Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Halangan terakhir Gunners

Posted: 18 May 2013 08:13 AM PDT

London: Arsene Wenger yakin skuadnya sudah tidak lagi dibayangi Robin van Persie dan kini memberi sepenuh tumpuan melaksana misi merebut tiket automatik ke Liga Juara-Juara dengan mengatasi Newcastle, hari ini.

Gunners sebelum ini hambar hingga dikritik teruk musim ini apabila jatuh ke kedudukan ke-10 hingga kelihatan tidak mampu merebut empat tangga teratas selepas tewas kepada Tottenham 3 Mac lalu.


Namun aksi cemerlang bermula dengan kejayaan mengatasi Bayern Munich di Allianz Arena menghidupkan peluang skuad pimpinan Wenger yang kini berada di atas Spurs. Malah, Arsenal juga dijangka mampu merebut kedudukan tangga ketiga Liga Perdana daripada Chelsea.

Wenger menganggap pencapaian ini bukti kekuatan karakter pasukan yang dibina di sekeliling Lukas Podolski, Santi Cazorla dan Olivier Giroud selepas pemergian Van Persie ke Manchester United dengan nilai £24 juta (RM109 juta).


"Arsenal dianggap hilang keyakinan ekoran ketiadaan Van Persie dan kemasukan muka baru. "Kekalahan kepada salah satu pencabar utama menyebabkan kami dikritik teruk dan melunturkan semangat dan keyakinan pemain.


"Senario itu menjadi punca utama kepada kepincangan pasukan dan kami terpaksa mengambil masa untuk mencari formula tepat keseimbangan pasukan. Namun, kini Arsenal kembali dan kami amat efisyen.

Foto

PODOLSKI (kanan) menjadi tonggak serangan Arsenal.

"Kejayaan menjinakkan Bayern di gelanggang lawan sangat penting kerana seluruh pasukan kembali yakin. Saya tidak pernah berasa barisan pemain kehilangan fokus, cuma kami kurang yakin buat sementara waktu.


"Sumber utama adalah kekuatan mental dan fizikal dan kami sudah lama bermain bersama meskipun dalam tekanan dan ini adalah detik terbaik untuk menyempurnakan misi ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Bukan misi mustahil

Posted: 18 May 2013 08:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Hari ini bermulalah cabaran badminton seluruh dunia menentang China, apabila saingan Piala Sudirman bermula.

Penilaian atas kertas mahupun pendapat semua jurulatih menggelarkan China, awal-awal lagi sebagai juara sebelum kejohanan bermula, namun elemen kejutan bukan perkara mustahil dalam acara berpasukan, apa lagi pasukan campuran.


"Bagi saya China terlalu jauh ke depan dan tiada pencabar. Semua pasukan lain mempunyai peluang sama rata, tapi hanya datang ke Kuala Lumpur untuk merebut tempat kedua," kata Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Rexy Mainaky.

"China memang amat kuat, pasukan kami bukan terkuat tapi kami boleh menang," kata Pengarah Sukan Denmark, Finn Traerup-Hansen.


"Memang sukar untuk pasukan lain menghalang China dari muncul juara termasuklah Korea. Lainlah jika China kalah awal," kata ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.


Dalam pada itu, tiba masanya pemain badminton negara membuktikan status underdog bukan penghalang untuk mereka melakar sejarah untuk sekurang-kurangnya ke final Piala Sudirman.

Selaku tuan rumah, banyak yang mahu dibuktikan pemain badminton negara yang diketuai perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei,mungkin juga tuah yang selama ini tidak mengiringi Chong Wei untuk meraih gelaran utama dunia, akan ditebus secara berpasukan, semuanya bukan mustahil namun, mereka perlu menangani cabaran Taiwan dengan misi wajib menang.


Menyelusuri satu persatu perlawanan membabitkan pemain negara, hari ini, Chong Wei seharusnya tiada masalah untuk mengatasi pemain nombor 21 dunia, Chou Tien Chen sekali gus menghadiahkan mata pertama buat pasukan negara.

