Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hotel angkasa pertama di dunia

Posted: 27 May 2013 09:40 AM PDT

Abu Dhabi: Timur Tengah bakal menjadi pusat hotel konsep baru yang membawa perubahan besar kepada industri pelancongan dengan pengenalan Hotel Angkasa.

Dubai, Abu Dhabi dan Doha adalah tiga bandar raya yang berpotensi menempatkan Hotel Angkasa pertama di rantau itu.


Syarikat Mobilona Space Hotels yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, konsep yang dibawa mereka adalah mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Jerome Bottari berkata, pengunjung akan melalui pengalaman luar biasa kerana berpeluang meneroka galaksi tanpa perlu meninggalkan bumi.


"Kami menerima cadangan pembinaan Hotel Angkasa di Doha, Abu Dhabi dan Dubai," katanya. Minggu lalu Mobilona Space Hotels mengumumkan rancangan mereka membina Hotel Angkasa Mobilona setinggi 300 meter dan dilengkapi spa bebas graviti.


Syarikat itu berkata, hotel berkenaan juga dilengkapi terowong angin di pulau buatan manusia di luar pantai Barcelona. Kata Bottari, syarikatnya merancang membuat pelaburan bernilai 1.5 bilion euro (RM5.9 bilion) untuk pembangunan projek Pulau Barcelona serta membina lebih 2,000 bilik hotel serta kediaman mewah di situ.

Foto

REKA bentuk Hotel Angkasa di Pulau Barcelona mengikut gambaran artis.

"Hotel Angkasa juga akan dibina di Los Angeles dan Hong Kong," katanya. Menurut Bottari, pengumuman mengenai projek itu di Timur Tengah akan dibuat selepas pembinaan Pulau Barcelona bermula tidak lama lagi.


Katanya, bangunan yang dirancang itu dibina dengan gabungan reka bentuk dan teknologi terkini bagi membentuk suasana sesuatu tempat di dunia atau di cakerawala.

"Tingkap Hotel Angkasa diperbuat daripada kaca lutsinar yang boleh bertukar menjadi lampu bagi menghasilkan persekitaran seperti di angkasa lepas," katanya.


Menurut Bottari, apabila penghuni mahu 'kembali' daripada pengembaraan itu, mereka hanya perlu menekan suis untuk memadamkan lampu berkenaan.


Lebih menarik, bilik itu juga dilengkapi permukaan unik bagi menghasilkan paparan sebaik mungkin walaupun ia dilihat dari sebarang arah. "Kami menggabungkan pengalaman visual bagi merangsang semua lima panca indera pengunjung menikmati dunia di sekitar mereka, mendengar bunyi, menghidu bau-bauan kegemaran, menyentuh objek dan merasa sendiri apa yang diinginkan," katanya. Apabila siap, suite hotel dan kediaman mewah itu akan dijual pada harga antara RM1.9 juta hingga RM10.2 juta, manakala penthouse bernilai daripada RM15.3 juta sehingga RM78.4 juta Jika anda ingin menginap di hotel itu, kadar sewaan biliknya adalah antara RM1,175 hingga lebih RM 5,800 satu malam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

Telefon Galaxy S4 mini terdedah di Internet

Posted: 27 May 2013 09:35 AM PDT

Seoul: Secara tidak sengaja, Samsung mendedahkan butiran telefon pintar Galaxy S4 versi mini di laman sesawang syarikat gergasi alat telekomunikasi itu, semalam.

Melalui paparan itu, Samsung mempamerkan telefon berkenaan sebagai pilihan di kedai dalam taliannya. Telefon bimbit itu dijangka diumumkan secara rasmi pada Julai ini dan dilengkapi skrin 4.3 inci bagi mengatasi rungutan pengguna model sebelum ini yang menganggap skrin 5 inci terlalu besar.


Bagaimanapun, paparan itu hanya dapat dilihat seketika sebelum dipadamkan.

Samsung juga enggan memberikan sebarang kenyataan mengenainya. Awal bulan ini, pengguna misteri di Weibo cuba menggunakan identiti PunkPanda - membocorkan gambar produk Samsung S4 mini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

Trak dibom gerila: 7 polis maut

Posted: 27 May 2013 09:33 AM PDT

Manila: Gerila komunis meletupkan sebutir bom dan melepaskan tembakan ke arah sebuah trak membawa polis di utara Filipina semalam, menyebabkan tujuh daripada mereka maut dan tujuh lagi cedera.

