Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sengaja cari nahas

Posted: 15 May 2013 08:56 AM PDT

London: Dua lelaki dilihat begitu bersahaja dan tidak mempedulikan keselamatan diri apabila membawa bom tinggalan era perang dingin yang tidak meletup selepas menemuinya di pantai.

Bom sepanjang 0.6 meter itu dipercayai ditembak dari kereta kebal beberapa dekad lalu.

Media melaporkan, dua lelaki terbabit menggalas bom berkenaan dari kawasan pantai melalui orang ramai yang melihat dalam ketakutan.

Saksi berkata, mereka percaya lelaki tidak dikenali itu membawa bom berkenaan untuk dijual di kedai besi buruk bagi mendapatkan wang sampingan.

Foto

DUA lelaki tidak dikenali menggalas bom lama dari tepi pantai di Dorset.

Foto

KERAJAAN meletakkan papan tanda bagi menasihati orang ramai tetapi kadang-kadang ia tidak diendahkan.

Foto

KERETA kebal Chieftain


Selepas berita itu tersebar, Kementerian Pertahanan merayu kedua-dua lelaki terbabit segera menghubungi pihak berkuasa bagi membolehkan bahan berbahaya itu dimatikan sebelum sesuatu tidak diingini berlaku.


Saksi berkata, bom berkenaan ditemui dihanyutkan ombak ke pantai Warbarrow Bay, Dorset.

Kawasan itu adalah sebahagian daripada tempat latihan menembak bagi Pangkalan Tentera Lulworth.

Wanita yang merakamkan gambar lelaki itu menggunakan telefon bimbit berkata, pada awalnya dia menyangka mereka membawa permaidani.

Namun, katanya, apabila mereka semakin hampir, dia terkejut melihat objek itu sebenarnya ialah bom lama.

"Saya bersama seseorang yang pernah berkhidmat sebagai tentera dan dia berkata, disebabkan pangkal bom itu masih bertutup, ia belum meletup," katanya.

Wanita itu berkata, melihat kelakuan lelaki terbabit dia percaya mereka adalah "orang bodoh" kerana membahayakan nyawa sendiri dan orang ramai.

Saksi lain berkata, sepatutnya polis dimaklumkan mengenai penemuan itu, bukannya membawa bom berkenaan ke tempat lain.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, bom itu mungkin ditembak kereta kebal jenis Chieftain atau Wombat yang digunakan tentera pada era 1970-an dan 1980-an.

"Kami meletakkan beberapa papan tanda di kawasan berkenaan untuk memberi amaran kepada orang ramai, tetapi malangnya dalam keadaan tertentu ia diabaikan," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Angelina tidak sabar untuk mengahwini Pitt

Posted: 15 May 2013 08:46 AM PDT

New York: Angelina Jolie berkata, dia akan berkahwin dengan pasangannya, Brad Pitt dengan lebih cepat selepas menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudaranya.

Semalam, Angelina, 37, memuji Pitt kerana bersikap "penyayang dan sentiasa menyokong" keputusannya.


Sumber berkata, Angelina tidak sabar untuk mengahwini Pitt dan anak-anak mereka pula mendesak agar ia dilangsungkan dalam masa terdekat.

"Pitt dan Angelina sering ditanya anak-anak, bilakah mereka akan berkahwin," katanya.


Sumber itu berkata, disebabkan Pitt kesibukan kerana terbabit dalam penghasilan filem baru, World War Z, rancangan perkahwinan itu tidak dapat dilangsungkan setakat ini.


Namun, katanya, Angelina yakin ia akan berlangsung tidak lama lagi. Pasangan popular itu bertunang pada 2011 apabila Pitt melamar Angelina dengan cincin berlian bernilai RM1.5 juta.

Pada November tahun lalu pula, aktor itu mengesahkan mereka akan dikahwinkan "tidak lama lagi." Bercakap kepada media sempena tayangan filem Killing Them Softly di New York, Pitt, 48, mengakui dia semakin tertekan akibat diasak anak-anaknya.