Sonia Cheah yang mendapat suntikan moral dua kali menewaskan pemain nombor sembilan dunia, Tai Tzu Ying ada kemampuan untuk mengulangi kecemerlangan di hadapan penonton sendiri, namun semangat di Piala Axiata bulan lalu dengan Piala Sudirman, pasti berbeza bagi Tzu Ying kerana kali ini dia bermain untuk negaranya.


Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bagaimanapun dijangka mendapat tentangan sengit daripada Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin, namun beregu utama negara ini pasti mencuri satu mata.


Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang berada di ranking ke-15 dunia tetap dijangka menerima saingan getir dari Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin, sementara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dijangka tiada masalah untuk mengatasi Chen Hung Ling-Wen Hsing.


Pertemuan Malaysia-Taiwan jam enam petang ini dijangka dimenangi Malaysia 4-1, namun kemenangan mutlak 5-0 bukan perkara yang mustahil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Apacs luas empayar, taja 3 pemain Eropah

Posted: 18 May 2013 08:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Apacs Malaysia menggunakan Piala Sudirman sebagai platform menaja tiga pemain Eropah serta menyambung kontrak dua pemain tempatan dalam misi meluaskan lagi pasaran barangan sukan berjenama itu di Asia serta Eropah.

Pada majlis menandatangani kontrak di Hotel DoubleTree, Kuala Lumpur semalam, kelima-lima pemain iaitu Tan Bin Shen, Tan Chun Seang, Robert Blair (Scotland), Koen Ridder dan Ruud Bosch (Belanda) diikat selama dua tahun.


"Kami mengikat pemain Eropah bertujuan melebarkan pasaraan penggunaan barangan Apacs di benua itu. Gandingan Blair dan Bin Shen juga menarik kerana Blair akan menjadi duta pasaran Eropah terutamanya di Scotland dan England, manakala ketika beraksi di Asia, Bin Shen sebagai duta," kata Pengurus Apacs Malaysia Jebbery Lim.

Bin Shen sudah lima tahun manakala Chun Seang tiga tahun bersama Apacs.


Gandingan Bin Shen-Blair kini di ranking ke-44 dunia dan mereka sasarkan untuk merangkul kejuaraan Seluruh England tahun depan selepas melakar kejutan menewaskan gandingan Indonesia, Markis Kido-Alvent Yulianto tahun ini.


Gandingan ini juga menjuarai TerbukamTurkindan Bulgari tahun lalu, sekali gus meyakinkan Apacs bahawa tindakan menaja gandingan ini, sebagai langkahntepat.

Sementara itu, Ridder amat gembira dengan kesudian Apacs menaja mereka.


"Saya berpuas hati dengan penajaan ini kerana mereka menaja kami secara menyeluruh. Sebelum ini kami bersama Yonex tapi peruntkan tunaimterlalu sedikit dan memyukarkan kami untuk menyertai kejohanan di luar negara," kata Ridder.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

BWF pilih Hoyer- Larsen

Posted: 18 May 2013 08:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memilih bekas pemain Denmark yang juga Presiden Persatuan Badminton Eropah, Poul-Erik Hoyer-Larsen untuk tempoh 2013-2017, mengetepikan pencabar tunggal dari Indonesia, Justian Suhandinata.

Pemilihan yang dilakukan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur semalam menyaksikan seramai 150 ahli persatuan gabungan BWF hadir.


"Visi utama saya, mahu pastikan badminton kekal sebagai acara yang dipertandingkan di Olimpik biarpun selepas tamat kontrak 2016. saya juga mahu naikkan kedudukan sukan badminton di peringkat Olimpik dari 13/14 ke kedudukan yang lebih baik," kata Erik.

Erik mengatasi Justian dengan kemenangan 145-120, juga mendapat Timbalan Presiden baru, Gustavo Salazar Delgado yang menewaskan bekas timbalan, Paisan Rangsikitpho 148-118.


