Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Aktor menggigil diacu pistol

Posted: 18 May 2013 07:31 AM PDT

Cannes (Perancis): Aktor pemenang Oscar, Christopher Waltz mengakui dia menggigil ketakutan ketika seorang lelaki tidak dikenali mengacu pistol ke arahnya dan mengancam untuk meletupkan studio ketika pelakon terbabit diwawancara secara langsung.

Waltz - memenangi Oscar untuk watak dalam dua filem arahan Quentin Tarantino - sedang diwawancara bersama seorang lagi aktor, Daniel Auteuil, apabila kedengaran dua das tembakan dilepaskan.


Rakaman detik itu menunjukkan penonton panik bertempiaran lari ketika pengawal keselamatan bergegas membawa Waltz dan Auteuil turun dari pentas. Bercakap kepada Daily Mail, Waltz memberitahu, untuk beberapa detik dia cemas dan bimbang dengan keselamatannya.

"Saya antara panel yang berada di pentas Studio Canal di tepi pantai apabila seorang lelaki mengacukan senjata api.


"Saya rasa senjata itu pistol dan dia melepaskan tembakan tetapi nasib baik tidak mengenai saya.


"Kemudian lelaki terbabit menjerit kepada saya dengan mengatakan dia ada bom tangan," katanya ketika ditemui.

Foto

ANGGOTA keselamatan menahan penyerang terbabit.

Foto

WALTZ (kanan) dibawa ke tempat selamat.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku apabila anggota keselamatan bertindak pantas menahan penyerang terbabit. Waltz berkata, dia tidak tahu atau mengenali lelaki yang cuba menembaknya itu.


Sementara itu, saksi Arthur Laiguesse berkata, pengawal melompat melepasi penghadang dan menerpa penyerang sebelum menolaknya ke tanah. Tidak lama kemudian, katanya, polis tiba dan memberitahu semua orang agar pergi dari situ kerana mungkin ada bom.

Selepas diperiksa, polis mengesahkan lelaki terbabit hanya membawa pistol, bom dan pisau palsu.


Jurucakap polis berkata, lelaki terbabit dipercayai mengalami gangguan mental.


Pengacara rancangan France 24, Michel Denisot pula berkata, sejurus sebelum melepaskan tembakan, suspek berbisik kepada wanita di sebelahnya supaya pergi dari situ. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Pekerja kian kreatif beri alasan tidak mahu datang kerja

Posted: 18 May 2013 07:23 AM PDT

London: Kajian yang dijalankan ke atas 1,000 pekerja dan 1,000 majikan menunjukkan kreativiti seseorang untuk memberi alasan semakin berkembang.

Dalam kaji selidik itu, beberapa alasan pelik pernah dikemukakan seseorang pekerja untuk ponteng, termasuk kaki tercedera kerana dihempap tin kadang, brek tangan kereta rosak dan anjing peliharaan bergaduh.


Seorang pekerja didapati menghubungi pengurusnya dan meminta cuti kerana ibunya 'meninggal dunia' - dan didapati untuk kali kedua.

Kajian berkenaan juga mendapati, ada pekerja sanggup mengaku cedera ketika melakukan hubungan seks dan memohon supaya dibenarkan untuk tidak datang ke tempat kerja.


Sementara itu, keputusan kajian sama juga menunjukkan enam daripada 10 majikan tidak mempercayai pekerja mereka yang mengaku sakit sebagai alasan untuk tidak bekerja.


Menurut kajian itu, beberapa alasan, seperti muntah melampau, dijangkiti virus dan sakit perut didapati lebih diyakini oleh majikan mereka. Dua pertiga majikan pula mahu pekerja mereka yang uzur supaya menghubungi pejabat sendiri dan enggan melayan penjelasan melalui e-mel atau mesej pesanan ringkas. Menurut kajian berkenaan, secara purata menunjukkan seseorang pekerja akan menipu empat kali sepanjang tempoh berkhidmat di sesuatu tempat kerja dengan alasan sakit atau demam sebagai faktor paling popular digunakan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Wanita mungkin dihukum mati

Posted: 18 May 2013 07:21 AM PDT

Jakarta: Seorang wanita Britain mungkin berdepan hukuman mati di Indonesia selepas ditahan menyeludup serbuk methamphetamine ke negara berkenaan dari China, kata pihak berkuasa semalam.

