Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya tumpang gembira'

Posted: 13 May 2013 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Hendrawan (gambar) tumpang gembira dengan kejayaan Misbun Ramdan Misbun yang merangkul kejuaraan kedua di Terbuka Slovenia kelmarin, namun menafikan dakwaan beliau gagal menjadikan anak legenda badminton negara, Misbun Sidek sebagai juara ketika bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Prestasi Ramdan sememangnya meningkat ketika berada di BAM lagi dan tahun lalu, kami juga mengatur untuk pemain saya beraksi di tiga kejohanan Eropah, tapi hanya sempat beraksi di dua kejohanan kerana terpaksa pulang untuk menyertai Piala Axiata. Malah Ramdan ketika itu mara ke final Terbuka Belanda," kata jurulatih pemain perseorangan negara itu.


Begitupun jurulatih berasal dari Indonesia itu berkata: "Lebih penting ketika ini Ramdan terus mengekal dan meningkatkan prestasinya selepas keluar dari BAM kerana dia seorang pemain berkualiti." Begitupun ketika ditanya adakah tindakan Ramdan keluar dari BAM itu satu langkah tepat, beliau berkata: "Itu saya tidak pasti".

Hendrawan juga enggan meramal, berapa lama masa diperlukan Ramdan untuk tampil sebagai pemain kelas dunia kerana beliau tidak tahu perancangan dan program Nusa Mahsuri serta jurulatihnya, Misbun Sidek.


Begitupun Hendrawan menganggap prestasi Ramdan ini sebagai satu cabaran kepada pemain bimbingannya, bukan satu tamparan menyakitkan.


"Sekarang Ramdan menunjukkan prestasi yang amat baik, pemain saya tidak boleh lagi selesa. Bagi saya siapapun pemain terbaik di negara ini layak mendapat peluang mewakili negara, malah saya tidak pernah ada masalah dengannya.

"Malah ketika berada di luar negara, pemain saya juga berlatih bersama-sama dengan Ramdan, begitu juga dengan Zulfadli Zulkifli." Ketika ditanya apakah Ramdan patut berada dalam senarai skuad Piala Thomas negara, di New Delhi, India tahun depan, beliau berkata: "Terpulang kepada polisi BAM. Secara peribadi saya mahu pemain terbaik mewakili negara dan untuk merebut tempat dalam pasukan itu, saya rasa apa yang ditunjukkan Ramdan ini memberi cabaran yang baik kepada Iskandar Zulkarnain dan Goh Soon Huat."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Nadzmi enggan buat andaian

Posted: 13 May 2013 09:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh enggan membuat andaian, kemungkinan tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), memberi tiket wild kad kepada Lin Dan untuk beraksi di Kejohanan Dunia, sebagai konspirasi 'balas dendam' terhadapnya yang menarik diri daripada menjadi calon Presiden BWF dan berpaling menyokong calon Asia, Justian Suhandinata dari Indonesia.

Ketika diajukan soalan terbabit, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu ringkas berkata: "Itu saya tidak tahu." Pemangku Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC) itu lebih gemar meletakkan tindakan BWF dari sudut positif, iaitu Lin Dan sebagai bahan tarikan kejohanan.


"Kejohanan Dunia BWF satu pertandingan berprestij, jadi ia memerlukan pemain ternama untuk bersaing," katanya mengenai penyertaan Lin Dan dalam kejohanan itu, sekali gus menyaksikan China mempunyai empat wakil yang meningkatkan lagi peratusan peluang mereka memenangi kejuaraan, seandainya bukan Lin Dan yang akan mempertahankannya.

Namun definisi 'ternama' tidak semestinya terletak kepada nama yang popular, sebaliknya atlet yang berada di ranking tertinggi. Mungkin dari sudut ini, BWF tersilap pengiraan.


"Saya berpendapat, mungkin juga BWF ingin Lin Dan beraksi atas nilai komersil, dia bukan hanya mampu menarik peminat tapi juga penajaan. BWF juga perlukan wang bagi setiap penganjuran," kata Nadzmi.


Isu tiket tiket wild kad dan kaitan dengan Nadzmi cuma satu daripada teori dalam mencari punca yang menjadi penyebab BWF berbuat demikian dan jika China memberikan satu slot daripada tiga yang mereka peroleh kepada Lin Dan dengan mengorbankan dua pemainnya yang layak secara merit, mungkin tindakan itu dilihat lebih adil.

