Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Apa sudah jadi?

Posted: 21 May 2013 08:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Jerman pun boleh baham Malaysia dalam badminton, sukan apa lagi yang boleh diharapkan.

Begitulah gambaran betapa sukan Malaysia kini semakin hilang gemerlapan di peringkat dunia dan cukuplah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengulangi kata-kata keramat 'kami berjaya melahirkan (Datuk) Lee Chong Wei'.


Cukup perit apabila tewas kepada dua pasukan yang bukannya kuasa badminton dunia, iaitu Taiwan dan semalam, Jerman ketika pemerhati badminton dunia meramalkan Malaysia mudah mara ke suku akhir Piala Sudirman pada penganjuran pertama kejohanan itu di Kuala Lumpur.

Harapan terakhir menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei ternyata 'harapan palsu' apabila mereka tunduk kepada gandingan Birgit Michels-Johana Golsizewski 16-21, 21-16, 18-21 bagi memberi slot ke suku akhir kepada wakil Eropah itu.


Sememangnya sejak dari awal lagi perlawanan berlangsung dengan penuh debaran.


Chong Wei memberikan kelegaan buat peminat yang tidak berganjak dari tempat duduk selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas kepada Fuchs-Michels 17-21, 21-16, 17-21.

Foto

PEMAIN Jerman meraikan kemenangan mereka.

Mengulas mengenai kekalahan Peng Soon-Liu Ying, Chong Wei mengakui Peng Soon tidak bermain di tahap terbaik.


"Perkara sebegini biasa kerana biasanya saya sering turun dalam acara pertama, saya sudah banyak pengalaman dalam kejohanan berpasukan berbanding pemain lain," kata Chong Wei yang menjadikan kedudukan 1-1 selepas Peng Soon-Liu Ying tewas kepada Fuchs-Michels.

Chong Wei menang ke atas Dieter Domke 21-18, 21-18.


V Shem-Khim Wah yang diturunkan dalam beregu lelaki memikul tanggungjawab yang tidak mampu digalas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, beraksi dengan penuh keyakinan ketika mengatasi Ingo Kindervater-Johannes 21-16, 23-21.


"Walaupun tewas pertemuan pertama di Jerman, sebenarnya kami yakin boleh menewaskan mereka sebab kekalahan pertama itu dibantu pengadil servis yang berat sebelah," kata Khim Wah.


Aksi Tee Jing Yi yang menentang Olga Konon langsung tidak meyakinkan apabila tewas mudah 12-21, 14-21, sekali gus keputusan jurulatih tidak membariskan Sonia Cheah, menjadi persoalan.


Sementara itu dalam perebutan juara Kumpulan B antara Korea dan Thailand yang pada awalnya dijangka sengit, meleset selepas Korea mendominasi dengan kemenangan 5-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Yongbo terus angkuh

Posted: 21 May 2013 08:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Li Yongbo dengan nada angkuh berkata, China tidak kisah siapa akan ditemui di suku akhir, selepas mereka membelasah Indonesia 5-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan A, di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Kenyataannya itu hadir ketika menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan bertemu Malaysia kerana tuan rumah sekadar muncul naib juara Kumpulan C.


"Siapa juga yang akan kami jumpa, saya tidak kisah dan kami tiada masalah," kata ketua jurulatih negara Tembok Besar itu.

Ketika menganggap pemainnya mempamerkan prestasi baik ketika menewaskan Indonesia sekali gus menjuarai Kumpulan A, beliau berasa pasukan Garuda tidak mengambil serius perlawanan itu kerana kedua-dua pasukan sudah sah ke suku akhir.


Sementara itu, Denmark selaku pilihan kedua kejohanan kalah kepada Jepun 2-3 namun layak ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan D.


Ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong amat puas hati dengan persembahan pemain yang kali pertama menewaskan Denmark pada saingan Piala Sudirman.

"Sebelum ini hanya skuad Piala Uber pernah mengatasi Denmark, pemain bermain mengikut strategi dirancang. Kemenangan beregu wanita berhasil selepas Matsutomo Misaki-Takahashi Ayaka tidak mengikut rentak permainan Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl," kata Joo Bong.


