Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lauren dituduh rampas suami

Posted: 12 May 2013 09:09 AM PDT

London: Aktivis keamanan Britain yang memeluk Islam beberapa tahun lalu, Lauren Booth, dituduh sebagai perosak rumah tangga, lapor media semalam.

Wanita terbabit, Faiza Ahmed, kini menumpang di rumah saudara kandungnya di Texas selepas meninggalkan Stockport, Greater Manchester apabila perkahwinannya dengan Sohale Ahmad bermasalah.


Faiza dan Sohale menjadi suami isteri kira-kira 16 tahun lalu.

Faiza, 37, berkata Lauren yang juga adik ipar Cherie Blair telah mengkhianati Islam.


"Lauren secara terbuka berlaku curang dengan Sohale di depan saya, menghabiskan masa menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama dan kini mereka berkahwin secara rahsia," katanya. Bercakap kepada media semalam, Faiza berkata, Lauren bertanggungjawab menghancurkan rumah tangganya.


"Anda tidak boleh sekadar memakai hijab dan mendakwa seorang wanita Muslim yang baik.

Foto

FAIZA bersama Sohale dan dua anak mereka pada 1994. Gambar kecil, Lauren Booth.

"Islam menetapkan sempadan antara lelaki dan wanita, selain menyayangi dan menghormati wanita," katanya. Bagaimanapun, kata Faiza, Lauren datang ke rumah mereka sebagai tetamu Sohale dan merampas suaminya secara terbuka.


Kata Faiza, perangai Lauren mengejutkannya serta wanita lain.

Pendedahan Faiza itu dianggap tamparan kepada Lauren, 45, yang mengumumkan pernikahannya melalui Facebook minggu lalu. Kenyataan itu dibuat sebagai susulan kepada jenaka Lauren di laman sesawang sosial itu yang mendakwa dia sedang "memburu seorang suami." Dalam jenaka itu, Lauren menulis: "ejen Mossad, peminum arak, badut CIA, lelaki tidak solat dan kedekut tidak perlu memohon." Ketika bercakap kepada media semalam, Faiza berkata, rumah tangganya dengan Sohale, 49, bermasalah apabila suaminya itu menghabiskan banyak masa untuk aktiviti amal Islam yang membabitkan Lauren. "Saya tahu mereka rakan kongsi dan Sohale menganggap Lauren sebagai kakak," katanya.


Sohale bertemu Lauren kali pertama ketika wanita terbabit menumpang di rumah keluarganya pada Mac 2012. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Siswa bawa periuk disoal siasat FBI

Posted: 12 May 2013 09:05 AM PDT

Lansing (Michigan): Seorang mahasiswa dari Arab Saudi disoal siasat ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas ada orang awam melihat lelaki terbabit membawa periuk tekanan tinggi.

Bimbang Talal al-Rouki seorang pengganas, jiran kemudian menghubungi pihak berkuasa.


Menurut laporan media semalam, penduduk setempat tidak mengetahui Talal sebenarnya membawa periuk berisi nasi tradisi Arab digelar kabsah yang dimasak di rumahnya.

Talal kemudian membawa periuk itu ke rumah rakannya untuk menikmati hidangan berkenaan bersama-sama. FBI mengambil sikap sangat berhati-hati ekoran serangan bom di Boston baru-baru ini.


Akhbar Arab Saudi, Okaz melaporkan, ejen FBI menyerbu blok apartmen yang menempatkan rumah Talal.


Dengan rumah itu dikepung, Talal didakwa kelihatan "gementar" dan meminta kebenaran untuk disoal siasat.

Talal berkata, ejen FBI bertanya mengenai kursus yang diikutinya, tarikh tiba di Amerika Syarikat dan apa aktiviti dilakukan ketika masa lapang. Sumber polis berkata, dua hari sebelum itu ada orang melihat Talal meninggalkan rumahnya membawa periuk tekanan tinggi. Akhirnya kekeliruan itu diatasi selepas Talal menunjukkan periuk yang digunakannya untuk memasak kabsah. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Singapura sekat judi Internet

Posted: 12 May 2013 09:01 AM PDT

Singapura: Kerajaan Singapura semalam mengkaji langkah untuk menyekat perjudian Internet dengan mengehadkan akses kepada laman web perjudian Internet.

Kementerian Dalam Negeri menjalankan penyelidikan bersama pakar industri bagi mengkaji isu itu dan belajar daripada pengalaman negara lain. Bercakap pada seminar pelan kerja tahunan Pihak Berkuasa Perundangan Kasino (CRA) kelmarin, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, S Iswaran berkata, kerajaan berkongsi kebimbangan dengan masyarakat mengenai risiko sosial berkaitan dengan perjudian Internet yang dapat diakses dengan mudah.


