Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Robben wira, Ribery arkitek

Posted: 26 May 2013 09:39 AM PDT

London: Gerakan cemerlang Perancis-Belanda membabitkan Franck Ribery dan Arjen Robben pada minit terakhir melengkapkan pertembungan final menarik Liga Juara-Juara membabitkan dua kelab Jerman apabila Bayern Munich menundukkan Borussia Dortmund 2-1 di Stadium Wembley, awal pagi semalam.

Kuisan tumit pemain Perancis Ribery membolehkan pemain Belanda Robben merobekkan benteng pertahanan Dortmund dan mengelirukan penjaga gol Roman Weidenfeller untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.


Gol itu menggembirakan penyokong Bayern yang menyaksikan pasukan mereka muncul juara Eropah buat kali kelima untuk menyamai rekod kemenangan Liverpool.

Hanya Real Madrid dengan sembilan kejuaraan dan AC Milan dengan tujuh kejuaraan mengatasi dua kelab itu dari segi rekod kemenangan.


Bayern menyerap asakan bertali-arus Dortmund sebelum mendahului pada minit ke-60 apabila Ribery dan Robben berganding mencipta jaringan sumbangan penyerang Croatia Mario Mandzukic yang menampan dengan kaki kirinya dari jarak dekat susulan hantaran lintang Robben.


Dortmund, yang memiliki tujuh peluang gol pada babak pertama, menyamakan kedudukan apabila pertahanan Bayern Dante menendang perut Marco Reus lapan minit kemudian dan Ilkay Guendogan mudah menewaskan Manuel Neuer menerusi sepakan penalti.

Foto

ROBBEN (kiri) jaringkan gol kemenangan Bayern.

Foto

GUENDOGAN (kanan) jaring gol tunggal Dortmund.

Namun ketika perlawanan kelihatan akan berlanjutan ke masa tambahan, Robben, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada final musim lalu, tampil menyambut tolakan tumit Ribery untuk menjaringkan gol kemenangan.


"Terlalu ramai memberitahu saya akan menjaringkan gol malam ini. Beberapa peluang awal saya gagal. Saya mendapat satu lagi peluang pada hujung perlawanan dan menggunakannya," kata Robben.

"Ia terlalu bermakna buat saya. Masih sukar untuk menyelaminya. Saya hanya boleh merumuskannya kemudian. Terlalu menggembirakan ketika ini, ia menakjubkan." Kemenangan itu meredakan kepahitan kekalahan Bayern di tangan Inter Milan pada final 2010 dan kekecewaan memilukan di tangan Chelsea menerusi penentuan penalti di stadium mereka sendiri setahun lalu apabila mereka menjulang trofi Piala Eropah buat kali pertama sejak 2001. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26

Korea tak melawan

Posted: 26 May 2013 09:24 AM PDT

Kuala Lumpur: Satu lagi sejarah besar dilakar China apabila menjuarai Piala Sudirman buat kali kelima berturut-turut sekali gus mengukuhkan lagi dominasi mereka dalam sukan badminton namun ketua jurulatih Li Yongbo menafikan penggunaan "dominasi" kerana menganggap mereka sememangnya layak.

Kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan membuktikan betapa besarnya jurang antara juara dan naib juara kejohanan berpasukan campuran berkelas dunia ini.


"Kami tidak mendominasi kerana kami berusaha gigih dan banyak yang dikorbankan pemain serta jurulatih, jadi kami layak meraikan kejayaan ini," kata Yongbo.

Pada perlawanan akhir semalam, semua pemain China menang dua set tanpa balas, bermula dengan kemenangan Xu Chen-Ma Jin dalam beregu campuran yang mengatasi Ko Sung Hyun-Kim Ha Na 21-13, 21-15 dalam masa 37 minit.


Mata kedua China disumbang Chen Long, menang 21-15, 21-10 ke atas Lee Dong Kien, sementara mata ketiga dan kemenangan diraih beregu muda, Liu Xiaolong-Qiu Zihan yang mengatasi Sung Hyun-Lee Yong Dae 21-19, 21-17 dalam masa 44 minit.


"Sebenarnya saya bersedia untuk mengorbankan satu mata menerusi beregu lelaki, selepas kemenangan sengit 3-2 ke atas Indonesia di suku akhir dan 3-1 ke atas Denmark di separuh akhir. Tapi Xiaolong-Zihan yang kali pertama beraksi di Piala Sudirman, membalas kepercayaan saya.