Bekas Presiden, Dr Kang Young Joong berkata: "Badminton bertukar kepada pakar yang semuanya bekas pemain, saya lega kerana melepaskan jawatan ini kepada pihak yang betul." Begitupun beberapa pemain Eropah menganggap kemenangan Erik ini seperti bencana kepada pemain badminton Eropah.


"Erik menang bermakna hanya Denmark akan mendapat manfaat. Saya tidak nampak mereka akan menaikkan badminton kerana sewaktu mengepalai badminton Eropah, tiada apa yang menguntungkan kami sebagai pemain," kata Koen Ridder dari Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Selesa di Barcelona

Posted: 18 May 2013 08:05 AM PDT

Le Mans, Perancis: Sepanyol kini bagaikan rumah kedua buat penunggang muda negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Pelumba berusia 19 tahun dari pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu menjadikan Barcelona pangkalan ketika bertanding sepenuh musim Kejuaraan CEV Buckler Sepanyol bagi tahun kedua berturut-turut.


Lebih menarik buat Hafizh, pelumba berasal dari Cheras, Selangor, dia duduk berdekatan dengan pasukan bolasepak yang diminatinya, FC Barcelona.

"Saya berpeluang menyaksikan perlawanan Barcelona di Nou Camp sekali tahun lalu ketika mereka menentang Getafe. Memang seronok dapat melihat aksi bintang seperti Lionel Messi, Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Gerard Pique dan Victor Valdes di depan mata.


"Tapi tak mungkin selalu ke stadium. Tiket terlalu mahal. Dulu, harganya 72 euro (RM279) walaupun Nou Camp hanya 15 minit saja dari apartmen saya," katanya.


Hafizh, yang menduduki tangga keenam keseluruhan musim sulung Kejuaraan CEV Buckler kini sudah semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara asing.

"Tahun pertama memang agak sukar kerana rindukan keluarga. Tapi tahun ini saya berasa lebih selesa apatah lagi mempunyai keluarga angkat di Barcelona.


"Ketua mekanik pasukan, Valeriano Rodriguez dan isterinya menjadi tempat saya mengadu jika ada sebarang masalah. Apartmen sayapun tak jauh dari rumah mereka dan kadang kala saya bermalam di rumah mereka.

"Tahun ini saya mendapat beberapa rakan orang tempatan sebaya saya. Ada lelaki dan perempuan. Saya sering berutus mesej pesanan ringkas (SMS) dengan mereka dan sekali-sekala keluar bersama.


"Masalah bahasa Sepanyol pun makin berkurangan. Saya boleh bertutur beberapa perkataan mudah dan faham apa yang mereka katakan. Sudah enam bulan saya mengambil kelas bahasa Sepanyol dengan guru khas, seminggu dua kali sejam setiap Selasa dan Khamis.


"Hampir setiap hari juga saya berhubung dengan keluarga di Taman Cuepacs, Cheras menggunakan perkhidmatan Skype dan sering berbual dengan nenek Arbaiyah Muhammad, 60, atau ibu saya Masnizah Mansor, 38. Sejak kecil saya memang rapat dengan nenek yang menjaga 16 cucunya, saya cucu paling sulung." Selain rutin harian berlari, berbasikal atau berenang pada sebelah pagi, Hafizh mengekalkan kecergasan dengan bersenam tiga jam di gimnasium setiap petang.


"Kalau ada masa lapang pada Sabtu, saya sering bermain bolasepak bersama rakan di padang berdekatan. Ahad saya lebih suka berjalan-jalan sambil membeli-belah," kata Hafizh yang menyasarkan kedudukan lima teratas pada Kejuaraan CEV Buckler musim ini.


Minggu ini, Hafizh menerima undangan wildcard untuk bersaing dalam kategori Moto2 pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Perancis di Litar Le Mans.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Beri peluang Hafizh timba pengalaman

Posted: 18 May 2013 08:03 AM PDT

Le Mans, Perancis: PETRONAS Raceline Malaysia akan cuba memberi pendedahan secukupnya buat Hafizh Syahrin Abdullah menimba pengalaman bersaing dengan pelumba handalan dunia dalam kejuaraan Moto2 dunia.

