Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mati nak pulang kunci kereta abang

Posted: 19 May 2013 10:10 AM PDT

Melaka: Hasrat seorang buruh kontrak warga Indonesia pulang bercuti ke tanah air bersama isterinya yang hamil minggu depan, berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Jalan Bachang-Kampung Pasir Puteh, di sini, awal pagi semalam.

Lebih memilukan apabila kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Marhawi Suliman, 30-an, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda menuju Hospital Melaka (HM) untuk memulangkan kunci kereta abangnya, Syamsul, 38.


Ia berikutan mangsa sebelum itu terambil kunci berkenaan ketika menziarah kakak iparnya, Jacyah Jari, 32, yang baru melahirkan anak keempat di hospital berkenaan.

Difahamkan, sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa yang berpatah semula dari rumahnya di Kampung Pasir Puteh bersendirian itu bagaimanapun hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.


Keadaan itu kemudian dipercayai menyebabkan sebuah kereta Proton Persona dipandu wanita berusia 30-an gagal mengelak lalu berlanggar dengan motosikal mangsa yang terseret 10 meter.


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian cedera teruk di badan dan kepala termasuk kaki kanannya yang terputus manakala pemandu kereta cedera ringan. Ketika kejadian, seorang penunggang motosikal Modenas Kriss yang berada di lokasi kejadian melepaskan pegangannya bagi mengelak berlaku perlanggaran mengakibatkan motosikal itu terperosok di belakang kereta terbabit.

Foto

KEADAAN kereta dan motosikal yang terbabit kemalangan.

Menurut Syamsul, adiknya itu dilihat kali terakhir ketika mereka berbual dan minum bersama di HM, jam 12 tengah malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Tunggu 8 pagi dapat 4 petang

Posted: 19 May 2013 10:01 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kes tipu meter tak mungkin berlaku kerana kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekod setiap pergerakan kami walaupun ada pemandu teksi bandar yang hanya mendapat seorang penumpang selepas lapan jam menunggu," kata Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang) Mohamed Asharaf Yasin.

Mohamed berkata, pelaksanaan Sistem Teksi Dua Tingkat yang membenarkan teksi bandar beroperasi di aras satu bangunan terminal utama KLIA sejak Rabu lalu disambut baik persatuan itu yang mempunyai 700 ahli.


Bagaimanapun, katanya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepatutnya perlu membincangkan perkara itu dengan teliti bersama pihak terbabit sebelum membuat keputusan.

"Hari ini (semalam) saja, saya sudah dapat tiga aduan daripada pemandu teksi bandar yang mendakwa keutamaan diberikan kepada teksi limosin, malah ada seorang pemandu memaklumkan saya, dia hanya dapat penumpang pada jam 4 petang sedangkan sudah menunggu sejak jam 8 pagi.


"Kalau nak kata kami tipu meter pun tidak mungkin kerana penumpang yang mahu menggunakan pengangkutan teksi bandar perlu membeli kupon berharga RM2 di kaunter khas disediakan yang turut memantau harga perjalanan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau mengulas langkah SPAD baru-baru ini yang membenarkan pengangkutan teksi bandar beroperasi di aras satu bangunan terminal utama KLIA, manakala limosin di aras tiga bermula Rabu lalu.

Pelaksanaan Sistem Teksi Dua Tingkat itu juga bertujuan memendekkan tempoh menunggu teksi bagi penumpang daripada sejam kepada 10 minit pada waktu biasa, mengurangkan masalah ulat di KLIA dan memberi peluang penumpang memilih jenis teksi dikehendaki.


Bagi mengatasi masalah itu, Mohamed mencadangkan SPAD membenarkan pemandu teksi bajet daripada Kuala Lumpur mengambil penumpang yang mahu ke ibu negara.

"Ia dapat mengelakkan kerugian pemandu teksi bandar kerana perjalanan penumpang sehala dengan destinasi mereka berbanding dari KLIA ke Subang Jaya atau Seremban yang tambangnya jika mengikut meter lebih murah.


