Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Biar main stadium kosong'

Posted: 29 May 2013 11:21 AM PDT

Johor Bahru: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mencadangkan agar perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Johor Darul Takzim dan Pahang di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini dilangsungkan di stadium yang kosong bagi mengelak insiden kekecohan di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu, berulang.

Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah lebih elok jika tiada penyokong menyaksikan perlawanan itu bagi menjamin keselamatan kedua-dua penyokong sama ada di pihak Johor DT mahupun Pahang memandangkan kekecohan yang berlaku di Kuantan, baru-baru masih belum reda.


"Saya tidak bantah beraksi di padang berkecuali tapi apa yang saya harapkan biarlah aksi Johor DT-Pahang dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong kerana keadaan masih panas selepas insiden di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu. "Keselamatan penyokong menjadi kepentingan buat saya tidak kira sama ada penyokong itu dari Johor DT atau Pahang. Mungkin tiada insiden berlaku ketika mereka berada di dalam stadium tetapi bagaimana keselamatan mereka selepas perlawanan. Apakah jaminan pihak polis atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di luar stadium.

"Saya tidak cabar mana-mana pihak tapi pandangan ini datang dari rasa keprihatinan saya terhadap keselamatan penyokong. Kita tidak mahu apa yang terjadi di Stadium Darul Makmur berulang malah bola sepak lebih kepada menyatukan rakyat dan bukannya memecah belah antara satu sama lain," katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, di sini, semalam.


Tunku Ismail juga menegaskan perlawanan membabitkan Johor DT-Pahang yang akan diadakan di sebelah petang tidak menimbulkan sebarang masalah namun berharap pihak FAM menerima cadangan supaya tiada penyokong hadir menyaksikan perlawanan itu.


Katanya, PBNJ akan menghantar surat rasmi kepada FAM bagi mencadangkan perlawanan itu diadakan tanpa kehadiran kedua-dua penyokong bagi memastikan kelancaran perlawanan itu tanpa diganggu gugat segelintir penyokong yang boleh mencemarkan bola sepak negara.

Foto

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

"Apa yang saya ingin tekankan biarlah perlawanan itu nanti diadakan tanpa gangguan kerana saya sedih melihat penyokong Johor DT terpaksa berada di stadium sehingga lewat jam 2 pagi kerana tidak dapat keluar dari Stadium Darul Makmur dan saya bertindak untuk mengarahkan pihak polis mengawal keadaan sehingga semua penyokong Johor DT pulang dengan selamat," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

UiTM Perlis selesa

Posted: 29 May 2013 11:13 AM PDT

Kuala Lumpur: UiTM Perlis kini boleh menarik nafas lega apabila selesa mendahului Divisyen Satu Kejohanan Bolasepak Institusi Pengajian Tinggi (Liga IPT) dengan kelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat yang juga skuad 'abang', UiTM Shah Alam selepas mencatat dua kemenangan dalam tempoh empat hari.

Universiti Malaya (UM) pula melengkapkan tiga pasukan teratas selepas mengecewa skuad 'bermasalah', Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-1 untuk meraih 18 mata selepas 10 perlawanan.


Dengan baki empat perlawanan, skuad dari Arau itu yang dibimbing bekas pemain Piala Malaysia Perlis dan Kedah, Manja Man kini berada di landasan tepat untuk muncul juara baru selepas didominasi UiTM Shah Alam tiga musim berturut-turut.

"Lega sikit tapi saya harap pemain dapat kekalkan momentum," kata Manja. "Kami sudah melepasi ujian getir pertama apabila menewaskan UKM minggu lalu dan Sabtu ini menentang UM pula. Harap-harap pemain mampu mengulangi persembahan sama untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas." Jika UiTM Perlis mampu mengatasi UM, juara MASUM 2012 dan Antara Universiti Asia Pasifik itu, hala tuju sebenar milik siapa kejuaraan musim ini akan lebih terserlah. Kejohanan ini berakhir pada 6 Julai sebelum Piala FA dan Piala Menteri Pengajian Tinggi berlangsung pada September.


Pengendali UiTM Shah Alam Wan Mustafa Wan Ismail pula lebih tenang ketika berdepan situasi yang dianggap kian rumit buat penyandang juara itu.


"Perebutan takhta liga kian menarik. Ia baik untuk bolasepak IPT," kata Wan Mustafa, mengambil alih tugas Azman Eusoff yang kini mengendalikan skuad UiTM dalam saingan Liga Perdana anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Begitupun Wan Mustafa percaya empat aksi terakhir menjadi penentu selain menganggap peluang mempertahan gelaran buat kali keempat tetap ada dengan syarat pemain bangkit meneruskan kecemerlangan dibina dua pengendali sebelum ini, Omar Ali serta Azman.