Pengurus pasukan Barry Leong (gambar) berkata, mereka merancang sekurang-kurangnya empat perlumbaan wildcard buat Hafizh pada Kejuaraan Motosikal Dunia tahun ini.

"Selepas GP Perancis, kami menyasarkan tiga lagi perlumbaan, satu di Malaysia, satu mungkin di Sepanyol dan satu lagi masih difikirkan.

"Namun kami perlu memohon wildcard lebih awal untuk dipertimbangkan. Sebagai contoh, bagi GP Perancis minggu ini, kami terpaksa memohon sejak awal bulan lalu kalau tidak, mungkin tak dapat sebab senarai yang menanti terlalu panjang."


Beliau menjelaskan, empat perlumbaan wildcard selain tujuh perlumbaan pada Kejuaraan CEV Buckler Sepanyol sepanjang tahun ini mampu memberikan pendedahan berguna buat pelumba berusia 19 tahun itu bagi menghadapi kejuaraan dunia.


"Kami menyasarkan perlumbaan penuh pada kejuaraan Moto2 dunia tahun depan. Tapi sebelum itu, Hafizh perlu meraih sebanyak mungkin pengalaman kerana kejuaraan dunia terlalu mencabar. Banyak perkara perlu dipelajarinya sebelum boleh benar-benar bersedia menghadapi kejuaraan dunia."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Azlan cemerlang

Posted: 18 May 2013 08:02 AM PDT

Jakarta: Azlan Shah Kamaruzaman beraksi cemerlang apabila bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah berjaya mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kategori SuperSports 600cc Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, semalam.

Pelumba MUSASHi Boon Siew Honda Racing itu merakamkan catatan terpantas 1 minit 30.383 saat, juga rekod terpantas litar yang dilakukan pada minit-minit akhir sesi kelayakan sambil rakan senegara, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) terus mengekalkan momentum cemerlang apabila muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan 1:30.623s.

"Sesi kelayakan hari ini berlangsung agak sukar kerana keadaan litar yang berbeza-beza. Sebahagian litar agak licin dan basah manakala sebahagiannya pula kering. Saya terpaksa keluar masuk ke paddock beberapa kali untuk melakukan pelarasan jentera. Selepas kembali semula ke litar pada penghujung sesi, barulah masalah jentera dapat diatasi dan akhirnya membantu saya melakukan catatan terpantas," jelas Azlan yang turut bermula dari petak pertama pada saingan di Litar Sentul musim 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Azimat Bibiana

Posted: 18 May 2013 08:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Kehebatan Bibiana Ng selaku penembak veteran negara diakui 'adik-adik' di barisan pelapis terutama Judith Sharon Jimmy yang menganggap Bibiana idolanya. Lantaran itu sesi meluangkan masa bersama Bibiana diatur Arena Metro menjadi kenangan terbaik dalam hidup Judith terutama untuk bergelar penembak bertaraf dunia suatu hari nanti.

Bibiana pula ingin melihat sukan menembak tempatan terus maju sebagai sukan prospek emas Malaysia dan berharap ada pengganti lebih baik satu hari nanti. Ikuti sesi temubual mereka.


Soalan: Sebagai penembak senior, apa pandangan anda terhadap prestasi serta hala tuju pelapis menembak negara ketika ini?

Jawapan: Bagi saya mereka berada di landasan tepat untuk terus menaikkan lagi arena sukan menembak negara. Mereka masih muda dan masing-masing mempunyai banyak masa untuk memperbaiki diri terutama menembak adalah sukan jangka panjang. Sukan ini tidak mempunyai had umur dan sesiapa saja mampu meneruskan perjuangan mereka selagi masih berdaya. Ada penembak veteran berusia lebih 60 tahun dan tiga kali ke Olimpik, jadi usia tidak mendatangkan masalah.


S: Apakah nasihat anda untuk pelapis?

