Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Air mata mengalir

Posted: 15 May 2013 11:39 AM PDT

Seremban: Seorang bapa di Rumah Rakyat Panchor, di sini, merayu orang ramai membantu meringankan beban perbelanjaan ditanggungnya berikutan terpaksa mengeluarkan kos lebih RM2,000 sebulan bagi merawat penyakit saraf anak tunggalnya.

Adli Isham Abas, 35, berkata walaupun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Yayasan Menara RM500 sebulan ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan alternatif serta rawatan penyakit anak tunggalnya, Ahmad Wafly Adli Isham berusia setahun 10 bulan.


Menurutnya, Ahmad Wafly memerlukan makanan tambahan iaitu sejenis vitamin khusus untuk saraf seperti disyorkan doktor pakar yang boleh didapati di beberapa farmasi pada harga RM175 bagi 30 biji dan susu khas RM600 sebulan.

"Setiap kali memegang tubuhnya yang lembik disebabkan penyakit saraf saya perlu berhati-hati kerana bimbang anak berasa sakit. Apatah lagi dia belum boleh bercakap dan saya dapat merasakannya apabila dia mengalirkan air mata.


"Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai di Paroi dengan pendapatan RM25 sehari. Apabila menggunakan perubatan alternatif yang disarankan doktor pakar itu, memerlukan perbelanjaan tinggi. Saya gagahkan juga sebab mahu melihat anak sihat walaupun terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tak mampu bayar. Sekarang saya, isteri dan anak menumpang di rumah ibu.


"Saya sangat mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk membantu kami sekeluarga. Isteri saya pula tidak boleh bekerja sebab perlu menumpukan 100 peratus perhatian kepada anak tunggal kesayangan kami itu," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Foto

NORLIYANA memegang tubuh anaknya Ahmad Wafly yang menderita sakit saraf.

Isterinya, Norliyana Abdullah, 25, ketika mengadu mengenai anak tunggalnya itu berkata, Ahmad Wafly menghidapi penyakit saraf secara tiba-tiba sejak berusia empat bulan hingga menyebabkan anaknya itu tidak boleh duduk atau berdiri sebaliknya hanya berbaring.


"Ketika melahirkannya di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Ahmad Wafly berkeadaan normal tetapi, dikesan menghadapi masalah saraf ketika usianya empat bulan. Dia diberikan rawatan di hospital berkenaan termasuk dengan doktor pakar.

"Keadaan dia sehingga kini ada perubahan positif walaupun perlahan, penggunaan perubatan alternatif disarankan doktor pakar banyak membantu perkembangannya. Cuma perbelanjaannya tinggi," katanya.


Norliyana berkata, dia menggunakan sepenuh masa menjaga Ahmad Wafiy yang memerlukan perhatian serius dari segi pemakanan dan kesihatan bagi memastikan anaknya tidak ditimpa masalah lain.


Menurutnya, anaknya mudah mendapat demam jika tidak dijaga dengan betul dan khuatir akan menjejaskan pembesarannya.


"Doktor juga menyarankan Ahmad Wafly menggunakan alat penyokong leher dan badan iaitu sebahagian proses terapi bagi membolehkan tulangnya kembali kuat, namun kami belum dapat membelinya kerana suami tidak mampu dari segi kewangan," katanya.


Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan bolehlah menyumbang di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Adli Isham Abas di nombor akaun 05012026075001.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16

Tambah nilai kad MyRapid lebih pantas

Posted: 15 May 2013 10:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemegang kad MyRapid kini tidak perlu lagi bersesak di mesin tiket layan diri, sebaliknya boleh melakukan tambah nilai dengan lebih cepat di laluan khas disediakan, Laluan Premier.

Laluan khas yang menempatkan mesin tambah nilai kad MyRapid itu bukan saja memudahkan pengguna, malah diwujudkan bagi menggalakkan orang ramai memiliki kad pintar berkenaan.


Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Khairani Mohamed berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan rangkaian RapidKL untuk keselesaan pengguna terutama pemilik kad MyRapid.

"Kami memperkenalkan sistem tiket bersepadu bagi kutipan tambang automatik (AFC) menggunakan kad MyRapid sejak 2011. Dalam tempoh sehingga Januari tahun lalu, pemegang kad mencapai angka 98,000 sebelum meningkat kepada 376,000 menjelang April lalu.


"Perkembangan itu sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan kami perlu tampil bersama inisiatif lebih baik untuk keselesaan mereka pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas melancarkan Laluan Premier Kad MyRapid di stesen LRT KLCC, di sini, semalam.


Khairani berkata, ketika ini laluan berkenaan hanya disediakan di tiga stesen utama termasuk KL Sentral dan Masjid Jamek.

"Kami akan pastikan semua stesen LRT dilengkapi Laluan Premier Kad MyRapid bagi memudahkan pemilik kad membuat tambah nilai.


"Pada masa sama, kami menawarkan rebat RM10 kepada pengguna yang membuat tambah nilai RM100 di Laluan Premier sehingga 31 Mei ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah pemegang kad MyRapid dengan pengenalan laluan khas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16

Suspek campak mayat ke lombong ditahan

Posted: 15 May 2013 10:32 AM PDT

Shah Alam: Misteri pembunuhan seorang lelaki berusia 26 tahun yang mayatnya dijerut selain ditikam sebelum dicampak ke lombong, 2 Mei lalu dijangka terungkai dengan penahanan dua lelaki, malam kelmarin.