Wanita itu yang hanya dikenali sebagai AR ditahan di sebuah hotel di Surabaya, Jawa Timur bulan lalu bersama 1.47 kilogram dadah berkenaan. Jurucakap agensi antidadah Indonesia, Sumirat Dwiyanto berkata, disebabkan AR menyeludup dadah melebihi lima gram, dia mungkin berdepan hukuman mati.


Kes itu berlaku sebulan selepas seorang lagi wanita Britain, Lindsay Sandiford dijatuhi hukuman mati kerana cuba menyeludup kokain bernilai AS$2.4 juta (RM) ke pulau peranginan Bali.

Dalam kes terbaru itu, AR - yang tinggal di China - mengaku bahawa seorang lelaki Nigeria memintanya membawa dadah itu ke Indonesia. Kata Sumirat, lelaki Nigeria terbabit masih diburu. "Suspek turut mengenal pasti dua lagi individu yang perlu dihubunginya untuk menyerahkan dadah berkenaan di Surabaya dan Jakarta," katanya.


Kedua-dua suspek terbabit sudah ditahan.


Kata Sumirat, AR dan dua suspek tempatan itu ditahan di ibu pejabat agensi berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Kepala tikus dalam nasi goreng

Posted: 18 May 2013 07:21 AM PDT

Rui'an (China): Seorang pelajar sekolah menengah menemui kepala tikus dalam hidangan nasi gorengnya ketika sarapan di kantin sekolah kelmarin.

Penemuan itu menjadi sensasi apabial foto kepala haiwan itu dimuat naik di laman blog mikro Weibo.


Kebanyakan pengguna Internet negara itu menyatakan rasa terkejut ekoran penemuan menjijikkan itu. Dikatakan kepala tikus itu sebesar saiz jari kelingking orang dewasa.

Pengetua Sekolah Menengah Rui Xiang, Weng Heng Xuan memberitahu Beijing Times apabila pihak berkuasa datang untuk melakukan pemeriksaan di sekolah itu pada 7 Mei lalu, mereka menemui rahang daripada seekor tikus bersaiz besar yang kelihatan seperti sudah dipanggang. Pihak berkuasa telah merampas sejumlah cendawan kering dan nasi pulut dari sekolah itu untuk siasatan lanjut.


Pegawai keselamatan makanan memberitahu wartawan kepala tikus itu ditemui bersama cendawan kering yang dipesan kantin sekolah daripada pembekal. Dia juga memberitahu menemui tulang dalam bungkusan cendawan kering, tetapi tidak dapat memastikan jenis haiwan berkenaan. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Rundingan kedamaian sudah dijalankan

Posted: 18 May 2013 07:20 AM PDT

Manila: Kerajaan semalam berkata, usaha sudah dilakukan untuk meredakan kemarahan Taiwan.

Pada masa sama, Manila kecewa apabila utusan khas yang dihantar bagi merundingkan isu itu ditolak. Khamis lalu, Taiwan menghantar kapal pemusnah, kapal frigat dan empat kapal peronda ke perairan Pulau Batan di Filipina untuk menegaskan tuntutannya terhadap kawasan itu, kata pihak berkuasa pertahanan. Kapal berkenaan merapat sehingga 21 batu nautika di barat Batan tetapi masih berada di zon ekonomi eksklusif Taiwan, kata Laksamana Muda Lee Tung-pao.


Di Manila, jurucakap tentera menolak memberi komen mengenai latihan itu dan berkata pihaknya tidak jelas sama ada kapal Taiwan berada di perairan antarabangsa atau perairan Filipina. Filipina menyuarakan kemarahan terhadap layanan Taiwan kepada utusannya, Amadeo Perez yang dihantar Presiden Benigno Aquino untuk menyatakan permohonan maaf secara peribadi kepada keluarga mangsa. Perez meninggalkan Taiwan sejurus selepas Menteri Luar negara itu David Lin dan keluarga nelayan terbabit enggan bertemu dengannya.

"Saya datang untuk menyampaikan kekesalan mendalam rakyat Filipina dan permohonan maaf ekoran insiden malang itu hingga meragut nyawa," katanya kepada wartawan di lapangan terbang sebelum dia berlepas ke Taiwan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Pelancong Britain maut minum racun disangka arak

Posted: 18 May 2013 07:19 AM PDT

Jakarta: Seorang pelancong Britain maut selepas meminum cecair beracun disangkanya alkohol ketika berfoya-foya di dalam hutan.

