Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tiada maknanya...

Posted: 11 May 2013 08:30 AM PDT

London: Seorang lelaki yang diiktiraf orang paling gemuk di dunia menunjukkan kepada umum mengapa kejayaannya menurunkan berat badan tidak begitu bermakna untuk dirinya.

Pernah memiliki tubuh seberat 444.5 kilogram (kg), Paul Mason berjaya mengurangkan 292.1 kilogram daripada berat badannya itu dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, perubahan itu menyebabkan kulit badannya menggeleber teruk dan Mason, 52, memilih satu cara untuk membuktikannya - dengan berbogel tanpa perlu bimbang alat sulitnya dilihat sesiapa.

Mason, menghilangkan dua pertiga daripada berat badannya melalui pembedahan pintasan gastrik dan mengubah perutnya menjadi sebesar telur.

Foto

KEADAAN fizikal sebelum dibedah.


Kata Mason dia berbogel dengan harapan foto itu cukup untuk mengejutkan pakar perubatan dan mendorong mereka mencari jalan membantunya membuang lebihan kulit berkenaan.


"Saya mahu pakar kesihatan melihat apa yang saya alami dan mudah-mudahan mereka terfikir untuk membantu lelaki ini," katanya.

Kos pembedahan membuang kulit berkenaan dianggarkan lebih RM275,000.

Sebelum mengalami perubahan itu, Mason pernah mengambil makanan dengan jumlah 20,000 kalori sehari - 10 kali melebihi tahap sihat.

Perubahan akhirnya berlaku apabila dia menjalani pembedahan pada 2010.

Sejak itu, dia hanya memakan empat hidangan fish and chips, dua kebab dan roti bakar untuk sajian tengah hari.

Kini berat badannya 152 kilogram dan dia ingin lebih kurus.

Mason berkata, kira-kira 50 kilogram boleh dikurangkan jika pakar bedah membuang kulit kendur itu yang mengehadkan pergerakannya dan menyebabkan kesakitan.

"Doktor peribadi saya akan menunjukkan foto bogel ini kepada pakar bedah sebagai bukti saya memerlukan pembedahan," katanya.

Namun, impian Mason mungkin tinggal harapan.

Kata Mason, baru-baru ini dia bertemu seorang wanita yang sudah menunggu 13 tahun untuk membuang 12 kilogram kulit kendurnya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Jenazah Tamerlan dikebumi senyap-senyap

Posted: 11 May 2013 08:25 AM PDT

Doswell (Virginia): Suspek pengebom Maraton Boston, Tamerlan Tsarnaev dikebumikan secara senyap-senyap di perkuburan luar bandar di Virginia, menyebabkan sesetengah anggota komuniti Islam di kawasan itu berang.

Menurut beberapa penduduk setempat, mereka tidak pernah diberitahu mayat Tamerlan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Barzakh di Doswell.


Pihak berkuasa turut mendakwa mereka tidak tahu-menahu mengenai pengebumian itu.

Jurucakap polis berkata, mereka akan memeriksa sama ada semua keperluan undang-undang dipatuhi sebelum Tamerlan dikebumikan dan mayat itu boleh dipindahkan ke tempat lain jika ada isu berbangkit.


"Orang ramai bimbang kubur Tamerlan akan dijadikan tempat keramat kepada pihak yang tidak senang kepada AS," katanya.


Tamerlan meninggal dunia selepas ditembak pihak berkuasa yang memburunya pada 19 April kerana disyaki menjadi dalang serangan bom di Boston.

Adik lelaki Tamerlan, Dzhokhar diberkas beberapa hari kemudian dan kini masih disoal siasat. Tiga maut dan lebih 260 lagi cedera dalam serangan bom pada 15 April itu. Bapa saudara Tamerlan, Ruslan Tsarni mengambil alih tanggungjawab mengebumikan jenazah kerana tiada waris lain mahu menguruskannya. Ruslan berkata, Tamerlan dikebumikan di Doswell dengan bantuan beberapa pihak. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Tepuk pinggang bukan punggung

Posted: 11 May 2013 08:23 AM PDT

Seoul: Bekas jurucakap Presiden Korea Selatan menafikan laporan media bahawa dia mencabul seorang wanita berketurunan Korea-Amerika dalam kunjungan ke Washington.