Anggota polis elit Pasukan Tindakan Khas itu dalam perjalanan ke sebuah hospital untuk pemeriksaan perubatan rutin apabila pemberontak - yang menyorok dalam belukar di laluan berkenaan - meletupkan bom dan menembak kenderaan terbabit.


Ketua polis tempatan, Rodrigo de Gracia ketika ditemui media semalam, berkata, sebaik saja diserang, polis elit terbabit membalas tembakan tetapi gagal bertahan kerana jumlah gerila yang ramai.

"Pemberontak terbabit kemudian melarikan diri bersama senjata polis yang dibunuh," katanya ketika ditemui. Serangan gerila sebegitu memang biasa dilakukan pemberontak Marxist sepanjang tempoh 44 tahun lalu dan menyebabkan kematian kira-kira 120,000 orang. Selain menghadapi tentangan komunis, kekuatan pasukan keselamatan Filipina dikekang oleh kempen antimilitan Islam di selatan Filipina.


Sabtu lalu, gerila Abu Sayyaf menembak mati tujuh anggota marin Filipina dalam pertempuran di Pulau Jolo dalam operasi kerajaan untuk menyelamatkan enam tebusan warga asing dan tempatan. Baru-baru ini kerajaan menggantung rundingan damai diusahakan Norway selepas pemberontak komunis menolak cadangan gencatan senjata serta-merta. De Garcia berkata, tujuh anggota polis elit itu berjaya melarikan diri dan diselamatkan tentera kerajaan di Hospital Perbandaran Ballesteros, kira-kira 400 kilometer di timur laut Manila. "Tentera kini membuat sekatan jalan raya dan menambah bilangan pasukan keselamatan bagi mengesan penyerang terbabit," katanya ketika ditemui. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

Isteri mati dipijak gajah, suami parah dirodok

Posted: 27 May 2013 09:33 AM PDT

Ayutthaya: Hujung gading seekor gajah dipotong selepas haiwan itu memijak seorang wanita dan menyerang suami mangsa di Muang, kelmarin.

Seorang jururawat di Hospital Muang, Orn-uma Leksathan, melawat wilayah Ayutthaya bersama suaminya, Narongsak, apabila insiden itu berlaku.


Saksi berkata, Orn-uma cuba memberi makan seekor gajah yang dipelihara di Pusat Penjagaan Gajah Lae Paniad.

Bagaimanapun, kata saksi, gajah itu menangkap mangsa dengan belalainya dan membawa wanita itu ke tiang yang menjadi penambat haiwan berkenaan.


"Mangsa kemudian dipijak-pijak gajah itu," katanya. Ketika Narongsak cuba menyelamatkan Orn-uma, gajah berkenaan menggunakan gadingnya menyerang paha kanan lelaki terbabit sebelum melontarnya ke udara. Orn-uma dan suaminya dikejarkan ke Hospital Ayutthaya tetapi wanita itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang serius. Jurucakap hospital berkata, Narongsak juga cedera parah. Pemilik pusat penjagaan gajah, Thongrian Meephan berkata, gajah jantan itu berusia 27 tahun dan mempunyai berat kira-kira tiga tan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

Gabenor Jakarta calon presiden paling popular

Posted: 27 May 2013 09:32 AM PDT

Jakarta: Undian Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) mendapati, Gabenor Jakarta menjadi calon paling popular untuk Pilihan Raya Presiden Indonesia tahun depan, mengatasi pemimpin Parti Gerakan Indonesia Raya, Prabowo Subianto.

Kaji selidik menunjukkan, jika pilihan raya diadakan hari ini, Joko Widodo (Jokowi) memperoleh 28.6 peratus undi berbanding Prabowo (15.6 peratus) dan Pengerusi Golkar, Aburizal Bakrie (7 peratus).


Jika pilihan raya diadakan hari ini Jokowi akan memperoleh 46.6 peratus undi manakala lawannya cuma 22 peratus.

Dalam undian CSIS pada Ogos 2012, Prabowo menjadi pilihan utama responden dengan 44 peratus undi berbanding Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (18 peratus).


