Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kien Keat tagih sokongan peminat

Posted: 17 May 2013 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Peminat sendiri boleh menjadi pembunuh semangat pemain negara andai memberi sokongan dengan cara negatif, menurut timbalan ketua pasukan skuad Piala Sudirman, Koo Kien Keat.

Pemain negara jelas amat dahagakan sokongan padu peminat, seperti dipapar pada Piala Axiata lalu, namun ada di kalangan peminat sukan di Malaysia yang tidak cukup profesional dan tidak ampuh untuk memberi sokongan tidak berbelah bagi.


"Tentunya sokongan penyokong amat kami tagih kerana ia akan menjadi faktor utama membangkitkan semangat melawan. Tapi saya sentiasa ingatkan rakan sepasukan, supaya tidak mempedulikan sahutan penyokong terutama yang berunsur negatif," kata Kien Keat sambil menaruh harapan peminat sentiasa meniupkan kata-kata semangat positif biarpun pemain negara ketinggalan.

"Waktu ketinggalan sentiasa menjadi detik paling penting, kami perlukan peminat untuk menyalurkan tenaga dan semangat bagi menghilangkan rasa gentar. Tolong jangan hamburkan kata-kata negatif yang boleh menjatuhkan keyakinan pemain kita." Sementara itu, Kien Keat berkata, dia sudah bersedia memberi aksi terbaik.


"Dalam setiap kejohanan memang ada sasaran seperti ke separuh akhir mahupun final. Cuma saya harap rakan sepasukan tidak terlalu memikirkan sasaran sebaliknya hanya turun beraksi dan memberikan segala-galanya.


"Jika ketinggalan, jangan sesekali fikir ia akan menjadi punca kekalahan kerana ia akan menjejaskan lagi prestasi di atas gelanggang.

Foto

KIEN Keat sedia pamer aksi terbaik.

"Saya sudah masak dengan situasi sebegini, apa juga saya lakukan akan mengundang reaksi negatif peminat dan orang luar. Di peringkat kumpulan, setiap mata diperoleh amat penting dan kami tidak boleh mudah mengalah.


"Semua fakta di atas kertas tidak boleh menjadi ukuran kerana dalam acara berpasukan, apa saja boleh berlaku."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Quraataina intai lima teratas

Posted: 17 May 2013 11:09 AM PDT

Putrajaya: "Saya meletakkan sasaran memburu lima tempat teratas kerana sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental," kata Noor Quraataina Mamat, 18, seorang daripada tujuh peserta wakil gabungan kelab basikal Cyclomotion dan SUKMA Terengganu yang menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia.

Noor Quraataina yang pernah memenangi pingat emas BMX wanita pada SUKMA ke-15 tahun lalu berkata, hanya dia seorang peserta wanita daripada gabungan itu menyertai acara itu sekali gus menjadikannya dorongan untuk menyerlah. "Saya tidak rasakan ia satu halangan dan yakin memberikan aksi terbaik. Walaupun hanya saya saja wanita dalam pasukan ini, saya bertuah berlatih dengan mereka yang berpengalaman. "Saya seorang atlet dan pernah mewakili Terengganu tapi itu tidak bermakna saya tahu segala-galanya," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang penyertaan kepada wakil penganjur, di sini, semalam. Jurulatih pasukan Mohd Arif Syukri berkata, kelab itu yang baru ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu mempunyai tujuh ahli, namun sudah menyertai pertandingan sukan basikal di seluruh negara. Menurutnya, mereka terpanggil untuk menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia yang diadakan pada 1 dan 2 Jun ini kerana tertarik dengan hadiah lumayan ditawarkan.