Yoon Chang-jung berkata, dia hanya menepuk pinggang - dan bukan punggung - wanita terbabit sekali untuk menggembirakannya selepas mereka meminum arak.


Kata Yoon, sebelum itu wanita terbabit menemaninya bersiar-siar bersama seorang pemandu selama 30 minit. "Saya mengatur sesi minum-minum kerana kesal menengkingnya beberapa kali disebabkan wanita terbabit cuai menjalakan tugas.

"Antara kesalahan dilakukan wanita itu ialah gagal menyediakan kenderaan pada waktu yang sepatutnya," katanya dalam sidang media semalam. Pejabat Presiden Korea Selatan kelmarin mengumumkan pemecatan Yoon kerana berkelakuan buruk ketika mengiringi Park Geun-hye melawat AS.


Jurucakap Jabatan Polis Metropolitan Washington, Araz Alali pula berkata, kes itu masih disiasat, tetapi tidak memberi ulasan lanjut. Media pula melaporkan, seorang wanita mendakwa seorang lelaki "meramas punggungnya" malam Rabu lalu di sebuah hotel di Washington. Kata Yoon, dia kesal terbabit dalam insiden itu dan mengakui tidak tahu mengenai budaya Amerika.


"Saya cuma mahu memujuk dia, bukan mencabul," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Taiwan timbang kenakan sekatan terhadap Filipina

Posted: 11 May 2013 08:22 AM PDT

Taipei: Presiden Ma Ying-jeou semalam berkata, Taiwan akan menimbangkan cadangan untuk mengenakan sekatan terhadap Filipina ketika kemarahan rakyat negara itu terhadap Manila semakin meluap-luap ekoran insiden pembunuhan nelayan Taiwan.

"Kami pasti menuntut keadilan bagi nelayan kami. "Filipina menembak bot nelayan yang tidak bersenjata dan perbuatan itu sangat kejam," katanya selepas memeriksa latihan pasukan pengawal pantai di tengah negara itu.


Ma turut mengulangi permintaan Taipei agar Manila memohon maaf atas insiden itu, selain menahan penembak terbabit serta membayar pampasan. Sementara itu, sesetengah ahli parlimen Taiwan menggesa kerajaan membekukan pengambilan pekerja Filipina sebagai bantahan selepas Manila mengaku pengawal pantainya menembak bot nelayan Taiwan. Pihak berkuasa Taiwan berkata, nelayan Hung Shih-cheng, 65, terbunuh dalam insiden itu yang turut menyaksikan botnya ditembusi lebih 50 das tembakan.

Kerajaan Ma menghadapi tekanan daripada pembangkang dan media agar mengambil tindakan apabila Filipina enggan meminta maaf dan mengatakan pengawal pantainya menangani kegiatan perikanan haram. Jurucakap pengawal pantai Filipina, Armand Balilo berkata, insiden itu berlaku di perairan Filipina dan kakitangannya hanya menjalankan tugas untuk menghentikan kegiatan perikanan haram. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Jakarta setuju hantar pulang pejuang pemisah ke Thailand

Posted: 11 May 2013 08:21 AM PDT

Bangkok: Menteri Pertahanan Sukumpol Suwanatat meminta Jakarta menghantar pulang pejuang pemisah wilayah selatan Thailand yang kini berlindung di Indonesia.

Sukumpol berkata, dia mengemukakan permintaan itu ketika bertemu rakan sejawatnya di Indonesia pada mesyuarat menteri pertahanan Asean di Brunei mulai Isnin hingga Rabu lalu.


