Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rumah jiran meletup

Posted: 12 May 2013 09:37 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya pada mulanya terbau asap dan ingatkan ada orang membakar sampah di bawah pangsapuri, namun berasa ada sesuatu tidak kena selepas itu apabila terdengar bunyi gas bocor dari rumah sebelah," kata Nurfatin Ahmad, 22, seorang daripada mangsa kebakaran di Pangsapuri Sri Melaka, Taman Tenaga, di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang ketika itu bersama rakannya yang juga anak pemilik rumah keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum terkejut apabila terdengar letupan dari dapur rumah jiran mereka.


"Malah, seorang wanita warga emas bersama anaknya yang tinggal dalam rumah itu turut keluar dari rumah mereka yang mula terbakar.

"Kami yang panik berlari ke bawah sambil menjerit meminta pertolongan dan terkejut apabila melihat api mula marak serta merebak ke rumah rakan saya dan kediaman berhampiran," katanya.


Nurfatin berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah.


"Buat sementara waktu ini kami tinggal di dewan pangsapuri ini kerana rumah kami musnah teruk dan tidak boleh diduduki," katanya.

Foto

NURFATIN (kanan) mencari barang yang masih boleh digunakan dalam rumahnya yang terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, empat unit pangsapuri empat tingkat itu musnah namun tiada kemalangan jiwa.


Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Mohd Ghazali Johari berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5.07 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya tiba di tempat kejadian pada jam 5.14 petang dengan kekuatan lima jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Pudu dan tiga jentera daripada Jalan Hang Tuah.


"Kami berjaya mengawal api daripada terus merebak 10 minit kemudian dan api dapat dipadam sepenuhnya 30 minit kemudian.


"Kami juga difahamkan, seorang pemilik rumah iaitu wanita warga emas terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kesesakan nafas selepas kejadian itu," katanya selepas tamat operasi memadamkan api kebakaran, semalam.


Mohd Ghazali berkata, setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

Tanggung padah protes PRU-13 di Singapura

Posted: 12 May 2013 09:34 AM PDT

Singapura: "Protes di Singapura diadakan tanpa permit dan mereka yang secara sedar menganjurkan serta menyertai aktiviti haram itu perlu menanggung akibatnya," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan.

"Saya berharap rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Singapura perlu melihat akibat bakal ditanggung mereka sebelum menyertai aktiviti haram," katanya ketika dihubungi di sini.


Md Hussin mengulas laporan penahanan 21 rakyat Malaysia di republik ini, kelmarin.

Menurut laporan media, polis Singapura menahan 21 rakyat Malaysia selepas mereka didapati mengadakan protes di Merlion Park, di sini.


Penahanan itu dibuat selepas amaran dikeluarkan terhadap sembilan rakyat Malaysia kerana terbabit secara aktif dalam perhimpunan haram' di Merlion Park pada Rabu, apabila sekumpulan 100 orang berhimpun untuk memprotes keputusan pilihan raya umum baru-baru ini di Malaysia.


Md Hussin berkata, rakyat Malaysia perlu belajar menghargai aspek positif kehidupan di negara tuan rumah dan kembali menyumbang kepada proses penyatuan nasional di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). — BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

Tekan loceng selamat 2 beradik

Posted: 12 May 2013 09:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan nekad seorang wanita menekan loceng rumah jirannya sebaik menyedari rumah yang terletak tingkat 14, Blok F Kuarters Kerajaan di Jalan Dutamas 3, di sini, sedang terbakar menyelamatkan nyawa dua beradik, pagi semalam.

Keika kejadian jam 7.30 pagi itu, dua beradik terbabit, V Thesigarhupani, 24, dan V Ushadevi, 18, tidur dalam bilik belakang rumah berkenaan.


Jirannya yang menyedari asap tebal segera membunyikan loceng rumah bertalu-talu sebelum dua beradik terbabit yang tersedar dari tidur menyelamatkan diri.

Pemilik rumah, A Vigian, 54, berkata, kebakaran itu berpunca dari bilik kedua rumahnya yang dijadikan tempat sembahyang dan stor simpanan buku.


"Ketika kejadian, saya, isteri dan anak lelaki baru keluar rumah untuk membeli barang di Pasar Sentul. Tidak sampai 15 minit kemudian, Thesigarhupani menghubungi saya dan memberitahu api marak dalam rumah. "Anak saya memaklumkan sukar keluar rumah kerana terperangkap dalam asap tebal sebaik terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi loceng rumah dibunyikan berkali-kali," katanya ketika ditemui, semalam. Berikutan itu, Vigian mengalami kerugian lebih RM5,000 membabitkan pelbagai komputer dan buku yang dikumpul musnah dalam kebakaran itu.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.58 pagi dan enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul serta Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

Dua sahabat cedera dibedil

Posted: 12 May 2013 09:33 AM PDT

Cheras: Dua sahabat cedera di perut selepas ditembak ketika cuba melarikan diri dalam kejadian pergaduhan di Jalan Budiman 19, Bandar Tun Razak, di sini, kelmarin.

Mangsa, N Saravanan, 29, bergaduh dengan sekumpulan lelaki yang berkumpul sambil minum minuman keras di tempat kejadian sebelum menghubungi rakannya, Tamil Selvam, 29, untuk meminta bantuan.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa dalam perjalanan ke sebuah kedai gunting berhampiran sekumpulan lelaki minum minuman keras.

"Mangsa bertengkar dengan kumpulan itu sebelum seorang daripada mereka menyerang mangsa sehingga berlaku pergaduhan. Mangsa bagaimanapun sempat menghubungi dua rakannya untuk meminta bantuan.


"Sebaik rakannya tiba, mereka melarikan diri dengan motosikal, namun suspek mengejarnya sebelum melepaskan dua das tembakan yang mengenai tepat di bahagian bawah jantung dan rusuk kiri mereka," katanya.


Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian, polis menemui satu kelongsong peluru dan satu slug berserta sebilah parang. "Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan dan juga Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

Suspek utama direman seminggu

Posted: 12 May 2013 09:33 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai suspek utama kes tembak Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya, 26 April lalu ditahan, pagi kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam kenyataan di laman Facebook Polis Kuala Lumpur berkata, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di Petaling Jaya jam 8.30 pagi dan direman seminggu bermula semalam, bagi membantu siasatan.


Menurut sumber, suspek yang juga ahli perniagaan itu ditahan ketika dalam perjalanan ke sebuah klinik di kawasan berkenaan.

"Siasatan kini mendapati lelaki terbabit bukan individu yang melepaskan tembakan sebaliknya pihak berkuasa percaya penahanannya dapat membantu bagi mengesan dua suspek utama dalam insiden tembakan yang meragut nyawa Shaharuddin," katanya.


Sebelum ini, polis sudah merakam percakapan 35 individu yang identiti mereka dirahsiakan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.


Difahamkan, polis turut menemui beberapa petunjuk baru selain menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian yang diklasifikasikan kes berprofil tinggi kerana membabitkan pegawai penguat kuasa tinggi negara.

Harian Metro melaporkan, Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan, jam 8.15 pagi, 26 April lalu.


Ketika kejadian, Shaharuddin dilaporkan sedang membaca surat khabar sebelum pemandunya mendengar dentuman kuat. Mangsa terkena tembakan di leher sebelum rebah di bahu kiri pemandunya.

Pemandu mangsa sempat melihat sebuah motosikal dinaiki dua lelaki bergegas meninggalkan lokasi kejadian, namun dia gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

No comments:

Post a Comment