Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Stesen kereta api termewah

Posted: 20 May 2013 09:24 AM PDT

Riyadh: Pengguna kereta api bawah tanah London sudah pasti cemburu dengan gambar ini yang tidak lama lagi akan menjadi sistem kereta api antara bandar paling mewah di dunia.

Kelihatan lebih seperti berada di dalam hotel lima bintang, rangkaian yang dicadangkan di Riyadh, Arab Saudi itu akan mempunyai rekaan zaman angkasa dengan tempat laluan bermarmar, dinding bersalut emas dan berhawa dingin sepenuhnya.

Kawasan berkenaan akan direka untuk membolehkan cahaya memasukinya tetapi pada masa sama menghalang haba panas dari pancaran matahari.

Dalam pada itu, keseluruhan reka bentuknya bertujuan untuk mengingatkan mengenai bukit pasir yang membentuk muka bumi negara itu.

Foto

REKA bentuk stesen itu akan membenarkan kemasukan sinaran matahari, tetapi penghawa dingin membolehkan pengguna merasa sejuk.

Foto

RUANG pejalan kaki yang bermarmar membenarkan pengguna bergerak dengan selesa.


Lebih mengagumkan, rangkaian enam landasan berkenaan diarah untuk disiapkan oleh Raja Abdullah dalam masa hanya empat tahun.


Tempoh itu sama dengan masa yang diambil untuk mengubah suai hanya sebuah stesen di New York.

Apa yang akan lebih mengecewakan pengguna kereta api di London ialah ciri utama sistem baru, sebuah persimpangan bertingkat tiga hala di stesen paling sibuk di Riyadh itu direka oleh arkitek warga Britain, Zaha Hadid yang menjadi tunggak di sebalik perkembangan projek pembangunan di seluruh dunia.

Pereka yang berpangkalan di London itu dan mempunyai darah keturunan Iraq adalah orang bertanggung jawab di sebalik pembangunan di Dataran Hoxton dan Eaton Place, di London selain projek antarabangsa lain, termasuk di bandar raya New York, Singapura dan Dubai. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Pesara maut dibaham, dipijak keldai

Posted: 20 May 2013 09:09 AM PDT

Magyarszecsod (Hungary): Seorang pesara jatuh selepas diheret dari skuternya sebelum dibaham hingga mati oleh sepasang keldai.

Sandor Horvath, 65, digigit dan dipijak begitu teruk oleh haiwan berkenaan sehingga kelihatan seolah-olah mayatnya dirobek oleh sekumpulan serigala.

Mangsa dikejar dan serang ketika dalam perjalanan untuk melawat rakannya di Magyarszecsod, Hungary.

Rakannya kemudian menemui mayat mangsa dan memaklumkan kepada polis dengan menyangka sahabatnya itu diserang oleh anjing liar.


Bagaimanapun, hasil bedah siasat menunjukkan Horvath menjadi mangsa serangan keldai.


Polis yang mengumpulkan bukti berkata, haiwan itu mengejar pesara terbabit, mengheretnya dari skuter yang ditunggangnya sebelum membunuhnya.

Anak mangsa, Csikos Darda berkata: "Saya menyedari keldai berkenaan semakin agresif dan meminta bapa bertindak sesuatu.

"Bagaimanapun, dia kata, keldai berkenaan tidak akan mengganggunya."
Seorang veterinar memberitahu akhbar tempatan: "Keldai biasanya tidak agresif terhadap manusia.

"Mereka mungkin bertindak demikian kerana menyangka mangsa menceroboh wilayah mereka," katanya.

Haiwan berkenaan kemudian ditembak mati oleh pihak berkuasa.

Seorang jurucakap polis berkata: "Kita tidak boleh membiarkan mereka berkeliaran untuk membunuh orang. Membunuh mereka adalah cara terbaik untuk semua orang." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Nahas belon udara: 2 warga Brazil mati

Posted: 20 May 2013 09:07 AM PDT

Ankara: Sebuah belon udara panas berlanggar dengan sebuah lagi belon lain di udara di kawasan pembentukan batu gunung berapi di Turki dan terhempas ke bawah semalam, membunuh dua pelancong Brazil dan mencederakan 23 lagi yang berada di atasnya, kata pihak berkuasa.