Katanya, dia memberitahu Purnomo Yusgiantoro bahawa jika Thailand mendapat tahu ada anggota pemisah dari wilayah selatan negara itu bersembunyi di Indonesia, dia akan memaklumkan pihak berkuasa Indonesia agar mereka diekstradisi. Sukumpol berkata, Indonesia sudah bersetuju untuk memberi kerjasama. Mengenai isu pilihan raya di Malaysia, Sukumpol berkata, dia tidak fikir keadaan itu akan menjejaskan rundingan damai antara Majlis Keselamatan Nasional Thailand (NSC) dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Menurutnya, Malaysia hanya bertindak sebagai pemudah cara bagi rundingan damai dan menyatakan polisi yang jelas untuk membantu. Sukumpol menegaskan, rundingan memakan masa lebih lama kerana wakil pemisah mengemukakan tuntutan tidak munasabah dan pihak berkuasa Thai bertegas dengan pendirian untuk enggan bertolak ansur dengan tuntutan sedemikian.


Menurutnya, kerajaan melaksanakan penyelesaian terbaik di wilayah selatan dan berharap ada kemajuan di wilayah berkenaan tidak lama lagi. "Lebih ramai anggota polis akan dikerah ke Selatan meningkatkan bilangan pasukan keselamatan sedia ada yang kini berjumlah 1,700 orang," katanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Askar dalang rompak

Posted: 11 May 2013 08:20 AM PDT

Jakarta: Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) disyaki menjadi dalang dalam kes rompakan van syarikat keselamatan yang membawa wang tunai berjumlah 5.49 bilion rupiah (RM1.6 juta) kata pihak berkuasa semalam.

Suspek, Korporal Darojdat yang ditahan di Cianjur, Jawa Barat didakwa merompak wang tunai milik empat bank dalam kejadian pada 27 April lalu.

Dia diarah mengawal van terbabit ketika ia dalam perjalanan ke 11 lokasi mesin juruwang automatik (ATM) di Bandung.

Polis mengesyaki suspek merancang melakukan jenayah itu dengan bantuan dua lagi rakannya, Agus dan Defri tiga minggu sebelum kejadian.


Ketua Polis Bandung Abdul Rakhman Baso berkata, pada hari kejadian, Agus dan Defri mengekori van yang diiringi suspek kira-kira jam 7 petang.


Katanya, di dalam kenderaan itu terdapat dua petugas PT Securicor Indonesia dan seorang pemandu van berkenaan.

Selepas dua petugas mengisi wang di ATM di Jalan Sunda, kata Rakhman, Agus dan Defri tiba-tiba muncul mengacukan pisau dan pistol ke arah mereka.

"Suspek berpura-pura tidak mengenali dua rakannya yang melakukan jenayah itu," katanya.- Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Sisa runtuhan kerajaan Mataram

Posted: 11 May 2013 08:19 AM PDT

Yogyakarta: Sisa runtuhan kerajaan Islam Mataram kurun ke-17 dan serpihan tembikar ditemui di Desa Kedaton, Bantul di Yogyakarta oleh pasukan ekskavasi agensi kebudayaan, semalam.

Menurut penyelaras pasukan itu, Rully Andriadi runtuhan berkenaan sebahagian daripada tinggalan kerajaan Islam Mataram yang wujud antara 1646 hingga 1677 di Plaret.

"Runtuhan itu masih dalam keadaan baik. Pada masa lalu, kami hanya menemui sebahagian atau serpihan sesuatu artifak," katanya.

Rully berkata, kerja ekskavasi di tanah seluas 300 meter persegi itu di antara kawasan kediaman dan padang dilakukan sejak 1 Mei lalu. - Jakarta Post.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Jambatan runtuh hempap pikap

Posted: 11 May 2013 08:18 AM PDT

Bangkok: Sebuah treler 18 roda merempuh jambatan laluan pejalan kaki sebelum binaan itu runtuh dan menghempap lori pikap yang kebetulan lalu di bawahnya, menyebabkan pemandu kenderaan itu terbunuh pagi kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk di daerah Thawi Watthana, Bangkok.
Lori yang membawa sebahagian pelantar minyak itu merempuh jambatan yang berketinggian enam meter dari jalan raya.