"Kini memang masa yang sesuai dan saya gembira dengan kemungkinan itu," katanya. Sumber berkata Angelina mahu perkahwinan mereka dilangsungkan di Perancis tetapi berita terbaru membayangkan, mungkin tempat lain akan menjadi pilihan.

"Pitt dan Angelina mahu ia dijalankan secara tertutup," katanya ketika ditemui. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Budak tertinggal dalam trak maut

Posted: 15 May 2013 08:44 AM PDT

Bangkok: Seorang murid tadika berusia tiga tahun maut selepas dibiarkan dalam trak pikap lebih tujuh jam di Si Sa Ket semalam.

Pegawai bertugas di balai polis Uthumphon Phisai, Leftenan Kolonel Tinakorn Dechalertpong berkata, kanak-kanak itu dikenali sebagai Suriyakarn "Potter" Pakan.


Ibu mangsa, Thanyathon Boonma, 27, memberitahu polis bahawa trak pikap itu yang dimiliki guru sekolah mangsa tiba di luar kediamannya kira-kira jam 7.30 pagi untuk menjemput anak lelakinya itu. Kemudian kenderaan berkenaan tiba di sekolah pada jam 8 pagi. Potter yang tertidur ditinggalkan di tempat duduk belakang. Thanyathon berkata, anaknya ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan terbabit kira-kira jam 3 petang. Tubuhnya sudah berubah lebam kebiruan dan butang bajunya turut terbuka. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Uthumphon Phisai tetapi gagal diselamatkan.

Mayatnya kemudian dipindahkan ke Hospital Si Sa Ket untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya. Thanyathon berkata, pemilik sekolah memberitahunya akan bertanggungjawab terhadap kematian anaknya. Bulan lalu, seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun mati selepas dibiarkan dalam van yang panas selama beberapa jam di luar tadika di Samut Prakan kerana pemilik kenderaan terlupa. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Persekolahan di Filipina ditambah 3 tahun lagi

Posted: 15 May 2013 08:43 AM PDT

Manila: Presiden Filipina Benigno Aquino semalam menandatangani undang-undang membenarkan kanak-kanak diberikan tiga tahun tambahan persekolahan. Langkah itu ialah satu daripada usaha pembaharuan utamanya bertujuan membawa negara berkenaan keluar dari kemiskinan.

Undang-undang itu mewajibkan pendaftaran di tadika sebelum kanak-kanak memulakan sekolah rendah ketika berusia enam tahun.


Sekolah tinggi kerajaan yang kini mempunyai kurikulum empat tahun juga perlu ditambah kepada dua tahun lagi. Pelajar perlu menyelesaikan pendidikan tambahan itu untuk memasuki universiti.

"Kita kini tahu kitaran tradisional pendidikan asas kita selama 10 tahun adalah tidak mencukupi," katanya dalam majlis tandatangan itu.


"Memandangkan golongan muda kita kerugian dari segi pendidikan asas, bagaimana kita dapat mengharapkan mereka untuk bersaing bagi memperoleh pekerjaan dan mencapai matlamat lebih tinggi yang lain?," katanya. Benigno yang berada di pertengahan penggal pemerintahannya selama enam tahun, berkata satu daripada matlamat utama pentadbirannya adalah untuk membentuk masyarkat yang lebih menyeluruh di negara miskin yang dihuni 100 juta orang itu.


Sebanyak 29 peratus tenaga kerjanya tiada pekerjaan atau bekerja sambilan, menurut data terbaru kerajaan. Hampir 10 juta rakyat Filipina terpaksa berhijrah untuk mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik di luar negara. Kerajaan berkata, ia membina puluhan ribu bilik darjah baru, mengambil 18,000 guru dan mencetak puluhan juta buku teks tahun ini untuk melaksanakan program itu di seluruh negara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Polis Aceh musnah 35 hektar ladang ganja

Posted: 15 May 2013 08:43 AM PDT

Aceh: Pihak berkuasa Agensi Narkotik Nasional (BNN) dengan kerjasama Polis Nangroe Aceh Darussalam memusnahkan 35 hektar ladang ganja di desa Pulo Kemukiman Lamtebua, daerah Seulimeum di Aceh Besar Isnin lalu sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan jumlah tanaman ganja di wilayah itu dan kawasan sekitarnya.