"Perjudian Internet adalah bentuk ketagihan judi yang baru dan mudah mempengaruhi golongan muda," katanya yang juga Menteri Kedua untuk Kementerian Dalam Negeri. "Risiko ini mungkin menjadi lebih besar kerana teknologi perjudian Internet semakin berkembang," katanya ketika ditemui, semalam.

Kementerian cenderung untuk melakukan penyelidikan bagi membentuk polisi dan melaksana peraturan di sebalik landskap perjudian yang berkembang pesat.


Selain menangani perjudian Internet, ia akan bekerjasama dengan Pusat Sains Tingkah Laku kementerian itu untuk mengkaji profil psikologi kaki judi kasino tempatan.


Ini akan membantu CRA lebih memahami tingkah laku perjudian, sikap dan motivasi kaki judi untuk panduan kerjanya. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

5 maut dalam serangan hendap

Posted: 12 May 2013 09:00 AM PDT

Manila: Lima orang terbunuh dalam serang hendap berasingan di selatan Filipina, kata polis dan tentera semalam.

Seorang wartawan radio turut diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata pada malam menjelang pilihan raya pertengahan penggal.


Dua lelaki yang bersenjata api menculik wartawan radio Melinda Jennifer Glifonea pada waktu Subuh di sebuah restoran di Candelaria, bandar pertanian kira-kira tiga jam pemanduan di selatan Manila.

"Kami tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan kerjanya," kata jurucakap polis Cif Inspektor Edcille Canals kepada media melalui telefon.


Menurutnya, Melinda dikenali sering menyuarakan komen politik yang berbisa dalam rancangannya di saluran 103.1 FM Edgeradio.


Penculikannya berlaku pada akhir hujung minggu yang penuh keganasan menyaksikan lima kematian pada sesi kempen menjelang undian esok (hari ini) apabila lebih 18,000 jawatan dipertandingkan daripada datuk bandar dan gabenor hingga kepada anggota Parlimen. Pemberontak Tentera Komunis Rakyat Baru (NPA) di selatan Filipina menyerang hendap konvoi datuk bandar Joelito Jacosalem Talaid kelmarin mencederakan ahli politik terbabit dan membunuh empat pengawal peribadinya.

Talaid, yang bertanding semula untuk jawatan datuk bandar Kadingilan di Pulau Mindanao membawa sejumlah besar wang ketika konvoinya menjadi sasaran, kata Ketua Polis Daerah, Superintendan Orlando Binas. Serang hendap terhadap Talaid berlaku pada hari sama apabila kumpulan lelaki bersenjata berat menyerang konvoi Omar Baba, calon datuk bandar Upi Selatan juga di Mindanao.


Baba dan seorang pembantunya cedera, manakala sepupunya terbunuh, kata ketua tentera daerah, Kolonel Dickson Hermoso. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Polis tahan bot kayu bawa 80 pelarian

Posted: 12 May 2013 09:00 AM PDT

Denpasar: Polis Indonesia semalam berkata, mereka memintas bot kayu membawa kira-kira 80 pelarian dari Asia Barat dipercayai menuju ke Australia dari pulau peranginan Bali.

Polis marin pulau itu memintas pelarian, termasuk wanita dan kanak-kanak pada waktu Subuh ketika mereka dalam perjalanan di pelabuhan perairan Pulau Benoa, kata Ketua Polis Marin, Tubuh Musyareh kepada media. "Polis yang meronda curiga kerana mereka belayar di laluan itu dengan bot nelayan. Kami meminta dokumen perjalanan dan kapten bot tidak dapat memberikannya.


"Kami membuat pemeriksaan dan mendapati ramai dipercayai pendatang haram dari Asia Barat bersembunyi dalam bot. Kami mengesyaki mereka ingin menuju ke Australia," katanya ketika ditemui, semalam. Polis menahan kapten dan kru bot selepas ia ditunda ke pelabuhan. Hanya 20 daripada pelarian terbabit turun dari bot berkenaan.

"Selebihnya enggan meninggalkan bot kerana mereka bertegas mahu ke Australia. Kami percaya sesetengahnya dari Afghanistan, Iran dan Turki. Kami masih berbincang dengan mereka," katanya sambil menambah bahawa mereka berada di Bali selama dua minggu. Indonesia adalah pusat persinggahan biasa untuk pelarian cuba ke Pulau Krismas di Australia yang lebih hampir dengan Jawa berbanding tanah besar Australia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Amah lelaki dari Myanmar mulakan tugas

Posted: 12 May 2013 09:00 AM PDT

Singapura: Pekerja domestik lelaki pertama dari Myanmar sudah tiba dan mula bekerja dengan majikannya Jumaat lalu.

Dibawa ke Singapura oleh agensi pembantu rumah tempatan Homekeepr. Lum Hkawng, 31, sudah selesai menjalani kursus penjagaan selama 45 hari. Dia juga bertutur dalam bahasa Mandarin yang dipelajari daripada rakan etnik Cina yang tinggal di kampungnya di negeri Kachin di utara Myanmar.


