Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lelaki Poland dapat muka baru

Posted: 23 May 2013 08:39 AM PDT

Warsaw: Sekumpulan doktor di Poland mendakwa melakukan pemindahan muka menyeluruh terhadap seorang lelaki yang cedera teruk akibat kemalangan ketika mengguna mesin peralatan memotong batu.

Pakar bedah di Pusat Onkologi Gliwice berkata, pembedahan selama 27 jam itu dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 33 tahun yang menjadi mangsa kemalangan. Ketua kumpulan pakar itu, Adam Maciejewski berkata, pembedahan dijalankan pada 15 Mei lalu, hanya beberapa minggu selepas lelaki terbabit mengalami kemalangan. "Ia adalah pembedahan pemindahan muka untuk menyelamatkan nyawa pertama dijalankan sejurus selepas kemalangan berlaku," katanya.


Sebelum ini, pembedahan pemindahan muka hanya dijalankan selepas beberapa bulan atau tahun menjalani persediaan.

Menurut Maciejewski, kemalangan itu berlaku pada 23 April lalu. Imej janaan komputer - yang disediakan hospital - menunjukkan kerosakan serius pada muka lelaki terbabit.


Kata jurucakap hospital, lelaki itu mengalami kemalangan perindustrian. Akibat kecederaan itu, mangsa perlu menjalani pembedahan menstruktur semula muka, rahang, lelangit dan soket matanya. Doktor bedah terkejut apabila prosedur itu didapati berjaya. Sekeping gambar lelaki itu menunjukkan dia terbaring di katil hospital sambil mengangkat ibu jari sebagai tanda gembira dengan pembedahan berkenaan.


Gambar itu dirakam semalam, enam hari selepas pembedahan berlangsung. Orang pertama berjaya menjalani pembedahan pemindahan muka di dunia ialah seorang petani Sepanyol pada 2010 yang hanya dikenali sebagai Oscar.

Foto

MANGSA kemalangan industri di Poland menunjukkan reaksi memberangsangkan enam hari selepas menjalani pembedahan.

Foto

WAJAH pesakit lepas pembedahan.

Dia mengalami kecederaan parah selepas tertembak mukanya secara tidak sengaja ketika memburu. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Set kopi dilelong RM20.5j

Posted: 23 May 2013 08:29 AM PDT

London: Set kopi termahal di dunia akan dilelong dan dijangka mencatat bidaan sehingga £4.5 juta (RM20.5 juta), lapor media semalam.

Set itu mengandungi teko kecil setinggi 25.5 sentimeter dan menjadi teko paling penting di pasaran apabila ia dilelong firma Christie's di London bulan depan.


Pengumpul dari seluruh dunia dijangka berlumba-lumba untuk membida ciptaan tukang perak terhebat pada abad ke-19, Paul de Lamerie.

Teko perak itu - seberat 963 gram - dihasilkan pada 1738 untuk seorang ahli perniagaan berjaya. Ia menjadi perhatian utama dalam Pameran Perak Britain yang diadakan di Muzium Metropolitan di New York baru-baru ini. Hasil seni Lamerie diiktiraf terbaik berbanding tukang perak lain untuk tempoh 250 tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Ke$ha minum air kencing dalam klip video terbaru

Posted: 23 May 2013 08:28 AM PDT

Los Angeles: Bintang pop pelik, Ke$ha didakwa meminum air kencingnya sendiri dalam klip video dari siri realiti televisyen saluran MTV, My Crazy Beautiful Life.

Dalam rakaman itu, teman karib Ke$ha, Savannah, bercerita mengenai ibunya yang mengembara dengan seorang wanita yang meminum air kencing setiap hari.


Ke$ha ketika itu menaiki sebuah kereta bersama rakannya bertanya: "Tidakkah itu baik untuk anda?" Dia kemudian secara terbuka menyatakan kesanggupannya meminum air kencing sendiri. Pengakuan itu disambut dengan jeritan penumpang kenderaan itu dan rakaman kamera terhenti seketika.

Savannah kemudian berkata: "Tidak bolehkan kamu tunggu sehingga kami keluar?" Ke$ha kemudian dilihat memegang botol air dengan bahagian atasnya dipotong dan berisi sedikit cecair. - AP Penyanyi itu kemudian menghirup air berkenaan sambil rakannya jelas berasa mual. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Lelaki 80 tahun tawan Gunung Everest

Posted: 23 May 2013 08:26 AM PDT

Kathmandu: Seorang lelaki Jepun berusia 80 tahun yang pernah menjalani empat pembedahan jantung, tiba di puncak Gunung Everest semalam, sekali gus menjadi pendaki tertua menakluk gunung tertinggi di dunia itu.

