Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mat Yo, Nurul duri Kelantan

Posted: 22 May 2013 09:14 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) melonjak ke tangga kedua untuk mencabar pendahulu liga, LionsXII selepas menjinakkan Kelantan 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Pertembungan Johor DT dan Kelantan terpaksa dimulakan lewat 40 minit apabila pegawai perlawanan dan pihak berkuasa bertungkus-lumus mengasingkan penyokong Johor DT dan Kelantan selepas salah seorang penyokong mengalami kecederaan di kepala akibat terkena balingan objek hingga segelintir penyokong skuad Harimau Selatan terpaksa diletakkan di trek stadium bagi menjamin keselamatan mereka.


Tanpa menunggu lama, skuad Harimau Selatan bertali arus mengasak ke kubu The Red Warriors dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas rembatan Nurul Azwan Roya ditampan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat biarpun bola muntah cuba dicabar Safee Sali.

Tersentak dengan percubaan tuan rumah, The Red Warriors yang beraksi tanpa kelibat tiga tonggak utama, Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahiyuddin dan Norfarhan Mohammad dan berada di bangku simpanan hampir mencemaskan gawang skuad Harimau Selatan selepas bola rembatan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-24 hanya sipi dari pintu gol.


Ketika aksi memasuki minit ke-31 peluang terbaik Kelantan mencipta jaringan dipersia-siakan Harris Safwan, berpunca daripada lorongan Ahmad Fakri Sharani yang ditampan penjaga gol tuan rumah, Mohd Al-Hafiz Hamzah.


Ketika babak pertama semakin hampir penghujung, Leonel Nunez terlepas peluang merobek gawang pelawat apabila bola tandukannya pada minit ke-41 dan disusuli seminit kemudian hanya sipi dari gawang selain tindakan pantas Khairul Fahmi menghalang bola daripada menerjah ke jaring.

Foto

NORSHAHRUL (tengah) jaring gol pertama Johor DT.

Bermula babak kedua, skuad Harimau Selatan begitu rakus mengasak ke kubu Kelantan dan ketika aksi memasuki minit ke-65, gol yang dinantikan ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad menjelma menerusi rembatan deras Norshahrul Idlan Talaha dari luar kotak penalti yang menewaskan Khairul Fahmi.


Selang tiga minit kemudian gol kedua terhasil buat tuan rumah apabila Nurul Azwan yang berada di sudut sukar bertindak melencongkan bola yang menerjah ke jaring bagi menewaskan Khairul Fahmi yang sekadar tergamam di gawang sendiri untuk memastikan kemenangan buat Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Permulaan sempurna

Posted: 22 May 2013 09:09 AM PDT

Hull, Britain: Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David memulakan hasratnya untuk menjuarai Terbuka British buat kali kelima dengan pantas dan menakjubkan, awal pagi semalam.

Pemain yang memecahkan banyak rekod dari Malaysia itu memerlukan hanya setengah jam untuk memenangi pusingan pertama 11-4, 11-5, 11-4 ke atas Joshana Chinappa, juara India lima kali yang terpaksa menempuhi pusingan kelayakan.


Ia mungkin memberikan kelebihan kerana Joshana lebih selesa dengan cuaca panas dan mampu mengajak Nicol bermain rali panjang, namun dia tidak cukup konsisten dan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

"Saya cuba tidak memberikannya masa untuk mempamerkan permainan sendiri kerana dia amat berbahaya," kata Nicol. "Dan saya amat gembira dengan cara yang saya lakukan.


"Saya sedar saya perlu membuatkannya bekerja keras dan tidak membiarkan dia mempamerkan corak permainan sendiri." Nicol menghasilkan dua permainan rali menakjubkan pada pertengahan set kedua, yang membolehkannya mendahului 6-3.


Nicol kini berdepan lawan yang tidak disangka-sangka Sarah Kippax, pemain harapan peminat tempatan yang tidak berada dalam kelompok 20 pemain terbaik namun berjaya mengejutkan Natalie Grinham, pilihan ke-10 bekas naib juara Terbuka British dari Belanda dengan 9-11, 13-11, 11-6, 9-11, 11-7.

Terdahulu seorang lagi pemain negara Low Wee Wern (gambar kecil) muncul pemain pilihan pertama tumbang.