Jurucakap BNN, Yessi Weningati berkata, pemusnahan ladang ganja di Aceh diketuai Ketua BNN, Komisioner Jeneral Anang Iskandar. "Pemusnahan 35 hektar ladang ganja adalah yang pertama seumpamanya dilakukan tahun ini di Pulo Kemukiman Lamteuba, daerah Seulimeum. Ia mengambil masa dua jam setengah pemanduan dari Banda Aceh ke kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.


Dalam operasi itu, puluhan pegawai BNN dan polis menebang pokok ganja yang ditanam di ladang itu sebelum ianya dibakar.

Operasi itu dilakukan apabila BNN menerima maklumat terperinci mengenai keluasan ladang berkenaan sebulan lalu, mendorong siasatan awal dilakukan bersama polis tempatan pada 3 Mei lalu. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Pemisah Thai dituduh tingkat serangan ke atas kanak-kanak

Posted: 15 May 2013 08:42 AM PDT

Bangkok: Kumpulan pemisah di selatan Thailand melancarkan perang jenayah dengan mensasarkan kanak-kanak dalam serangan terhadap orang awam, kata badan pemerhati hak asasi kemanusiaan berpangkalan di New York, semalam.

Organisasi itu mendakwa kekerapan serangan terhadap kanak-kanak semakin meningkat. Ia merujuk kepada insiden 1 Mei lalu di mana empat anggota pemisah melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penduduk kampung di luar kedai runcit di Muang, Pattani yang turut membunuh kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, selain bapanya dan empat yang lain. Sehari selepas insiden itu, risalah ditandatangani pemisah diedar di masjid, pasar dan kedai kopi.


Menurut organisasi berkenaan, risalah itu berbunyi: "Saudara, kami sudah balas dendam untuk kamu. Empat daripada kami terbunuh. Jadi, kami ambil lebih nyawa sebagai balasan...enam mayat di Pattani sebagai pengajaran kepada Siam untuk peringatan bahawa kita akan bunuh mereka semua. Kanak-kanak dan wanita tidak terkecuali...kami akan lakukan apa saja agar Siam menerima tuntutan kami." Dalam insiden berasingan pada 8 Mac lalu, empat anggota pemisah menembak sekumpulan pelajar sekolah Buddha ketika mereka bermain bola keranjang di daerah Sungai Padi, Narathiwat mencederakan seorang remaja berusia 15 tahun. Dan pada 21 Mac, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terbunuh dan 14 lagi cedera apabila pemisah meletupkan bom disembunyikan di depan kedai ais krim di Muang, Pattani. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Eza nafi pukul kekasih

Posted: 15 May 2013 08:42 AM PDT

Jakarta: Kes penganiayaan antara Eza Gionino dan Ardina Rasti disambung semula semalam. Dalam perbicaraan, Eza memberi keterangan membantah mengenai bukti rakaman penganiayaan yang dikemukakan Rasti kepada mahkamah.

Ketika ditanya panel pendakwaan, Eza mengakui dia memang ada bertengkar dengan bekas kekasihnya itu pada waktu itu.


Bintang sinetron 'Putih Abu-abu' itu juga tidak menafikan dia ada menengking Rasti. Bagaimanapun, dia membantah apabila dituduh pernah memukul pelakon filem Virgin itu ketika bertengkar.

Sebelum ini Rasti menegaskan bahawa Eza melakukan kekerasan terhadapnya.


"Kedengaran bunyi pukulan berulang kali, bunyi kerusi dihempas dan Eza memberitahu, 'lebih baik saya tendang kerusi daripada saya tendang kamu," kata Rasti ketika sidang akhbar sejurus selepas perbicaraan bekas kekasihnya itu di Ampera, Jakarta. Rasti, 24, juga menolak dakwaan Eza yang mengatakan dia masih kekasih aktor berkenaan ketika kejadian itu. Rasti yang ditemani peguamnya menegaskan dia ingin Eza diberikan hukuman yang berat.


