Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayi dalam paip diselamat

Posted: 28 May 2013 10:40 AM PDT

Jinhua: Seorang bayi baru lahir diselamatkan anggota bomba selepas dia dibuang tersumbat dalam paip kumbahan di sebuah rumah di China.

Bayi berkenaan diselamatkan dari dalam paip selebar 10 sentimeter yang terletak betul-betul di bawah sebuah tandas selepas beberapa pejalan kaki mendengar dia menangis.


Polis menyiasat kes itu sebagai cubaan membunuh dan melancarkan gerakan menjejaki ibu bapanya. Rangkaian televisyen China, CCTV melaporkan, bayi itu ditemui di bawah sebuah kediaman di Jinhua, di kawasan mewah Zhejiang.

Pasukan penyelamat terpaksa memotong paip berkenaan dan membawanya bersama-sama bayi itu ke hospital berhampiran.


Doktor dengan berhati-hati memotong paip itu, kerja yang dilakukan hampir sejam, sebelum dapat menyelamatkan bayi lelaki seberat 2.3 kilogram itu.


Media China melaporkan, kanak-kanak itu yang dinamakan Bayi Nombor 59 sempena nombor inkubatornya, selamat dan stabil.

Foto

BAYI itu akhirnya diselamatkan oleh anggota bomba.

Foto

SEBAHAGIAN besar tubuh bayi sudah kelihatan.

Foto

PAIP kumbahan dipotong secara berhati-hati untuk menyelamatkan bayi di dalamnya.

Foto

ANGGOTA penyelamat cuba menarik keluar bayi, tetapi tidak berjaya.

Foto

PAIP dipecahkan sedikit demi sedikit agar bayi tidak cedera.

Rakaman video mengenai usaha menyelamat itu disiarkan di seluruh negara semalam dan mendapat ribuan ulasan menerusi Weibo, laman media sosial popular negara itu. Seorang pengguna menulis: "Saya tidak boleh menerima atau memaafkan perbuatan membuang bayi yang masih beruri dan bertali pusat ke dalam paip tandas. Adakah mereka yang bertanggungjawab layak dipanggil manusia. "Sifat kehaiwanan berbanding kemanusiaan di kalangan orang dewasa semakin meluas." Laporan mengenai bayi dibuang sering disiar media negara berkenaan. Antara punca yang dikatakan menyebabkan keadaan itu berleluasa ialah undang-undang merancang keluarga yang ketat. China melarang pasangan suami isteri mempunyai lebih daripada seorang anak. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Pelancongan Filipina rugi besar

Posted: 28 May 2013 10:25 AM PDT

Manila: Pihak berkuasa pelancongan Filipina berkata, mereka bakal kerugian AS$4.5 juta (RM13.6 juta) setiap bulan berikutan pembatalan tempahan dan penerbangan sewa khas dari Taiwan akibat pertelagahan diplomatik ekoran pembunuhan seorang nelayan negara itu.

Kebanyakan pembatalan dari pantai peranginan popular Boracay di tengah Filipina, di mana pelancong Taiwan menjadi kumpulan kedua terbesar selepas Korea Selatan. Pada 2012, lebih 90,000 rakyat Taiwan mengunjungi pulau itu.


Insiden tembakan nelayan Taiwan oleh pengawal pantai Filipina pada 9 Mei lalu mendorong kerajaan Taiwan membekukan pengambilan pekerja Filipina dan tidak menggalakkan melancong ke negara itu.

Jabatan Pelancongan berkata dalam laporan diterbitkan semalam bahawa sekurang-kurangnya 43 penerbangan dari 20 Mei hingga 30 Jun antara Taiwan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo untuk ke Boracay sudah dibatalkan.


Syarikat penerbangan murah tempatan, Zest Air Inc yang sebahagiannya di miliki AirAsia Filipina minggu lalu mengesahkan bahawa ia menggantung sementara perkhidmatan sewa khas harian antara Kalibo dan Taipei atas permintaan ejen sewa khas.


Sementara itu, Taiwan turut menghentikan perdagangan dan pertukaran sukan dengan Filipina. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Kediaman anak Muhammad Hatta dipecah masuk

Posted: 28 May 2013 10:25 AM PDT

Jakarta: Kediaman Gemala Hatta, anak perempuan bekas Naib Presiden Muhammad Hatta di Ciputat, selatan Tangerang dipecah masuk Jumaat lalu.

Gemala berkata, perompak melarikan barang kemas, wang tunai, sijil pemilikan kereta dan tanah serta jam tangan mewah bernilai AS$6,585 (RM20,029). Polis yang menerima laporan keesokan hari berkata, mereka masih memburu perompak itu.


Jurucakap polis Jakarta, Komisioner Rikwanto berkata, rompakan itu berlaku ketika kediaman terbabit kosong. "Gemala dan pembantu rumahnya mengunjungi rakan di Jakarta Barat ketika insiden itu berlaku. Sebaik tiba di rumah, dia mendapati semua barangan berharganya hilang," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Indonesia longgar sekatan import daging Australia

Posted: 28 May 2013 10:24 AM PDT

Sydney: Indonesia akan melonggarkan sekatan terhadap import daging lembu Australia ekoran perbincangan antara kedua-dua negara itu, kata menteri perdagangan Australia semalam.

