Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Derita 'hutang' RM60,000

Posted: 17 May 2013 12:21 PM PDT

Kuala Lumpur: "Ini azab paling besar dalam hidup saya. Tak berniat untuk meminjam RM2,000 daripada seorang rakan menyebabkan saya menanggung hutang lebih RM60,000.

"Dulu, saya selalu baca kisah mangsa diperlakukan dengan kejam oleh along, sekarang saya merasai betapa sukarnya hidup selepas dibelenggu hutang yang entah dari mana," kata warga emas, Adnan Ahmad, 67, yang dipukul sekumpulan lelaki dipercayai ceti haram, minggu lalu.


Hanya menyatakan perlu meminjam wang berkenaan untuk membayar hutang daripada seorang lelaki yang baru dikenalinya tiga minggu lalu, dia tidak tahu rangkaian along memasang 'jerat' untuk mengaut wangnya dengan kadar faedah tidak masuk akal.

Katanya, segalanya bermula Mac lalu apabila perniagaan yang diusahakan menghadapi masalah dan perlu membayar ganti rugi kepada pelanggan menyebabkan dia memerlukan wang segera.


"Saya kenal lelaki itu ketika dia datang makan di kedai saya. Menyedari saya menghadapi masalah, dia menawarkan diri untuk membantu dan meminta nombor akaun saya. Tidak lama kemudian, saya terima RM2,000 dengan janji untuk membayar balik pada kadar lebih tinggi.


"Selang dua hari, saya terima panggilan mengatakan RM1,400 dimasukkan dalam akaun saya. Saya menafikan yang saya membuat pinjaman itu namun tidak diendahkan pemanggil sebaliknya menyatakan saya perlu membayar RM2,000," katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar, semalam.

Foto

SAHARUDIN menunjukkan kesan lebam di pinggang Adnan.

Katanya, selepas itu dia menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali yang memaklumkan sejumlah wang dimasukkan menyebabkannya terpaksa menutup akaun bank bagi mengelakkan ia bertambah daripada semasa ke semasa dengan jumlah terakhir yang perlu dilunaskan melebihi RM60,000.


Derita pesara tentera itu tidak terhenti di situ apabila dia terpaksa menggadai tanah warisan keluarganya di Rembau selain sebuah rumah di Kuala Lumpur bagi menjelaskan hutang berkenaan.

"Keadaan itu menyebabkan saya tertekan. Mereka datang ke kedai dan bawa saya ke satu kawasan di Bukit Permai, Ampang sebelum mengugut serta memukul saya menggunakan kayu menyebabkan cedera di rusuk kanan.


"Bukan itu saja, rumah juga dibaling cat, malah saya yang buntu terpaksa menggadaikan barang kemas milik isteri kerana mereka sering mengugut untuk mengapa-apakan saya," katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.


Sementara itu, Ketua Jabatan siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

'Saya benar mereka tinggal di sini'

Posted: 17 May 2013 12:13 PM PDT

Gombak: "Saya tersentuh hati menyaksikan penderitaan ditanggung Siti Zawiyah sekeluarga dan tidak menyangka masih wujud wanita seperti itu.

"Untuk membantu dalam bentuk wang ringgit saya tidak mampu namun selagi saya menyewa di bangunan ini, saya benarkan mereka menetap di rumah ini," kata pemilik kedai percetakan, Amran Adenan, 35.


Demikian keikhlasan dilahirkan Amran yang tersentuh hati menyaksikan susah payah kehidupan ibu tunggal, Siti Zawiyah Ali, 43 yang hidup merempat di Jalan Gombak, di sini, dalam membesarkan tiga anaknya.

Metroplus semalam melaporkan kehidupan Siti Zawiyah diibaratkan kais pagi makan pagi kais petang makan petang kerana selepas diceraikan suaminya tanpa sebab pada 2007 dia terpaksa menanggung tiga anak yang seorang daripadanya orang kelainan upaya (OKU).


Ditinggalkan hanya RM10 selepas diceraikan, Siti Zawiyah bekerja di merata tempat bagi menanggung keluarga sebelum pada 2008 dia diserang penyakit kencing manis dan ketumbuhan di belakang leher yang memaksanya berhenti kerja.


Laporan berkata, Siti Zawiyah yang menyewa di sebuah rumah usang di Jalan Gombak dengan bayaran RM300 sebulan terpaksa meminjam beras daripada jiran kerana tiada pendapatan selain berusaha memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Amran yang bersimpati dengan keperitan Siti Zawiyah semalam terpanggil membenarkan keluarga itu tinggal di sebuah rumah di Pusat Perniagaan Medan Idaman, Batu 5, Jalan Gombak, di sini. Siti Zawiyah yang hadir ke rumah itu selepas dimaklumkan wartawan Harian Metro mengenai bantuan itu bersyukur kerana ada insan yang prihatin terhadap nasibnya.


"Saya berterima kasih kepada Encik Amran dan Harian Metro yang tidak pernah lekang membantu saya," katanya bercadang tinggal bersama tiga anaknya mulai Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Enggan kahwin lepas terlanjur

Posted: 17 May 2013 12:10 PM PDT

Ampang: Berang selepas kekasihnya enggan bertanggungjawab, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun nekad membuat laporan polis sebaik mendapati dia mengandung hasil hubungan terlarang mereka.

