dan agama di negara itu. Sejak memegang kuasa pada 2001, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah terhadap alkohol, minuman yang dilarang dalam Islam. Cukai terhadap alkohol meningkat dan pengangkutan kebangsaan Turkish Airlines sudah berhenti menghidangkan alkohol dalam beberapa penerbangan domestik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Bakar kereta lima hari berturut-turut

Posted: 24 May 2013 08:52 AM PDT

Stockholm: Polis di ibu negara Sweden meningkatkan kawalan selepas kumpulan remaja sekali lagi membakar kereta dan melontar batu ke arah pihak berkuasa selama lima hari berturut-turut.

Kira-kira 30 kereta dibakar di kejiranan miskin di barat laut dan barat daya Stockholm malam kelmarin dan perusuh menyebabkan kemusnahan teruk terhadap hartanah, termasuk sekolah.


Walaupun Sweden terkenal kerana dasar persamaan hak, rusuhan itu mendedahkan jurang antara golongan majoriti yang mewah dan minoriti yang biasanya terdiri daripada golongan muda keluarga pendatang yang menganggur, kurang pendidikan dan tersisih.

"Lapan orang kebanyakan berusia awal 20-an ditahan semalam," kata jurucakap polis, Kjell Lindgren.


Menurutnya, polis bercadang meminta bantuan anggota dari kawasan lain bagi membantu menangani rusuhan itu, menjelang perlawanan bola sepak dan perkahwinan Puteri Madeleine, pewaris ketiga takhta Sweden pada 8 Jun.


Keganasan beberapa hari kebelakangan ini bermula dengan kematian di Husby, kawasan yang menjadi pusat rusuhan, apabila seorang lelaki berusia 69 tahun ditembak polis awal bulan ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Burger percuma seumur hidup

Posted: 24 May 2013 08:51 AM PDT

Cleveland: Seorang lelaki yang terkenal kerana meninggalkan burger Big Mac untuk membantu tiga wanita yang menjadi tawanan selama sedekad di sebuah kediaman di bandar raya ini tidak lagi perlu membeli makanan itu.

Lebih dua minggu selepas Charles Ramsey menjadi wira rakyat setelah memberitahu kisahnya kepada wartawan televisyen, penulis blog makanan Cleveland, Michelle Venorsky kelmarin berkata, sebanyak 15 restoran menawarkannya burger percuma pada bila-bila masa saja dia ingin memakannya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Rejim Bashar setuju rundingan damai

Posted: 24 May 2013 08:49 AM PDT

Moscow: Kerajaan Syria pada prinsipnya bersetuju menghadiri persidangan perdamaian antarabangsa yang disarankan Russia dan Amerika Syarikat.

"Damsyik sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai persidangan antarabangsa dalam usaha negara itu untuk mencari penyelesaian politik," kata jurucakap Kementerian Luar Russia, Alexander Lukashevich.

Beliau bagaimanapun berkata, sukar untuk menetapkan tarikh rundingan itu pada masa ini kerana sehingga ini tidak jelas siapa yang akan bercakap bagi pihak penentang kerajaan Syria.

Lukashevich berkata tindakan antarabangsa termasuk resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 15 Mei lalu yang memuji penentang dan mengutuk tentera Presiden Bashar al-Assad mendorong pemberontak Syria menolak rundingan.


Russia melindungi Bashar sepanjang konflik lebih dua tahun itu yang membunuh 80,000 orang.


Ia juga menentang semua bentuk sekatan terhadap Syria dan membekal senjata kepada tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Tembok halang jemaah haji naik kereta api percuma

Posted: 24 May 2013 08:48 AM PDT

Jeddah: Usaha kini dibuat untuk membina tembok di sekeliling landasan kereta api yang menghubungkan kawasan suci di sekitar Makkah.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar Habeeb Zayn Al-Abideen berkata, kementeriannya akan menentukan syarikat yang terpilih menyelenggara dan membina tembok itu hari ini.


"Tembok berkenaan ialah sepanjang 20 kilometer dan pembinaannya akan menelan belanja sebanyak SR14.5 juta (RM12.8 juta)," katanya.

Bercakap kepada akhbar Al-Sharq Al-Awsat, beliau berkata, pembinaan tembok itu ialah untuk menghalang jemaah haji daripada menaikinya tanpa membayar tiket.


"Tahun lalu, kira-kira 200,000 jemaah menggunakan khidmat kereta api itu dari Muzdaliffah ke Mina tanpa membayar tiket," katanya.


Habeeb Zayn juga berkata, pihak berkuasa Saudi tidak akan menaikkan harga tiket kereta api itu tahun ini.

"Harga tiket akan kekal seperti musim haji lalu, SR250 (RM205) untuk kegunaan keseluruhan musim haji," katanya ketika ditemui, semalam. - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Israel cuba bunuh pesakit Palestin

Posted: 24 May 2013 08:46 AM PDT

Baitulmaqdis: Pihak berkuasa kesihatan Palestin menuduh Israel cuba membunuh sejumlah pesakit Palestin dengan menggantikan gas nitrus untuk ubat bius dengan gas oksid karbon yang beracun.

Menteri Kesihatan Palestin, Dr Mufid al-Mukhallati menyatakan demikian dalam sidang akhbar di Gaza. "Dengan pertolongan Allah melalui campur tangan pegawai perubatan di hospital Gaza, nyawa pesakit yang menjadi mangsa gas beracun itu akhirnya dapat diselamatkan," katanya.


Mufid mengarahkan agar kementerian itu segera membentuk pasukan siasatan. Terdapat dakwaan mengatakan Israel menggantikan gas nitrus untuk bius dengan gas oksid yang beracun ketika pembedahan. Israel melarang pusat kesihatan dan hospital di Gaza mendapat bekalan ubat bius. Gas untuk ubat bius hanya boleh dibawa masuk dari wilayah zon hijau yang ditadbir rejim Zionis itu. Mufid juga berkata, pihaknya akan mengirim surat kepada agensi kesihatan dunia PBB dan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa supaya menyiasat kejadian itu dan memeriksa bekalan gas nitrus ke Palestin. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

No comments:

Post a Comment