Ejen berkata, pekerja domestik lelaki seperti Lum boleh melakukan tugas sama seperti rakan perempuan yang sejawat atau lebih lagi. Ini termasuk menjaga warga emas lelaki yang terlantar sakit di katil yang sering memerlukan tugas lebih berat. Sementara ejen berkata, terdapat peningkatan terhadap permintaan pekerja domestik lelaki, rancangan untuk membawa lebih ramai seperti Lum agak sukar. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Taj Mahal mini untuk isteri

Posted: 12 May 2013 08:59 AM PDT

Lucknow: Taj Mahal dianggap simbol keunggulan cinta dan kesedihan seorang suami kepada isteri.

Ketika maharaja kerajaan Mogul, Shah Jahan kehilangan isteri ketiga yang dicintainya, Mumtaz pada 1631, dia membina Taj Mahal, bangunan makam marmar putih. Justeru, apabila dia bersara, Ketua Pos India, Faizul Hasan Kadari, 77, yang turut kehilangan isteri juga memutuskan untuk membina Taj Mahal sendiri untuk wanita terbabit, lapor akhbar The Telegraph. Kini selepas 16 bulan, Taj Mahal mini binaannya hampir siap dibina di atas tanah seluas 5,000 kaki persegi di Bulandshar, dekat Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh, di utara India.


Menurut laporan akhbar itu, Faizul yang isterinya meninggal dunia pada Disember 2011, kini menjadi selebriti tempatan.

Sementara Taj Mahal berdiri pada ketinggian 170 meter dan diapit dengan empat menara 39 meter, binaan makam dibina Faizul sebagai lambang cinta kepada isterinya, Begum Tajmulli, dilaporkan setinggi sebuah rumah. Binaan itu hampir siap. Faizul hanya menunggu ia disaluti marmar putih dan ukiran kaligrafi ayat al-Quran. Setakat ini, dia sudah membelanjakan 2 juta rupee (RM108,928) dan bercadang mahu menambah perbelanjaannya.


Dia memberitahu akhbar India, Mail Today: "Binaan ini akan mempunyai semua yang ada di Taj Mahal. Apabila siap, ia akan meliputi kawasan seluas satu hektar yang turut mempunyai taman sama seperti taman di Taj Mahal." - The Telegraph

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Lahir bayi lelaki, jururawat serah bayi perempuan

Posted: 12 May 2013 08:59 AM PDT

Tabuk: Seorang wanita Arab Saudi yang melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital tempatan diserahkan bayi perempuan selepas jururawat keliru apabila dua ibu yang melahirkan anak mempunyai nama yang sama.

Wanita terbabit yang tidak tahu jantina bayinya yang baru dilahirkan diserahkan bayi perempuan ketika meninggalkan hospital di bandar Tabuk, di barat laut negara itu sebelum pulang.


"Selepas empat jam, kami menerima panggilan daripada hospital mengatakan jururawat membuat kesilapan kerana persamaan nama dua wanita yang melahirkan anak," kata abang wanita terbabit, Daifullah Al Atawi. Akhbar melaporkan, Pengarah Jabatan Kesihatan, Mohammed Al Tuwaei menuntut siasatan segera dilakukan terhadap kes yang berlaku pada Jumaat lalu itu. - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Akhbar Bild mungkin pecat 200 pekerja

Posted: 12 May 2013 08:59 AM PDT

Berlin: Sehingga 200 pekerja mungkin dikurangkan di akhbar tabloid utama Jerman, Bild apabila kumpulan penerbitannya mahu menjimatkan perbelanjaan kira-kira 20 juta euro (RM77.5 juta), menurut laporan media semalam.

Memetik "beberapa sumber maklumat" akhbar mingguan Der Spiegel berkata, syarikat penerbitan Axel Springer mahu mengurangkan antara 170 dan 200 pekerja di Bild, akhbar harian paling luas dibaca di Eropah.


"Axel Springer jelas percaya bahawa pengurangan ketara diperlukan dalam kegiatan akhbarnya dan berusaha untuk membuat penjimatan keseluruhan sebanyak RM77.5 juta," lapor Spiegel. Spiegel menyatakan bahawa Axel Springer sudah mengetepikan 50 juta euro (RM193.8 juta) untuk "perubahan struktur" dan berkata, akan ada lebihan di kumpulan itu.

Kakitangan di Bild, laman web akhbar itu dan tabloid tempatan Berlin, BZ akan dipindahkan ke pejabat cawangan Bild Digital, di mana gaji dan keadaannya kurang disenangi.


Bild berkata, terdapat "pelbagai senario" masih dipertimbangkan. Menurut Spiegel, Bild menyumbang kira-kira 300 juta euro (RM1.1 bilion) kepada pendapatan Axel Springer.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

No comments:

Post a Comment