Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Angelina Jolie buang payudara

Posted: 14 May 2013 09:29 AM PDT

Los Angeles: Angelina Jolie berkata dia menjalani dua pembedahan membuang payudara selepas mendapati dia membawa gen yang hampir pasti menyebabkan barah kepadanya.

Aktres yang pernah memenangi anugerah Oscar itu dan pasangannya, Brad Pitt membuat pengumuman itu dalam bentuk rencana pengarang yang ditulis bagi akhbar The New York Times edisi hari ini.


Angelina menulis rencana itu antara awal Februari dan akhir April lalu selepas dia melengkapkan prosedur pembedahan bagi membuang kedua-dua payudaranya.

Menurut Angelina, 37, dia membuat pilihan itu kerana memikirkan enam anaknya dan selepas melihat ibunya, Marcheline Bertrand, meninggal dunia "terlalu muda" akibat barah. "Ibu saya berjuang melawan barah hampir sedekad dan mati ketika berusia 56 tahun.


"Dia sempat melihat cucu pertamanya dan memeluk mereka, tetapi anak-anak saya yang lain tidak berpeluang mengenali dan merasai sendiri kasih sayangnya," katanya. Menurut Angelina, anak-anaknya pernah bertanya jika barah pada Marcheline itu boleh berlaku ke atas dirinya. Selepas menjalani ujian generik, kata Angelina, dia mendapat tahu gen BRCA1 ada pada dirinya.


Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia mempunyai 87 peratus peluang untuk menghidap barah. Angelina berkata, dia menulis mengenai pembedahan mastektomi itu dengan harapan dapat membantu wanita lain. "Saya mahu memberitahu wanita lain bahawa keputusan menjalani mastektomi tidak mudah, tetapi saya gembira kerana melakukannya.

Foto

IBU Angelina, Marcheline (kiri) meninggal dunia ketika berusia 56 tahun.

"Peluang saya menghidap barah menurun daripada 87 peratus kepada kurang daripada lima peratus.


"Saya boleh beritahu anak-anak bahawa mereka tidak perlu bimbang kehilangan ibu mereka akibat barah payudara," katanya. Dalam tulisannya, Angelina turut memperincikan prosedur dilaluinya.

"Proses saya bermula pada 2 Februari melalui prosedur penangguhan puting yang memastikan tiada penyakit di saluran payudara di belakang puting, serta melakukan aliran darah tambahan ke kawasan itu," katanya.


Dia kemudian menjalani pembedahan utama dua minggu kemudian untuk membuang tisu payudara.


"Ia seperti adegan filem fiksyen sains," katanya. Sembilan minggu kemudian, dia menjalani pembedahan ketiga bagi membentuk semula payudara dan menerima implan. "Saya tidak berasa apa-apa kekurangan sebagai wanita, sebaliknya bangga kerana membuat pilihan yang tepat tanpa mengurangkan unsur kewanitaan saya," katanya. Angelina juga memberitahu, Pitt sentiasa berada di sampingnya setiap masa ketika pembedahan dijalankan di Pusat Payudara Pink Lotus itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Diplomat AS disyaki intip kerajaan Russia ditahan

Posted: 14 May 2013 08:43 AM PDT

Moscow: Russia semalam mendakwa menahan seorang diplomat Amerika Syarikat di Moscow kerana disyaki mengintip.

Menurut Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), ejen badan itu menahan Ryan Christopher Fogle ketika diplomat terbabit cuba merekrut seorang pegawai perisik Russia.


Jurucakap FSB berkata, Fogle adalah setiausaha ketiga di bahagian politik Kedutaan AS.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan ejen perisikan atau setakat mana proses merekrut itu dilangsungkan. Gambar disiarkan selepas penangkapan itu menunjukkan Fogle memiliki dua rambut palsu, tiga cermin mata gelap, sebuah mikrofon, pisau dan sejumlah wang.