"Saya memang menaruh harapan untuk mereka menang tapi tidak menyangka mereka mempamerkan prestasi melangkau tahap yang pernah mereka capai." Sementara itu, Chen Long langsung tidak menghiraukan tekanan menggalas tugas besar selaku perseorangan utama, tanpa kehadiran Lin Dan.


Menurut Yongbo, pemain nombor dua dunia itu tidak fokus malam semalam kerana terlalu bimbang.

"Chen Long beraksi dengan kekurangan tenaga tapi lawannya hari ini tidak berapa bagus dan belum mencapai tahap yang tinggi," katanya sambil menyifatkan pemain Korea tidak beraksi pada tahap terbaik semalam.


Dalam pada itu, Korea menganggap pencapaian muncul naib juara sebagai melepasi sasaran.


"Kami tidak menyasarkan untuk ke final dan pencapaian ini cukup memuaskan. Kami mesti meningkatkan prestasi terutamanya mencari jalan untuk melonjakkan prestasi perseorangan lelaki dan tugas kini bukan hanya dipikul Korea, sebaliknya semua negara badminton agar dapat menyaingi China," kata jurulatih beregu Korea, Ha Tae Kwon.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Fuceen, Izati gah cabaran taekwondo

Posted: 26 May 2013 09:23 AM PDT

Kuala Lumpur: P Fuceen dan Nur Izati Mohd Yusri masing-masing mungkin baru berusia 10 dan 11 tahun tetapi mereka sudah tahu apa yang diinginkan iaitu mewakili Malaysia beraksi di kejuaraan lebih besar.

Kedua-dua atlet taekwondo itu yang mewakli Kelab Taekwondo Black & White menerusi kategori featherweight lelaki dan wanita, mempamer aksi cemerlang apabila masing-masing merangkul pingat emas dan Anugerah Persembahan Terbaik pada saingan Kejohanan Taekwondo Nestle Koko Krunch Junior wilayah Timur di Kota Bharu, kelmarin.


"Saya gembira kerana dapat memenangi Anugerah Persembahan Terbaik sesudah terlepas untuk meraih kejuaraan di Kuala Terengganu tahun lalu," kata Fuceen, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yok Eng.

"Saya memang sangat berminat bersaing dalam saingan taekwondo dan impian saya adalah untuk mewakili pasukan kebangsaan satu hari nanti," kata Fuceen.


Nur Izati juga berkongsi impian sama iaitu mahu mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.


"Walaupun taekwondo bukanlah sukan yang mudah untuk dipelajari, saya yakin dapat memenuhi impian saya selepas memenangi kejohanan ini," kata murid Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan itu. Kelab Taekwondo Koryo bagaimanapun adalah pemenang utama apabila menyapu bersih kesemua gelaran berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Khairul mula dapat rentak

Posted: 26 May 2013 09:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemanah Olimpik negara Khairul Anuar Mohamad melihat permulaan yang baik untuk dirinya kembali menggegar pentas antarabangsa walaupun terlepas pingat gangsa pada sirkit pertama Piala Dunia di Shanghai, China baru-baru ini.

Ia dilihat permulaan baru buat pemanah utama negara yang berada di ranking kesembilan dunia itu selepas tenggelam sepanjang empat sirkit kejohanan tahun lalu dengan pencapaian terbaik yang mampu diraihnya adalah dengan menduduki tempat kesembilan pada sirkit pertama.


"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi kali ini kerana sudah memberikan yang terbaik. Kekalahan dalam perebutan pingat gangsa mungkin disebabkan badan terlalu letih dan seterusnya mengganggu tahap konsisten ketika panahan.

"Saya sebenarnya gagal mencapai sasaran peribadi kerana tidak berupaya meraih pungutan mata yang diharapkan. Namun paling penting adalah saya perlu konsisten pada empat sirkit Piala Dunia kali ini kerana mahu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia yang hanya memilih sejumlah pemanah terbaik saja," kata pemanah berusia 22 tahun itu.


Dalam aksi di China itu, Khairul tewas kepada pemanah Jepun Tabata Shungo bagi perebutan pingat gangsa dengan keputusan 6-4 selepas disingkirkan pemanah Korea Selatan Oh Jin Hyek yang kemudiannya memenangi emas.


Manakala gandingan Khairul bersama-sama Atiq Bazli Bakri dan Mohd Fareez Rosli dalam acara berpasukan berakhir di suku akhir apabila kecundang kepada trio China dan berada di kedudukan enam terbaik berdasarkan pungutan mata yang diraih mereka.

