Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pendidikan bertaraf dunia

Posted: 16 May 2013 11:21 AM PDT

Nilai: Guru di negara ini perlu memiliki wawasan unggul untuk mentransformasikan pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi bagi melaksanakan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi menyahut hasrat itu, guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan keberhasilan sekolah dan murid.


"Saya akur guru selama ini memang berakauntabiliti dalam meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkat kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin sengit.

"Kebolehan kita untuk bersaing bergantung kepada kelebihan daya saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada aras tinggi (KBAT)," katanya.


Beliau yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I Datuk Mary Yap, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Foto

MUHYIDDIN bersalam dengan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, malam tadi sambil diiringi Mohamad.

Muhyiddin berkata, aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian bagi pemerkasaan guru melalui latihan berterusan dan untuk itu Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) baharu dan pengkalan data pengesanan CPD bertujuan memantap dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan.


Katanya, demi memartabatkan profesion keguruan, kerajaan turut menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf guru. "Melalui PPPM 2013-2025, pelan menaik taraf profesion keguruan dirangka supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Tanggung azab tiga hari

Posted: 16 May 2013 10:53 AM PDT

Petaling Jaya: Seorang wanita warga Sri Lanka yang baru tiba di Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah terpaksa menempuh azab apabila bukan saja dikurung dan tidak diberi makan selama tiga hari, malah turut dipukul ejennya.

Bagaimanapun, mangsa berusia 34 tahun itu berusaha menyelamatkan diri dengan meminta pertolongan melalui tingkap sebuah premis tempatnya dikurung sebelum jeritannya didengari orang awam yang kemudian menghubungi polis dalam kejadian Selasa lalu.


Menurut sumber, mangsa baru tiba di negara ini untuk bekerja sebagai pembantu rumah menerusi khidmat satu agensi pekerjaan di Pelangi Damansara, di sini, pada 9 Mei lalu.

"Segala proses kemasukan mangsa ke Malaysia untuk bekerja diuruskan seorang ejen wanita dan mangsa dibawa ke premis agensi pekerjaan berkenaan sebelum dihantar kepada pelanggan yang memerlukan khidmat pembantu rumah.


"Sehari selepas tiba, mangsa dihantar ke sebuah rumah yang memerlukan khidmat pembantu, tetapi dia hanya bekerja dua hari sebelum dibawa semula ke premis agensi itu," katanya.


Katanya, episod ngeri pembantu rumah itu bermula apabila dia dikurung sebaik pulang dari rumah itu, malah mangsa juga tidak diberi makan.

"Selain itu, ejen wanita terbabit turut mengambil barang kemas mangsa seperti rantai dan cincin serta telefon bimbit.


"Mangsa tidak mengetahui mengapa dia diperlakukan sedemikian dan bila ditanya, dia dipukul menyebabkan mangsa mendiamkan diri," katanya.

Sumber berkata, ejen wanita terbabit turut meminta wang RM5,000 daripada mangsa kononnya sebagai bayaran untuk proses masuk ke Malaysia untuk bekerja.


"Mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang sebanyak itu kerana baru tiba dan tidak bergaji. Malah, mangsa juga sudah serik dan tidak mahu bekerja di negara ini serta meminta dihantar pulang ke negara asalnya.


"Namun, permintaan mangsa tidak diendahkan sebaliknya mangsa dikurung dalam sebuah bilik," katanya.


Katanya, mangsa yang tidak tahan selepas turut tidak diberi makan bertindak nekad dengan cuba melarikan diri melalui tingkap, tetapi tidak berhasil membuka tingkap itu sebelum menjerit meminta tolong.


"Orang ramai yang melalui premis itu terkejut dengan jeritan mangsa dan menghubungi polis.


"Anggota polis yang tiba kemudian membantu mengeluarkan mangsa dengan memecah pintu premis dan mangsa dibawa ke Balai Polis Damansara untuk membuat laporan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Kebas telefon lepas mencuba

Posted: 16 May 2013 10:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Awas kepada penjual telefon bimbit tepi jalan di sekitar ibu kota. Ini berikutan kemunculan seorang lelaki berusia 20-an yang berpura-pura mahu melihat telefon bimbit pintar yang kononnya untuk dibeli sebelum melarikannya dalam sekelip mata.

Dalam kejadian terbaru di Jalan Genting Kelang, kelmarin, lelaki terbabit melarikan dua telefon pintar Samsung Note 2 berharga RM4,000.


Saksi yang mahu dikenali sebagai Jack, 30, berkata, ketika kejadian, seorang pekerja kedai telefon bimbit itu didatangi seorang lelaki memakai baju-T hitam yang menyoal mengenai telefon pintar.