"Jika ini dapat dilaksanakan, baru objektif utama dapat dicapai iaitu memudahkan orang ramai dan pada masa sama membela nasib pemandu teksi berbanding peraturan sebelum ini yang hanya membenarkan teksi limosin membawa penumpang ke semua destinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

Modal RM10,000 'bekal pakaian tadika' lebur

Posted: 19 May 2013 10:00 AM PDT

Petaling Jaya: Seorang pengurus syarikat kerugian RM10,000 selepas terpedaya dengan helah seorang rakan kononnya wang itu digunakan untuk mendapatkan kontrak membekal peralatan dan pakaian tadika untuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurut sumber, mangsa yang berusia 44 tahun mendakwa rakannya itu menceritakan dia mendapat kontrak membekal peralatan berkenaan, namun tidak mempunyai modal cukup sebelum mempelawa mangsa sebagai rakan kongsi pada Disember tahun lalu.


"Mangsa tertarik dengan tawaran itu dan berminat menjadi rakan kongsi selepas dijanjikan sedikit keuntungan.

"Mangsa diminta mengeluarkan modal untuk membeli peralatan berkenaan sebanyak 70 peratus daripada harga ditawarkan," katanya.


Katanya, rakan mangsa mendakwa dia menguruskan pembelian peralatan itu sebelum mangsa menyerahkan wang tunai secara ansuran sebanyak lapan kali dan diberikan resit dengan cop MBPJ.


"Kali terakhir wang diserahkan pada Januari lalu dan selepas tiga bulan, mangsa ke pejabat MBPJ untuk bertanyakan mengenai bayaran balik kontrak itu.

"Namun, MBPJ mendakwa tidak pernah menawarkan kontrak sedemikian, malah cop pada resit juga bukan milik pihak berkuasa tempatan itu," katanya.


Sumber itu berkata, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu cuba menghubungi rakannya, tetapi gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

4 terkorban dirempuh kereta rosak brek

Posted: 19 May 2013 09:58 AM PDT

Ampang: Empat bersaudara termasuk sepasang suami isteri terbunuh dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal berhampiran susur Ukay Perdana di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2), di sini, semalam.

Kejadian jam 5.30 petang itu bermula apabila sebuah kereta Proton Satria dari Bukit Antarabangsa menghala Kuala Lumpur mengalami kerosakan brek ketika menuruni bukit menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kereta itu terbabas merempuh pembahagi jalan dengan merentangi Jalan MRR2 lalu memasuki ke laluan bertentangan menghala Gombak.

"Kereta berkenaan turut merempuh sebuah Perodua Viva dan sebuah motosikal di laluan menghala Gombak. Sebuah kereta Suzuki Swift dari arah belakang juga gagal mengelak lalu merempuh pembahagi jalan sebelum berpusing.


"Akibat kemalangan itu, dua lelaki dan dua wanita iaitu pemandu Perodua Viva dan tiga penumpangnya tersepit di tempat duduk masing-masing akibat rempuhan kuat berkenaan," katanya.


Menurutnya, keempat-empat mangsa yang tersepit mati di tempat kejadian sebelum sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian dan membantu mengeluarkan semua mangsa.

"Penunggang motosikal yang cedera itu dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, semalam.


Amiruddin berkata, usaha mengeluarkan keempat-empat mangsa mengambil masa lebih sejam berikutan hujan lebat, malah polis terpaksa mengawal lalu lintas yang mengalami kesesakan lebih 20 kilometer dari kedua-dua hala.