Namun kebanyakan media antarabangsa mempertahankan betapa pentingnya kehadiran Lin Dan kerana menganggap pemain itu sebagai pemain badminton terbaik sepanjang zaman.


Tapi adakah BWF akan menawarkan tiket wild kepada Datuk Lee Chong Wei, sekiranya dia yang sering dilanda kecederaan tidak layak secara merit kerana Chong Wei juga mempunyai sejarah besar apabila menakluk takhta nombor satu dunia untuk jangka masa yang lama biarpun belum ada koleksi kejuaraan tersohor dunia seperti Kejohanan Dunia dan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

CDM ke Myanmar bakal diketahui hari ini

Posted: 13 May 2013 09:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai siapa yang bakal menggalas tugas sebagai Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA Myanmar pada Disember ini mungkin bakal terjawab hari ini.

Difahamkan perkara itu akan dibangkitkan pada Mesyuarat Lembaga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-21 yang dipengerusikan Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja'afar.


"Memang perkara mengenai perlantikan CDM akan dibangkitkan esok (hari ini) dan keputusan muktamad juga akan diketahui. Setakat ini, seperti yang pernah dinyatakan Tan Sri Mohamad Noor (Abdul Halim), hanya seorang individu dicalonkan tapi tak tahu pula kalau esok akan ada tambahan calon lain," kata sumber semalam.

Sebelum ini, timbul persoalan mengenai perlantikan CDM untuk ke temasya sukan dwi tahunan itu yang dikatakan agak lewat berbanding negara lain seperti Thailand yang sudah pun membuat lantikan CDM lebih awal.


Malah Mohamad Noor yang juga Naib Presiden MOM mendedahkan, hanya Datuk Wira Amiruddin Embi, satu-satunya calon yang dicadangkan untuk menggalas tugas sebagai CDM.


Amiruddin ialah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan juga bekas Ketua Polis Negeri Sembilan dan Perak.

Latar belakangnya itu menurut Mohamad sememangnya cukup sesuai bagi menggalas tugas CDM jika melihat kepada aspek keselamatan di Myanmar.


Negara jiran itu ketika ini sedang berdepan dengan krisis pergolakan perkauman membabitkan etnik Islam Rohingya serta penganut Buddha yang mencetuskan situasi tegang serta pertumpahan darah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Piala AFF tergugat?

Posted: 13 May 2013 09:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Australia dijangka bakal menjadi negara anggota penuh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Ogos ini sekali gus mencetuskan persoalan sama ada skuad Socceroos itu turut menyertai Piala AFF 2014.

Dengan format kejohanan yang sudah berubah apabila ia terbuka kepada 11 negara anggota AFF tanpa membabitkan pusingan kelayakan seperti sebelum ini, kehadiran Australia bakal melengkapkan 12 pasukan dalam kejohanan yang akan dianjurkan bersama juara bertahan Singapura dan Vietnam.


Namun kedudukan Australia dalam AFF hanya akan diketahui secara rasmi pada mesyuarat Kongres Luar Biasa, Ogos ini meskipun cadangan awal kemasukan negara yang muncul antara kuasa besar bola sepak Asia itu sudah mendapat sokongan ahli gabungan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad, berkata beliau difahamkan Australia mungkin tidak beraksi dalam Piala AFF tahun depan, namun tidak pasti sama ada jika negara itu akan berada dalam senarai pasukan bagi edisi seterusnya.


"Apa yang saya difahamkan Australia tiada dalam senarai pasukan bagi kejohanan Piala AFF 2014. Setakat ini masih belum ada keputusan kerana AFF juga belum menerima sebarang surat rasmi daripada Australia," kata Azzuddin.


Menerusi format baru Piala AFF yang diumumkan pada Kongres AFF ke-20 awal bulan lalu negara yang bertanding membabitkan Singapura, Malaysia, Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Myanmar, Filipina, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Sejak menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2006 selepas keluar dari Konfederasi Bolasepak Oceania, Australia sudah menjadi negara jemputan dalam kejohanan di rantau ini membabitkan kejohanan peringkat umur, futsal lelaki dan wanita.


Bagi Azzuddin, jika Australia yang menduduki ranking ke-47 dunia dan pernah beraksi di Piala Dunia pada 1974, 2006 dan 2010 tampil di kejohanan Piala AFF, ia bakal menambah prestij kejohanan itu.