Sementara itu, pengendali UKM Sulaiman Hussin yang menyatakan perlawanan tertangguh memberi kesan buruk kepada pemainnya tampak menjadi kenyataan.

"Sudah saya katakan, penangguhan beberapa perlawanan bukan kelebihan tapi memberi kesan buruk kepada pemain," kata Sulaiman. "Saya harap dua kekalahan dalam masa seminggu memberi pengajaran dan pemain harus memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Hajat UNISZA tersekat

Posted: 29 May 2013 11:13 AM PDT

Kuala Terengganu: Hajat tuan rumah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menjuarai Kejohanan Hoki Divisyen Dua Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2013 tidak kesampaian apabila tewas 2-4 kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Batu Buruk, baru-baru ini.

Selaku juara, UIAM membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 manakala UNISZA menerima RM1,000 selain piala pusingan, medal dan sijil.


Tempat ketiga dikongsi bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dengan masing-masing menerima RM200, medal dan sijil.

Pemain tengah UIAM, Mohamad Safwan Omar dinobat pemain terbaik perlawanan akhir manakala pemain UNISZA, Nursyafiq Farhain AM Salim diumum penjaga gol terbaik.


Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara Kejohanan Hoki Divisyen Satu MASUM apabila menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM), 5-4.


Hasil kejayaan itu, pasukan diketuai kapten Kelab Hoki Kuala Lumpur, Muhammad Razie Abd Rahim meraih hadiah wang tunai RM4,000 manakala UITM menerima RM2,500 selain membawa pulang piala iringan, medal dan sijil .

Muhammad Razie yang mencetak nama sebagai penjaring terbanyak turut menerima wang tunai RM100 berserta piala iringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

MSP bukan tandingan Satun FC

Posted: 29 May 2013 11:13 AM PDT

Melaka: Pasukan bolasepak Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) tewas 1-4 kepada skuad divisyen dua Thailand, Satun FC dalam aksi persahabatan di Stadium Satun, Hat Yai baru-baru ini.

Dibarisi lima import Nigeria, MSP nyata gagal mengekang asakan tuan rumah pada babak pertama untuk lawan meledak tiga gol dengan tambahan satu lagi pada babak kedua.


Bagaimanapun MSP yang dibarisi pemain berusia 19 dan 20 tahun tetap memberi saingan hingga berjaya memperoleh gol sagu hati pada hujung saingan.

Ketua Kontinjen MSP Muhammad Amin Hamad berkata, pasukan itu memberi persembahan memberangsangkan dalam misi membentuk pasukan mantap.


"Perlawanan itu sebagai usaha menyediakan pasukan mantap bagi menghadapi kejohanan Sukan Institut Pendidikan Malaysia (SIPMA 4) di Pahang, pada November," katanya.


Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kebajikan, Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia, Nazamuddin Ahmad Razali.

Sementara itu, jurulatih Sazami Shafie berkata, perlawanan itu memberi impak besar mengenal pasti kesebelasan utama.


Katanya, beliau bersama pembantu jurulatih Hazril Hisham Husin dan pengurus pasukan Ibrahim Hamzah turut menilai persembahan setiap pemain bagi menggalas cabaran pasukan selepas ini.

"Ketiadaan pemain utama selain latihan seminggu di Kota Bahru belum cukup membentuk barisan diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Lokasi menarik jadi tarikan

Posted: 29 May 2013 11:12 AM PDT

Putrajaya: Keindahan pemandangan di lokasi penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia, Sabtu dan Ahad ini dijangka menarik minat pelancong asing untuk memeriahkan aktiviti berbasikal di kawasan itu pada masa akan datang.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Zalizam Zakaria berkata, sepanjang tinjauan dan pemerhatiannya di laluan acara itu semalam, orang ramai dapat menikmati pemandangan indah ketika menjalani aktiviti berbasikal di kawasan itu. "Pemilihan tempat itu sebagai lokasi penganjuran tepat dan bersesuaian sekali gus boleh dipromosikan untuk aktiviti berbasikal. "Laluan digunakan sangat sesuai kerana peserta melalui kawasan tanah merah, mengayuh basikal menaiki bukit dan hutan, kawasan taman yang dipenuhi tanaman herba serta laluan anak sungai," katanya. Zalizam yakin lokasi itu akan menjadi antara kawasan utama peminat berbasikal terutama di Taman Rimba Alam, Presint 15 berikutan kemudahan disediakan sangat lengkap. "Kita ada ejen pelancongan yang menyediakan pakej berbasikal dan mungkin pada masa akan datang, ejen ini boleh meletakkan Taman Rimba Alam sebagai laluan basikal dalam pakej masing-masing. "Selain itu, kemudahan disediakan sangat lengkap misalnya berdekatan kawasan kedai dan restoran serta taman permainan kanak-kanak." Putrajaya menjadi lokasi pertama acara anjuran Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dan 3,500 peserta disasarkan menyertai acara yang bermula di Laman Presint Diplomatik, Presint 15 dan berakhir di Taman Rimba Alam.