"Saya pasti kami akan lebih menyerlah selepas ini kerana dua rakan sepasukan itu tampil kali pertama di saingan Piala Dunia. Mereka masih mengutip pengalaman seperti saya sebelum ini namun saya yakin dengan kemampuan mereka untuk segera mempamerkan kematangan," katanya.


Sirkit kedua Piala Dunia akan berlangsung di Antalya, Turki dari 10 hingga 16 Jun dengan Khairul sekali lagi mengetuai cabaran negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Laura sekat Nicol

Posted: 26 May 2013 09:21 AM PDT

Hull, England: Badi Laura Massaro terus menghantui ratu skuasy negara Datuk Nicol David semalam.

Laura, pilihan kedua dari England, menundukkan pemain nombor satu dunia itu 11-4, 3-11, 12-10, 11-7 untuk menjuarai Terbuka British buat kali pertama di Stadium KC.


Kemenangan itu juga bermakna dia berjaya menafikan usaha Nicol mempertahankan kejuaraan selain memenanginya buat kali kelima.

Ia juga kemenangan kelima Laura ke atas jaguh negara sejak kali pertama bertemu pada 2005. Daripada empat pertemuan tahun ini, Nicol hanya menang sekali ke atas jaguh England itu dan kalah tiga kali termasuk pada separuh akhir Terbuka Kuala Lumpur Mac lalu.


Nyata Nicol bagaikan tiada jawapan terhadap permainan hebat lawannya itu pada perlawanan akhir malam tadi.


"Secara asasnya, saya lebih banyak memerhatikan apa yang dia lakukan dan tidak menumpukan terhadap pukulan saya. Dia bermain dengan baik dan saya cuba bertindak lebih baik.

"Namun jangkauannya lebih bagus dan dia membalas setiap pukulan saya. Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan dia sememangnya semakin meningkat.


"Saya sedar permainan saya masih bagus, saya bekerja keras tapi ada harinya semua tidak menjadi dan lawan saya tampil lebih hebat, dia mencari setiap kelemahan dan hari ini ia memihak kepadanya," kata Nicol.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Hafiza intai gelaran

Posted: 26 May 2013 09:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Selama empat tahun berada di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, 2013 dilihat sebagai musim terbaik bagi Mohd Hafiza Rofa memburu gelaran utama dalam kariernya.

Pelumba Warner Pumps YSP yang mula menceburi Kejuaraan Cub Prix sejak 2010 seakan sukar digugat apabila kini sedang mendahului kategori Wira dengan rekod sempurna meraih hatrik daripada tiga pusingan.

Kejayaan mendominasi saingan kelas Wira membolehkan pelumba 17 tahun itu mendahului kedudukan dengan 75 mata maksimum, 35 mendahului pencabar terdekat, kedudukan yang dilihat agak selesa buat Hafiza ketika itu.

Jika dilihat pada usia, ini adalah tahun terakhir dia berpeluang untuk memburu takhta juara keseluruhan dalam kategori ini.


"Dia sebenarnya sudah lebih daripada bersedia untuk menyertai kelas CP115," kata pengurus Warner Pumps YSP Lee Waye Siang.


Namun mereka memutuskan untuk Hafiza berada setahun lagi dalam kelas Wira bagi membolehkan dia meningkatkan keyakinan diri dan memperbaiki kemahiran asas sebelum beralih ke kelas lebih tinggi.

Sepanjang tiga tahun lalu Hafiza antara pencabar utama dan tidak pernah ketinggalan daripada menghiasi kedudukan podium Wira.

Cuma kelibatnya sering dibayangi kehandalan pelumba lain seperti Mohd Hafiz Nor Azman, Fakhrusy Shakirin Rostam, Zulsyafiz Rosli dan Mohd Adib Rosley.

Bermula dengan aksi cemerlang dalam perlumbaan satu pengeluar Cabaran Honda icon 2010 apanila dia menamatkan saingan di tangga kedua keseluruhan, Hafiza kemudiannya menyertai YSP dan menamatkan musim 2011 sebagai naib juara keseluruhan pada tahun pertama beraksi dalam kategori Wira.

Percaturan pasukan untuk menggunakan jentera Honda berbanding Yamaha pada 2012 sedikit menjejaskan aksi Hafiza apabila sekadar menamatkan musim keduanya dalam kategori Wira di tangga kelima keseluruhan.

