Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ini kali FAM serius

Posted: 16 May 2013 04:33 AM PDT

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya secara serius menyatakan hasrat untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 selepas idea itu tercetus lebih dua tahun lalu.

Idea itu yang dibangkitkan menerusi kesepakatan Menteri-Menteri Asean pada awal 2011 kini mahu direalisasikan FAM menerusi kerjasama negara anggota Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).


Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, cadangan membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 itu masih di peringkat awal dan akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat pertama jawatankuasa khas yang dibentuk pada 19 Jun.

"Tempoh masih panjang untuk kita menganjurkan Piala Dunia 2034. Saya ada bercakap dengan Sepp Blatter (Presiden Fifa) mengenai bidaan ini dan mendapat gambaran bidaan itu akan dilakukan lapan tahun sebelum Piala Dunia 2034," katanya kepada pemberita pada sidang media majlis pelancaran dan menandatangani memorandum persefahaman antara FAM dan Frenz United bagi Kejohanan Piala Asean Bawah 15 Tahun semalam.


Laporan Arena Metro sebelum ini mendedahkan mengenai cadangan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman mengenai kesediaan Asean mendapatkan hak selaku tuan rumah Piala Dunia 2026 atau 2030 selepas menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawatnya di Lombok pada Januari 2011.


Malaysia menerusi FAM diberi tanggungjawab untuk menjadi penggerak utama idea itu bersama rakan negara Asean lain.

Foto

TENGKU Abdullah (tengah) berbual dengan Noor (kanan).

Namun cadangan itu mendapat reaksi pelbagai pihak dengan ada yang menganggap ia bukan mustahil cuma selain membabitkan pelaburan besar, soal berapa negara tuan rumah terbabit yang bakal mendapat slot beraksi secara automatik pada kejohanan itu menjadi antara topik utama dibincangkan.


Datuk Seri Sepp Blatter sebelum ini menyifatkan idea Asean itu sukar dilaksanakan kerana Fifa tidak berminat menerima bidaan mana-mana negara yang mahu berkongsi penganjuran Piala Dunia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002 namun Tengku Abdullah menjelaskan mereka tetap akan mengkaji konsep penganjuran bersama dalam membuat bidaan.

"Kami akan mengkaji konsep penganjuran bersama, mungkin ia membabitkan dua negara tuan rumah. Selain Malaysia mungkin ada empat atau lima lagi negara yang berminat membuat bidaan bersama," katanya.


Ketika ditanya mengenai aspek yang perlu diberikan penekanan bagi memastikan hasrat itu bukan sekadar angan-angan, Tengku Abdullah berkata, selain infrastruktur, prestasi pasukan kebangsaan perlu ditingkatkan.


"Pasukan juga penting, dulu kita mempunyai cukup kemudahan ketika menganjurkan Piala Dunia Remaja 2007 tapi tidak mempunyai pasukan yang mantap dan kali ini saya harap kita boleh membentuk pasukan yang mantap. Kita kena jadikan hasrat ini sebagai agenda nasional," kata Tengku Abdullah.


Hingga kini hak menganjurkan kejohanan paling berprestij itu pada 2026 dan 2030 belum ditentukan manakala Brazil dipilih tuan rumah 2014, Russia (2018) dan Qatar (2022).


Sejak diadakan pada 1930, hanya sekali Piala Dunia dianjurkan bersama iaitu Jepun dan Korea Selatan pada 2002 manakala bidaan Belgium-Belanda dan Sepanyol-Portugal untuk mendapatkan hak tuan rumah pada 2018 dan 2022 gagal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Cabaran Baginda Cycling

Posted: 15 May 2013 09:14 AM PDT

Putrajaya: Penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia pada 1 dan 2 Jun terus mendapat sambutan menggalakkan terutama kelab basikal termasuk ahli kelab Baginda Cycling.

Pengurus Mohd Ikhwan Sanuddin berkata, seramai 10 ahli kelab membabitkan lapan lelaki dan dua wanita bakal menyertai program anjuran Harian Metro itu. Menurutnya, Baginda Cycling tidak mahu melepaskan peluang menyertai pertandingan itu memandangkan minat mendalam terhadap sukan lasak berkenaan. "Kelab baru ditubuhkan tahun lalu dan kami mendapat keahlian di kalangan peminat sukan di sekitar Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Sungai Merab, Bangi serta Putrajaya.