Sirkit kedua hingga kelima akan diadakan di Terengganu, Johor, Perak dan Selangor. Perlumbaan menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 itu menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa dan jamboree, lebih menarik ia turut menawar pelbagai cabutan bertuah. Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa ditetapkan. Selain itu, saingan Terbuka Metro (Jamboree) terbahagi kepada empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Tagih kayuhan pelumba remaja

Posted: 29 May 2013 11:11 AM PDT

Kuala Lumpur: My Bicycle Shop berharap barisan pelumba remajanya dapat mengulangi kejayaan minggu lalu dengan muncul juara kategori junior pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Putrajaya, Sabtu dan Ahad ini.

Menamatkan saingan satu dua ketika menyertai perlumbaan kategori junior Hari Belia minggu lalu, pengurus pasukan Johnny Ng berkata, seramai 15 pelumba bakal mengibarkan cabaran hujung minggu ini.


Katanya, selain berharap pelumba remaja menyerlah, sasaran juga diletakkan kepada pelumba kebangsaan, Fallanie Ali untuk mengungguli kategori elit dan Wenddy Wong (wanita elit).

Beliau berharap momentum Muhd Hakimy Azmy, 15 dan Muhd Hasrul Ramlee, 16 boleh dikekalkan agar dapat mengulangi kejayaan dengan Fallanie yang berpengalaman dalam dunia basikal pula disasarkan memberikan saingan dalam kategori elit.


Bagaimanapun Johnny berkata, tiada sasaran ditetapkan supaya pelumba tidak berasa tertekan kerana setiap pelumba sedar apa yang perlu dilakukan dan andai berjaya menempatkan diri di podium, ia untuk kebaikan mereka sendiri.


"Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pelumba. Saya berikan kebebasan kepada mereka. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan andai berjaya, semuanya demi masa depan masing-masing. "Tugas saya membantu pelumba mengembangkan bakat untuk mengorak langkah lebih jauh dalam dunia basikal," katanya.

Mula ditubuhkan pada 2010, rasa cinta kepada kehijauan mendorong Johnny menubuhkan pasukan ini dan disebabkan itu, pasukan My Bicycle Shop yang terletak di Bandar Utama membabitkan diri hanya dalam basikal bukit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

UFL serah barangan Deuter

Posted: 29 May 2013 11:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Program berbasikal Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 bakal lebih meriah dengan adanya pemberian percuma barangan jenama Deuter menerusi cabutan bertuah yang diadakan di Putrajaya, Ahad ini.

Produk sukan itu sumbangan khas Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) apabila lebih 20 unit beg galas dan beg hidrasi diserahkan di Balai Berita, semalam.


Pengurus Besar (Jualan dan Operasi) UFL Ahmad Termizi Mahmud berkata, tajaan berjumlah RM10,000 itu menunjukkan komitmen pihaknya khusus bagi melancarkan program berbasikal edisi Putrajaya.

"Pelaksanaannya selari dengan produk pelbagai jenama di bawah UFL dan ini cara kami berbakti kepada orang ramai supaya mereka tahu mengenai kewujudan produk ini.


"Ia sekali gus menggambarkan jalinan erat sejak hampir 20 tahun lalu bersama kumpulan media The New Straits Times Press (NSTP)," katanya selepas menyerahkan sebahagian barangan kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Abdul Ghafar Ismail. Hadir sama, Pengarah Projek Abdul Kadir Hamza. Ahmad Termizi berkata, pihaknya akan terus memberikan komitmen bagi empat lagi siri yang bakal berlangsung di Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu (23-24 Ogos), Legoland Nusajaya (28-29 Oktober), Kellie Castle (26-27 Oktober) dan Selangor yang belum diputuskan tarikhnya.