Tahun ini YSP kembali memilih jentera Yamaha dan keserasian bersama jentera yang membawa gelaran naib juara pada 2011 jelas membantu Hafiza untuk kembali menguasai perlumbaan.

Kemenangan terbaru di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu selepas memenangi perlumbaan Pusingan 1 di Pulau Pinang dan Pusingan 2 di Melaka menjadi bukti.

"Kemenangan minggu ini amat bermakna untuk saya. Dengan jentera terbaik yang disediakan oleh pasukan, saya berjaya mendahului pelumba lain pada setiap sesi sehinggalah kepada pencapaian gelaran hatrik ini.

"Lebih manis kerana semua ini dicapai di halaman sendiri, di hadapan keluarga dan rakan yang hadir memberikan sokongan," kata Hafiza.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

'Buang masa!'

Posted: 26 May 2013 09:19 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya tidak nampak sebarang faedah kalau pergi ke Australia dan menentang pasukan liga bawahan.

"Jadi sebagai seorang pemerhati bolasepak, saya minta pihak yang bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan akan kepentingan kem latihan skuad negara ke Canberra dan Sydney bulan depan," kata bekas pemain negara Khalid Ali.


Skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang berada dalam misi memperkukuhkan pasukan bagi melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia terus menjadi tumpuan apabila dua aksi persahabatan menentang juara Piala AFF 2012, Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 7 Jun ini dibatalkan walaupun kedua-dua pihak sudah lama mencapai persetujuan.

Singapura yang mendapat jurulatih baru dari Jerman, Bernd Stange sebaliknya bertindak mengadakan aksi persahabatan menentang Myanmar dan Laos sebagai ganti dengan FAM pula dengan pantas merancang kem latihan di Australia bermula 3 hingga 15 Jun ini dengan tiga aksi persahabatan menentang Canberra All Stars pada 6 Jun selain dua pasukan liga negeri, Marconi Stallions FC (11 Jun) dan Sydney United FC (13 Jun).


"Pada pandangan saya tidak perlu membazir sehingga perlu ke Australia untuk menentang pasukan seperti ini. Ini bukan skuad yang dikumpulkan untuk mencari pengalaman dengan lawan jelas bukan pasukan yang beraksi di A-League (liga utama Australia), lebih baik jurulatih mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan tempatan yang berkualiti seperti Angkatan Tentera Malaysia," katanya.


Perkembangan terbaru itu pastinya merugikan skuad kebangsaan terutamanya dalam membaiki ranking ketika negara lain sibuk merencanakan aksi persahabatan antarabangsa berstatus A. Ini secara tidak langsung memberi pandangan bahawa destinasi ke Australia itu lebih kepada rombongan melancong.

"Sekalipun jika kita tidak dapat menentang Singapura, mereka boleh mengatur aksi persahabatan dengan pasukan lain seperti Bangladesh, India dan sebagainya," katanya.


Seramai 26 pemain dipilih Rajagobal untuk sesi latihan kali ini dengan pemain perlu melaporkan diri Rabu ini, sehari selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang membabitkan sebahagian besar pemain dalam skuad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Dollah optimis anak buah bangkit

Posted: 26 May 2013 09:18 AM PDT

Kuantan: Pengendali Dollah Salleh tidak mahu menekan butang panik kerana percaya skuad kendaliannya itu masih mampu layak ke final Piala FA biarpun tewas 0-1 kepada Johor Darul Takzim (DT) pada aksi separuh akhir pertama, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, perlawanan kedua bakal berlangsung di halaman sendiri, malam esok dan anak buahnya pasti bangkit untuk memastikan slot final berada dalam tangan mereka.


"Saya masih percaya dengan komitmen pemain berdasarkan persembahan dan semangat juang tinggi dipamerkan biarpun tewas 0-1 menerusi jaringan babak pertama lawan," katanya.

Gol kemenangan Johor DT dihasilkan penyerang import dari Argentina Leonel Nunez yang bagaimanapun gagal menghasilkan lebih banyak gol untuk bekalan selesa menjelang pertemuan kedua saingan.


Dollah berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang bekerja keras hingga wisel penamat untuk mendapatkan gol penyamaan.


Namun menurutnya, kegagalan memanfaatkan beberapa peluang menyebabkan mereka terpaksa pulang hampa ketika mengharapkan sekurang-kurangnya keputusan seri mampu dicapai sebagai bekalan aksi kedua.

