Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Isteri ke-14 Raja Mswati?

Posted: 19 May 2013 09:18 AM PDT

London: Seorang gadis kini memohon suaka di Britain selepas dia ingin dijadikan isteri ke-14 pemerintah Swaziland, Raja Mswati III.

Tintswalo Ngobeni, 22, melarikan diri dari negara di selatan Afrika itu ke England ketika masih berusia belasan tahun selepas menarik perhatian raja berkenaan yang terkenal dengan gaya hidup mewahnya. Sebagai sebahagian daripada adat Swaziland, Mswati III, 45, dibenarkan memilih isteri baru pada setiap tahun. Tintswalo berkata, dia meninggalkan negara kelahirannya ketika berusia 15 tahun dan kini menetap di Birmingham.


Menceritakan pengalamannya dilamar, Tintswalo berkata, dia menarik perhatian raja itu ketika melawat istana isteri keempatnya, LaNgangaza.

"Sejak itu dia mula menghubungi saya di sekolah dan bertanya jika saya mahu menjadi sebahagian daripada keluarganya.


"Walaupun ketakutan, saya mendiamkan perasaan itu," katanya.


Menurut Tintswalo, dia sedar jika memberi persetujuan menjadi isteri Mswati III, seluruh hidupnya akan ditumpukan kepada raja itu. Seperti isteri lain Mswati III, dia akan ditempatkan dalam istana dengan dijaga pengawal peribadi dan tidak boleh pergi ke mana-mana tanpa izin.

Foto

TINTSWALO percaya dia boleh ditahan atau dibunuh jika kembali ke Swaziland.

Foto

SEBAGAI adat di Swaziland, Mswati III dibenarkan memilih isteri baru setiap tahun.

Satu-satunya lawatan yang dibenarkan Mswati III kepada isterinya ialah mengunjungi Amerika Syarikat setahun sekali untuk membeli-belah. Justeru, Tintswalo nekad mengetepikan hidup dan pendidikannya yang selesa di sebuah sekolah berasrama swasta dan merancang melarikan diri ke England.


Kata Tintswalo, rancangan itu dilakukan dengan bantuan ibu saudaranya.

"Saya tak ada pilihan.


"Tiada sesiapa pernah menolak kemahuan raja sebelum ini atau mengingkari hajatnya," katanya.


Akhirnya Tintswalo meninggalkan Swaziland dan menuju ke England untuk menetap bersama ibunya yang sudah ke Birmingham lima tahun sebelum itu.


Ibu Tintswalo meninggalkan Swaziland untuk menjauhkan diri daripada suaminya yang suka mendera. Sejak tiba di England, Tintswalo menjadi pengkritik utama kepada rejim Swaziland - negara yang mengharamkan parti politik dan aktivis pula ditahan atau diganasi dari semasa ke semasa. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Guna playar cabut peluru di dahi

Posted: 19 May 2013 09:15 AM PDT

Moscow: Seorang tentera mendapat gelaran Terminator Russia selepas imejnya memaparkan peluru di dahinya dibuang dengan playar, merebak di Internet, semalam.

Klip video mengejutkan itu bermula dengan paparan jarak dekat kepala tentera terbabit dan menampakkan peluru secara jelas terlekat di dahinya. Seorang tentera lain kemudian membersihkan kawasan sekitar peluru itu dengan kain sebelum cuba menariknya dengan playar.


Jelas dalam keadaan terkejut, tentera terbabit tidak memberikan sebarang reaksi ketika beberapa cubaan awal membuang peluru itu gagal. Tentera itu akhirnya tersenyum apabila peluru itu dikeluarkan tidak lama kemudian. Dipercayai dia terbabit dalam insiden tembak-menembak di antara tentera Russia dengan pejuang Chechen dan senjata yang digunakan ialah raifal AK-47.

Klip itu dipercayai dirakamkan ketika perang melanda wilayah Chechnya pada 2000 sebelum ia merebak dengan meluas minggu lalu. - Metro

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Buka gerai jual dadah di pasar

Posted: 19 May 2013 09:12 AM PDT

Bangkok: Polis semalam menahan tiga lelaki suku kaum Hmong dan merampas dadah yang dianggar bernilai 450 juta baht (RM45 juta) di jalanan dekat pasar Chatuchak.