"Kami mahu menjadi penyokong dan penaja rasmi kesemua siri acara yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat ini." Selain itu, bagi memeriahkan hari pertandingan, UFL akan membuat jualan barangan Deuter kepada orang ramai dengan tawaran diskaun hingga 40 peratus antaranya bagi produk beg galas dan beg hidrasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

'Pengadil tak pro!'

Posted: 29 May 2013 11:10 AM PDT

Kuala Terengganu: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Kelantan yang disifatkannya tidak bertaraf profesional.

Ahmad berkata, mutu pengadilan sepatutnya ditingkatkan lagi terutama pada perlawanan penting bagi memastikan permainan berjalan lancar tanpa dipertikai mana-mana pihak.


"Pengadil (Suhaizi Shukri) itu tidak berpengalaman sebagai pemain bola sepak, cuma dilatih menjadi seorang pengadil, justeru dia belum memahami beberapa teknik dan tipu helah pemain di atas padang.

"Keputusan pengadil sudah muktamad, tiada apa yang boleh diubah. Kami harap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) peka dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan mutu pengadilan arena bola sepak tempatan bertaraf antarabangsa.


"Bukan kita tidak menerima kekalahan tapi jelas perlawanan itu mempunyai masalah dari sudut pengadilan dan tidak seharusnya berlaku pada perlawanan penting seperti itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.


Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, Terengganu gagal ke final selepas tewas agregat 5-6 meskipun menang 4-2.

Menurutnya, FAM sepatutnya lebih terbuka menerima teguran dan cuba mengenal pasti serta menyiasat punca pertikaian yang berlaku dan bukannya mengambil sikap tidak boleh ditegur.


"Sebab itu saya menolak desakan segelintir pihak yang mahukan saya memegang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana yakin dalam tempoh enam bulan, saya akan dipecat kerana kelantangan memberikan teguran." Menurutnya, sikap FAM yang tidak boleh ditegur dan mengambil tindakan menggantung mana-mana ahli persatuan yang bersuara menyebabkan mutu bola sepak negara masih ditakuk lama.

"Saya sudah sedia maklum dengan sikap FAM yang pantang ditegur, sekiranya budaya itu berterusan pasti mutu bola sepak tempatan tidak akan meningkat." Menurutnya, biarpun Terengganu gagal layak ke perlawanan akhir, beliau tetap puas hati dengan persembahan anak buah E Elavarasan yang dianggap luar biasa serta menunjukkan corak permainan terbaik.


"Memang luar biasa Terengganu mendahului Kelantan 4-0 sebelum tiga minit terakhir sebelum Kelantan mengikat agregat 5-5." Bagaimanapun beliau berkata, insiden tidak profesional penyerang import Terengganu, Effa Owana hingga dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang, menyebabkan pemain lain hilang tumpuan sehingga Kelantan berjaya menjaringkan gol pertama dan membawa perlawanan ke masa tambahan.


Beliau berharap pemain Terengganu belajar daripada pengalaman itu dan sentiasa memberi tumpuan biarpun selesa mendahului.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Tindakan FAM terus dipersoal PETEH

Posted: 29 May 2013 11:10 AM PDT

Kuala Terengganu: Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang lewat menghantar surat penggantungan satu perlawanan membabitkan pemain import Selangor, Francis Forkey Doe terus dipersoal Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH).

Setiausaha PETEH Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, kelewatan FAM menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) walaupun hukuman dijatuhkan pada 21 Mei lalu tidak wajar, seolah-olah bagi membolehkan pemain import itu beraksi menentang Terengganu, keesokan harinya.


"Sikap pelik FAM itu yang hanya mengeluarkan surat Isnin lalu, sedangkan Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan hukuman pada 21 Mei lalu sungguh memalukan.

"Ketika FAM sibuk mengendalikan isu rasuah dan mengatur perlawanan, mereka bagaikan tidak memandang serius isu penggantungan Doe ataupun sengaja melengahkan pemberian surat kepada FAS.


"Kami harap Presiden FAM tidak menutup kes ini sebaliknya perlu mengadakan mesyuarat tergempar agar keadilan ditegakkan selain mengelak tanggapan serong peminat bolasepak," katanya.


Arena Metro semalam melaporkan FAS hanya mendapat surat berhubung isu penggantungan perlawanan pemain import dari Liberia itu Isnin lalu.

Setiausaha Agung FAS Datuk Hamidin Mohd Amin dilapor berkata, sebelum itu, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada FAM agar tidak menurunkan Doe pada perlawanan menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, 22 Mei lalu.