Wee Wern, pilihan ketujuh kecundang 11-7, 13-11, 7-11, 11-9 di tangan Sarah-Jane Perry, muka baru skuasy England yang melonjak lebih 40 anak tangga dalam tempoh kurang setahun untuk menduduki kelompok 20 teratas buat kali pertama.

Dalam kategori lelaki, seorang lagi pemain negara Ong Beng Hee kecundang kepada pemain Australia, Cameron Pilley 1-11, 8-11, 12-14. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Peluang Hamilton untuk menyerlah

Posted: 22 May 2013 09:08 AM PDT

Monaco: Mereka yang mengkritik perpindahan Lewis Hamilton mungkin perlu menelan kembali kritikan itu sekiranya pemandu itu memenangi perlumbaan popular dalam kalendar Formula Satu di Monaco, minggu ini.

Wujud persoalan sama ada juara dunia 2008 ketika bersama McLaren pada 2008 itu mampu berdiri megah di podium musim ini selepas perpindahannya ke Mercedes dengan Hamilton bersama pasukannya tiba di Mediterranean minggu ini berbekalkan kejayaan tiga petak utama berturut-turut.


Mercedes gagal menyerlah dalam perlumbaan sebenar setakat ini, tidak mampu mengawal penggunaan tayar pada perlumbaan petang Ahad namun litar jalan raya sempit dan sukar di Monaco mampu memberi kelebihan.

Hamilton, pemenang perlumbaan pada 2008, sukakan litar bersejarah itu yang melalui casino dan terowong serta pelabuhan dan deretan kapal layar mewah.


Juara Red Bull memenangi perlumbaan itu tiga tahun berturut-turut dengan pemandu Australia Mark Webber menang pada 2012 selepas turut menang pada 2010, namun kepantasan Mercedes ketika kelayakan mengancam rekod kemenangan mereka.


"Mereka (Mercedes) akan tampil sebagai pilihan utama bagi Monaco," kata pemandu Ferrari Fernando Alonso selepas dia menjuarai perlumbaan laman sendiri di Sepanyol bulan ini.

"Mereka menduduki petak utama bagi tiga perlumbaan terakhir, mereka meraih petak utama tahun lalu dengan kejayaan Michael Schumacher, jadi ia pasti satu kejutan jika mereka tidak mengungguli petak utama di Monaco," kata pemandu Sepanyol itu.


"Tambahan pula sukar memintas di Monaco, jadi mereka boleh mengekalkan kedudukan di depan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Murray tarik diri

Posted: 22 May 2013 09:08 AM PDT

London: Pemain nombor dua dunia dari Britain, Andy Murray menarik diri daripada Terbuka Perancis selepas gagal pulih daripada kecederaan belakang yang bertambah buruk ketika Terbuka Itali minggu lalu.

"Ia satu keputusan sukar dan saya suka bermain di Paris, tapi selepas mendapatkan nasihat doktor, saya tidak cergas untuk bertanding," kata Murray.


"Saya memohon maaf kepada penganjur dan terima kasih kepada semua yang menyokong dengan menghantar mesej. Kini fokus utama saya adalah kembali ke gelanggang secepat mungkin." Murray menarik diri kerana kecederaan pada pusingan kedua Terbuka Itali di Rome pada hari jadi ke-26 Rabu lalu selepas menyamakan kedudukan dengan pemain Sepanyol Marcel Granollers dengan memenangi set kedua.

"Saya pasti amat terkejut jika bermain di Paris," katanya. "Saya mahu memastikan ia dapat ditangani. Tidak seronok untuk bermain sekarang." Terbuka Perancis, yang bermula Ahad ini di Roland Garros, adalah acara Grand Slam pertama tidak disertai Murray sejak Wimbledon 2007 apabila dia mengalami kecederaan pergelangan tangan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Lompatan emas

Posted: 22 May 2013 09:07 AM PDT

Kuantan: Bersaing dalam cuaca panas terik serta ditegur pegawai kerana 'emosi kurang sopan' apabila membaling palang lompatan tidak menghalang atlet lompat tinggi Sarawak, Jonathan Tinggang Ngabang meraih pingat emas acara lompat tinggi lelaki (L18) pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ke-55 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Jonathan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau, Bintulu, yang juga mencatat rekod terbaik kategori P15 di Perlis tahun lalu, membuat lompatan 2.01m, menewaskan pencabar dari Johor, Norshafiee Mohd Shah yang turut mencatat 2.01 tetapi melakukannya dengan tiga lompatan manakala gangsa diraih Mohd Zulhelmi Rosli dari Terengganu (1.98m).