"Mereka perlu memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri terutama sokongan padu penyokong yang dijangka memenuhi stadium nanti.


"Oleh itu, pemain diharap dapat mengambil peluang 90 minit untuk mencatat keputusan terbaik buat pasukan untuk memastikan aksi final menjadi milik Pahang," katanya.

Kali terakhir Pahang menjulang Piala FA pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Jaringan Nunez belum cukup: Fandi

Posted: 26 May 2013 09:17 AM PDT

Johor Bahru: Tiada senyuman di wajah jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT) Fandi Ahmad yang kecewa selepas hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas Pahang pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Larkin, kelmarin.

Jaringan tunggal Leonel Nunez pada minit ke-21 hasil rembatan deras melencong tepat ke penjuru kiri gawang gol bukanlah bekalan selesa buat skuad Harimau Selatan yang bertandang ke Stadium Darulmakmur, malam esok.


Biarpun menang ia pasti memberi tekanan buat Fandi yang perlu mencorak taktikal lebih ampuh selepas kehilangan Mohd Farid Ramli yang digantung satu perlawanan sementara kapten Kamarul Afiq Kamaruddin bakal diketepikan akibat kecederaan lutut kanan.

"Kita menang 1-0 tetapi jaringan itu tidak mencukupi. Saya tidak gembira dengan keputusan ini kerana kita sepatutnya menang dengan gol agak besar. Barisan serangan gagal melakukan penyudah tepat.


"Mereka (Pahang) mengambil kesempatan untuk mengasak kubu Johor DT pada babak kedua dan saya tidak nafikan permainan kita di babak kedua amat mengecewakan dan hanya agresif pada babak pertama. Taktik bola hantaran jauh memerangkap pemain tengah namun saya sedikit lega apabila lawan tidak menjaringkan gol selepas pemain kita sudah keletihan.


"Jadual permainan padat beri kesan kepada pemain apabila Nunez dan Nurul Azwan Roya terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kesakitan paha dan saya tidak mahu ambil risiko kerana mereka amat diperlukan pada aksi kedua," katanya.

Fandi menggunakan formasi 4-3-3 meletakkan gandingan Nunez, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan tampak memberi tekanan kepada benteng skuad Tok Gajah malah di posisi tengah Jasazrin Jamaluddin, Andre Francisco Da Silva dan Ahmed Ezrie Shafiize begitu kreatif menjana gerakan namun semua itu hanya bertahan pada babak pertama.


Tindakan bekas bintang Singapura itu memasukkan Safee Sali pada babak kedua juga kurang memberi impak apabila penyerang kebangsaan itu gagal melakukan sentuhan magis.

"Safee sedang bergelut untuk mendapat kembali sentuhan berbisanya. Saya amat simpati dengannya namun yakin akan bangkit semula kerana anda semua kena faham dia baru sahaja pulih daripada kecederaan," kata Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Hodak puas hati

Posted: 26 May 2013 09:15 AM PDT

Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Bojan Hodak berpuas hati kerana berjaya mengikis kecaman yang mengatakan beliau membuat 'percaturan bodoh' sebelum ini, apabila membenam Terengganu 4-1 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Sebelum ini, jurulatih dari Croatia itu dikecam penyokong sendiri apabila percaturannya menyimpan tiga tonggak utama Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Muhammad Norfarhan Muhammad menyebabkan tewas 0-2 kepada musuh ketat Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super 22 Mei lalu.


Bagaimanapun percaturannya yang merehatkan tiga tonggak itu berhasil apabila berjaya mencatat kemenangan dengan membawa bekalan selesa bagi perlawanan timbal balik di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu esok.

Hodak berpuas hati dengan semangat juang anak didiknya yang tidak berputus asa walaupun ketinggalan di awal permainan sebelum bangkit pada 10 minit terakhir bagi memastikan sebelah kaki ke final.


Katanya, pujian juga harus diberikan kepada penyokong yang membantu memberi sokongan moral malah menyuntik semangat kepada pemainnya supaya tidak mengalah dan berjuang sehingga tiupan wisel penamat.


"Saya berpuas hati kerana apa yang dirancangkan menjadi. Bagaimanapun kita masih ada 90 minit dalam perlawanan timbal balik dan kita menyasarkan untuk mencari sekurang-kurangnya satu jaringan di tempat lawan untuk memberi tekanan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

No comments:

Post a Comment