"Kita semua tahu Australia sebuah negara yang bagus dalam bola sepak dan jika mereka bertanding dalam Piala AFF, ia pasti akan menaikkan taraf kejohanan itu," kata Azzuddin yang bakal menyandang jawatan Setiausaha Agung AFF awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Nasib Alves bagai 'retak menanti belah'

Posted: 13 May 2013 09:51 AM PDT

Seremban: Selepas gagal membawa Negeri Sembilan mencatat prestasi terbaik dalam saingan Liga Super musim ini, kini kedudukan ketua jurulatih, Divaldo Alves (gambar), dikatakan samar selepas kemungkinan beliau tidak bersama skuad itu bagi persiapan menghadapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

Difahamkan tindakan itu diambil pihak pengurusan susulan prestasi hambar skuad berkenaan, apabila terus gagal mencapai kemenangan dalam saingan liga, selepas melalui 16 perlawanan dan menduduki tangga tercorot dengan tujuh mata.

Alves sendiri mengesahkan beliau mungkin `direhatkan' menjelang perlawanan menentang ATM nanti, namun ia masih dalam perbincangan antaranya dengan pihak pengurusan.

"Setakat hari ini (semalam) saya masih mengendalikan latihan pasukan. Tapi esok dan seterusnya belum tahu kerana ada kemungkinan saya direhatkan, ia masih dalam perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan.


"Saya tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu, bagaimanapun saya akan akur dengan sebarang keputusan dibuat pihak pengurusan dan sebagai ketua jurulatih saya sudah berusaha melakukan yang terbaik bagi pasukan ini," katanya semalam.


Pengendali berasal dari Portugal berusia 44 tahun itu berkata, berdasarkan persembahan pasukan dalam perlawanan sebelum ini, jelas jurang perbezaan tidak terlalu jauh jika dibandingkan dengan pasukan lain kerana pemain berjaya memberikan saingan.

"Ini dapat dilihat dalam beberapa perlawanan liga, apabila Negeri Sembilan hanya tewas dengan perbezaan jaringan tipis dengan pasukan lawan. Malah ada beberapa perlawanan, kita mendahului lawan terlebih dulu," katanya.

Alves berharap misi meraih kemenangan pertama musim ini dapat direalisasikan pada pertemuan dengan ATM, Sabtu ini, walaupun mengakui tugas itu amat berat buat pemain skuad Hoben Jang Hoben, jika mengambil kira prestasi semasa skuad bimbingan B Sathianathan itu.

"Walaupun saya mungkin tidak terbabit dalam persiapan latihan seterusnya, tapi pada latihan hari ini (semalam), saya sudah mengingatkan pemain supaya tidak terlalu merasa rendah diri, sebaliknya menanam tekad untuk memberikan saingan kepada ATM dan seterusnya merealisasikan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Johor gigit jari di laman sendiri

Posted: 13 May 2013 09:49 AM PDT

Pasir Gudang: Johor terpaksa menggigit jari apabila hasrat mencatat kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian sebaliknya hanya mampu sekadar seri 1-1 dengan KL Pos FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), petang semalam.

Tempoh hanya seminit sebaik perlawanan bermula digunakan skuad Merah Biru untuk membuka tirai jaringan apabila bola sepakan lintang Mohd Ezaidy Khadar menyaksikan Juan Muriel Orlando menanduk masuk menewaskan penjaga gol KL Pos, Mohamad Fadley Abdul Rahman.


Ketika aksi memasuki minit ke-14, anak didik Azmi Mohammad hampir menambah jaringan selepas bola sepakan percuma Ezzequel Gallagos tepat kepada Mohd Aliff Mohd Yusof namun tandukannya hanya sipi dari gawang gol ketika Mohamad Fadley sudah tertewas.

Sememangnya nasib tidak menyebelahi skuad yang bergelar Merah Biru itu apabila terlepas peluang di depan gol pada minit ke-24 ketika bola lorongan Mohd Aliff gagal disudahkan kapten Mohd Farid Ideris yang sekadar menyepak melepasi palang gol.


Bersambung babak kedua, skuad Merah Biru bertali arus mengasak ke kubu KL Pos FC namun benteng pertahanan anak didki G Torayraju begitu ampuh apabila berjaya mengekang usaha barisan serangan tuan rumah yang begitu rakus memburu gol menerusi percubaan Orlando.