Cheznye Emmons, 23, sedang bersuka-ria bersama rakan-rakannya apabila meneguk minuman keras buatan tempatan tanpa menyedari bahawa botol berkenaan pernah diisi cecair methanol.


Teman lelaki mangsa, Joe Cook, 21, dan seorang lagi pelancong jatuh sakit dalam tempoh beberapa jam selepas meminum minuman itu.

Sumber polis berkata, Cheznye mengadu penglihatannya mulai kabur dan mereka berjalan selama berjam-jam untuk mencari klinik.


Katanya, Cheznye kemudian dibawa ke hospital dan diberikan rawatan sebelum dia koma.


Ibu bapa mangsa, Pamela dan Brendon dari Essex yang terbang ke Medan, Sumatera terpaksa membuat keputusan yang paling berat dalam hidup mereka untuk menghentikan mesin bantuan alat pernafasan anak mereka lima hari kemudian.

Sementara itu, kedai menjual minuman terbabit di Bukit Lawang yang terkenal dengan pelancong Britain sudah ditutup sementara polis dan penyiasat dari Kedutaan Britain melakukan siasatan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Filipina tolak dakwaan

Posted: 18 May 2013 07:19 AM PDT

Manila: Filipina semalam menolak dakwaan Taiwan bahawa pengawal pantainya sengaja membunuh nelayan negara itu berikutan kematiannya mencetuskan pergeseran diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Nelayan berusia 65 tahun itu ditembak pengawal pantai Filipina yang mendakwa botnya menceroboh perairan Filipina.


Ketua siasatan pasukan Taiwan Chen Wen-chi berkata, kebanyakan peluru mengenai kokpit bot yang dipercayai menjadi tempat nelayan bersembunyi. "Dengan menggabungkan semua bukti, jelas menunjukkan bahawa penguatkuasa Filipina sengaja menembak 28 kru kapal Guang Ta Hsin yang menegaskan niat mereka untuk membunuh," katanya dalam sidang akhbar. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

76 maut dalam serangan bom

Posted: 18 May 2013 07:18 AM PDT

Baghdad: Beberapa serangan bom berlaku di kawasan didiami Sunni di Baghdad dan sekitarnya semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 76 orang maut.

Ia dianggap serangan maut terburuk di Iraq dalam tempoh lebih lapan bulan.


Menurut sumber polis, kejadian itu berlaku dua hari selepas beberapa lokasi di kawasan petempatan Syiah dibom, termasuk perhentian bas, dan pasar yang mengorbankan seramai kira-kira 130 orang. Sehingga petang semalam tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan bom berkenaan, tetapi disebabkan ia berlaku di kawasan Sunni, militan Syiah akan dituding sebagai dalang.

Semua lokasi serangan semalam adalah bekas kubu kuat pemberontak Sunni. Serangan terburuk berlaku ketika umat Islam sedang meninggalkan Masjid al-Sariya selepas solat Jumaat di Baqouba, timur laut Baghdad.


Sebutir lagi bom diletupkan sejurus kemudian ketika orang ramai bertumpu untuk membantu mangsa serangan bom pertama.


Insiden itu menyebabkan 41 orang maut dan 56 lagi cedera. Beberapa jam kemudian, sebutir bom meletup ketika kumpulan Sunni menghadiri majlis pengebumian di Madain, 20 kilometer di selatan Baghdad.

Menurut sumber polis, lapan orang terbunuh dan 11 cedera.


Di Fallujah pula, dua maut dan sembilan cedera apabila sebutir bom diletupkan di sebuah kafe yang sering menjadi tempat orang awam berehat setiap Jumaat. Di Baghdad sendiri, sebutir bom meletup berhampiran pusat membeli-belah di Amariyah ketika orang ramai bertumpu ke situ, membunuh 21 orang dan mencederakan 32 yang lain. Kejadian itu diikuti serangan bom di kawasan komersial di Dora - juga tempat majoriti Sunni - membunuh empat mangsa dan 22 orang cedera.

Ahli politik yang setia kepada kumpulan Syiah, Jawad al-Hasnawi berkata, serangan itu bukan dilakukan secara kebetulan.