Rampasan turut termasuk 1.45 juta pil methamphetamine dan lapan kilogram serbuk methamphetamine, kata polis. Polis berkata, mereka menerima maklumat bahawa tiga lelaki terbabit menyewa sebuah gerai di pasar Chatuchak untuk menjual beg dan kraf tangan suku kaum Hmong. Bagaimanapun, mereka juga dipercayai menggunakan gerai sama untuk mengedar dadah. Kira-kira jam 5 pagi, ketika tiga suspek itu mahu membuka gerai, polis menyerbu mereka, selain turut menggeledah bahagian belakang gerai terbabit dan menemui pil ya ba dan serbuk ya ais.


Ketiga-tiga mereka yang dikenali sebagai Kasama Charoenman, 37, Anuchon Laojang, 20, dan Panya Wangtrakul, 25, kemudian didakwa kerana mengedar dadah. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Filipina tunggu kemarahan Taiwan reda

Posted: 19 May 2013 09:11 AM PDT

Manila: Filipina menunggu kemarahan Taiwan reda sebelum menyelesaikan perbalahan mengenai kes nelayan negara terbabit mati ditembak, kata ketua pejabat perhubungan semalam.

Isu seperti polisi 'satu-China' Manila dan komen penyiasat Taiwan yang melabel insiden itu sebagai pembunuhan merumitkan lagi keadaan, kata Pengerusi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Manila, Amadeo Perez.


"Kami menunggu masa yang sesuai kerana saya diberitahu oleh Setiausaha Agung Hal Ehwal Asia, kita perlu menunggu suhu di Taiwan reda," katanya dalam wawancara dengan radio DZMM. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Himpunan aman kenang tragedi berdarah

Posted: 19 May 2013 09:11 AM PDT

Bangkok: Kira-kira 12,000 penyokong Baju Merah semalam berhimpun di bandar raya ini bagi memperingati ulang tahun ketiga insiden kekerasan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan, kata polis.

Kira-kira 90 orang terbunuh dan hampir 1,900 cedera dalam beberapa siri pertempuran di jalanan pada Mei 2010 antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang menjadi acara kemuncak dalam insiden itu.


Jalan raya semalam ditutup ketika penyokong Baju Merah yang setia kepada bekas pemimpin dalam buangan, Thaksin Shinawatra membanjiri persimpangan daerah beli-belah Bangkok.

Pusat beli-belah terbesar Thailand, Central World yang dibakar pada hari-hari terakhir bantahan pada 2010 juga ditutup ketika perhimpunan penuh warna itu berlangsung. "Perhimpunan berlangsung dengan aman," kata pegawai kanan polis, Mejar Jeneral Chantavit Ramasut, sambil menambah kira-kira 12,000 orang menyertai perhimpunan itu yang dikawal oleh 750 anggota polis.


Thailand berdepan dengan keadaan perpecahan politik sejak Thaksin digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa pada 2006. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Lelaki sembelih dua anak ditahan

Posted: 19 May 2013 09:11 AM PDT

Lyon: Seorang lelaki Britain yang sudah bercerai ditahan di Perancis kerana disyaki mengelar leher dua anaknya.

Mayat kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan abangnya yang berusia 10 tahun ditemui dalam flat bapa mereka tengah hari semalam di pinggir bandar Lyon.


Lelaki berusia 48 tahun terbabit ditahan selepas bekas isterinya melihat dia di tangga flatnya dengan kesan darah berlumuran di bajunya, kata laporan akhbar.

Beberapa saksi melaporkan melihat lelaki terbabit melarikan diri dari tempat kejadian dengan kasut roda dengan bajunya masih berlumuran darah. Lelaki itu yang dikatakan baru melalui perceraian yang rumit dengan bekas isterinya dilaporkan ditahan selepas diburu petang semalam. Pejabat luar negara kini sedang melakukan siasatan mengenai laporan pembunuhan kejam itu.