"Suku akhir bukan mudah kerana banyak pasukan besar muncul naib juara kumpulan seperti Malaysia dan Korea."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

BAM enggan anjur kejohanan utama

Posted: 21 May 2013 08:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu lagi membida penganjuran kejohanan utama selepas Piala Sudirman kerana tidak memberi apa-apa kepentingan dan keuntungan kepada negara penganjur.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata, sistem yang diamalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hanya mahu mengaut keuntungan daripada badan induk itu saja.


"Apa yang berlaku sekarang, kita sebagai penganjur hanya mendapat penat sedangkan keuntungan dibolot BWF. Sebagai tuan rumah, kita hanya mendapat kelebihan 20 peratus keuntungan daripada hasil komersil, malah dari segi penajaan kejohanan, juga dikawal mereka," kata Kenny.

BAM tidak meraih keuntungan daripada penganjuran Piala Sudirman ini, apatah lagi selepas Li Ning mendapat hak istimewa menganjurkan kejohanan utama badan induk itu.


Sistem yang diamalkan BWF ini tidak memberi kelebihan kepada negara kuasa besar badminton yang tiada masalah mendapatkan penajaan seperti Malaysia, China, Indonesia dan India, sebaliknya Eropah dan negara lain yang sukar mendapat penajaan beroleh keuntungan kerana kos penyelenggaraan ditanggung BWF.


Antara empat negara ini, China paling kurang merasa kesannya kerana beberapa penajaan dari negara itu mengikat perjanjian dengan BWF.

Bagi Piala Sudirman kali ini, Li Ning muncul penaja utama diikuti penaja lain termasuk penaja air mineral dari China.


Begitupun BWF dilaporkan tidak berpuas hati dengan penganjuran Malaysia, menyifatkan BAM tidak melakukan tugas promosi.

Pelik juga suara tidak puas hati BWF ini kerana mereka mengawal semua hak penganjuran termasuk pendapatan hak siaran antarabangsa dan sepatutnya mereka sendiri bertanggungjawab mempromosi kejohanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Elena ratu jalan kaki

Posted: 21 May 2013 08:18 AM PDT

Kuantan: Bertubuh kecil tetapi memiliki stamina dan kekuatan mental tiada tandingan! Itulah dapat diperkatakan mengenai atlet jalan kaki Kuala Lumpur, Elena Goh Lin Ying ketika mengungguli acara jalan kaki 5,000 meter perempuan (P18) pada Kejohanan Padang dan Balapan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-55 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Atlet Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu bukan saja memberikan emas kedua kontinjen Kuala Lumpur, malah turut memecahkan rekod acara itu diciptanya pada MSSM Perlis tahun lalu. Elena tiba di garisan penamat dengan catatan 25 minit 46.13, meninggalkan pencabar lain satu pusingan dengan pemenang perak, Banended Limau Saing dari Sarawak sekadar mencatat 29:02.45s dan rakan sepasukan Elena, Aina Fadhlin Syahmina Abas, meraih gangsa dengan 29:55.44s. Masa dilakukan Elena lima saat lebih pantas daripada rekod MSSM tahun lalu, 25:51.8s. Ia juga kejayaan keempat berturut-turut Elena dalam MSSM sejak 2010 sekali gus muncul atlet pertama memegang dua rekod acara jalan kaki P15 dan P18.


Ditanya mengenai kepantasan dipamerkannya, atlet berusia 17 tahun itu berkata, latihan sistematik di bawah kendalian dua jurulatih, Teoh Boon Lim serta Yuan Yu Fang dan guru sekolah dikenali 'cikgu Abbas' melonjak prestasi semasanya sejak beberapa tahun lalu.

"Mereka bertiga sangat berpengaruh dalam pembentukan diri saya sebagai atlet jalan kaki. Latihan kental harian dan mingguan mencecah 40-60 pusingan dan mungkin mencecah 60 kilometer seminggu menjadikan diri saya sekarang.


"Seronok apabila melihat mereka bertiga tersenyum lebar menanti saya di garis penamat. Rakan kontinjen dan atlet negeri lain turut memberikan motivasi dan semangat membuatkan diri berasa dihargai. Apapun, sasaran saya selepas ini menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Russia, bulan depan," kata atlet kelahiran Baba Nyonya Melaka itu.