Indonesia bersetuju untuk mengecualikan import daging lembu premium Australia daripada kuota, kata Craig Emerson dalam satu kenyataan. Ia juga akan membenarkan pengeksportan lembu hidup bagi memenuhi kuota untuk enam bulan terakhir tahun ini, lebih awal daripada jadual.


Langkah itu akan membantu melonjakkan industri ternakan lembu Australia yang terjejas berikutan pelaksanaan kuota oleh Indonesia, pembeli lembu hidupnya yang terbesar.

Indonesia memperkenalkan kuota ketat terhadap pengimportan daging lembu pada tahun lalu, dengan harapan untuk mempromosi pasaran domestiknya tetapi polisi itu menimbulkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga. "Ini berita baik untuk pengeluar daging lembu Australia," kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan, Joe Ludwig dalam kenyataan di e-melnya.


Jakarta juga akan mengkaji semula bekalan dan permintaan seterusnya untuk tahun ini, kata kerajaan Australia.


Indonesia dikritik oleh rakan kongsi perdagangan antarabangsa kerana ia sering menggunakan tarif import atau kuota untuk melindungi pertanian tempatan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Singapura kekal negara keempat paling dilawati

Posted: 28 May 2013 10:23 AM PDT

Singapura: Singapura dijangka mengekalkan kedudukan sebagai bandar raya keempat paling dikunjungi di dunia tahun ini, berdasarkan keputusan kaji selidik yang dikeluarkan semalam.

Menurut Indeks Bandar Raya Destinasi Dunia MasterCard 2013, negara itu berjaya menarik 11.75 juta pengunjung tahun ini, berdasarkan kepada data indeks tahun sebelumnya. Ia adalah peningkatan 2.95 juta pengunjung berbanding 2010. Singapura meraih kedudukan sama dalam senarai tahun lalu. Bangkok dijangka menjadi bandar raya paling dikunjungi tahun ini dan bakal menarik lebih 15 juta pengunjung. Ibu negara Thai itu disusuli oleh London dan Paris.


London meraih kedudukan teratas tahun lalu tetapi tahun ini 25,000 pengunjung memisahkan kedudukannya dari Bangkok. Perkhidmatan dan bayaran lebih murah menjadi sebab mengapa Bangkok berjaya mengatasi Singapura, kata Naib Presiden Pemasaran dan Perhubungan Awam CTC Travel, Alicia Seah. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Tiga pendaki Dhaulagiri maut

Posted: 28 May 2013 10:22 AM PDT

Nepal: Seorang pendaki wanita Jepun berusia 67 tahun dan seorang lelaki Sepanyol berumur 50 tahun bersama-sama jurupandu warga tempatan terbunuh di Gunung Dhaulagiri.

Chizuko Kono, Juanjo Garra serta Dawa mati Jumaat lalu ketika mendaki puncak ketujuh tertinggi dunia itu, kata penganjur.


Garra tergelincir dan patah pergelangan kaki di lereng gunung berkenaan sementara penganjur tidak dapat memastikan apa yang berlaku pada Kono dan jurupandunya.

Ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada kumpulan 21 pendaki yang dalam ekspedisi mendaki Dhaulagiri. Mereka disahkan terbunuh oleh penganjur ekspedisi semalam.


"Garra terjatuh dan patah pergelangan kaki menyebabkan dia tidak boleh berjalan. Kerana hari sudah lewat petang, usaha menyelamat tidak mungkin dilakukan. Jurupandunya, Keshab Gurung berada bersama-samanya pada malam itu. Helikopter cuba menyelamatnya keesokannya tetapi kedudukan mereka terlalu tinggi," kata penganjur, Tika Gurung Kono pula terbunuh di kedudukan kira-kira 7,000 meter bersama-sama jurupandunya. Gurung yang membantu Garra untuk sampai ke kemuncak gunung berkenaan kini dirawat di sebuah hospital di Kathmandu sementara pendaki lain selamat.


Dhaulagiri yang setinggi 8,167 meter dan sering dilanda salji runtuh mencatatkan kadar kematian yang tinggi di kalangan pendaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Daging ikan paus sirip jadi makanan anjing

Posted: 28 May 2013 10:19 AM PDT

Tokyo: Daging ikan paus sirip yang hampir pupus yang ditangkap nelayan Iceland dijual di Jepun sebagai makanan mewah anjing.

Ladang Michinoku, syarikat yang berpejabat di Tokyo menawarkan makanan daging paus sirip Atlantik Utara itu menerusi laman web syarikat dengan menyifatkannya sebagai rendah kalori, rendah lemak dan tinggi protein.


Kumpulan aktivis Jepun, IKAN berkata, menjual produk daripada spesies hampir pupus untuk diberikan kepada anjing peliharaan adalah jelas perbuatan paling teruk.

"Sebab utama mereka menjual daging paus sebagai makanan anjing ialah untuk menyasarkan penduduk Jepun yang berpengaruh yang ingin berbangga dengan kekayaaan mereka dengan cara yang berbeza," kata Pengarah Eksekutif IKAN, Nanami Kurasawa.


Laman web Michinoku yang turut menjual makanan haiwan yang dihasilkan daripada daging kuda Mongolia dan kanggaru, menawarkan tiga bungkusan daging ikan paus yang berbeza. Bungkusan paling kecil seberat 60 gram ditawarkan dengan harga RM18. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

No comments:

Post a Comment