Nahas itu berlaku di atas wilayah tengah Cappadocia apabila belon yang sedang naik berlanggar dengan bakul rotan belon lain yang berada di atasnya, menyebabkan fabrik belon terbabit koyak sebelum ia jatuh ke bawah.

Nahas itu yang kedua menyebabkan kematian di Cappadocia sejak ia mula beroperasi sedekad lalu - menimbulkan persoalan mengenai keselamatan belon udara dan agensi penerbangan awam Turki berkata, pihaknya telah melancarkan soal siasat terhadap nahas itu.

Berikutan pelancongan sedemikian menjadi bertambah popular, timbul soalan sama ada terlalu banyak belon yang dilancarkan pada masa yang sama di Cappadocia.


Pada 2009, seorang pelancong Britain terbunuh dan sembilan lagi cedera apabila dua belon turut berlanggar.


Penumpang yang berada di dalam belon yang terhempas kebanyakannya dari Brazil, Argentina dan Sepanyol, menurut gabenor wilayah Nevsehir, Abdurrahman Savas. Ramai yang patah tulang dan dirawat di hospital sekitar Nevsehir.

Seorang pelancong Kanada yang menetap di Amerika yang menyaksikan nahas itu dari belon lain berkata, kemalangan berlaku kira-kira 45 minit selepas sebanyak 100 belon berlepas pada kunjungan awal pagi.

"Kami mendengar perbualan di radio dan kami tahu sesuatu sudah berlaku. Terdapat transmisi kecemasan: "Lepaskan payung terjun kamu! Lepaskan payung terjun kamu!," kata Ross yang belon dinaiki berada kira-kira 200 meter dari belon yang terhempas.

"Ia mungkin berada 300 meter di udara dan ia terjunam dengan laju ke bumi," katanya dalam wawancara melalui telefon.

"Terdapat koyakan besar di fabrik belon itu, mungkin 10 hingga 15 meter panjang," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Panggilan 'haram' dari Gunung Everest

Posted: 20 May 2013 09:06 AM PDT

Kathmandu: Wawancara seorang pendaki gunung Britain bersama Badan Penyiaran Britain (BBC) menerusi telefon pintarnya dari puncak Gunung Everest mencetuskan kontroversi apabila kerajaan Nepal mendakwa panggilan itu "haram", kata pihak berkuasa semalam.

Pendaki gunung Britain, Daniel Hughes membuat wawancara video secara langsung kepada BBC menerusi telefon pintarnya dari puncak setinggi 8,848 meter itu pada pagi kelmarin.


"Ini adalah panggilan video secara langung pertama di dunia yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dari puncak dunia," katanya sambil bernafas dengan sukar melalui topeng oksigen dan memakai hidung merah badut untuk kebajikan.

"Saya tidak mempunyai kamera bersama saya. Inilah saya dengan galah, telefon pintar HTC...dan sudah tentu hidung merah saya. Ini adalah detik yang membanggakan untuk berada di sini selepas dua tahun setengah," katanya. Gunung itu mempunyai liputan telefon bimbit sejak beberapa tahun lalu.


Tetapi Setiausaha Bersama Kemeneterian Pelancongan Nepal, Purnachandra Bhattarai memberitahu media, Hughes telah melanggar undang-undang kerana tidak meminta izin kerajaannya untuk bersiaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Kilang bahan letupan meletup: 5 maut, 20 hilang

Posted: 20 May 2013 09:05 AM PDT

Beijing: Satu letupan kuat semalam melanda kilang bahan letupan di timur China, membunuh lima orang dan menyebabkan 20 lagi hilang, lapor media kerajaan.