"Adalah jelas kumpulan pengganas seperti al-Qaeda cuba mencetuskan perang antara puak di Iraq," katanya ketika ditemui, di sini, semalam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Lelaki China ditahan akibat didakwa hina al-Quran

Posted: 18 May 2013 07:17 AM PDT

Muzaffarabad: Seorang lelaki China ditahan selepas beratus-ratus penunjuk perasaan menyerang pejabat majikannya ekoran dakwaan dia menghina al-Quran, kata pihak berkuasa.

Pengurus pentadbiran sebuah konsortium China, Lee Ping dituduh oleh pekerja rakyat Pakistan mencampakkan al-Quran ke tanah.


Pegawai kanan polis, Sardar Gulfraz berkata, Lee dibawa ke tempat selamat selepas tunjuk perasaan tercetus di situ.

"Ada saksi mendakwa Lee mencampak barang milik pekerja tempatan, termasuk al-Quran," katanya.


Lee adalah pegawai syarikat Neelum Ihelum yang terbabit dalam projek pembinaan stesen hidroelektrik di wilayah Kashmir yang ditadbir India.


Sardar berkata, Lee memindahkan barangan milik seorang doktor Pakistan selepas dia enggan mengosongkan biliknya untuk ke tempat baru.

"Doktor terbabit berbalah dengan pihak pengurusan syarikat mengenai pemindahan biliknya. "Dia enggan mengosongkan biliknya dan Lee mencampakkan semua barang miliknya dengan berang," katanya.


Kira-kira 1,000 orang menyerang pejabat syarikat itu.

Sardar berkata, insiden itu berlaku tengah hari kelmarin ketika umat Islam bersedia untuk bersolat Jumaat.


"Mereka memecahkan tingkap kaca dan merosakkan kenderaan di syarikat itu. "Kami menghubungi polis bantuan untuk mengawal keadaan dan memindahkan Lee ke lokasi rahsia untuk dilindungi," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Ular, kala jengking jadi masalah terbaru pelarian Syria

Posted: 18 May 2013 07:16 AM PDT

Zataari (Jordan): Selepas terselamat daripada ancaman bom, peluru dan serangan mortar, warga Syria yang berlindung di kem pelarian di Jordan kini berdepan dengan bahaya baru - ular, kala jengking dan ribut.

Tanpa perang, sesetengah pelarian menganggap nasib mereka tidak banyak berbeza daripada ketika mendiami Syria.


Di satu daripada khemah yang dipasang logo agensi pelarian PBB, penghuninya menaikkan papan tanda bertulis 'Kem Maut'.

Seorang daripada penghuni di situ, Abu Sami berkata, jika di Syria mereka berdepan ancaman maut yang pantas akibat peperangan.


"Tetapi di Zataari, ia adalah kematian perlahan-lahan yang menyeksakan," katanya.


Abu Sami, 30, dan ramai warga senasib dengannya kini berang dan menuntut kerajaan Jordan serta pihak yang berkaitan berusaha menambah baik situasi di kem pelarian berkenaan. Menurut bekas pemandu teksi dari Daraa itu, selepas cuba menyelamatkan diri daripada kancah perang, mereka kini berdepan penyeksaan baru. Sementara itu, Jordan berkata, peningkatan mendadak pelarian menyebabkan semua petempatan di sempadan dipenuhi, memaksa kerajaan membina khemah secara tergesa-gesa kira-kira 11 kilometer dari Syria.

Setakat ini Jordan menampung 150,000 pelarian perang Syria sejak tahun lalu. Selama beberapa bulan, Jordan enggan membina kem pelarian baru, dipercayai untuk mengelak daripada menyebabkan rasa marah rejim Presiden Bashar al-Assad. Amman juga bimbang jika Damsyik meluaskan gerakan menentang pemberontak sehingga ke wilayah Jordan. Kem pelarian di Zaatari dibuka pada 29 Julai lalu, dibina di kawasan padang pasir dan menempatkan kira-kira 3,300 pelarian.


Selain ancaman serangga berbahaya, penghuni kem itu juga terpaksa mengharungi cuaca panas pada waktu siang dan sejuk melampau ketika malam. - AP Jordan menyediakan makanan dan keperluan lain, manakala PBB memberikan khemah, selimut dan bekalan sampingan. Ketika ribut pasir berlaku, ia terjadi dengan serius dan penghuni kem itu terpaksa bernafas dalam kesukaran. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

No comments:

Post a Comment