"Justeru, kami tidak mahu ketinggalan menghantar penyertaan untuk menyertai acara ini. Mereka sudah bersedia fizikal dan mental serta tidak sabar memulakan pertandingan. "Hari ini (semalam) kita datang ke Putrajaya untuk meninjau trek serta melakukan percubaan latihan di kawasan ini (Presint 15)," katanya. Putrajaya menjadi lokasi pertama acara anjuran Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) itu dan disasarkan 3,500 peserta akan menyertai acara yang bermula di Laman Presint Diplomatik, Presint 15 dan berakhir di Taman Rimba Alam, di sini.

Sirkit kedua hingga kelima akan diadakan di Terengganu, Johor, Perak dan Selangor. Perlumbaan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 itu akan menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa dan jamboree, lebih menarik ia turut menawar pelbagai cabutan bertuah. Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa ditetapkan. Selain itu, saingan Terbuka Metro (Jamboree) terbahagi kepada empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

'Kelengkapan tidak mencukupi'

Posted: 17 May 2013 11:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Memang tidak dinafikan Kompleks Sukan di Bukit Jalil lengkap segala peralatan namun ia masih tidak cukup buat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam usaha menampung keperluan sukan olahraga yang turut membabitkan persediaan akar umbi bagi kembali mempopularkan sukan itu.

Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kekurangan kemudahan selain ketiadaan trek dan padang yang memenuhi piawaian akan cuba diketengahkan kepada Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaluddin untuk diberi perhatian.


Mengambil contoh Kompleks Sukan Kampung Pandan yang disifatkannya berada dalam keadaan teruk, langsung tidak boleh digunakan untuk latihan apatah lagi pertandingan, Zainal berharap perkara itu akan diberikan penekanan dalam usaha membaikpulih imej olahraga di negara ini.

"Saya mungkin membawa perkara ini kepada Khairy. Jangan kata trek, di kebanyakan negeri, barang keperluan latihan pun tidak ada, malah ada yang terpaksa dipinjam. "Bagaimana mahu mempertingkatkan sukan ini jika kemudahan di Kuala Lumpur tidak mencukupi dan tidak boleh digunakan. Saya dimaklumkan, Cheras mempunyai trek yang sesuai bagaimanapun ada ura-ura mengatakan ia hanya untuk bola sepak. Di Kuching, Sarawak juga berdepan masalah sama. Trek dan peralatan satu keperluan dan kita perlu menyelenggarakan perkara ini untuk menaikkan semangat atlet," katanya.


Zainal membangkitkan persoalan itu ketika ditemui di Majlis Penyerahan Penajaan Bank Rakyat kepada KOM bernilai RM150,000 di bangunan Bank Rakyat Jalan Tangsi, semalam.


Bank Rakyat buat pertama kali tampil memberi sokongan untuk pembangunan dan perkembangan sukan di negara ini dan ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat selain mengembangkan jenama bank itu sendiri.

Mengulas mengenai penajaan itu, Zainal berkata, dana itu akan digunakan sepenuhnya untuk atlet dan jurulatih.


Katanya, jika sebelum ini KOM hanya mengharapkan bantuan ehsan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dengan adanya sumber kewangan seperti ini, KOM boleh menaja atlet dan jurulatih mengikut keperluan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Tok Gajah rentap ego LionsXII

Posted: 17 May 2013 11:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Jaringan dramatik lewat permainan Azzamuddin Akil membolehkan Pahang mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendahulu Liga Super, LionsXII dalam aksi di Stadium Darulmakmur malam tadi.

Keputusan seri itu pastinya mengecewakan LionsXII yang sudah berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga, namun tandukan pemain sayap Azzamuddin memadam gol pendahuluan Pemain Paling Bernilai Piala AFF 2012, Shahril Ishak pada babak pertama.


Biarpun lebih banyak mendominasi permainan sebaik separuh masa pertama bermula, Pahang dikejutkan dengan jaringan pasukan pelawat menerusi sepakan percuma kapten Shahril yang melencong ke sebelah kiri gawang menewaskan Rosfaizul Azuar Ali pada minit ke-11.

Pahang yang dibimbing Dollah Salleh mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-34, namun gerakan solo Malik Mat Ariff yang memperdayakan dua pemain pertahanan LionsXII berakhir dengan penyudahan lemah ke tepi jaring.