J: Anda perlu menanam disiplin tinggi dan dengar cakap jurulatih. Bagaimanapun, anda bukan setakat mendengar saja nasihat jurulatih tetapi perlu berani untuk berbincang dengan mereka. Maksud saya di sini bukan bergaduh tetapi suarakan kemampuan dan pendapat anda pada jurulatih. Daripada situ, anda dan jurulatih dapat berkomunikasi dengan baik dan mereka lebih memahami anda.
Untuk bergelar penembak yang baik juga, seseorang itu perlu bijak memiliki ketahanan mental serta fizikal dan fokus dalam serba-serbi.

S: Bagaimana anda boleh terbabit dalam sukan ini?

J: Jujurnya secara tidak sengaja. Secara kebetulan saya dipilih mewakili sukan ini di SUKMA 1994. Walhal waktu itu saya aktif dalam sukan bola tampar dan badminton di sekolah. Kemudian saya mula minati sukan menembak hingga ke tahap ini.

S: Jika ada yang tidak mengenali anda sebelum ini, mereka menganggap anda seorang...

J: Saya tidak pasti. Tetapi ada yang mengatakan saya seorang pendiam. Tetapi bila sudah mula bercakap, saya agak OK.

S: Selain daripada menembak anda ada meminati sukan lain?

J: Tiada, saya sememangnya cintakan menembak. Cuma dulu saya suka bermain bola tampar atau badminton.

S: Apa rancangan masa depan, sampai bila anda akan terus berkecimpung dalam sukan menembak?

J: Saya akan teruskan selagi mampu. Seperti yang saya katakan tadi, sukan menembak tidak mempunyai had umur dan sesiapa saja mampu teruskan selagi mampu. Jika mencecah usia 60 ke 70 tahun sekalipun dan masih mampu, tidak mustahil untuk saya teruskan.

S: Untuk tahun 2013, apa sasaran anda?

J: Tahun ini tidak banyak kejohanan utama, saya cuma sasarkan pingat emas di Sukan SEA Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Usahawan muda

Posted: 18 May 2013 07:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Mula mengenal erti berjauhan dengan keluarga ketika di usia 19 tahun, Adiq Husainie Othman tegar menghadapi semua ujian serta mula mengenai erti berdikari.

Pengalaman itu mengajar erti hidup yang cukup berguna buat dirinya bergelar pelumba profesional apabila sedia mengambil risiko bergelar usahawan muda pada usia yang baru mencecah 22 tahun.


The Rafflesia Cafe (TRC) yang menyediakan makanan barat menjadi taruhan terbaru pelumba yang beraksi bersama pasukan profesional benua, Champion System.

Sokongan padu daripada keluarga menguatkan lagi semangat Adiq untuk menguruskan kafe itu. Namun Adiq tegas tidak akan sesekali melupakan dunia basikal yang sudah menjadi nadi hidupnya biarpun terpaksa meninggalkan TRC untuk satu tempoh lama.


Dia yang kini berada di Jepun untuk menghadapi Tour of Kumano berkata, memiliki sebuah kedai kopi sama konsep seperti di negara luar yang pernah dikunjungi memang menjadi impiannya.


"Saya bercita-cita untuk membuka 'coffee shop'. Saya ingin membawa konsep itu ke kafe saya. Kafe ini menjadi taruhan saya memperkenalkan kopi yang sedap.

"Memang sudah ada perancangan mengembangkan perniagaan iaitu menjual kopi dengan konsep van bergerak selepas ini," katanya yang menggunakan hasil titik peluhnya sejak bergelar pelumba untuk dijadikan modal membuka TRC.


Mendapatkan bantuan seorang rakan kongsi dalam urusan pentadbiran, Adiq mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke kafe miliknya terutama peminat basikal kerana secara tidak langsung boleh mendalami ilmu basikal dengan bertemu pelumba negara yang lain.

Terletak di Wangsa Delima 10, D'wangsa Link berhampiran Wangsa Walk, kafe itu menjadi tempat pelumba negara lain berkumpul meluangkan masa bersama andai tidak terbabit dengan latihan atau pertandingan.