Sekali lagi percubaan skuad Merah Biru yang seharusnya menjelmakan gol pada minit ke-59 menerusi bola rembatan Md Farid sekadar singgah ke tiang gol malah rembatan susulan Mohd Ezaidy turut dihampakan oleh Mohamad Fadley yang pantas menampan bola keluar.

Sebaliknya KL Pos FC bangkit menyamakan pada minit ke-62 selepas serangan balas Mohd Saufi Ibrahim yang pantas menyusup masuk ke kawasan tuan rumah bertindak merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Fazli Paat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Kelebihan Red Warriors

Posted: 13 May 2013 09:48 AM PDT

Kota Bahru: Kelantan akan berjuang mati-matian menentang kelab Hong Kong Kitchee FC pada pusingan kedua Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini, untuk layak ke suku akhir.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya Red Warriors bagi memastikan kemenangan mutlak tercapai.

Tambahan pula, kesebelasan utama Kelantan kecuali Mohd Daudsu Jamaluddin yang masih belum cergas sepenuhnya, dapat diturunkan bagi memperkuatkan jentera serangan, pertahanan dan bahagian tengah apabila Dimitrios Petratos, Dickson Nwakaeme, Obinna Nwaneri dan Lci Kcitera disahkan bebas daripada kecederaan.

Peningkatan mendadak Indra Putra Mahayuddin ketika beraksi dalam saingan Liga Super bakal membantu Kelantan menyingkirkan naib juara Kumpulan E itu.


Jurulatih Bojan Hodak berkata, walaupun muncul juara Kumpulan G, Kelantan tidak boleh memandang rendah cabaran Kitchee FC.


Menurutnya Kitchee FC memiliki barisan pemain bertaraf antarabangsa dan kebangsaan seperti penyerang Cheng Siu Wai, Tsang Kam To (pertahanan) dan juga pemain import dari Sepanyol Jordi Tarres dan Pablo Counago.

"Jika ingin menang, pemain harus bijak merantai pemain terbabit terutama Tarres yang berjaya menjaringkan hatrik ketika bertemu Warriors FC dari Singapura, pada 1 Mei lalu," katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama jurulatih Kitchee FC Josep Gombau dan pemain kedua-dua pasukan Faiz Subri dan Lo Kwan Yee.

Sementara itu, Gombau berharap pemainnya dapat mencipta keputusan positif dalam pertemuan yang dianggap berprofil tinggi itu.

"Kami akan bertemu pasukan agak kuat di Malaysia yang turut digelar 'Gergasi Pantai Timur', namun, kami tidak akan gerun dengan gelaran itu, sebaliknya, akan berjuang habis-habisan demi memburu kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Lampu limpah hampir siap 100%

Posted: 13 May 2013 09:46 AM PDT

Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yakin dua pasukan negeri ini, Terengganu dan T-Team akan beraksi pada waktu malam dalam masa terdekat selepas kerja menaik taraf pencahayaan lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), hampir siap sepenuhnya.

Timbalan Presiden PBSNT Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusoff berkata, pihaknya difahamkan kerja berkenaan sudah siap dan kini hanya menunggu lampu hijau daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan persatuan menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjalankan pemeriksaan lampu limpah itu.


Katanya, sehingga kini persatuan tidak menerima apa-apa laporan daripada pihak berkenaan dan diharapkan perkara itu dapat disegerakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Terengganu dan T-Team beraksi waktu malam pula.

"Kita harap masalah lampu limpah SSINS selesai dan dapat digunakan dalam masa terdekat. Kita yakin dua pasukan ini dapat beraksi malam dalam baki enam perlawanan Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia.


"Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri yang berusaha menaik taraf lampu limpah stadium ini dan yakin kuasa lampu ini mendapat kelulusan FAM beraksi pada waktu malam," katanya semalam.


Sementara itu, Pengarah JKR negeri Shafii Mohamad berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM4.4 juta untuk memasang lampu baru termasuk mendirikan empat tiang di empat penjuru stadium bagi meningkatkan tahap pencahayaan.

Katanya, pihaknya mengambil tempoh kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan lampu limpah berkenaan dan kini kerja terakhir sedang dijalankan sebelum FAM melakukan pemeriksaan tahap pencahayaan.