"Pekerja berkenaan yang menyangka lelaki itu berniat untuk membeli telefon pintar menunjukkan Samsung Note 2 dan lelaki terbabit meminta dia mengajar cara menggunakan telefon berkenaan.


"Tanpa syak wasangka, pekerja berkenaan mengeluarkan sebuah lagi telefon pintar model sama kononnya untuk mengajar lelaki terbabit sebelum suspek melarikannya," katanya.


Menurutnya, dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu menunjukkan suspek berpura-pura melihat telefon pintar berkenaan sambil bercakap dengan pekerja kedai itu untuk tempoh 13 minit, malah dia turut mencuba untuk merakam gambar menggunakan telefon itu.

Pada mulanya, dia hanya memegang sebuah telefon sebelum meminta telefon kedua daripada pekerja berkenaan untuk tujuan perbandingan sebelum melarikan diri.


Pekerja berkenaan yang gagal untuk mengejar mangsa membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Tulang hidung retak angkara dendam lama

Posted: 16 May 2013 10:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Akibat perbalahan tiga tahun lalu dengan bekas rakan serumahnya, seorang lelaki retak tulang hidung selepas ditumbuk dalam kejadian di sebuah pejabat di 1 Sentral, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, 33, dan dua bekas rakan serumahnya itu berbincang mengenai masalah sewa rumah yang pernah mereka duduki tiga tahun lalu sebelum tiba-tiba seorang daripada mereka menumbuk muka mangsa.


Menurut sumber, lelaki itu tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana mendakwa dia memfitnahnya walaupun cuba ditenangkan mangsa yang mengatakan perkara itu hanya salah faham.

"Rakan mangsa itu tidak dapat menahan kemarahannya dan menyerang mangsa manakala dua lagi lelaki yang berada di tempat kejadian cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.


"Tidak puas hati kerana dihalang rakannya, lelaki itu kemudian mengugut mencari mangsa lagi untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

'Pak cik nak pergi mana?'

Posted: 16 May 2013 10:48 AM PDT

Kuala Lumpur: "Pak cik nak pergi mana? Haikal nak ibu," tegur Lais Haikal Khairul Azmi berusia tujuh tahun sebaik seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba masuk dan memandu kereta ibunya dari sebuah taska di Taman Melati, di sini, pagi semalam.

Kanak-kanak lelaki terbabit ditinggalkan sementara dalam kereta Perodua Alza itu oleh ibunya yang turun untuk menghantar dua adik perempuannya berusia empat tahun dan empat bulan ke taska berkenaan sebelum mereka ke Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, di sini.


Bagaimanapun, ketika ibu Haikal, Siti Syuhada Mohd Tahir, 32, yang juga guru menyerahkan anak kecilnya kepada pemilik taska, dia terkejut sebaik menyedari keretanya dilarikan seorang lelaki.

Bagaimanapun, kira-kira 1.3 kilometer dari taska berkenaan, lelaki itu turun meninggalkan kereta mangsa di Jalan 12C/6 Setapak Indah, di sini, sebelum melarikan diri bersama beg tangan Syuhada sejauh 100 meter, namun tiba-tiba rebah dan disahkan mati.


Haikal berkata, ketika dia bersama lelaki itu dalam kereta berkenaan, dia menangis meminta lelaki terbabit membawanya semula kepada ibu namun lelaki itu tidak mengendahkan sebaliknya memecut.


"Haikal tanya, tetapi pak cik itu diam saja. Dia kata nak pergi jumpa kawan. Haikal takut dan menangis kerana mahukan ibu.

"Pak cik itu berhenti di tepi jalan, lepas itu keluar kereta dan ambil beg ibu. Haikal hanya menangis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.


Sementara itu, ibu Haikal, Syuhada berkata, memang menjadi rutin harian menghantar dua anak perempuannya ke taska berkenaan sebelum beliau dan Haikal ke sekolah.

"Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, saya turun kereta sambil mendukung Lais Dania berusia empat tahun kerana dia tidur dan membawanya masuk dalam taska. Selepas itu, saya berpatah balik ke kereta untuk ambil Lais Arissa berusia empat bulan.


"Selepas menyerahkan Arissa, saya dengar bunyi deruman enjin dan apabila menoleh saya nampak kereta saya dilarikan seorang lelaki," katanya yang masih trauma dengan insiden itu.


Syuhada berkata, dia menjerit meminta pertolongan sebelum dua lelaki yang menunggang motosikal melihat kejadian itu cuba mengejar namun gagal.


Beliau menghubungi suaminya, Khairul Azmi Sulaiman, 34, yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberitahu kejadian itu sebelum suaminya datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

No comments:

Post a Comment