Mengulas insiden teguran sewaktu bersaing pada percubaan ke-10, Jonathan yang juga kapten kontinjen atlet MSS Sarawak berkata: "Saya bukan mahu bersikap kurang ajar tetapi marah kepada diri sendiri kerana gagal melepasi cubaan seterusnya pada ketinggian 2.04m disebabkan kaki kiri tersangkut. Ia menyebabkan saya berang lantas menghumban palang. "Apapun, saya sudah meminta maaf kepada pegawai kejohanan. Saya tidak puas hati kerana merasakan boleh melakukan lompatan lebih baik tetapi bertarung dalam cuaca terik serta berbahang menyebabkan tubuh rasa longlai." Rekod MSSM kategori L18 masih dipegang atlet Selangor, Lee Hup Wei pada ketinggian 2.15m yang dilakukannya di Pulau Pinang pada 2005.

Pada masa sama, rakan kontinjen, Wong Chun Fong turut memberikan emas ke-14 buat Sarawak selepas mengungguli acara lontar peluru L15. Chun Fong mencatat lontaran sejauh 13.31m, mengatasi peserta Sabah, Ahmad Radzhif Abdul Hasrul (12.97m) dan Muhammad Ghazali Abd Rahim dari Johor (12.46m).


Rekod acara itu masih bertahan sejak 1989 menerusi Nazri Mamat dari Kelantan dengan catatan 14.70m.


Chun Fong bangga kerana dapat menghadiahkan emas buat Sarawak menerusi penyertaan pertama di MSSM Pahang.

"Saya yakin menang kerana tiada peserta lain berupaya melepasi 13.31m dibuat pada percubaan ketiga. Sebaik menang, saya terus menelefon ibu bapa di Sibu dan mereka bersorak gembira. "Dua jurulatih saya, Tiong Ah Kai dan Liong Shuen Kiong juga lega dengan pencapaian itu meskipun tidak dapat memperbaharui rekod Nazri. Fokus sekarang kembali ke sekolah untuk menghadapi peperiksaan," katanya yang berhasrat memperbaharui rekod acara lontar peluru pada kejohanan disertai selepas mengawal rasa gemuruh bersaing dalam MSSM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Sarawak perlu tiga emas capai sasaran

Posted: 22 May 2013 09:06 AM PDT

Kuantan: Sarawak hanya memerlukan tiga lagi pingat emas untuk mencapai matlamat 17 emas disasarkan kontinjen MSSM negeri itu pada penyertaan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM Ke-55 Pahang.

Ketua Sektor Kontinjen Sarawak Ellen Manium Engang berkata, kontinjen itu yakin mencapai sasaran menjelang hari terakhir saingan hari ini. Meskipun dicabar hebat kontinjen Selangor yang menyapu bersih semua acara jarak jauh 1,500m L18, P18, L15 dan P15, kelmarin, Ellen merasakan saingan pelbagai acara final hari terakhir menjadi penentu juara keseluruhan. Setakat hari ketiga semalam, Sarawak, dengan kontinjen seramai 85 atlet lelaki perempuan dan pegawai, mengumpul 14 pingat emas, 13 perak dan 12 gangsa. Selangor kedua 10-5-4.


"Memang sukar kerana Selangor sudah mula menunjukkan kebangkitan pada dua hari terakhir. Mereka meraih empat emas lari jarak jauh dalam masa tidak sampai dua jam kelmarin yang meletakkan mereka pencabar terkuat kami.

"Dengan kebanyakan acara final esok (hari ini) bermula seawal jam 8 pagi, saya rasa atlet mampu berlari lebih pantas dalam pelbagai acara berbanding sebelah petang yang begitu berbahang akibat panas terik.


"Apapun, saya sentiasa berpegang kepada prinsip, apa saja boleh berlaku dalam pertandingan dan harap kontinjen Sarawak akan terus mendapat keputusan terbaik dan menambah kutipan emas," katanya.


Sementara itu, ketua jurulatih balapan Melaka Mohd Poad berkata, kontinjen negeri Hang Tuah berharap dapat menyapu bersih semua acara pecut disertai kontinjen itu.

Kontinjen MSS Melaka sudah meraih lima emas acara 'riben biru' menerusi Azam Masri (100m dan 400m L18), kuartet 4x100m L18, Asnawi Hashim (100m L15) dan kuartet 4x100m L15.