"Sekarang kita sedang menguji terlebih dulu dan apabila berpuas hati, baru kita menyerahkan kepada kerajaan negeri dan PBSNT. Kita yakin akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Shafii berkata, buat permulaan ini tahap pencahayaan 1,000 lux, tetapi untuk jangka panjang kuasa lampu di SSINS dapat ditingkatkan sehingga 1,400 lux dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Tagih aksi konsisten Malik

Posted: 13 May 2013 09:45 AM PDT

Kuantan: Penyerang muda Pahang, Abdul Malik Mat Ariff yang muncul wira apabila membantu Tok Gajah seri dengan Terengganu Sabtu lalu, tidak mahu leka dengan aksi membanggakan dipamerkannya.

Sebaliknya, pemain berusia 22 tahun itu berkata, masih banyak yang perlu dipelajari daripada rakan sepasukan terutama yang lebih senior dan dia menetapkan sasaran untuk bukan setakat berjaya di Pahang malah mahu melangkah lebih jauh dalam kariernya.


Menurutnya, dia menganggap dirinya berada pada masa yang tepat untuk menjaringkan gol penyamaan walaupun pada suatu ketika Pahang dilihat bakal pulang hampa selepas ketinggalan satu gol kepada Terengganu.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada jurulatih (Dollah Salleh) yang memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk bermain di bahagian serangan biarpun sebagai pemain gantian.


"Saya sudah membuktikan kepercayaan itu sudah disempurnakan sebaik mungkin dan kejayaan menjaringkan gol pertama dalam saingan Liga Super Sabtu lalu, saat paling manis.


"Pada masa sama, jaringan itu memastikan kami mengutip sekurang-kurangnya satu mata," kata pemain kelahiran Beserah, Kuantan itu.

Abdul Malik yang menyarung jersi Pahang buat kali pertama musim ini penjaring terbanyak Piala Presiden musim lalu apabila menjaringkan 26 gol daripada 20 perlawanan.


Tidak hairanlah prestasi cemerlang itu membolehkan Abdul Malik dipanggil Dollah untuk membantu skuad senior Pahang musim ini.

Abdul Malik berkata, dia mahu menggunakan sepenuhnya kesempatan terhidang untuk membuktikan kemampuan diri dan berusaha meyakinkan semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

46 pasukan saingi bola baling Terbuka Perlis

Posted: 13 May 2013 09:43 AM PDT

Nilai: Atlet kebangsaan mendominasi Kejohanan Olahraga Terbuka Negeri Sembilan yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Atlet Sarawak, Casier Renee Kelly Lee, dianggap paling cemerlang apabila mencatat rekod baru kejohanan dalam acara baling tukul besi selepas berjaya membaling pada jarak 49.09 meter untuk memperbaharui rekod lama 48.07m.


Atlet berusia 20 tahun dari Bintulu itu, menyifatkan ia kejayaan membanggakan dalam usahanya melayakkan diri ke temasya Sukan SEA tahun ini.

" Saya gembira dapat beraksi baik dan membuat balingan pada jarak yang amat baik untuk memecahkan rekod kerana sasaran saya untuk beraksi pada Sukan SEA tahun ini.


"Selepas dua bulan latihan intensif di Bukit Jalil, prestasi saya bertambah baik dan saya berharap impian itu tercapai," katanya yang mengakui pernah mencatatkan balingan pada jarak 49.29m pada 2010.


Turut cemerlang atlet Johor, Siti Nur Nadiah Mohamad Osman dalam acara merejam lembing dengan jarak 45.87m, yang juga mengatasi rekod lama kejohanan, 41.40m.

Atlet berasal dari Batu Pahat itu berkata, dia perlu berusaha lebih gigih untuk memecahkan rekod kebangsaan 47.50m bagi melayakkan diri ke Sukan SEA.


"Saya berharap dapat melakukan catatan terbaik pada kejohanan lain selepas ini untuk mendapat peluang beraksi di Sukan SEA tahun ini," katanya.

Kejohanan anjuran Persatuan Olahraga Negeri Sembilan (POANS) itu adalah sebahagian medan menilai prestasi atlet sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA.


Setiausahanya, S Chinethamby berkata, seramai 350 atlet lelaki dan 200 wanita yang mewakili 39 pasukan mengambil bahagian.


"Semua atlet menunjukkan persembahan terbaik masing-masing kerana kejohanan ini digunakan untuk menguji tahap prestasi semasa dalam usaha mereka melayakkan diri ke Sukan SEA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

No comments:

Post a Comment