Pasukan tuan rumah sekali lagi cemas dengan aksi goyah Rosfaizul pada minit ke-38 apabila dia gagal menangkap kemas bola yang memberi peluang kepada Nazrul Nazari melepaskan rembatan namun mujurlah percubaan di depan pintu gol sekadar melepasi palang.


Dua pertukaran serentak dilakukan Dollah pada babak kedua dengan memasukkan Khairul Azhan Mohd Khalid bagi menggantikan Rosfaizul manakala penyerang import dari Argentina, Matias Conti mengambil tempat Malik.

Asakan demi asakan yang diatur jentera serangan Pahang masih gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan LionsXII.


Rembatan pemain sayap Azzamuddin Akil pada minit ke-75 dalam kotak penalti berjaya dihalang pemain pertahanan LionsXII manakala Conti kecewa selepas percubaannya ditepis penjaga gol Izwan Mahbud ketika permainan berbaki empat minit untuk tamat.

Namun Azzamuddin membuatkan anak buah V Sundramoorthy berputih mata apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan lima minit yang diberikan pengadil untuk Pahang meraih keputusan seri ketiga dalam tiga perlawanan terakhir liga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Nekad tebus kecewa

Posted: 17 May 2013 10:51 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan menanam tekad membenam musuh tradisi, Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini bagi menebus kekecewaan gagal layak ke suku akhir cabaran Piala AFC.

Ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi meminta rakan sepasukan melupakan kekecewaan saingan Piala AFC apabila tewas 0-2 kepada Kitchee SC dari Hong Kong, di gelanggang sendiri, Selasa lalu.


Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya juga mahu menjadikan gelanggang sama membenam Red Giants yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim. "Memang tidak dinafikan kekecewaan tersingkir daripada saingan Piala AFC masih dirasai semua pemain. Namun ia perkara biasa dalam bola sepak dan ini peluang terbaik kami menebus kekecewaan itu.

"Pada pusingan pertama kami tewas kepada Selangor dan tercicir mata tapi ketika itu kami masih bergelut dengan masalah prestasi. Dendam itu bakal terbalas dalam perlawanan ini dan mereka akan pulang tanpa sebarang mata," katanya.


Kelantan kini berada di tangga keenam dan hanya berbeza tiga mata dengan Selangor yang berada di tangga ketiga. Kelantan berpeluang memintas Selangor sekiranya berjaya mencipta kemenangan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Tugas berat anak buah Irfan

Posted: 17 May 2013 10:51 AM PDT

Sepang: Tugas sukar menanti Selangor untuk mencabar kedudukan teratas Liga Super apabila terpaksa menentang juara bertahan, Kelantan di Kota Bharu, malam ini.

Skuad The Red Warriors memiliki rekod tersendiri apabila hanya tewas dua kali di Stadium Sultan Muhammad ke-IV musim ini, salah satunya adalah dalam saingan Piala AFC.


Namun andai Merah Kuning mahu menjadi pasukan tempatan kedua membawa pulang tiga mata seperti ATM, mereka perlu mempamerkan aksi 'luar biasa' terutamanya apabila berhadapan dengan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Sedar tekanan yang bakal dihadapi anak buahnya, Irfan Bakti Abu Salim menggesa barisan pemain meningkatkan ketahanan mental.


"Rekod mereka di laman sendiri amat cemerlang dan melihat mereka mempunyai kelebihan," kata Irfan yang berdepan tugas berat menamatkan rentetan empat keputusan seri berturut-turut yang diraih Selangor sebelum ini.


Malah Irfan menjelaskan, Kelantan turut mendapat rehat yang cukup apabila beraksi sehari lebih awal di Kota Bharu berbanding Selangor yang terpaksa mengharungi perjalanan jauh ke Maldives dalam Piala AFC.