"Dia menafikan menggunakan kekerasan terhadap Rasti walhal semua saksi mengatakan perkara yang sama. Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan," kata peguam Rasti, Aldi Firmansyah. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

'Jangan banyak minum arak kalau tak mahu dirogol'

Posted: 15 May 2013 08:41 AM PDT

Hong Kong: Menteri Keselamatan Hong Kong semalam dikecam kerana mengatakan kaum wanita tidak patut minum arak terlalu banyak jika mahu mengelak dirogol.

Setiusaha Untuk Keselamatan, Lai Tung-kwok mendedahkan angka jenayah di bandar raya itu untuk suku tahun pertama yang menunjukkan bahawa kes rogol meningkat 60 peratus ketika dia membuat komen itu. "Semua kes rogol ini berlaku di kalangan mereka yang saling mengenali antara satu sama lain. Mereka sama ada kawan atau baru bertemu beberapa jam sebelum itu," katanya. "Sesetengah kes turut membabitkan mangsa yang diperkosa selepas minum banyak alkohol. Jadi, saya merayu agar wanita muda tidak patut minum arak terlalu banyak," katanya.


Pengguna Twitter dan Facebook yang berang menyelar komen Lai itu. "Setiausaha untuk Keselamatan Hong Kong menasihatkan "wanita muda agar tidak minum arak terlalu banyak" selepas kes rogol meningkat. Atau, mungkin perlu beritahu lelaki agar tidak merogol?," kata pengguna Twitter berpangkalan di Hong Kong, Miss O'Kistic. "Tidak kisah jika wanita itu minum arak atau memakai pakaian yang 'menggoda', Keganasan Rogol dan Seksual terhadap Wanita tidak pernah OK!!", pengguna Facebook, Noreen Mir menulis di laman kumpulan bantahan SlutWalk Hong Kong. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Wanita diarah turun dari pesawat kerana menyanyi

Posted: 15 May 2013 08:41 AM PDT

Los Angeles: Seorang wanita diarah turun daripada penerbangan dari bandar raya ini ke New York kerana dia enggan berhenti menyanyikan lagu Whitney Houston, I Will Always Love You.

Penumpang yang tidak dinamakan itu mula menyanyikan lagu nombor satu dalam senarai carta klasik itu sejurus selepas pesawat berkenaan berlepas dari Los Angeles. Dia kemudian mengulang persembahannya selama hampir tiga jam. Mungkin cara nyanyiannya atau mungkin kerana lagu itu tetapi penumpang lain kemudian bosan mendengar lagu hit 1994 itu. Juruterbang penerbangan American Airlines itu terpaksa memesongkan penerbangan dan membuat pendaratan kecemasan di bandar raya Kansas selepas wanita itu menjadi "gangguan", kepada kru kabin, kata jurucakap lapangan terbang.


Polis kemudian menaiki pesawat itu tetapi dia masih menyanyi ketika diiringi keluar dari pesawat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Ancaman palsu paksa 5 pesawat lakukan pendaratan cemas

Posted: 15 May 2013 08:40 AM PDT

Beijing: Polis China masih menyiasat ancaman telefon yang membawa kepada penangguhan lima penerbangan di seluruh negara semalam walaupun pihak berkuasa berkata, tiada pesawat yang berada dalam keadaan berbahaya.

Pentadbiran Penerbangan Awam berkata dalam sidang akhbar bahawa ancaman itu membabitkan jenayah menyampaikan "maklumat palsu pengganas" dan suspek sedang diburu dengan semua sumber yang ada. Ia tidak memberi maklumat lanjut mengenai ancaman itu.


Penerbangan itu dioperasikan oleh Shenzhen Airlines, China Eastern Airlines dan Juneyao Airlines serta berasal dari bandar raya di Shanghai, Lanzhou dan Nanjing. ASyarikat penerbangan terbabit enggan memberi komen walaupun agensi berita kerajaan Xinhua berkata, tiga daripada penerbangan itu membuat pendaratan kecemasan ekoran ancaman yang bermula jam 8 pagi, manakala yang lain ditangguhkan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

No comments:

Post a Comment