Tugas menyelamat diteruskan di tempat kejadian dalam letupan waktu pagi di bandar Caofan di wilayah Shandong itu, lapor agensi berita Xinhua. Laman web syarikat itu berkata, kilang yang dioperasikan kumpulan Baoli itu menghasilkan 10,000 tan bahan letupan industri setiap tahun.

Sejumlah 34 orang berada dalam kilang itu ketika kejadian dan hanya 14 daripada mereka ditemui setakat ini, termasuk mereka yang maut, lapor Xinhua. Punca letupan dan keadaan sembilan yang terselamat tidak diketahui.

Jurucakap kerajaan di bandar Zhangqiu berkata, jumlah penuh mereka yang terkorban dan cedera masih dikumpul dan akan dikeluarkan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Amerika diserang puting beliung

Posted: 20 May 2013 09:04 AM PDT

Washington: Sistem ribut yang berkuasa kelmarin mengeluarkan amaran di seluruh negeri midwest di Amerika Syarikat, mengesan kehadiran puting beliung di Kansas, Oklahoma dan Iowa, memusnahkan kediaman dan membunuh sekurang-kurangnya seorang, lapor media AS.

Awan hitam puting beliung dilaporkan kelihatan di dan dekat bandar termasuk Edmond dan Shawnee di Oklahoma.


Di Shawnee, puting beliung melanda sekumpulan rumah mudah alih, lapor televisyen CBS. Dilaporkan sekurang-kurangnya seorang maut di Shawnee, kata televisyen Fox.

Pihak berkuasa meletakkan beberapa daerah di Kansas, Nebraska, Iowa, Oklahoma, Minnesota, Wisconsin, Illinois dan Missouri dalam keadaan berjaga-jaga dengan amaran puting beliung sepanjang hari. Di Kansas, puting beliung dikesan dekat Lapangan Terbang Wichita dan di Iowa ia melanda barat Des Moines, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.


Khamis lalu, 10 puting beliung melanda Texas membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan puluhan yang lain apabila ia memusnahkan kediaman dan tiang elektrik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Remaja Filipina miliki 40 nama

Posted: 20 May 2013 09:04 AM PDT

Bandar raya Baguio: Seorang bakal pelajar senior sekolah tinggi, Ratziel minggu ini akan mendaftar di Sekolah Tinggi Nasional Bandaraya Urdaneta di Pangasinan dan dia perlu menulis nama penuhnya yang mengandungi 40 nama, selain nama keluarganya.

Kelihatannya memang hebat kerana Ratziel, 15, dilahirkan sebagai Ratziel Timshel Ismail Zerubbabel Zabud Zimry Pike Blavatsky Philo Judaeus Polidorus Isurenus Morya Nylghara Rakoczy Kuthumi Krishnamurti Ashram Jerram Akasha Aum Ultimus Rufinorum Jancsi Janko Diamond Hu Ziv Zane Zeke Wakeman Wye Muo Teletai Chohkmah Nesethrah Mercavah Nigel Seven Morningstar A San Juan CCCII.

Abangnya, Ramuel, 21, turut mendaftar di Universiti Filipina (UP) Baguio sebagai pelajar tahun dua. Dia juga menarik perhatian kerana mempunyai 20 nama.

Ramuel yang juga pelajar Biologi mempunyai nama penuh sebagai Ramuel Spirituel Mattathiah Obadiah Darius Desiderius Abner Macaire Nowell Asa Izzy Zoon Politikon Trigg Gruffydd Keen Kemp Knowles Bonifacio Makabayan A San Juan.


Kakak dua beradik itu, Ramille Lewisse, 25, yang mempunyai firma perunding rekabentuk laman web di Metro Manila, juga tidak ketinggalan. Dia berjaya membina karier tetapi hanya beberapa orang saja yang mengetahui dia mempunyai 20 nama Ramille Lewisse Marion To Kalon Zoe Vera Natalia Nadezna Zora Hosea Pro Patria Berenice Clotilda Currente Calamo Naomi Nahum Mehetabel A San Juan.