Ibu mangsa dikatakan sangat trauma untuk bercakap dengan polis tetapi "kenyataannya terbukti amat penting", kata beberapa sumber. Selain mengalami masalah alkohol, suspek turut dikenali sering mendera bekas isterinya pada masa lalu. Sebilah pisau dipercayai menjadi senjata pembunuhan ditemui dalam flat suspek di Saint-Priest, di pinggir tenggara Lyon.


Seorang bekas jiran berkata: "Penduduk yang tinggal di sini semuanya dalam keadaan terkejut." Ibu mangsa yang juga seorang pembantu akauntan memenangi hak penjagaan terhadap anak mereka ekoran perceraian itu dan kini tinggal di Isere, daerah di tenggara Lyon.

Sementara itu, suspek yang tidak bekerja terus tinggal di flat berkenaan.


Dia diberikan hak lawatan tetapi dengan kehadiran seorang lagi pemerhati.

Kanak-kanak terbabit yang tiba di flat bapa mereka Jumaat lalu dikatakan dibawa pulang suspek buat kali pertama. Satu sumber berkata: "Itu kali pertama lelaki berkenaan dibenarkan bersendirian dengan anak-anaknya sejak bercerai." Laporan mengatakan bagaimana ibu mereka bimbang dengan lawatan itu dan turut datang ke flat terbabit. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Kuwait hantar pulang pesalah trafik warga asing

Posted: 19 May 2013 09:10 AM PDT

Bandar raya Kuwait: Kuwait menghantar pulang beratus-ratus pekerja asing ekoran kesalahan trafik pada bulan lalu, lapor akhbar semalamhingga menimbulkan kecamandaripada kumpulan hak asasi kemanusiaan.

Akhbar Al-Anbaa memetik seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri sebagai berkata, seramai 1,258 warga asing dihantar pulang kerana kesalahan trafik sejak tindakan tegas itu bermula kira-kira sebulan lalu.


Penduduk warga asing yang ditahan memandu tanpa lesen, menggunakan kereta mereka untuk membawa penumpang dan mengambil bayaran, melanggar lampu isyarat merah untuk kali kedua atau melanggar had laju melebihi 40 kilometer sejam akan dihantar pulang tanpa arahan mahkamah. Masyarakat Kuwait Untuk Hak Asasi Kemanusiaan menggesa kerajaan menghentikan tindakan itu menyifatkan ia sebagai "penindasan".

"Langkah penindasan terhadap pekerja asing...melanggar prinsip asas hak asasi kemanusiaan," kata kumpulan itu. - Gulf News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Pesalah terlepas hukuman dilumpuh

Posted: 19 May 2013 09:10 AM PDT

Riyadh: Seorang lelaki terlepas daripada hukuman dilumpuhkan kerana menikam dan menyebabkan lelaki lain lumpuh apabila dia menawarkan bayaran pampasan kepada mangsa, lapor media semalam walaupun pihak berkuasa menafikan menjatuhkan hukuman itu.

Hukuman itu digugurkan selepas keluarga Mohammed al-Hazim, 26, menerima 1 juta riyal (RM805,386) sebagai pampasan daripada keluarga pesalah, Ali Khawahir, 24, lapor Al-Watan.


Mahkamah di bandar Al-Ahsa di timur negara itu telah mendaftarkan penepian oleh keluarga plaintif dan akan membebaskan Ali yang sudah menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Bulan lalu Amnesty International berkata, Ali dilaporkan dihukum Qisas atau hukuman setimpal dan akan dilumpuhkan dari paras pinggang ke bawah jika dia gagal membayar pampasan.


Pemerhati hak asasi kemanusiaan berpangkalan di London itu berkata, Ali menikam kawannya pada 2003 dan menyebabkan mangsa lumpuh. Ali berusia 14 tahun ketika kejadian.


Tetapi kementerian kehakiman Saudi menafikan mahkamah menjatuhkan hukuman seumpamanya, mengatakan di Twitter bahawa hakim sudah menggugurkan tuntutan terhadap hukuman itu.

Jurucakap kementerian itu memberitahu bahawa laporan mengenai hukuman itu juga "tidak benar".


Amnesty berkata, mahkamah Saudi pernah menjatuhkan hukuman melumpuhkan pesalah pada 2010, tetapi tidak pasti sama ada ia sudah dijalankan. - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

No comments:

Post a Comment