"Kami harap meraih emas menerusi final 200m L15 dan L18 serta 4x400m lari berganti-ganti L15 dan L18. Saya harap masalah kekejangan otot yang kerap melanda kebanyakan atlet pada sebelah petang tidak berlaku. "Ramai atlet bersaing dalam cuaca panas sebelah petang berdepan masalah lesu kerana peluh keluar terlalu banyak dan kebetulan acara lari berganti-ganti berlangsung sebelah petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Pelumba negara silap jalan 6km

Posted: 22 May 2013 09:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejadian dialami barisan pelumba negara yang menyertai Kejohanan Pra-Sukan Sea 2013 di Naypyitaw memberi pengajaran berguna untuk lebih berwaspada sekiranya mahu membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Sea, hujung tahun ini.

Semalam, kesilapan seorang komisar meranapkan impian pasukan lebuh raya lelaki Malaysia untuk menambahkan kutipan emas dalam acara ujian masa berpasukan sejauh 95.9 kilometer.


Barisan pelumba diketuai Muhammad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fahmi Farhan Ahmad Fuat, Abd Rashid Ibrahim dan Mohd Ekbar Zamanuhuri terpaksa berpuas hati dengan perak berikutan tersilap jalan sejauh 6km daripada laluan ditetapkan.

Pasukan bimbingan Aminuddin Sulaiman itu merakam 2 jam 19 minit 32.133 saat dengan purata kelajuan 41.23 kmj sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan tiga pingat, satu emas dua perak selepas mengharungi hari kedua kejohanan.


Emas dimenangi pasukan Thailand yang dianggotai Navuti Liphong, Tanasak Thansak, Setthawut Yordsuwan dan Turakit Boonratanathanakorn yang merakam 2:17:54.865s manakala skuad Brunei dianggotai Azmi Abd Hadzid, Reduan Yusop, Ahmad Rifaei Johor dan Muhammad Raihaan Abd Aziz dengan 2:25:37.469s untuk gangsa.


"Mereka sepatutnya menang tapi kerana kesilapan komisar kita terpaksa berpuas hati dengan perak. Jika tidak tersalah jalan sejauh 6 kilometer kita sudah dapat meraih emas. "Apapun saya anggap apa yang terjadi mungkin ada rahmat untuk kita lebih berhati-hati pada aksi ujian sebenar iaitu Sukan Sea," katanya. Kelmarin, Muhammad Rauf menghadiahkan pingat emas menerusi acara ujian masa lelaki manakala Mariana Mohammad meraih perak acara sama.

Mengulas kejayaan Rauf, Aminuddin berkata, satu permulaan yang bagus untuk pelumba mengorak langkah melakar kejayaan hujung tahun ini selepas pasukan lebuh raya lelaki gagal meraih sebarang pingat di Sukan Sea 2011 di Indonesia.


Kali terakhir skuad negara merangkul emas pada 2005 dengan kejayaan berganda menerusi Suhardi Hassan dan Norazian Alias dalam acara lebuh raya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Tok Gajah lebur semangat skuad Jang

Posted: 22 May 2013 09:01 AM PDT

Seremban: Negeri Sembilan gagal mengulangi kebangkitan apabila kecundang 0-2 di tangan Pahang pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Selepas menewaskan ATM, 2-1 Sabtu lalu, pemain skuad Rusa mensesiakan sekurang-kurangnya lima peluang terbaik apabila tonggak barisan depan yang diterajui Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Nazrin Mohd Nawi gagal melakukan penyudahan tepat.


Pahang berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan terutama pada babak pertama, malah pasukan Tok Gajah itu sudah menguji benteng tuan rumah seawal minit ke-13 menerusi Azamuddin Akil namun sepakan deras dari luar kotak penalti berjaya ditampan penjaga gol tuan rumah, Hamsani Ahmad.

Skuad Hoben Jang Hoben menerima asakan bertali arus pemain Pahang yang membuatkan sebahagian besar pemain tuan rumah itu terpaksa berkampung di bahagian pertahanan sekali gus menyukarkan anak buah Dolllah Salleh melakukan percubaan tepat.


Bagaimanapun, pada minit ke-38, Pahang memperoleh sepakan penalti selepas Mohd Nazrin Mohd Nawi mengasari pemain pelawat dalam kotak penalti dan Mohd Razman Roslan tenang melakukan sepakan untuk menewaskan Hamsani bagi skuad pelawat mendahului 1-0.