Jambatan itu terangkat dari tiang penyokongnya sebelum jatuh menghempap kenderaan yang lalu di bawah.

Menurut pegawai Balai Polis Thammasala, Wasan Mankong, pemandu trak pikap berkenaan mati di tempat kejadian.

Pemandu lori, Thanongsak Sathitpao, 43, dalam perjalanan membawa jentera gerudi itu ke Hat Yai di Songkhla.

Menurutnya ada tiga lagi lori turut membawa peralatan sama dan sebuah kereta polis hanya mengiringi kenderaan mereka separuh jalan.

Kemalangan berlaku jam 3 pagi dan mengambil masa sehingga jam 2 petang semalam untuk membersihkan tempat kejadian. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

2 penyokong terbunuh

Posted: 11 May 2013 08:17 AM PDT

Puerto Princesa (Filipina): Dua orang terbunuh, termasuk pegawai majlis perbandaran dan sekurang-kurangnya enam lagi cedera dalam insiden tembak-menembak di antara penyokong dua calon datuk bandar di bandar Bataraza, kata polis.

Menurut jurucakap polis Filipina, beberapa penyokong bersenjata dua calon yang bertanding itu turut ditahan malam kelmarin.

Katanya, dua mangsa yang terkorban ialah Setiausaha Majlis Perbandaran Bataraza, Alrazid Balidin dan anak perempuan pentadbir kampung, Myra Ossop Bazari, 16.

Jurucakap polis Pearl Lamban Marzo berkata, insiden itu berlaku jam 11.45 malam di Kampung Igang-Igang. - Philippines Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

Pilihan raya berdarah

Posted: 11 May 2013 08:16 AM PDT

Islamabad: Berdepan risiko serangan militan, warga Pakistan berpusu-pusu ke pusat pembuangan undi dalam pilihan raya bersejarah negara itu, semalam.

Selain dua bekas perdana menteri, pilihan raya umum kali ini turut disertai bekas bintang kriket terkenal, Imran Khan yang mengetuai Parti Tehreek-e-Insaf.

Bagaimanapun, beberapa letupan bom yang membunuh sekurang-kurangnya 16 orang serta mencederakan berpuluh-puluh yang lain membayangkan bahaya dihadapi pengundi.

Letupan itu lanjutan daripada keganasan pilihan raya yang setakat ini membunuh 130 orang di seluruh Pakistan.


Beberapa pihak melihat pilihan raya itu - pertama kali membabitkan peralihan kuasa di antara dua kerajaan awam yang dilantik rakyat - sebagai detik penting kepada Pakistan yang pernah melalui tiga kudeta tentera.


Dua letupan di bandar Karachi menyasarkan pejabat Parti Kebangsaan Awami - satu daripada tiga parti sekular yang dimusuhi Taliban sebelum ini.

Pegawai polis tempatan berkata, sembilan orang maut dan 30 lagi cedera.

Di Peshawar, barat laut Pakistan sebuah bom meletup di luar pusat pembuangan undi dan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 10 lagi cedera.

Di Baluchistan, pemisah bersenjata menembak mati dua orang awam di luar pusat pembuangan undi di bandar Sorab.

Dalam kejadian berasingan - juga di wilayah itu, pertempuran berlaku di antara dua penyokong calon di Chaman berakhir dengan empat kematian.

Ancaman keganasan daripada puak pelampau mendorong kerajaan mengerah 600,000 anggota keselamatan di seluruh negara untuk melindungi pusat pembuangan undi serta pengundi.

Kebanyakan orang awam pula tetap memberanikan diri keluar mengundi walaupun berdepan risiko diserang.

Proses semalam juga dipantau teliti Washington kerana Pakistan adalah negara sahabat kepada AS dan penting untuk negara itu dalam kempen antikeganasan yang dijalankan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11

No comments:

Post a Comment