"Walaupun masih baru, kami banyak menyertai acara di seluruh negara. Justeru, kami terpanggil menghantar wakil untuk menyertai acara kali ini," katanya hadir ke pejabat Harian Metro Putrajaya menyerahkan borang penyertaan, kelmarin. Putrajaya menjadi lokasi pertama acara anjuran Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) itu dan disasarkan 3,500 peserta akan menyertai acara yang bermula di Laman Presint Diplomatik, Presint 15 dan berakhir di Taman Rimba Alam, di sini.

Sirkit kedua hingga kelima berlangsung di Terengganu, Johor, Perak dan Selangor. Perlumbaan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 itu menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa dan jamboree, lebih menarik ia turut menawar pelbagai cabutan bertuah. Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa ditetapkan. Selain itu, saingan Terbuka Metro (Jamboree) terbahagi kepada empat kategori, Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer. Sementara itu, penganjur mengumumkan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 28 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Cycle X MTB harungi saingan

Posted: 15 May 2013 09:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 20 pelumba daripada Kelab Basikal Cycle X MTB Alor Gajah, Melaka mengibarkan cabaran menggegarkan trek di Putrajaya sempena sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 pada 1 dan 2 Jun ini.

Tidak meletakkan sebarang sasaran dan sekadar menambah pengalaman dalam pembabitan basikal bukit, pengerusi kelab Nazlul Farid Ramlan menjadikan aktiviti berbasikal ini sebagai riadah membabitkan ahli kelab.


Katanya, kelab yang mula berdaftar pada 2010 itu mempunyai 75 ahli dengan 35 daripadanya bergiat aktif menyertai pelbagai pertandingan seluruh negara.

"Kami tidak menetapkan sasaran. Penyertaan ini hanya suka-suka kerana kami sering terbabit dengan pertandingan terutama di sekitar negeri Melaka.


"Dengan menyertai pertandingan ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan setiap kali saya terbabit, keluarga saya akan turut sama hadir memberi sokongan," katanya. Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


Ia membabitkan lima sirkit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM220,000 selain cabutan bertuah hadiah utama sebuah motosikal jenama Damak model D Force 160cc berharga RM5,000.

Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Cyclomotion Bikesports anjur klinik basikal

Posted: 15 May 2013 09:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Mengendali basikal bukit bukan sesuatu yang mudah terutama bagi mereka yang baru berkecimpung dalam sukan itu.

Justeru untuk membangkitkan kesedaran, salah satu daripada penaja Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013, Cyclomotion Bikesports bakal menganjurkan klinik basikal secara percuma kepada semua peserta pada 1 Jun ini di lokasi perlumbaan.


Pengarah Cyclomotion Bikesports Zahari A Ghani berkata, klinik basikal itu akan bermula pada 3 petang dengan peserta diberi bimbingan serta tunjuk ajar bagaimana mengendalikan basikal bukit dengan betul.

"Peserta akan diajar perkara asas untuk mengendalikan basikal kerana perkara ini penting bagi mengelakkan kemalangan.


"Saya harap peserta menggunakan kesempatan ini untuk mempelajari ilmu berbasikal dengan lebih mendalam dan belajar daripada mereka yang lebih profesional dalam sukan ini. "Kami menyediakan pakar untuk menerangkan setiap topik agar kemusykilan dapat diperjelaskan," katanya. Antara aspek yang akan ditekankan dalam sesi pembelajaran itu adalah bagaimana mengendalikan basikal, body fitting (kesesuaian basikal), teknik seperti mengambil selekoh tajam, cara menaiki bukit dan menuruni bukit.


Dua pelumba profesional terdiri daripada Khuzairi Bakar iaitu bekas pelumba Terengganu dan Mohamad Mahayuddin akan mengendalikan klinik ini dengan peserta turut berpeluang memasuki trek untuk menjalani latihan secara praktikal. Penyertaan hanya dibuka kepada 50 peserta terawal dan sebarang pertanyaan berhubung dengan klinik ini bolehlah berhubung dengan Zahari di talian 012-3236171 atau Mahazam Zainal (019-2129321).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Kem pertama meriah

Posted: 15 May 2013 09:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Milo yang cukup sinonim dengan pembangunan sukan di peringkat akar umbi meneruskan komitmen di kalangan kanak-kanak dengan penganjuran tahun keempat berturut-turut kem sukan remaja Milo bertemakan 'Go Further'.

Tahun ini, Milo terus menganjurkan 12 kem sukan dengan memilih 12 Rukun Tetangga (KRT), sekolah dan Persatuan Penduduk tertentu di seluruh negara.