Menurut jurucakap FSB, Fogle ditahan bersama "beberapa peralatan teknikal khas, arahan bertulis untuk ejen yang dilatih, sejumlah besar wang dan beberapa barang untuk mengubah penampilan seseorang. "Baru-baru ini perkhidmatan perisikan AS membuat cubaan berulang kali untuk melatih kakitangan agensi penguat kuasa undang-undang Russia yang kemudian dikesan dan dijalankan di bawah kawalan perkhidmatan antiperisikan FSB," katanya. Selepas ditahan, Fogle dibawa ke Ibu Pejabat FSB di Lubyanka, Moscow sebelum diserahkan kepada Kedutaan AS, sesuai dengan protokol diplomatik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

30 terperangkap dalam terowong

Posted: 14 May 2013 08:39 AM PDT

Jayapura: Sebuah terowong dekat lombong di kawasan terpencil di timur Indonesia semalam runtuh dengan 30 pekerja berada di dalamnya, kata firma pengendali Amerika Syarikat dan polis.

Petugas penyelamat tidak tahu sama ada pekerja berkenaan hidup atau mati ekoran nahas di lombong Freeport-McMoRan's Grasberg, satu daripada lombong emas dan tembaga terbesar di dunia yang terletak di kawasan pergunungan wilayah Papua.


Ia adalah masalah terbaru dihadapi lombong yang dilanda mogok terbesar pada 2011 itu yang melumpuhkan pengeluarannya. "Terowong di kawasan latihan bawah tanah runtuh, memerangkap sejumlah pekerja," kata kenyataan daripada syarikat subsidiari Indonesia, Freeport.

"Kami tidak dapat mengesahkan bilangan mereka yang cedera atau terperangkap, mahupun terdapat sebarang kemalangan jiwa," kata kenyataan itu.


Ketua polis tempatan, Jermias Rontini, berkata lebih 30 orang dipercayai berada dalam lombong ketika terowong itu runtuh.


"Pasukan penyelamat dan polis masih ada di luar terowong kerana bimbang mungkin terdapat runtuhan susulan atau gas beracun," katanya.

Freeport berkata, operasi menyelamat di lombong itu "sukar dan mengambil masa untuk dilakukan". Syarikat itu tidak mendedahkan kerakyatan mangsa yang terperangkap walaupun majoriti lebih 24,000 pekerja lombong itu adalah rakyat tempatan. Polis dan Freeport tidak memberitahu bagaimana kemalangan itu terjadi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Tentera rampas dadah RM100 juta

Posted: 14 May 2013 08:38 AM PDT

Bangkok: Tentera pasukan Pha Muang awal pagi semalam merampas 1.66 juta pil methamphetamine dan 43 kilogram serbuk meth atau 'ais' dengan anggaran harga di jalanan bernilai 1 bilion baht (RM100 juta).

Selepas menerima maklumat ada percubaan untuk menyeludup sejumlah besar dadah ke Thailand melalui sempadan berhampiran, komander tentera Pha Muang, Mejar Jeneral Somsak Nilbanjerdkul menghantar pasukan khas untuk meronda jalan Mae Sai-Koh Chang di tambon Mae Sai di daerah Mae Sai, Chiang Rai.


Pasukan peronda meronda jalan Ban Wiang di kawasan luar bandar apabila melihat tujuh lelaki memikul guni besar baja.

Mereka mengarahkan kumpulan lelaki terbabit berhenti tetapi mereka hanya mencampakkan guni sebelum melarikan diri ke arah sempadan ke Myanmar. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Serang polis guna bom paip

Posted: 14 May 2013 08:38 AM PDT

Jakarta: Polis Indonesia semalam menembak mati seorang lelaki yang menyerang mereka dengan bom buatan sendiri dan disyaki menjadi sebahagian rangkaian pengganas yang disasarkan dalam serbuan minggu lalu.

Lelaki itu membaling bom paip ke arah pos polis trafik di bandar Tasik Malaya, Jawa Barat tetapi gagal meletup, kata jurucakap polis nasional Boy Rafli Amar. Dua anggota polis trafik mengejar suspek tetapi dia mengelak daripada ditahan dengan menyerang seorang daripada anggota polis terbabit dengan parang dan cuba melepaskan tembakan dengan senjata api buatan sendiri ke arah mereka tetapi gagal berfungsi. "Polis kemudian menembak mati lelaki terbabit," katanya.


Seorang daripada polis trafik berkenaan cedera akibat diserang dengan parang dan menerima rawatan di hospital.