Salah seorang jurulatih, Abbas pernah melatih Elena sewaktu menuntut di Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (SJKC) Lai Meng, Jalan Ampang, berkata: "Selama tiga tahun membimbingnya, sejak sekolah rendah, Elena memang serius dan memiliki komitmen tinggi terhadap latihan. Dia memang unggul dengan caranya tersendiri, bercita-cita tinggi. Saya gembira kerana dia juara Sekolah Asean tiga tahun berturut-turut dan juara SUKMA dalam dua kategori 5km dan 10km. Saya harap dia mampu beraksi pada Sukan Olimpik yang menjadi impian utamanya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Pavithraa cemerlang kutip emas kedua

Posted: 21 May 2013 08:18 AM PDT

Kuantan: Atlet Pulau Pinang, Pavithraa Devi Jayaindraan meraih pingat emas kedua menerusi acara lontar peluru wanita P15 pada Kejohanan Padang dan Balapan MSSM Malaysia ke-55 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Dia mencatat lontaran sejauh 10.73m, mengatasi peserta pilihan dari Sarawak, Grace Wong Xiu Mei yang melakukan 10.72m dan Norhashima Shahril, 10.66m. Kelmarin, Pravithraa meraih emas rejam lembing dan gangsa lempar cakera P15. Dalam acara lompat jauh P18, atlet Kedah, Noor Shidatun Nadia Mohamad Zuki mengekalkan pingat emas dengan lompatan 5.83m, menewaskan Kirthana Ramasamy dari Perak (5.47m) dan peserta tuan rumah, Nurul Ashikin Zainudin (5.36m).


"Hanya sedikit lagi kerana saya perlukan 0.2 meter tapi tidak berjaya walaupun sudah mencuba sedaya-upaya. Sekurang-kurangnya ia memberi petanda rekod terbaik peribadi dan kejohanan boleh diperbaharui pada MSSM selepas ini," katanya. Rekod kejohanan acara lompat jauh P18 milik Noor Shidatun, 5.85m dilakukannya tahun lalu sekali gus berkongsi rekod 2006 dicipta atlet Kelantan, Tengku Monoliana Engku Hashim.

Acara rejam lembing P18, Nur Aqilah Amran dari Perak menang emas dengan rejaman sejauh 37.94m, menewaskan Celine Kong dari Sarawak (37.31m) dan peserta Pulau Pinang, Tan Xin Yi (34.93m). Rekod acara rejam lembing P18 masih milik atlet Sarawak, Ho Sin Hui, 41.82m dibuat pada 2004.


Lompat bergalah kategori terbuka pula dimenangi atlet Johor, Muhammad Afiq Ahmad Alham dengan lompatan setinggi 4.40m, menewaskan rakan sepasukan, Mirza Muazzam Haris Fadzilah (4.00m) dan Muhammad Rahimin Mohd Nasir dari Perak (3.80m). Rekod lompat tinggi L18 masih bertahan menerusi catatan dibuat atlet Johor, Iskandar Alwi, 4.73m, dilakukan tahun lalu.


Dalam kutipan pingat keseluruhan, Sarawak terus gah mendahului kutipan pingat hari ketiga dengan 11 emas, 9 perak dan 10 gangsa. Selangor kedua 6-3-4.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

D'Futsal Centre gelanggang keramat KWS8

Posted: 21 May 2013 08:17 AM PDT

Alor Setar: Buat kali kedua berturut-turut D'Futsal Centre Kepala Batas, Alor Setar menjadi gelanggang bertuah buat skuad Klinik Wakaf Siku 8 (KWS8) yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan apabila mengekalkan gelaran juara diraih tahun lalu selepas mengalahkan wakil tuan rumah, Melo FT 3-1 pada final Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 (KFMHB) kategori Bawah 16 tahun.

Gol KWS8 dijaringkan Muhammad Faris Ridzuan (2) dan Akram Hassan manakala gol tunggal Melo FT melalui Mohd Faizol Abdullah Zawawi.


Pada separuh akhir, KWS8 menang tipis 1-0 ke atas CT Nur Nilam dari Selangor manakala Melo FT menang penalti 5-4 ke atas Penang Free School selepas terikat 2-2.