Kem pertama akan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur yang disertai 350 kanak-kanak sekolah rendah pelbagai kaum. Edisi pertama ini dirasmikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Program itu dimulakan dengan klinik sukan dengan kanak-kanak diajar kemahiran asas sukan bola sepak, bola jaring serta badminton di bawah dikendalikan jurulatih berkelayakan diikuti dengan karnival pertandingan. Gabungan KRT dan Persatuan Penduduk Alam Damai yang dipengerusikan Tukiman Radion bersama jawatankuasa bertanggungjawab menganjurkan program tahunan itu.


Pengarah Eksekutif Tenusu Nestle Products Sdn Bhd Ho Hau Chieh berkata, program 'Go Further' adalah pengorbanan Milo membudayakan nilai-nilai positif dalam jiwa kanak-kanak. "Mereka perlu disokong dengan program seperti ini supaya mampu membina sikap yang positif demi masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Prestasi Ku Amir, Syairah diiktiraf

Posted: 15 May 2013 09:12 AM PDT

Sungai Petani: Atlet SMK Tunku Ismail Ku Amir Syazwan Ku Sharif dan Syairah Malik Ar-Rashid Khor dari SMK Aman Jaya dipilih Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Muda/Yan Kali Ke-46, baru-baru ini.

Ku Amir Syazwan mengutip tiga emas selepas menjuarai acara lompat kijang, 200 meter (m) dan 400m selain turut membantu kuartet 4x400m meraih perak.


Manakala Syairah pula menggondol emas acara 100m lari berpagar dan kuartet 4x400m serta gangsa 400m.

Kedua-dua atlet itu turut memecahkan rekod kejohanan apabila Ku Amir Syazwan mencatat 51.69s dalam acara 400m berbanding 52.20s yang berusia setahun untuk peringkat MSSD.


Syairah lebih hebat selepas memadam rekod lama 100m lari berpagar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) berusia 10 tahun apabila mencatat 17.41s berbanding 18.80s.


Bagaimanapun pencapaian cemerlang individu itu gagal membantu sekolah masing-masing selepas SMK Aman Jaya hanya muncul naib juara keseluruhan kejohanan manakala SMK Tunku Ismail ketujuh.

"Selain inisiatif sendiri meningkatkan pencapaian, saya banyak dibantu guru selain sokongan dan perangsang rakan. Saya ingin menjadi pelapis produk atlet negara apabila tiba waktunya," kata Ku Amir Syazwan yang mula mewakili daerah KMY sejak 2007 dan Kedah 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Bico FC jagoan futsal MPN

Posted: 15 May 2013 09:11 AM PDT

Seremban: Pasukan Bico FC ditentang hebat sebelum menang tipis ke atas Jaya FC, 4-3 pada perlawanan akhir Kejohanan Futsal Majlis Perbandaran Nilai 2013, di Gelanggang Futsal Taman Pinggiran Senawang, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan pasukan itu menjulang trofi kejuaraan dan wang tunai RM500 manakala Jaya FC meraih RM300.


Tempat ketiga milik Senawang FC yang menewaskan Cempaka FC, 5-2 untuk masing-masing membawa pulang hadiah RM200 dan RM100.

Sebanyak 20 pasukan menyertai kejohanan anjuran Majlis Perbandaran Nilai (MPN) itu sempena perasmian Taman Kejiranan.


Yang Dipertua MPN Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, gelanggang futsal antara beberapa kemudahan awam dibina MPN di taman itu selain padang bola sepak, kawasan rekreasi, trek joging dan peralatan latihan fizikal.


"Penyediaan kemudahan itu yang membabitkan peruntukan lebih RM800,000 bertujuan memberi peluang penduduk kawasan aktif dalam aktiviti kegiatan sukan.

"Sempena pembukaan gelanggang ini, kami menganjurkan kejohanan futsal ini untuk memberi peluang kepada pasukan tempatan memperagakan aksi masing-masing memburu hadiah ditawarkan.


"Saya puas hati kerana kejohanan ini menarik penyertaan 20 pasukan dan mereka menunjukkan persembahan membanggakan," katanya.

Hadiah disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Amiruddin sahut cabaran MOM

Posted: 15 May 2013 09:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Wira Amiruddin Embi sedia menyahut cabaran mengetuai kontinjen negara ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kelmarin bersetuju memilih Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) itu sebagai Chef de Mission (CDM).