"Saya harap pemain mempamerkan persembahan lebih tenang kerana bakal mempengaruhi corak permainan. Pemain tidak boleh terburu-buru kerana bakal mengundang padah." Irfan turut meramalkan perlawanan terbabit bakal berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan pasti mahu menebus kekecewaan tersingkir di pusingan kedua Piala AFC pertengahan minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Layak secara merit bukan 'pintu belakang'

Posted: 17 May 2013 10:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Dengan tahap bola sepak negara ini yang masih jauh ketinggalan, mungkin ada baiknya jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tumpuan kepada aspek pembangunan daripada memasang angan-angan tinggi untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.

Itu pandangan disuarakan bekas pemain kebangsaan Reduan Abdullah yang mahukan badan induk bola sepak tanah air itu bersikap lebih realistik sebelum membuat perancangan untuk membida mendapatkan hak selaku tuan rumah temasya sukan bola sepak paling berprestij itu.


Katanya, FAM sepatutnya memberi lebih fokus memantapkan skuad Harimau Malaya jika mahu beraksi di Piala Dunia secara merit dan bukannya mengikut 'pintu belakang' dengan mendapat slot automatik selaku negara penganjur.

"Memang kita mampu menjadi penganjur, sebelum ini kita pernah menjadi penganjur kejohanan besar seperti Sukan Komanwel (1998) dan Piala Dunia Remaja (1997) tapi dengan tahap bola sepak negara ketika ini, adakah kita layak menganjurkan Piala Dunia? "Saya rasa lebih elok kita bersikap lebih realistik, lihat saja ranking skuad kebangsaan (161 dunia), masih jauh ketinggalan. Kita belum mampu menguasai Asia Tenggara apatah lagi Asia. Pada saya FAM sepatutnya memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan bola sepak sebelum mahu membida menjadi tuan rumah Piala Dunia," katanya.


FAM menerusi Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, baru-baru ini menyuarakan hasrat membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034 bersama dengan negara anggota Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).


Cadangan awal itu mendapat reaksi positif negara anggota termasuk Thailand yang turut berminat menjadi penganjur bersama.

Biarpun tempoh masih panjang sebelum bidaan dibuka pada 2026, satu mesyuarat khas bersama negara anggota AFF akan diadakan pada 19 Jun ini bagi membincangkan dengan lebih teliti cadangan itu.


"Biarlah kita bangunkan dulu liga bolasepak tempatan dan pasukan kebangsaan terlebih dulu. Saya fikir bila kita sudah berada di taraf terbaik sekurang-kurangnya di Asia barulah kita cuba menjadi tuan rumah Piala Dunia, takut nanti kita menjadi bahan jenaka saja," kata Reduan.

Hingga kini hak menganjurkan Piala Dunia pada 2026 dan 2030 belum ditentukan manakala Brazil dipilih tuan rumah 2014, Russia (2018) dan Qatar (2022).


Sejak diadakan pada 1930, hanya sekali Piala Dunia dianjurkan bersama iaitu Jepun dan Korea Selatan pada 2002 manakala bidaan Belgium-Belanda dan Sepanyol-Portugal untuk mendapatkan hak tuan rumah pada 2018 dan 2022 gagal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Khairy sokong idea jadi tuan rumah

Posted: 17 May 2013 10:50 AM PDT

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan negara Asean lain untuk membuat bidaan bersama selaku tuan rumah Piala Dunia 2034 harus dibuat dengan perancangan yang teliti.

Sambil menyokong usaha itu, beliau berkata, usul itu merupakan idea asal badan induk bola sepak kebangsaan berkenaan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Presiden II FAM dari 2007 hingga 2010. "Saya lihat bidaan (bersama) ini akan menjadi lebih serius dan saya fikir ia merupakan satu idea yang baik," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat KBS, semalam.