Beliau berkata, semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Mangsa yang terbunuh ialah pemandu Perodua Viva, Hasbullah Abdul Ghani, 26; isterinya, Nurul Intan Syahida, 22, serta dua sepupu Nurul Intan Syahida iaitu Tengku Ahmad Faiz Tengku Muhamad, 28, dan Asma Ismail, 22. Semua mangsa yang berasal dari Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

'Usah berhenti kerana ugutan'

Posted: 19 May 2013 09:52 AM PDT

Kuala Lumpur: "Ini adalah asam garam bergelar pendakwah. Jangan kerana desakan dan ugutan, kita mahu berhenti berdakwah... yakinlah masih ramai masyarakat di luar sana masih mahu mendengar kata-kata kita.

"Ucapan biarpun sedikit, mampu membuatkan orang berubah sikap," kata pendakwah bebas, Datuk Dr Mashitah Ibrahim ketika diminta mengulas hasrat Mohd Kazim Elias al-Hafiz atau Ustaz Kazim, 41, berhenti berceramah selepas menerima ugutan bunuh. Beliau berkata, penceramah seperti Ustaz Kazim akan menghadapi liku perjalanan hidup mencabar seperti pernah ditempuh Rasulullah SAW ketika menyebarkan syiar Islam. Menurutnya, ia termasuk menerima cacian, tohmahan, diaib dan didedahkan kelemahan oleh pihak yang tidak berpuas hati atau tidak bersetuju dengan pandangan mereka. "Berdasarkan pengalaman saya yang hampir 20 tahun bergelar pendakwah bebas, bukan saja ugutan dan tohmahan, malah ada yang melonggokkan sampah di depan pintu pejabat saya. "Ketika di universiti, ada pihak mempersoalkan berapa banyak yang saya dapat daripada berceramah kerana mereka menyangka saya mengumpul kekayaan daripada aktiviti berdakwah. "Apa yang penting, kita perlu ingat dalam al-Quran ada menyebut antara sifat perlu ada pada pendakwah adalah tidak perlu takut ditohmah dan disakiti orang. "Kita kena ingat, Rasulullah SAW pun pernah ada yang meletakkan racun dalam makanannya. Yakinlah, kerja kita lakukan ini adalah kerana Allah SWT," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam. Harian Metro kelmarin melaporkan, Ustaz Kazim menyatakan hasrat mahu berhenti berceramah pada 28 November ini selepas menerima ugutan bunuh dan pukul menerusi Facebook.


Beliau yang juga pengasas Pusat Pendidikan al-Barakah bertekad tidak mahu menerima undangan ceramah dalam keadaan kecewa dituduh 'Ustaz Politik'.

Penceramah yang sudah hampir 23 tahun berceramah itu akan memberi tumpuan kepada pusat pengajiannya di Kampung Manjoi, Perak. Lebih mengecewakan, dua anaknya menanggung malu apabila ada dalam kalangan rakan menggelar mereka sebagai anak 'Ustaz Dajjal', 'Ustaz Freemason' dan 'Ustaz Sampul'.


Menurutnya, sepanjang 23 tahun berceramah, orang politik tidak berhenti memfitnahnya walaupun beliau sepanjang masa berusaha menegakkan Islam. Mengulas lanjut, Dr Mashitah berkata, Ustaz Kazim perlu sentiasa berhati-hati, tetapi pada masa sama perlu membuat laporan polis bagi melindungi keselamatan keluarganya. "Kita tidak boleh pasrah dan berserah kepada Allah SWT tanpa mengambil sebarang tindakan. Kita tidak boleh menjangka apa manusia yang sakit hati boleh lakukan," katanya. Dalam pada itu, beliau turut menyarankan masyarakat menyatakan sokongan kepada Ustaz Kazim jika bersetuju dan menghormati kerja dakwah dilakukan lelaki itu selama ini. "Saya yakin golongan tidak berpuas hati ini adalah minoriti. Bagi majoriti menyokong, mereka perlu bersuara dan mempertahankan pandangan pendakwah. "Sekurang-kurangnya sokongan ini akan membuatkan golongan pendakwah lebih bersemangat terus memperjuangkan Islam," katanya sambil mengakui Ustaz Kazim memiliki keunikan menarik golongan muda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

No comments:

Post a Comment