Huruf A yang terdapat pada nama tiga beradik itu mewakili nama keluarga ibu mereka - Agustin.

Latihan mental yang diperlukan bagi membantu setiap beradik itu mengingat nama mereka dalam susunan yang betul dan dieja dengan betul dilakukan oleh ibu mereka. - Philippines Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Remaja minta diselamatkan dari rumah pelacuran melalui Facebook

Posted: 20 May 2013 09:02 AM PDT

Bangkok: Polis semalam mendakwa mereka dalam usaha mendapatkan waran tangkap ke atas ibu saudara remaja perempuan berusia 17 tahun yang diselamatkan dari rumah pelacuran di Seoul selepas mangsa memuat naik mesej meminta tolong di laman Facebook miliknya.

Divisyen Anti Penyeludupan Manusia memohon waran tangkap daripada mahkamah jenayah untuk menahan Piengjai Phuplado, 43, ibu saudara kepada remaja yang terjebak dalam sindiket pemerdagangan orang di Korea Selatan, kata pegawai polis, Kolonel Chusak Apaisak.

Menurutnya, polis yakin mereka mempunyai bukti bagi menyokong permohonan waran tangkap itu.

Piengjai dipercayai berada di Korea Selatan menjalankan rumah urut Thai di sana.

- Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Wanita rugi RM19,000 ditipu 'pegawai kedutaan AS'

Posted: 20 May 2013 09:01 AM PDT

Bangkok: Seorang wanita di Samut Prakan memberitahu polis dia diperdaya oleh seseorang yang ditemuinya di Facebook dan mendakwa dirinya lelaki dari Australia.

Dia ditipu kerana menyerahkan 190,000 baht (RM19,223) selepas lelaki terbabit berjanji untuk berkahwin dengannya.

Nawaporn Chaiaumporn, 35, kakitangan pejabat di Samut Prakan memfailkan aduan itu di Divisyen Pengawalan Jenayah (CSD) semalam.

Nawaporn berkata, pada 14 Mei lalu, seorang rakan sekerja memintanya berhubung dengan orang asing di Facebook dalam bahasa Inggeris. Lelaki terbabit memperkenalkan dirinya di profil Facebook sebagai warga Australia bernama Frank Franklin.


Polis diberitahu bahawa lelaki itu menghantar foto kepada mangsa dan mendakwa bekerja sebagai pegawai di kedutaan Amerika Syarikat (AS). Dia juga mengatakan tertarik dengan mangsa dan ingin berkahwin dengannya.


"Franklin" berkata, dia akan memberi AS$300,000 (RM904,208) dan barangan berharga lain termasuk telefon pintar serta rantai emas kepada mangsa.

Dua hari kemudian, Nawaporn menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa memperkenalkan dirinya sebagai Tidawan Kongchan yang dirinya sebagai pekerja di syarikat penghantaran. Dia memberitahunya bahawa ada bungkusan dialamatkan kepada Nawaporn dari negara lain. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Video lelaki tampar rakan sepejabat cetus kemarahan

Posted: 20 May 2013 09:00 AM PDT

Singapura: Satu rakaman video sensasi yang menunjukkan seorang pekerja pejabat ditampar berulang kali oleh rakan sekerjanya yang lebih tua sudah dibuang dari YouTube, di mana ia dimuat naik kali pertama Jumaat lalu.

Video yang dirakam oleh kakitangan pelatih di sebuah syarikat tempatan itu mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna Internet.


Dalam video itu, seorang kakitangan lelaki tua dilihat memukul kepala seorang pekerja lain. Seorang rakan sekerja memujuknya agar bertenang tetapi dia terus menampar muka pemuda itu sebanyak tiga kali.

Mangsa hanya mendiamkan diri sepanjang diperlakukan demikian.


Sesetengah pengguna Internet yang skeptikal menyatakan tidak wajar untuk seseorang hanya mendiamkan diri ketika diserang.


Walau bagaimanapun, ramai yang terkejut dengan betapa kuatnya tamparan itu. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20

No comments:

Post a Comment