Difahamkan, gadis terbabit yang mengandung hampir dua bulan tidak puas hati selepas hasratnya untuk berkahwin dengan kekasih hatinya itu ditolak.


Sumber berkata, mangsa mendakwa mengenali teman lelakinya itu selepas melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya. "Selepas beberapa bulan menjalin hubungan dengan lelaki terbabit, mangsa keluar bersama pada Julai tahun lalu.

"Teman lelaki mangsa sering membawanya ke rumah sewanya di Kampung Pandan, di sini, dan mereka melakukan hubungan seks," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Pasukan khas jejak pekerja warga Indonesia

Posted: 17 May 2013 12:09 PM PDT

Miri: Polis Miri menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki sekumpulan pekerja warga Indonesia yang disyaki ada kaitan dengan kes pembunuhan dua lelaki yang mayat mereka ditemui ditanam di tapak pembinaan di Permyjaya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, pasukan khas terbabit diketuai Asisten Superintendan Soliment Nyien yang akan menggiatkan usaha memburu suspek.


Katanya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat, namun siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan kumpulan pekerja Indonesia terbabit yang menghilangkan diri beberapa hari lalu untuk membantu siasatan.

"Kami juga sudah membuat pemeriksaan di sebuah rumah pekerja di tapak binaan berkenaan, namun tidak menemui sebarang bukti termasuk senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan," katanya di sini, semalam.


Pemeriksaan awal katanya, mendapati terdapat kesan kecederaan pada kedua-dua badan mangsa yang dipercayai diserang menggunakan senjata tajam sebelum dimasukkan ke dalam guni dan ditanam di tapak pembinaan berkenaan.


Mun berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa terbabit, namun berdasarkan siasatan awal pihak polis kedua-dua mayat dipercayai warga Indonesia.

"Semuanya masih dalam siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak kontraktor tapak projek berkenaan selain perlu menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat," katanya.


Semalam, Harian Metro melaporkan tanda tanya mengenai kegagalan dua pekerja binaan warga Indonesia hadir bekerja sejak enam hari lalu, terjawab apabila mayat mereka ditemui ditanam sedalam 1.5 meter di tapak pembinaan di Permyjaya.

Mayat reput kedua-dua lelaki dipercayai bersaudara itu ditemui selepas sepasukan polis bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dibuat seorang penyelia di tapak projek itu kira-kira jam 8.30 pagi.


Dengan bantuan anjing pengesan dan jengkaut, polis berjaya mengeluarkan mayat kedua-dua lelaki terbabit yang ditanam berhampiran longkang yang sedang dalam pembinaan di tapak projek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Azfa seperti terbakar

Posted: 17 May 2013 12:07 PM PDT

Ipoh: Hati ibu mana tidak sayu melihat bayinya berusia setahun menghidap penyakit misteri yang mengakibatkan kulit tubuhnya seperti melecur terbakar selain mengelupas hingga menampakkan daging.

Noorsawal Shimah Dahari, 28, berkata, anaknya, Azfa Mohamad, mula mengalami perubahan teruk di badan yang disangkakan kudis biasa sebulan lalu.


Menurutnya, kudis aneh itu merebak ke seluruh tubuh dan semakin membesar sebelum bertukar warna menjadi hitam seperti terbakar.

"Pada mulanya, anak saya dikatakan menghidap demam campak oleh sebuah klinik swasta di Kuala Kangsar, dua bulan lalu.


"Saya sangka ia penyakit biasa yang akan sembuh dalam tempoh seminggu," katanya ketika ditemui Harian Metro di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, semalam.


Menurutnya, dia membawa anaknya ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan lanjut selepas mendapati kudis pada badan anaknya itu semakin serius.

"Namun, kudis itu semakin bertambah dan membesar menyebabkan saya memindahkan Azfa ke HRPB dengan harapan punca penyakitnya dapat dikenal pasti serta dirawat," katanya.


Noorsawal berkata, keadaan anaknya semakin kritikal apabila kudis di badannya mula membesar dan bernanah.

"Kudis itu kemudian bertukar menjadi luka besar hingga menampakkan daging dan keadaan ini membuatkan hati sayu melihat penderitaan dialami Azfa yang masih kecil," katanya.


Menurutnya, hampir seluruh tubuh insan kecil ini termasuk kaki dan tangan ditumbuhi kudis berkenaan yang gagal dikenal pasti puncanya.


"Doktor mengklasifikasikan penyakit ini sebagai sakit kulit mati bernanah atau lebih dikenali sebagai 'pyoderma gangrenosum' yang dikatakan jarang berlaku.


"Setakat ini, pihak hospital hanya mampu memberi rawatan antibiotik dan ubat tahan sakit selain turut memberi morfin bagi mengurangkan rasa sakit," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kesejahteraan Insan (Wawasan) negeri Perak Fauzi Muda berkata, perkara yang menimpa bayi itu amat menyedihkan memandangkan usianya masih kecil.


"Saya yakin penyakit dihidapi bayi itu boleh dirawat dan kita akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan beban ditanggung ibu bapa kanak-kanak itu.


"Saya berharap orang ramai yang melihat kesengsaraan dialami oleh kanak-kanak itu supaya membantu pasangan ini bagi mendapat rawatan terbaik," katanya.


Orang ramai yang prihatin boleh menghubungi Noorsawal di talian 011-24149976 bagi menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

No comments:

Post a Comment