Yuichiro Miura yang mengambil laluan standard di bahagian tenggara gunung itu tiba di puncak setinggi 8,848 meter kira-kira jam 9 pagi (11.15 pagi waktu Malaysia).


Miura mendaki mengikut laluan sama yang pernah digunakan Sir Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay 60 tahun lalu.

Miura ditemani tiga lagi warga Jepun, termasuk seorang anak lelakinya serta enam pemandu jalan Nepal.


Kata Miura, dia tidak pernah menyangka dapat tiba di puncak Everest ketika berusia 80 tahun.


"Ia adalah detik paling menggembirakan dalam hidup, tetapi kini saya kepenatan," katanya melalui telefon satelit kepada keluarga dan penyokong yang berkumpul di Tokyo.

Sebelum ini Miura pernah mendaki Everest pada 2003 dan mengulanginya lima tahun kemudian.


Dia memadamkan rekod pendaki Nepal, Min Bahadur Sherchan, yang tiba di puncak berkenaan pada 2008 ketika beliau berusia 76 tahun.

April lalu, Miura berkata, rekod dunia itu tidak begitu penting kepada dirinya.


"Apa yang penting ialah berjaya tiba di puncak gunung itu," katanya ketika ditemui media. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Budak maut dihempap lelaki terjun untuk bunuh diri

Posted: 23 May 2013 08:25 AM PDT

Seoul: Seorang budak berusia tujuh tahun meninggal dunia serta-merta selepas dihempap seorang lelaki yang melompat untuk membunuh diri, lapor media semalam.

Menurut stesen televisyen SBS TV, seorang lelaki terjun berusia 40 tahun dari rumahnya di tingkat 10 sebuah apartmen di Busan petang kelmarin.


Bagaimanapun, dia jatuh di atas anak perempuan jirannya yang baru keluar dari tingkat bawah bangunan berkenaan bersama bapanya.

Lelaki terbabit - hanya dikenali sebagai Jang - mati serta-merta, manakala budak perempuan itu dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.


Jurucakap polis berkata, Jang memang dirawat kerana masalah mental dan kemurungan sejak sekian lama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Kekasih curang disangka hantu

Posted: 23 May 2013 08:25 AM PDT

Hobart: Gara-gara percaya rumahnya berhantu, seorang lelaki memasang kamera tersembunyi di dapur untuk merakamkan aktiviti paranormal itu.

Dan tindakan itu akhirnya memang merakamkan aktiviti luar biasa di rumah berkenaan - apabila kamera itu merakamkan hubungan seks di antara anak lelaki dan kekasih lelaki terbabit.


Ketika lelaki itu mempertikaikan tindakan kekasihnya, wanita terbabit - berusia 28 tahun - mendakwa ia bukan hubungan asmara seperti disangka, sebaliknya sekadar pelukan kasih sayang dengan remaja berkenaan.

Namun, apabila lelaki itu menyoal anaknya yang berusia 16 tahun, remaja itu mengakui dia pernah berasmara dengan kekasih bapanya beberapa kali sebelum itu. Polis kemudian dihubungi untuk menangkap wanita terbabit. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Tak boleh guna bendera GAM

Posted: 23 May 2013 08:23 AM PDT

Banda Aceh: Pihak berkuasa Indonesia bertegas melarang penduduk Aceh mengibarkan bendera Gerakan Aceh Merdeka (GAM) kerana ia adalah simbol pergerakan kumpulan pemisah dan perbuatan itu bertentangan dengan undang-undang.

"Mungkin mereka boleh mengubah imej, hilangkan jalur hitam atau bintang ataupun mereka boleh menambah gambar rencong (pisau belati Aceh), tetapi buat masa ini bendera itu sama seperti bendera GAM. "Ia melanggar Perjanjian Helsinki dan dikri 2007," kata Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi semalam. Gamawan berlata, tanpa pengubahsuaian, bendera itu melanggar perjanjian damai di Helsinki, Finland yang ditandatangani pada 2005. Perjanjian itu mengakhiri konflik bersenjata selama 30 tahun di Aceh yang meragut lebih 25,000 nyawa. Gamawan berkata, dia sudah menetapkan pertemuan dengan Gabenor Aceh Zaini Abdullah bagi membincangkan isu bendera baru dan simbol wilayah berkenaan.