Kaji selidik terbaru juga menunjukkan sokongan Jokowi datang daripada pelbagai latar belakang, kumpulan usia, status ekonomi dan tahap pendidikan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

Kepala putus

Posted: 27 May 2013 09:32 AM PDT

Shenzhen: Seorang wanita di daerah Luohu di Shenzhen putus kepala selepas dia teperangkap pada pintu lif yang mengheretnya turun sehingga sekurang-kurangnya tiga tingkat.

Mangsa dikatakan terlalu asyik dengan telefon bimbitnya hingga tidak menyedari lif itu rosak.


Menurut laporan awal, kejadian berlaku di Menara Changhong di Jalan Woodcrest Hill.

Rakaman video yang tersebar di Internet menunjukkan wanita berkenaan, seorang jururawat bernama Wang, 24, sibuk melayan telefon bimbitnya apabila tragedi berlaku.


Saksi berkata, lif itu turun dari tingkat 22 bersama-sama empat penumpang dan berhenti di satu tingkat, dimasuki beberapa penumpang lain. Ia kemudian turun lagi tetapi terhenti antara tingkat dua dan tiga kerana rosak.


Jururawat itu yang asyik dengan telefonnya tidak menyedari keadaan sekeliling, keluar dari lif dan terperangkap pada pintunya apabila tertutup.

Lif itu kemudian bergerak lagi selama kira-kira 20 saat, turun ke tingkat satu, mengheret Wang bersama-samanya.


Kepala Wang putus dan tubuhnya terputus dua. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

Budak 14 tahun penggal empat anggota keluarga

Posted: 27 May 2013 09:31 AM PDT

Johannesburg: Polis Afrika Selatan menangkap seorang budak lelaki selepas dia memenggal empat anggota keluarganya.

Bagaimanapun, dua orang adiknya berjaya melarikan diri dan meminta pertolongan.


Jurucakap polis, Lungelo Dlamini berkata, budak berusia 14 tahun itu ditangkap sejurus selepas memenggal ibu, nenek, adik lelaki dan adik perempuan yang masih bayi Jumaat lalu.

"Dia dikatakan mengguna kapak dan melakukan kekejaman berkenaan ketika mereka tidur," katanya ketika ditemui media, semalam.


Dua adiknya yang berusia lapan dan sembilan tahun melarikan diri ketika pembunuhan yang berlaku pada jam 1 pagi itu (waktu tempatan) di Etwatwa, timur Johannesburg.


"Mereka memberitahu jiran mengenai kejadian itu. Abangnya ketika itu sudah melarikan diri," kata Dlamini.

Polis berjaya mengesan budak lelaki itu pada tengah hari.


Mayat Ibunya yang berusia 42 tahun ditemui di pondok tempat keluarga itu menetap sementara mayat adiknya berusia tiga bulan ditemui di padang berhampiran.

Neneknya, 58 dan adik lelakinya, tujuh, mati di hospital.


Polis masih mencari senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan budak berkenaan dihadapkan ke mahkamah hari ini.


Afrika Selatan mempunyai kadar pembunuhan tertinggi di luar zon peperangan.


Menurut statistik rasmi negara berkenaan, hampir 16,000 orang mati dibunuh antara tahun 2011 dan 2012. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

Nissan akan panggil balik 841,000 Micra

Posted: 27 May 2013 09:22 AM PDT

Tokyo: Syarikat Motor Nissan akan memanggil balik kira-kira 841,000 kereta keluarannya di seluruh dunia, termasuk kereta kompak Micra yang juga dikenali sebagai March, kerana masalah roda stering.

Menurut kenyataan syarikat itu, operasi itu membabitkan beberapa model tertentu kereta kompak Micra yang dikeluarkan di Britain dan Jepun antara 2002 dan 2006 serta Cube yang dikeluarkan di Jepun pada tempoh masa yang sama.


Ia memanggil semula kereta itu di Jepun, Eropah, Asia, Oceania, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat.

Bolt yang digunakan pada roda stering kereta berkenaan mungkin tidak diketatkan secara betul dan boleh menyebabkan ia tidak berfungsi, menurut kenyataan Nissan yang difailkan kepada Kementerian Pengangkutan Jepun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/28

No comments:

Post a Comment