Mayat mangsa, V Parasuraman ditemui orang ramai jam 10 pagi di lombong di Taman Permata, Dengkil, sebelum menghubungi polis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui dengan kesan lilitan di leher selain terdapat luka pada bibir dan koyak pada telinga.

Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan 8 Mei lalu mendapati terdapat kesan tikaman di rusuk kiri, dada dan abdomen mangsa.


Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menahan dua lelaki berusia 31 tahun di Taman Desa Dengkil, jam 11 malam kelmarin.


Menurutnya, siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan merusuh manakala seorang lagi suspek tiada rekod jenayah lampau.

"Kedua-dua suspek direman mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan dan motif kejadian belum dikenal pasti.


"Polis meminta orang ramai mengesan seorang lagi suspek iaitu F Chandrasskaran berusia 31 tahun beralamat terakhir di No 20, Jalan Aman 2, Taman Desa Dengkil. Suspek itu dipercayai terbabit kejadian berkenaan," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M Balloo di talian 012-366 3614 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16

Setan umpan buah

Posted: 15 May 2013 10:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Belum reda kes rogol membabitkan kematian seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Bukit Tinggi, Klang, 8 Mei lalu, dua lagi kanak-kanak berusia 10 tahun menjadi mangsa rogol lelaki bernafsu syaitan dalam dua kejadian berasingan di Ampang dan Cheras, kelmarin.

Bagaimanapun, dua kanak-kanak perempuan terbabit bernasib baik kerana masih hidup namun keadaan mereka berdua dilaporkan masih trauma dan dirawat di hospital.


Menurut sumber, dalam kejadian pertama di Bandar Tun Razak, kanak-kanak terbabit 'diculik' sekumpulan tiga lelaki warga Pakistan selepas mangsa melarikan diri daripada rumahnya sebelum dirogol di sebuah hotel di Cheras manakala bagi kes di Ampang, kanak-kanak terbabit diumpan dengan buah-buahan sebelum diheret masuk ke sebuah rumah dan dirogol.

Katanya, dalam kejadian pertama, mangsa dilaporkan melarikan diri dari rumahnya di Bandar Tun Razak selepas mendakwa dipukul bapa saudaranya berusia lewat 30-an.


"Mangsa melarikan diri dari rumah jam 1.45 petang pada 11 Mei lalu dan menurutnya, dia bermalam di sebuah surau berhampiran kawasan berkenaan.


"Pada jam 2 petang kelmarin, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya mendakwa dihampiri sebuah kereta sebelum seorang lelaki warga Pakistan menariknya masuk," katanya memberitahu mangsa tidak mengecam jenis kenderaan itu namun mendakwa tiga lelaki berusia lewat 20-an berada dalam kenderaan itu.

Menurutnya, mangsa dibawa ke sebuah hotel di Cheras sebelum seorang daripada mereka merogolnya.


"Selepas merogol mangsa, kumpulan terbabit meninggalkannya di bahu jalan berhampiran Bandar Tun Razak. Mangsa yang kesakitan dilaporkan menangis sebelum tangisannya itu didengari seorang wanita.

"Dengan bantuan wanita berusia 40-an itu, mangsa dibawa ke Balai Polis Sungai Besi sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian menimpanya itu," katanya mangsa kini masih dirawat di hospital.


Bagi kes kedua, mangsa dilaporkan berjalan sendirian ke rumah rakannya di Pandan Jaya, Ampang jam 2 petang kelmarin.


"Mangsa dihampiri lelaki tidak dikenali berusia 30-an sebelum mendakwa mahu memberinya buah. Termakan dengan umpan itu, mangsa dibawa ke sebuah rumah berhampiran kawasan berkenaan.


"Ketika berada dalam rumah berkenaan, mangsa diheret ke tandas sebelum pakaiannya ditanggalkan dan dirogol," katanya.


Katanya, lelaki itu turut mengugut mangsa sekiranya menceritakan kejadian berkenaan kepada orang lain.


"Mangsa yang pulang ke rumah memaklumkan kejadian menimpanya kepada keluarga sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16

Petunjuk baru kes tembak Shaharuddin

Posted: 15 May 2013 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Polis mendapat petunjuk baru berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim pada 26 April lalu dan yakin dapat mengesan serta memberkas suspek yang menembak mangsa ekoran penahanan dua ejen penghantaran barangan import.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, hasil siasatan setakat ini menunjukkan perkembangan positif dengan dua tangkapan sudah dibuat termasuk seorang suspek berusia 56 tahun yang kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.


"Tangkapan terbaru dibuat semalam (kelmarin), seorang lelaki berusia 37 yang juga ejen pengimport alat gantian kenderaan dan kami akan membawa suspek ke mahkamah hari ini (semalam) untuk mendapat permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

"Dengan penahanan individu terbabit, polis mendapat beberapa petunjuk baharu dan bekerja keras memburu dua lagi suspek utama yang menembak mangsa, namun proses siasatan mungkin mengambil masa lama," katanya.


Menurutnya, ketika ini, kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai kaitan atau hubungan secara langsung dengan mangsa, tetapi polis yakin mereka dapat membantu siasatan, sekali gus mengenal pasti motif kejadian dan mengesan suspek lain.


Sementara itu, mengenai perkembangan kes dua lelaki yang cedera ditembak dalam kejadian di Jalan Budiman, Bandar Tun Razak, di sini, Ahad lalu, beliau berkata, berdasarkan siasatan terhadap empat suspek yang ditahan sehingga kini mendapati mangsa mengenali semua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16

No comments:

Post a Comment