Remaja Semangat Pejuang (RSP) Smart Kids dari Selangor berterima kasih kepada Arwint M Krisnan apabila melakukan hatrik bagi membantu pasukannya muncul juara kategori Bawah 12 tahun selepas membenam Tiger Kids 3-1. Gol sagu hati Tiger Kids dijaringkan Kamal Arif Azrai.


Di separuh akhir, RSP Smart Kids menewaskan Al-Ikhwan 1-0 manakala Tiger Kids memadam impian Taman Uda Kids 3-2.


KWS8 bersama Melo FT, RSP Smart Kids dan Tiger Kids layak ke peringkat Grand Final di Sports Planet Ampang, 7 Julai.

Hadiah pemenang disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Product Sdn Bhd, Kerwin Lim.


Sabtu ini, KFMHB akan diadakan di Ferro Futsal Centre, Kuantan bagi mencari dua pasukan terbaik untuk kategori bawah 12 dan 16 tahun. Maklumat lanjut, layari www.syoknyasukan.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Khabar gembira

Posted: 21 May 2013 08:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Barisan pelumba negara mungkin menerima khabar gembira apabila Malaysia membina bukan satu tapi dua velodrom tertutup bertaraf dunia.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong bagaimanapun berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan apabila beliau dimaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengeluarkan surat persetujuan untuk membina velodrom itu di KL ketika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut merancang membinanya di Nilai.


Beliau difahamkan KBS kini berusaha meneruskan projek pembinaan velodrom tertutup itu di lokasi yang sudah dikenal pasti.

"Saya juga dimaklumkan DBKL mengeluarkan kenyataan bersedia membangunkan satu lagi velodrom di Cheras dengan velodrom lama dirobohkan apabila velodrom tertutup itu siap dibina.


"Apapun perkara ini akan dibincangkan semula sama ada kita memerlukan satu atau dua velodrom tertutup dengan Timbalan Presiden PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad pernah berkata satu velodrom sudah memadai. Jika benar, peruntukan membina satu lagi velodrom itu boleh diagihkan kepada negeri lain bagi membina velodrom kecil sebagai tempat latihan.


"Saya rasa ia satu usul yang baik untuk dinilai semula demi kepentingan semua pihak," katanya yang mengharapkan pihak berwajib duduk berbincang membuat satu keputusan demi sukan lumba basikal.

Katanya, velodrom tertutup itu perlu disiapkan dalam masa terdekat bagi memberi kelebihan kepada pelumba negara bukan sekadar berlatih malah memberi peluang negara menganjurkan pertandingan antarabangsa.


Ahad lalu, DBKL memaklumkan sudah memulakan proses penawaran tender sekali gus membayangkan velodrom tertutup Kategori Satu akan siap dalam tempoh terdekat dengan kos pembinaan velodrom dijangka bernilai RM70 juta.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab menegaskan, pembinaan velodrom itu detik bersejarah buat Malaysia kerana bakal menjadi negara pertama rantau Asia Tenggara boleh menawarkan diri untuk menganjurkan Kejohanan Trek Dunia dan Siri Klasik Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Bujang Senang ke Liga Super

Posted: 21 May 2013 08:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Pendahulu Liga Perdana, Sarawak mengesahkan tiket awal ke Liga Super musim depan selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Pos Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang semalam.

Berbaki tiga perlawanan, pasukan Bujang Senang itu semakin selesa berada di tangga teratas Liga Perdana, mengumpul 49 mata dengan kelebihan empat mata di depan pencabar utama, Sime Darby FC selepas mengharungi 19 perlawanan.


Corak permainan babak pertama agak seimbang apabila kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pembukaan namun gagal menjaringkan sebarang gol.

Sarawak berjaya memecah kebuntuan pada babak kedua apabila Muamer Salibasic membuka jaringan pada minit ke-63 sebelum Bobby Gonzales menjaringkan dua gol The Crocs (m-88) dan masa kecederaan (m-93).


Nasib berbeza menimpa Sime Darby FC apabila tewas 0-1 ke atas pendatang baru Liga Perdana, SPA Putrajaya FC di Stadium UiTM, Shah Alam.


