Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hidup semula selepas 3 dekad

Posted: 25 May 2013 07:56 AM PDT

London: Rakan Christine Greenslade terkejut apabila mendapat tahu dia meninggal dunia pada usia baru 34 tahun.

Bagaimanapun, mereka lebih terkejut apabila Christine menghubungi mereka semula untuk menganjurkan pertemuan semula, tiga dekad kemudian.

Hakikatnya, Christine masih hidup dan menyedari sebuah akhbar tempatan tersilap dalam laporannya kerana mendakwa dia meninggal dunia pada 1980.

Ketika itu sebenarnya ibu Christine, Pamela yang meninggal dunia, tetapi ketika dia menguruskan notis kematian untuk disiarkan dalam akhbar, nama mereka tertukar.

Foto

GAMBAR zaman remaja ketika Christine (dua dari kanan) bersama rakan sekelasnya, termasuk Viv (dua dari kiri).


Bagaimanapun, Christine tidak menyedari kesilapan itu dan berpindah ke tempat lain selepas kematian Pamela tanpa memaklumkan perkara itu kepada rakannya di Penzance, Cornwall yang berkabung.


Kekeliruan itu hanya terlerai apabila Christine menelefon rakan lamanya di Penzance untuk mengadakan majlis pertemuan semula baru-baru ini.

Kini berusia 66 tahun dan menetap di Perancis, Christine bersiap sedia melawat rakan zaman persekolahannya.

Kata Christine, ketika kali pertama bercakap dengan rakan karibnya, Viv Albright, dia kedengaran sangat aneh.

"Ia bukan reaksi yang saya jangkakan daripada sahabat lama," katanya semalam.

Sejurus kemudian, Viv menelefon Christine semula untuk meminta maaf dan memberitahu, mereka menyangka dia meninggal dunia pada 1980.

Christine kemudian mengenang semula detik dia membuat tempahan notis kematian di akhbar tiga dekad lalu.

Katanya, seorang lelaki secara khusus meminta nama penuh ibunya, sebelum bertanya namanya sendiri di akhir perbualan.

"Ketika itu nama saya ialah Christine Downing dan ibu pula Pamela Greenslade.

"Ia kelihatan mustahil untuk kedua-dua nama kami tersilap," katanya.

Keesokan harinya, notis kematian itu memaparkan "Christine Greenslade menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan tiga anak dan seorang suami."

Untuk kali pertama sejak 33 tahun, Christine akan kembali ke kampung halamannya di Penzance minggu depan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, amat menyedihkan apabila mengenangkan 'kematian' itu diratapi rakan-rakannya bertahun-tahun.

"Tetapi, saya pasti ada banyak cerita untuk dikongsikan bersama mereka," katanya.

Notis 'kematian' Christine itu disiarkan akhbar mingguan tempatan Penzance, The Cornishman, yang diterbitkan sejak 1878. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Basmi jenayah guna kereta mewah

Posted: 25 May 2013 07:46 AM PDT

Dubai: Polis trafik Dubai menerima sejumlah kereta mewah untuk digunakan pasukan itu bagi membasmi jenayah.

Selepas seunit kereta Lamborghini Aventador bernilai RM1.4 juta tiba di Dubai pada bulan lalu, polis tempatan kini menerima empat unit tambahan, masing-masing daripada jenama Ferrari, Bentley, Mercedes dan Aston Martin One-77 yang bernilai RM7.3 juta.

Setiap kenderaan itu mampu dipandu dengan kelajuan maksimum 300 kilometer sejam.
Dubai seperti wilayah lain yang bergabung dalam Emiriah Arab Bersatu memang dikenali kerana sumber kewangan yang melimpah-ruah.

Baru-baru ini, polis mengumumkan sesiapa yang didapati memandu melebihi 200 kilometer sejam akan dikenakan tindakan undang-undang.

Jurucakap polis berkata, penggunaan kereta mewah dan memiliki 700 kuasa kuda itu diharap dapat membuat pemandu degil berfikir dua kali sebelum melanggar undang-undang jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

16 murid rentung

Posted: 25 May 2013 07:42 AM PDT

Islamabad: Sekurang-kurangnya 16 murid dan seorang guru mati terbakar di timur Pakistan semalam apabila sebuah tong gas meletup dalam bas yang membawa mereka ke sekolah.

Pegawai polis Mohammed Rasheed berkata, tujuh kanak-kanak juga cedera dalam kejadian itu yang berlaku di pinggir bandar Gujrat.

"Ini kejadian yang menyayat hati. Menurut maklumat, sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak rentung.

"Bas itu terbakar selepas meletup. Kami membawa semua mangsa ke hospital berhampiran," katanya.