"Kami akan membincangkan masalah itu satu demi satu. Harap-harap ia akan selesai. Kami ada konsep yang akan ditawarkan, yang paling penting ialah bendera itu perlu berbeza daripada bendera GAM," katanya. Gamawan berkata, kerajaan pusat sanggup bertolak ansur dan tidak akan menolak bendera dan simbol tanpa cuba berkompromi Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri memberikan penjelasan 12 perkara mengenai undang-undang kecil terhadap bendera dan simbol yang diserahkan Aceh awal tahun ini. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Tahan suspek cuba bom kedutaan Myanmar

Posted: 23 May 2013 08:22 AM PDT

Jakarta: Polis Indonesia semalam berkata, mereka berjaya menahan dua suspek militan yang mempunyai kaitan dengan rancangan untuk mengebom kedutaan Myanmar.

Jurucakap polis Nasional, Brigadier Jeneral Boy Rafli Amar berkata, Sigit Indrajit dipercayai merancang serangan yang digagalkan itu dan ditahan malam semalam di utara Jakarta.


Militan kedua, hanya dikenali hanya sebagai Rohadi ditahan awal pagi semalam di kediamannya di Tangerang dekat daerah bersebelahan di Banten.

Polis turut merampas bahan letupan seperti serbuk sulfur, serbuk hitam dan paip besi di kediaman berkenaan.


Awal bulan ini, polis menahan dua suspek militan di Jakarta dan merampas lima bom buatan sendiri dari beg galas yang dibawa mereka selepas pihak berkuasa memperoleh maklumat mengenai lokasi mereka.


Mereka memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka mahu membalas dendam terhadap Myanmar ekoran serangan ke atas umat Islam Rohingya di sana baru-baru ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Pendapatan purata rakyat Singapura tertinggi di dunia

Posted: 23 May 2013 08:21 AM PDT

Singapura: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam menobatkan pendapatan purata rakyat Singapura sebagai yang tertinggi di dunia berdasarkan kepada pendapatan perkapita dan kemampuan daya beli negara itu.

IMF mencatatkan secara purata pendapatan setiap rakyat Singapura dalam setahun ialah AS$61,567 (RM186,824).

Jumlah itu meningkat dua peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Dengan pendapatan itu, Singapura mengungguli empat negara lain - Norway, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Switzerland.

Norway sebagai pesaing terdekat mencatat pendapatan purata $56,663 (RM171,943) dan Amerika Syarikat masih kekal di kedudukan lima teratas walaupun negara itu menghadapi masalah kelembapan ekonomi.


Dalam kenyataan itu, IMF juga meramal kekayaan rakyat Singapura akan terus meningkat kepada $77,000 (RM233,656) pada 2018.


Dari segi lain, pemimpin republik itu terus mengukuhkan kedudukan negara berkenaan sebagai hab perniagaan konglomerat antarabangsa bagi menarik syarikat multinasional menyuntik modal di republik itu.

IMF menyasarkan Singapura sebagai 'syurga bebas cukai.'

Dengan cukai yang rendah golongan mewah dari pelusuk dunia memilih untuk berhijrah dan menetap di Singapura. Pengasas bersama Facebook, Eduardo Saverin dan usahawan hartanah Australia Brett Blundy antara contoh terbaik.

Singapura juga dijangka menewaskan Switzerland sebagai pusat golongan kaya menyimpan harta kekayaan mereka pada 10 tahun akan datang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Pondan curi RM30,500 tukar jantina

Posted: 23 May 2013 08:20 AM PDT

Chon Buri: Seorang pondan ditahan sejurus sebelum menjalani pembedahan menukar jantina semalam kerana didakwa mencuri 300,000 baht (RM30,500) daripada seorang lelaki Kuwait bagi membayar pembedahan itu.

Sumit Manupan, 20, bersiap untuk menjalani pembedahan jantina di Hat Yai apabila polis memberkasnya. Polis turut merampas 50,000 baht (RM5,069) daripadanya.

Sumit mengakui bertemu warga Kuwait, Duhaiman Alanlati, 56, di Pattaya pada 15 Mei lalu. Mereka kemudian melakukan seks di sebuah hotel, menurut polis.

Sumit berkata dia mencuri wang Duhaiman ketika lelaki itu tidur. Dia dan rakannya kemudian melarikan diri ke Bangkok sebelum ke Songkhla. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

No comments:

Post a Comment