Justeru Adiq berkata, pelanggan yang datang ke kafe itu secara tidak langsung boleh bertemu pelumba negara lain seperti Anuar Manan yang sering ke kedainya menjamu selera bagi mencuba 'lamb shoulder' sekiranya pulang ke Malaysia.


"Jika kedai mamak tumpuan menyiarkan bola, saya mahu kafe ini tumpuan peminat basikal sambil menyaksikan perlumbaan dan berkongsi pandangan atau mendapatkan barangan.


"Selain makanan dimasak chef yang pernah berkhidmat di restoran lima bintang, saya mahu kafe ini menjadi 'pit stop' atau tempat berkumpulnya peminat basikal selepas habis berkayuh." Pelumba terbaik negara 2010 itu mengharapkan anjakannya membuka perniagaan ini turut menggamit atlet negara yang lain mengambil tindakan berani mencuba sesuatu yang baru.


Keberanian itu menjadi kunci utamanya untuk menempah nama menjadi pelumba pertama negara beraksi di jelajah berprestij dunia, Tour de France (TdF) .


Dia bagaimanapun akan terus fokus merealisasikan misinya tahun ini, membawa kembali pingat emas acara lebuh raya di Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini selepas kali terakhir negara meraihnya pada 2005 menerusi Suhardi Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Harrif azam tabur bakti

Posted: 18 May 2013 07:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet berbasikal negara, Harrif Salleh ingin menjawat jawatan sebagai tentera laut andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang....

Jawapan: Seorang tentera laut berpangkat komander.

S: Mengapa memilih bidang ini?

J: Kerjaya sebagai tentera laut amat mencabar dan melambangkan kekerasan. Malah, ia kerjaya mulia kerana berbakti untuk negara.

S: Ada sesiapa yang mendorong anda meminati kerjaya ini, mungkin ada ahli keluarga yang berkhidmat sebagai tentera.

J: Ya, abang saya seorang tentera laut. Saya terikut minatnya dan ingin turut serta berkhidmat untuk negara.

S: Adakah minat ini akan direalisasikan?

J: Sebenarnya, saya baru saja mendapat tawaran berkhidmat sebagai tentera laut dan akan memulakan tugas secepat mungkin sejurus menerima surat rasmi dari pihak terbabit.

S: Lantaran itu, anda akan berpangkalan di Lumut. Bagaimana pula dengan kerjaya sebagai atlet berbasikal negara?

J: Benar, saya akan berpangkalan di Lumut. Namun, perkara ini tidak mendatangkan masalah kerana saya juga akan mewakili tentera dalam sukan berbasikal malah mereka juga memberi pelepasan untuk saya menjalani tugas sebagai atlet.

S: Usia anda sudah mencecah 25 tahun, kerjaya anda juga agak kukuh. Bagaimana pula dengan teman hidup?

J: Saya sudah mempunyai teman istimewa. Insya-Allah akan merancang mendirikan rumah tangga kelak.

S: Selain berbasikal, apakah hobi anda?

J: Saya sukakan motor berkuasa tinggi. Terlalu minat dengan motor besar seperti Ducati.

S: Sudah punya motor berkuasa tinggi sendiri atau sekadar minat?

J: Sudah. Sebuah Ducati 800cc dan sememangnya meninjau peluang untuk menambah koleksi jika ada rezeki.

S: Mungkin anda mempunyai kelebihan lain?

J: Pandai memasak. Saya sudah biasa hidup berdikari di negara orang terutama ketika menjalani latihan atau kejohanan di luar negara. Maka, saya mempelajari cara memasak dan setakat ini pandai memasak nasi ayam, nasi lemak, nasi briyani, satay dan rendang. Jika tiba Aidilfitri dan kena pula masa itu saya bersama skuad di luar negara maka saya akan memasak lauk raya untuk rakan-rakan.

Tetapi, jika di rumah keluarga saya lebih gemar merasa lauk masakan ibu.

S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang...

J: Seorang periang dan suka berkawan. Itu kriteria yang sering dilabelkan kawan-kawan terhadap saya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

No comments:

Post a Comment