Lelaki itu disyaki menjadi sebahagian rangkaian pengganas yang disasarkan polis minggu lalu dalam serbuan di seluruh Jawa dan Sumatera. Tujuh suspek militan terbunuh dalam serbuan minggu lalu, termasuk beberapa yang dikaitkan dengan rancangan untuk mengebom kedutaan Myanmar dan 17 lagi ditahan.


Polis juga percaya suspek melakukan rompakan bagi memperoleh dana bagi kumpulan militan yang bersembunyi di hutan di seluruh Poso, Sulawesi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Warga Singapura terpaksa bayar RM70,000 untuk ambil anak angkat

Posted: 14 May 2013 08:38 AM PDT

Singapura: Perniagaan bayi amat memberangsangkan sejak sedekad lalu selepas ejen dilarang daripada mendapatkan bayi dari China untuk diambil sebagai anak angkat pada 2004 dan pemeriksaan ketat terhadap bakal ibu bapa bermula setahun berikutnya.

Kini terdapat kurang daripada lima agensi anak angkat dengan perniagaan yang baik, kurang kira-kira 12 agensi sejak sedekad lalu. Memandangkan bilangan bayi dari Malaysia dan Indonesia untuk dijadikan anak angkat kian menyusut, yuran semakin melonjak.


Ejen yang diwawancara berkata, mereka mengutip antara Sg$20,000 hingga $28,000 (RM48,147 hingga RM67,406) untuk setiap bayi yang dijadikan anak angkat - 20 hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding sedekad lalu.

Kebanyakan anak angkat biasanya berasal dari China, tetapi ejen dilarang daripada membawa masuk bayi dari negara itu, mereka menumpukan kepada bayi dari Malaysia dan Indonesia kerana terdapat populasi Cina yang besar di dua negara terbabit.


Bakal ibu bapa paling berpotensi ialah pasangan Cina Singapura yang mencari bayi daripada bangsa yang sama. Tidak seperti masa lalu, tiada pilihan dibuat untuk bayi lelaki.


Membayar dan memberi ganjaran kepada ibu yang melahirkan anak untuk dijadikan anak angkat dilarang kecuali dengan kebenaran mahkamah. Hakikatnya, ejen berkata, ibu bapa yang melahirkan bayi itu menerima "hongbao" dan sesetengahnya menyatakan jumlah yang mereka inginkan. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

4,000 pil dadah dalam kemaluan

Posted: 14 May 2013 08:37 AM PDT

Kalasin (Thailand): Tiga wanita Laos semalam didakwa mengedar dadah selepas mereka ditemui menyembunyikan 4,000 pil methamphetamine dalam kemaluan dan dubur mereka, kata polis.

Janpeng Somdee, 31, Jantai Thepwongsa, 32, dan Khamboo Thepwongsa, 38, ditahan di stesen bas selepas polis menerima maklumat bahawa wanita berkenaan membawa dadah dari Laos.


Ketika disoal siasat, ketiga-tiganya mengakui menyembunyikan dadah terbabit dalam kemaluan mereka.

Mereka kemudian dibawa ke hospital Kalasin untuk ujian sinar-X yang mendedahkan sejumlah 20 beg mengandungi 4,000 tablet methamphetamine disembunyikan dalam kemaluan dan dubur mereka.


Polis berkata, tiga wanita itu diupah seorang lagi wanita senegara mereka untuk membawa pil berkenaan menyeberangi sempadan dan menghantarnya kepada pelanggan di wilayah Kalasin. Suspek menyeberangi Sungai Mekong di Mukdahan dan menaiki bas ke Kalasin ketika ditahan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Rakyat Malaysia buat perhimpunan haram di Singapura dibebas dengan ikat jamin

Posted: 14 May 2013 08:33 AM PDT

Singapura: Seramai 21 rakyat Malaysia yang ditahan di republik ini kerana melakukan perhimpunan haram ekoran pertikaian dalam pilihan raya di negara mereka sudah dibebaskan dengan ikat jamin, kata polis semalam.

"Mereka dibebaskan dengan ikat jamin. Siasatan polis masih dijalankan," kata polis Singapura dalam satu kenyataan kepada media. Seramai 21 yang ditahan itu terdiri daripada lapan lelaki dan 13 wanita berusia dari 21 hingga 40 tahun, kata kenyataan itu. Tiada maklumat lanjut diberikan.