Satu-satunya nama yang dicadangkan untuk menggalas tugas berat itu, Amiruddin yakin mampu menggalas tugas diamanahkan dengan baik, terutama memastikan kontinjen negara memperoleh keputusan lebih baik berbanding edisi sebelum ini.


"Pertama sekali terima kasih kepada MOM kerana memilih dan memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai CDM.

"Ia tanggungjawab besar kerana pada temasya yang mempertandingkan pelbagai jenis sukan ini, jangkaan orang ramai pasti mahukan keputusan lebih baik berbanding sebelumnya. "Bagi saya tidak mustahil untuk kita memperoleh kutipan pingat lebih baik asalkan setiap atlet dan pegawai mempunyai semangat dan disiplin tinggi untuk mengharumkan nama negara," katanya.


Amiruddin berkata, setiap atlet negara juga perlu mencari kelemahan pada edisi sukan SEA di Indonesia dua tahun lalu supaya tidak diulangi pada saingan di Myanmar.


Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja'afar (gambar) ketika mengumumkan perlantikan Amiruddin sebagai ketua kontinjen negara kelmarin menganggap pemilihan Presiden MRU itu tepat kerana beliau berpengalaman luas dalam bidang keselamatan.

Myanmar kini berdepan pergolakan krisis perkauman membabitkan etnik Islam Rohingya dan penganut Buddha.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Zulfahmi harap jentera lebih lancar, pantas

Posted: 15 May 2013 09:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengharapkan pakej jentera lebih pantas pada sesi latihan bebas dan kelayakan di Grand Prix Le Mans, Perancis bagi membolehkannya terus konsisten meraih mata.

Selepas tiga pusingan, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu masih tidak mampu memecah kelompok hadapan kerana gagal mendapatkan petak permulaan terbaik pada pusingan kelayakan.


Tidak hairanlah jika pelumba yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo itu mahukan pakej jentera lebih konsisten iaitu pantas pada sesi latihan bebas, kelayakan dan perlumbaan sebenar.

"Kami perlu mendapatkan keputusan terbaik pada sesi latihan dan kelayakan dalam usaha meraih kedudukan lebih baik pada saingan sebenar.


"Sama-sama kita saksikan sama ada kami lebih bertuah kali ini dan berharap faktor cuaca juga membantu kami," katanya.


Selepas tiga pusingan, Zulfahmi menduduki tempat kelima keseluruhan dengan mengumpul 28 mata.

"Le Mans antara litar istimewa kerana ia tidak memiliki banyak selekoh dan sudah pasti saingan antara pelumba sengit."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Mahafizatul intai emas 100m

Posted: 15 May 2013 09:05 AM PDT

Kuantan: Atlet kebangsaan Mahafizatul Abdul Manaf (gambar) meletakkan harapan merangkul pingat emas acara 100 meter perempuan Bawah 18 Tahun pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Pencapaian terbaik dengan memecah rekod kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) bulan lalu dengan catatan 12.28 saat memberi kelebihan kepadanya untuk membantu tuan rumah melakar kejayaan membanggakan pada temasya kali ini.


Selain 100m, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu turut beraksi dalam acara 200m dan 4x100m sekali gus membuka peluang kepadanya meraih kejayaan terbaik di gelanggang sendiri.

Mahafizatul berkata, selepas membuat persiapan rapi sejak awal tahun, dia yakin emas yang dicari bakal diperoleh.


"Selain emas 100m, saya juga menaruh harapan acara 200m dan 4x100m sebagai tambahan sasaran pungutan pingat pada MSSM kali ini.


"Saya memulakan cabaran dalam acara 100m pada hari pertama kejohanan, walaupun kali pertama berlari pada waktu malam namun itu bukan penghalang untuk memberikan aksi terbaik membantu kontinjen Pahang," katanya yang dilatih jurulatih Alias Sali.

Mahafizatul berkata, walaupun sasaran 15 pingat emas oleh kontinjen Pahang dilihat tinggi namun sebagai atlet, dia dan rakan lain akan berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran.


Katanya, sokongan peminat olahraga tempatan pasti meningkatkan lagi semangat semua atlet.

"Saya harap kejayaan pada MSSP bulan lalu diteruskan pada MSSM kali ini, justeru baki masa yang ada ini akan digunakan sepenuhnya untuk membaiki kelemahan. Malah aksi di gelanggang sendiri diharap membawa tuah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

No comments:

Post a Comment