Perlis mencatat kemenangan besar selepas mengalahkan pasukan kelab dari Negeri Sembilan, Betaria FC 4-0 di Stadium Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Gol pasukan Singa Utara dijaringkan Dennis Agyare Antwi pada minit ke-36 dan 84, Mohd Badrul Hisani Abd Rahman (m-42) dan Mohd Afiq Akmal Zunaidi (m-47).


Sabah turut mengutip tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Koh Traore menjadi wira Sabah Hawks apabila melakukan hatrik menerusi jaringan minit ke-22, 89 dan 90 manakala gol sagu hati Kuala Lumpur disumbang Khairul Anuar Shafie pada minit ke-29.


Johor pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang menerusi jaringan Juan Muriel Orlando pada minit ke-54. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

'Jangan putus asa'

Posted: 21 May 2013 08:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Penjaga gol Selangor, Norazlan Razali mengharapkan rakan sepasukan tidak mudah mengangkat bendera putih walaupun gagal meraih keputusan memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Selain tersingkir di pusingan kedua Piala AFC, Merah Kuning muncul pasukan paling banyak tercicir mata menerusi sembilan keputusan seri sekalipun hanya tewas dua perlawanan.


"Baki lima perlawanan ibarat final kerana kami sudah jauh ketinggalan. Atas kertas peluang meraih kejuaraan (Liga Super) tipis tapi kami akan terus berjuang hingga perlawanan terakhir bagi meraih kedudukan terbaik," kata penjaga gol kebangsaan berusia 27 tahun itu.

Selangor pastinya tidak mahu rentetan keputusan seri dalam lima perlawanan berterusan dengan memasang impian menumpaskan Terengganu di Stadium Shah Alam, malam ini selepas turut menumbangkan pasukan terbabit 2-1 di pusingan pertama.


Tugas Selangor tampak mudah apabila tampil dengan skuad hampir lengkap kecuali Mohd Amri Yahyah yang digantung perlawanan ketika lawan bakal menggunakan seratus peratus pemain tempatan apabila tonggak pertahanan import, Vincent Bikana digantung satu perlawanan selepas penyerang import, Jean-Emmanuel Effa Owona patah pergelangan tangan kanan penghujung bulan lalu. "Kemenangan amat mustahak, bukan saja untuk meningkatkan moral tapi mengembalikan kepercayaan peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan," katanya.


Saingan Liga Super berehat kira-kira empat minggu bagi memberi laluan kepada separuh akhir Piala FA selain perlawanan antarabangsa membabitkan skuad kebangsaan.

ATM menanti Selangor penghujung bulan depan sebaik saja Liga Super bersambung diikuti PKNS FC, T-Team dan Johor DT menjadi perlawanan penutup musim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Penyu tekad balas dendam

Posted: 21 May 2013 08:10 AM PDT

Kuala Terengganu: Kekalahan 1-2 kepada Selangor pada pusingan pertama 15 Januari lalu masih segar dalam ingatan dan malam ini barisan Terengganu turun dengan semangat juang tinggi untuk melemaskan skuad Red Giants di Stadium Shah Alam, Selangor.

Bagi merealisasikan impian itu, pemain tengah Penyu, Ismail Faruqi Ashari mahu rakan sepasukan lebih fokus dan berikrar memperagakan aksi terbaik untuk mengutip mata penuh.


Bekas pemain kebangsaan itu turut meminta rakan sepasukan tidak mencampur adukkan urusan peribadi dengan perlawanan malam ini untuk mengelak pemain hilang fokus bagi melunaskan misi membalas dendam kekalahan lalu.

"Selain misi utama mengutip tiga mata di laman lawan tercapai, misi membalas dendam kekalahan pusingan pertama turut menjadi matlamat kami," kata anak jati Kuala Terengganu itu.


Pemain berusia 27 tahun itu turut meminta rakan sepasukan meneruskan rentak cemerlang menewaskan Perak, 3-1, Sabtu lalu di laman lawan untuk memperbaiki kedudukan tangga ketujuh dengan 24 mata.


Bekas pemain T-Team itu tidak dapat beraksi ketika menentang Perak kerana digantung satu perlawanan dan kepulangan pemain itu pasti menceriakan kem Terengganu.

"Selepas berjaya menewaskan Perak, pertemuan dengan Selangor medan terbaik membuktikan Terengganu juga mampu menjadi pencabar terkuat musim ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

No comments:

Post a Comment