Penunjuk perasaan ditahan Sabtu lalu selepas melakukan perhimpunan di taman di sepanjang pesiaran Marina Bay walaupun polis memberi amaran agar tidak mengulangi perhimpunan sama yang dilakukan tiga hari sebelumnya. oleh kira-kira 100 rakyat Malaysia. Tiada tangkapan dibuat dalam perhimpunan pertama, tetapi polis memberi amaran kepada warga asing agar mematuhi undang-undang Singapura terhadap tunjuk perasaan haram.

Perhimpunan awal dilakukan serentak dengan bantahan secara besar-besaran di Kuala Lumpur oleh pembangkang di Malaysia yang mendakwa kemenangannya dalam pilihan raya 5 Mei lalu dirompak melalui penipuan.


Mengikut Akta Arahan Awam Singapura, penganjur perhimpunan boleh dipenjara hingga enam bulan atau didenda SG$10,000 (RM 24,066) atau kedua-duanya sekali. Mereka yang terbabit boleh didenda hingga SG$5,000 (RM12,033). Rakyat asing yang dipenjarakan di Singapura biasanya dihantar pulang ke negara mereka selepas menjalani hukuman.


Pembangkang Malaysia diketuai oleh bekas perdana menteri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menyuarakan bantahan selepas parti gabungan pemerintah kembali berkuasa walaupun menerima kurang daripada 50 peratus undian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Estrada datuk bandar baru Manila

Posted: 14 May 2013 08:33 AM PDT

Manila: Bekas Presiden Joseph Estrada semalam diisytiharkan sebagai datuk bandar baru ibu negara Filipina, jawatannya yang pertama sejak dia digulingkan dalam revolusi antirasuah 12 tahun yang lalu.

Dalam keputusan pilihan raya Kongres dan pentadbir tempatan kelmarin, sembilan calon senator disokong Presiden Benigno Aquino III mencapai kemenangan menewaskan tiga calon disokong gabungan pembangkang. Kira-kira separuh daripada undian sudah dilaporkan setakat ini dan jika keadaan itu berterusan, kemenangan itu bakal menyokong baki tiga tahun pentadbiran Benigno. Estrada, 76, memanfaatkan popularitinya sebagai bintang filem, terutama di kalangan golongan miskin, berjanji akan mengatasi masalah bandar raya bersejarah itu di sepanjang Teluk Manila. Ibu negara Filpina itu dahulunya lokasi pelancong yang meriah, tetapi jalan rayanya menjadi terbiar dan ramai penduduk mengadu mengenai jenayah. "Saya tidak mempunyai keinginan lain dalam peringkat akhir hidup ini kecuali menawarkan pengalaman dalam perkhidmatan awam untuk memberikan yang terbaik bagi meningkatkan kehidupan golongan miskin," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Taiwan ancam adakan latihan tentera di perairan Filipina

Posted: 14 May 2013 08:32 AM PDT

Taipei: Taiwan semalam meningkatkan tekanan terhadap Manila mengatakan ia akan menjalankan latihan ketenteraan di perairan berhampiran Filipina jika Manila tidak memohon maaf secara rasmi kerana membunuh seorang nelayan Taiwan.

Taiwan menuntut Filipina meminta maaf dengan memberi tempoh hingga tengah malam semalam ekoran pembunuhan nelayan berusia 65 tahun oleh pengawal pantai Filipina minggu lalu atau berdepan pembekuan penghantaran pekerjanya ke pulau itu.


Kementerian pertahanan berkata, tentera bersedia menjalankan latihan di perairan di mana Hung Shih-cheng yang belayar dengan bot 15 tan Guang Ta Hsin 28 ditembak Khamis lalu.

"Kami sudah bersedia dan menjalankan latihan di Terusan Bashi adalah satu daripada pilihan ketenteraan.


"Sama ada kami akan atau tidak menjalankan latihan ketenteraan itu bergantung kepada reaksi kerajaan Filipina," katanya.


Taiwan juga meminta Filipina berlaku adil terhadap pengawal pantai yang bertanggungjawab itu dan memulakan rundingan perjanjian perikanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

No comments:

Post a Comment