Gujrat terletak kira-kira 200 kilometer ke tenggara Islamabad, ibu negara Pakistan.


Kemalangan berlaku selepas dua serangan militan yang meragut sembilan nyawa di dua kawasan berasingan di barat laut negara itu.

Dalam satu kejadian, sekumpulan lelaki bersenjata berat menyerang sebuah konvoi polis di Mattani, 20 kilometer ke selatan Peshawar, menyebabkan enam anggota terbunuh dan tujuh lagi cedera, kata pegawai kanan polis, Shafiullah Khan.

Dalam serangan kedua pula, seorang pengebom berani mati berjalan ke arah kenderaan milik seorang tokoh agama Afghanistan di Peshawar sebelum meletupkan dirinya, menyebabkan tiga terbunuh.

Tokoh agama itu, Haji Hayatullah, terselamat kerana berada di masjid berhampiran. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Serangan besar-besaran di Qusair

Posted: 25 May 2013 07:40 AM PDT

Beirut: Tentera yang setia kepada Presiden Syria Bashar al-Assad dilapor melancarkan pengeboman besar-besaran untuk memaksa pengunduran penentang dari Qusair, bandar strategik di barat negara itu, semalam.

Tentera Assad itu yang dibentuk anggota Hizbullah, kumpulan militia Lubnan, melancarkan serangan itu sejak seminggu lalu.

Mereka menawan beberapa kawasan, tetapi masih berdepan dengan tentangan sengit daripada kumpulan penentang.

Aktivis tempatan Hadi Abdullah dan Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpejabat di Britain berkata, serangan meriam semalam bermula awal pagi.


Rejim Bashar berusaha menawan semula bandar Qusair untuk membuka laluan antara kubu kuatnya di Damsyik dengan kawasan pantai Mediterranean.


Serangan ke atas Qusair menyerlahkan pembabitan Hizbullah yang semakin meningkat dalam perang saudara Syria. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

7 marin Filipina terbunuh

Posted: 25 May 2013 07:39 AM PDT

Manila: Sebelas orang terbunuh berikutan pertempuran antara tentera dengan kumpulan militan di selatan Filipina awal semalam.

Jurucakap tentera wilayah tempatan Kolonel Jose Cenabre berkata, antara mereka yang terkorban dalam pertempuran di Pulau Jolo ialah tujuh marin negara itu. Sembilan tentera Filipina juga cedera.

Empat anggota Abu Sayyaf turut maut dalam kejadian berkenaan.

Menurut Cenabre, anggota marin berkenaan diserang kumpulan Abu Sayyaf berhampiran bandar Patikul ketika tentera kerajaan berusaha menjejaki anggota kumpulan militan terbabit yang disyaki melakukan penculikan di kawasan berkenaan baru-baru ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Chikungunya merebak di Singapura

Posted: 25 May 2013 07:39 AM PDT

Singapura: Kes wabak chikungunya dilapor meningkat di republik ini dengan lebih 60 jangkitan dicatatkan sepanjang bulan ini saja.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes tahun ini kepada 184, lebih tiga kali ganda berbanding 60 kes yang dilaporkan sepanjang tiga tahun lalu.

Jangkitan berkenaan dikatakan tertumpu di kawasan perindustrian di Sungei Kadut dan sepanjang Jalan Bukit Timah.

Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 37 daripada mereka yang dikesan dijangkiti wabak bawaan nyamuk itu ialah penduduk tempatan. Dua dimasukkan ke hospital, tetapi sudah dibenarkan pulang. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Chalerm ikrar bawa Thaksin pulang tahun ini

Posted: 25 May 2013 07:38 AM PDT

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri Chalerm Yubamrung berikrar untuk membawa pulang bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra akhir tahun ini.

"Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya jika saya gagal membawa pulang Thaksin. Anda boleh penggal saya," katanya kepada penyokong Baju Merah Udon Thani.

Chalerm mempertahankan rang undang-undang perdamaian yang diharap menjadi langkah penting membawa pulang bekas perdana menteri itu.

Menurutnya, rang undang-undang itu adil kepada semua pihak dan menafikan ia hanya untuk Thaksin.


Rang undang-undang itu kini dimasukkan dalam agenda Parlimen untuk bacaan pertama. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Bantu siasat virus sebelum musim haji

Posted: 25 May 2013 07:37 AM PDT

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan membantu Arab Saudi menyiasat secara lebih mendalam mengenai merebaknya virus baru seperti SARS untuk merangka nasihat dan panduan menjelang musim haji akan datang.