Jaringan itu membangkitkan semangat pemain Pahang apabila terus melakukan beberapa percubaan ke pintu gol Negeri Sembilan pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, namun tidak mengubah kedudukan.

Ketinggalan, Negeri Sembilan cuba bangkit sebaik separuh masa kedua dengan melakukan asakan menerusi Ahmad Shakir dan S Sivanesan namun percubaan mereka pada minit ke-46 dan ke-48 tidak menepati sasaran.


Pahang melebarkan penguasaan apabila Damion Delano menanduk masuk bola hantaran lintang Azidah Sarudin, untuk mendahului 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Selangor tamat badi seri

Posted: 22 May 2013 09:01 AM PDT

Shah Alam: Selangor menamatkan badi lima keputusan seri berturut-turut dengan menjadikan Terengganu sebagai mangsa, malam tadi.

Tandukan Francis Forkey Doe pada minit ke-23 dan rembatan penyerang import Liberia itu pada minit ke-88 memastikan Selangor menang 2-0.


Kemenangan juga membolehkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim mengumpul 30 mata dengan baki empat perlawanan manakala Terengganu kekal di pertengahan liga.

Peringkat awal perlawanan di Stadium Shah Alam itu menyaksikan kedua-dua pasukan rancak menyerang namun gagal menemui penyudah.


Bagaimanapun situasi mulai berubah apabila sepakan penjuru Mohd Raimi Md Nor ditanduk masuk Doe, menewaskan Mohd Sharmiza Yusoff di gawang pelawat untuk menceriakan kira-kira 5,000 penonton.


Ia mencetuskan kebangkitan pelawat yang cuba sedaya upaya mencari gol penyamaan termasuk memasukkan perancang tengah, Ismail Faruqi Ashari namun gagal menggerakkan jentera tengah pelawat.

Terengganu turut kecewa apabila dua cubaan Mohd Fakhrurazi Musa pada minit ke-56 dan 71 sekadar menggegar palang.


Doe memastikan kemenangan Selangor apabila meledak gol peribadi kedua dalam perlawanan itu menerusi rembatan dalam kotak penalti di penghujung aksi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Faizal wira Rejimen Sempadan

Posted: 22 May 2013 08:39 AM PDT

Port Dickson: Rejimen Sempadan (RS) dinobat juara Kejohanan Bola Sepak Antara Kor/Rejimen Tentera Darat 2013 selepas menewaskan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 1-0 pada perlawanan akhir di padang Rejimen Kor Amor Diraja, baru-baru ini.

Penyerang Faizal Lasah muncul wira RS apabila menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan untuk menewaskan penjaga gol RAMD, Mohd Fakri Hassan pada minit ke-115.


Kejayaan itu membolehkan RS menjulang piala pusingan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Tentera Darat (PBTD) Mej Jen Datuk Khlir Mohd Nor.

Perlawanan berlarutan ke masa tambahan dan kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang tinggi apabila tidak berputus asa memburu gol walaupun pergerakan sedikit terbatas berikutan padang becak.


Setiausaha Kehormat PBTD Lt Kol Aziz Ahmad berkata, 15 pasukan daripada semua kor/rejimen Tentera Darat seluruh negara terbabit dalam kejohanan anjuran PBTD yang diadakan liga empat kumpulan bermula awal bulan ini.


Menurutnya, selain meningkatkan mutu bola sepak, kejohanan itu medan menguji disiplin dan semangat berpasukan di kalangan pasukan bertanding.

"PBTD berhasrat membantu kerajaan meningkatkan mutu bola sepak negara.


"Syabas kepada pemain kedua-dua pasukan yang menunjukkan persembahan dan semangat tinggi untuk menjulang nama pasukan," katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.


Ahmad Hasbulah berkata, kejohanan itu bukan sekadar memenuhi aktiviti tahunan untuk merapatkan hubungan tapi mempunyai falsafah tersendiri untuk meningkatkan mutu bolasepak.


"Kualiti bolasepak sudah menunjukkan banyak kemajuan dan saya mahu usaha berterusan dilakukan bagi mengekalkan reputasi Tentera Darat. Tahniah kepada pemain kerana mempamerkan semangat kesukanan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

No comments:

Post a Comment