Bagaimanapun, Wan Mohd Azmi menyifatkan kenyataan Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menimbulkan keraguan kerana beliau sendiri berada dalam badan induk itu.

"Sebagai orang kuat FAM, tidak mungkin beliau tidak tahu prosedur ditetapkan badan induk bola sepak negara. "Ini bukan kali pertama kerana sebelumnya berlaku isu tempoh pendaftaran pemain import yang menyebabkan Menteri Besar Terengganu terpaksa campur tangan.


"Sekiranya FAM terus bersikap tidak adil, bukan saja penyokong bosan dengan kerenah FAM malah mutu bola sepak negara tidak akan berkembang kerana adanya pegawai yang tidak pandai mengurus," katanya yang mencadangkan FAM mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi memantau setiap hukuman dan kesalahan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Peminat perlu kikis 'budaya hooligan'

Posted: 29 May 2013 11:10 AM PDT

Kuantan: Sebahagian besar penonton yang merempuh masuk ke Stadium Darul Makmur malam kelmarin sebenarnya tidak mempunyai tiket. Itu alasan awal diberikan sumber Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) ketika badan induk itu masih mencari punca sebenar mengapa insiden limpahan penonton berlaku.

Alasan diberikan itu logik kerana mengikut sumber, PBNP hanya mencetak 32,000 keping tiket sedangkan stadium terbabit mempunyai 35,000 tempat duduk.


"Mereka yang tidak mempunyai tiket masuk melalui dua pintu berbeza. Penjaga dua pintu itu tidak dapat mengawal asakan ribuan individu hingga mengakibatkan selak pintu patah dan dalam keadaan itu, bagaimana penjaga pintu mahu memastikan mereka mempunyai tiket atau tidak.

"Kami yakin masalah tiket palsu tidak wujud sebaliknya kumpulan besar yang merempuh dua pintu itu sebenarnya tidak bertiket," katanya.


Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin terpaksa dibatalkan selepas lebih 7,000 penyokong duduk di trek.


Insiden baling-membaling kemudian mula berlaku dan bukan sedikit yang terkena batu, kayu serta botol air dilempar kumpulan individu tidak bertanggungjawab.

Melihatkan situasi itu, timbul kebimbangan kemungkinan wujud 'budaya hooligan' di kalangan peminat fanatik bola sepak tempatan kerana sebelum ini, isu keganasan di stadium bukan besar kerana jarang peminat di Malaysia bertindak luar batas kemanusiaan.


Jika diimbas insiden kelmarin, individu tidak bertanggungjawab itu tidak mempedulikan keselamatan orang lain dan memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap kehadiran serta jeritan ketakutan anak-anak kecil dan wanita yang turut berada di stadium.

Sebenarnya, insiden ini ada pro dan kontranya kerana daripada satu segi, semua pihak tidak boleh menafikan semangat serta minat rakyat Malaysia terhadap bola sepak sudah meningkat.


Bukan mudah melihat puluhan ribu penyokong bersesak-sesak semata-mata untuk menzahirkan sokongan terhadap pasukan kesayangan dan mengimbau kembali era kegemilangan bola sepak sekitar 70-an dan 80-an.


Bagaimanapun, semangat itu hadir 'berlebih-lebihan' dan membuatkan ada yang tidak lagi peduli dengan keselamatan orang lain hanya kerana mengikutkan rasa marah.


Lihat saja contoh terbaik di depan mata apabila 10 penyokong Pahang dan JDT mengalami kecederaan sama ada terkena objek dibaling atau ketika bersesak keluar menyelamatkan diri.


Jumlah itu mungkin tidak tepat kerana ramai lagi yang cedera ringan tetapi mengambil keputusan untuk tidak ke hospital.


Insaflah peminat bola sepak Malaysia, 'budaya hooligan' bukanlah budaya kita dan kembalilah kepada semangat kesukanan asal dan bersatu padulah kembali untuk sama-sama menaikkan imej bolasepak kita.


Bolasepak perlukan sokongan serta publisiti tapi bukan perkara negatif sebegini perlu kita tonjolkan pada dunia luar.


Selain itu, insiden di Stadium Darul Makmur perlu dijadikan pengajaran oleh semua Persatuan Bolasepak (FA) negeri supaya ia tidak berulang. Aspek keselamatan perlu ditingkatkan dan pada masa sama, semua pihak harus sedar tidak ada faedahnya membuat provokasi ke atas penyokong atau pemain lawan kerana ia hanya memburukkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

No comments:

Post a Comment