Agensi PBB itu yang sehingga ini tidak mengesyorkan sebarang sekatan bagi mengunjungi negara itu atau menjalankan saringan ke atas penumpang di lapangan terbang atau pintu masuk, akan menghantar pasukan kedua pakar ke Riyadh dalam masa terdekat ini, kata Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan.

Virus berkenaan yang boleh menyebabkan penghidap batuk, demam dan pneumonia mula dikesan di Arab Saudi tahun lalu.

Setakat ini, 33 orang dikesan menghidapnya dan 17 kematian dicatatkan.


Ia antara 44 kes yang dilapor dan 22 kematian yang berlaku di seluruh dunia, kata WHO yang menggelarnya Sindrom Pernafasan Koronavirus Asia Barat (MERS-CoV).


"Tanpa penilaian yang betul kami tidak boleh menjelaskan mengenai tanda penyakit itu dan paling penting, mengeluarkan nasihat mengenai perjalanan," kata Margaret pada mesyuarat agung peringkat menteri WHO di Geneva.

WHO yang menghantar pasukan pertama ke Arab Saudi awal bulan ini, akan menyediakan penilaian ancaman menjelang musim haji tahun ini yang dijadual berlangsung pada Oktober depan.

"Kami perlu memperoleh fakta jelas dan mendapatkan nasihat paling sesuai kepada semua negara yang rakyatnya akan menunaikan haji di Makkah.

"Ia perlu dilakukan dengan kadar segera," kata Margaret.

Virus itu turut dikesan di Jordan, Qatar, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu sementara beberapa kes kes kecil di bawa masuk ke Perancis, Britain dan Jerman oleh pengunjung.

Arab Saudi semalam berkata, kawalan ketatnya membantu mengekang merebaknya MERS-CoV di sebuah hospital di wilayah Ahsa, timur negara itu yang sebelum ini menjangkiti 22 orang dan menyebabkan 10 kematian.

Langkah itu termasuk memisahkan pesakit atau meningkatkan jarak antara mereka serta mengurangkan perhubungan secara langsung.

Pihak berkuasa Saudi juga mengumpul sejumlah besar sampel dari kelawar, unta, biri-biri dan kucing untuk mengesan punca virus berkenaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Burj Al Arab tawar iPad bersalut emas untuk tetamu

Posted: 25 May 2013 07:35 AM PDT

Dubai: Kemewahan biasanya datang dalam pelbagai bentuk, saiz, rasa, warna dan tahap kemesraan yang berbeza.

Bagaimanapun, di Burj Al Arab, ia didatangkan dengan peranti bersalut emas 24 karat dalam bentuk iPad 4.

Burj Al Arab antara hotel mewah terlampau di dunia, memperkenalkan iPad bersalut emas untuk tetamunya bagi mengakses perkhidmatan disediakan. Ia turut menyediakan iMac di kamar suite.

Ini menjadikan Burj Al Arab yang kadar sewa biliknya bermula pada $1,525 (RM4,575) semalam menjadi hotel pertama menawarkan perisian Pengalaman Pelanggan Interaktif dengan iPad bersalut emas 24 karat.


"Ipad itu direka khusus untuk Burj Al Arab dan diukir dengan logo hotel. Ia akan ditawarkan kepada setiap tetamu yang mendaftar untuk menetap di hotel ini," kata pengurusan Burj Al Arab.


"Tetamu boleh menggunakan iPad emas 24 karat itu dengan hanya menekan butang bagi mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang kami sediakan "

Seorang penganalisis yang enggan dikenali berkata, dia menyifatkan langkah itu sebagai 'merosakkan' tetamu dengan kemewahan, tetapi memujinya kerana melaksanakan idea yang kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

2 tembikai wangi dibeli pada harga RM47,000

Posted: 25 May 2013 07:33 AM PDT

Tokyo: Sepasang tembikai wangi dijual di satu lelongan di sini, semalam pada harga 1.6 juta yen (RM47,000), antara harga tertinggi pernah dibayar untuk mendapatkan buah itu.

Seorang peraih buah tempatan membeli tembikai Yubari seberat 3.7 kilogram itu di satu jualan buah dan sayur-sayuran pada hari pertama musim pengeluaran tembikai berprestij itu.


Ia adalah harga ketiga tertinggi pernah dibayar untuk buah itu dan harganya hampir sama dengan sebuah kereta kecil.

Di negara yang sebiji epal berharga lebih RM15 dan sebungkus 20 biji ceri boleh mencecah sehingga RM300, penduduk Jepun sudah biasa membayar harga tinggi untuk menikmati buah-buahan.


Namun, bayaran untuk tembikai itu di Pasar Borong di Tengah Sapporo menggambarkan keinginan pembeli untuk mendapatkan prestij. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

No comments:

Post a Comment