Khairy yang memulakan tugas rasmi selaku Menteri Belia dan Sukan yang baru berkata, beliau akan menghadap Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat bagi membincangkan lebih lanjut berhubung bidaan itu. "Secara dasarnya, saya melihat ia (bidaan) idea yang baik dan kita seharusnya membuat perancangan teliti. Walaupun bidaan dibuat persatuan (FAM), kerajaan yang akan mengendalikan kemudahan dan sebagainya," katanya.

Dua hari lalu, Tengku Abdullah yang juga anggota Jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Asean Tenggara (AFF), menyifatkan 2034 sebagai tahun paling sesuai buat negara Asia Tenggara khususnya Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia.


Tengku Abdullah membayangkan pada 2034, Malaysia mampu menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama sebuah negara Asia Tenggara, seperti yang dilakukan Jepun-Korea Selatan pada 2002.


Media juga melaporkan baginda turut diminta mempengerusikan sebuah jawatankuasa peringkat Asean bagi tujuan membida kejohanan bola sepak dunia itu dan ia dijangka diumumkan selepas mesyuarat bersama wakil negara Asean pada 16 Jun.

Khairy dan timbalannya, Datuk M. Saravanan memulakan tugas rasmi masing-masing semalam, selepas mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, kelmarin. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Almeida gagal halang kehebatan Johor DT

Posted: 17 May 2013 10:50 AM PDT

Kuala Terengganu: Sentuhan pertama ketua jurulatih sementara dari Portugal, Eduardo Almeida belum mampu membantu T-Team memburu kemenangan sebaliknya skuad yang sebelum ini dibimbing Peter Butler dilihat semakin tenat apabila tewas 1-2 kepada skuad bertaraf bintang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Kekalahan itu bagaikan memberi isyarat jelas T-Team yang berbelanja besar musim ini bakal beralih angin ke Liga Perdana musim depan selepas hanya mengumpul 12 mata daripada 18 perlawanan dan berada di tangga kedua tercorot liga selepas Negeri Sembilan.


Bagaimanapun, Almeida yang baru mengambil alih tugas melatih sejak dua hari lalu belum mahu mengangkat bendera putih sebaliknya menyatakan akan berusaha sedaya- upaya untuk mempertahankan kedudukan di Liga Super biarpun musim ini hanya berbaki empat perlawanan.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk memperbaiki kedudukan T-Team. Pemain menunjukkan komitmen tinggi dan beraksi baik terutama pada babak pertama perlawanan hingga berjaya menghasilkan jaringan.


"Namun beberapa kesalahan yang dilakukan serta kelonggaran bahagian tengah pada babak kedua selain jentera penyerang yang gagal mengambil beberapa peluang terhidang menyebabkan kita gagal mempertahankan jaringan serta menambah gol.


"Untuk empat lagi perlawanan, saya harap pemain bangkit untuk mengutip mata dan seterusnya mengelak daripada beraksi di Liga Perdana musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Khairy enggan beri tekanan

Posted: 17 May 2013 10:04 AM PDT

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada pasukan Malaysia yang bakal menghadapi kempen Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra Bukit Jalil, bermula esok.

Bagaimanapun, Khairy berkata, beliau yakin skuad Malaysia akan mempamerkan aksi terbaik dan berusaha meraih kemenangan dalam kempen Piala Sudirman kali ini. "Saya tidak mahu memberi tekanan kepada skuad badminton negara yang bakal menghadapi saingan dua pasukan lain iaitu Taiwan dan Jerman dalam Kumpulan C. "Pada masa sama, saya akan turun ke Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan dan memberikan sokongan kepada pasukan negara," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan serta agensi di bawahnya, di sini, semalam. Esok, skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Taiwan sebelum membuat perhitungan dengan Jerman dua hari kemudian. Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir. Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata, beliau berharap pasukan negara memanfaatkan kelebihan selaku tuan rumah dan bermain di depan ribuan penyokong sendiri bagi meraih kemenangan. Menurutnya, beliau yakin skuad negara mampu menjuarai peringkat kumpulan dan boleh pergi lebih jauh berikutan kemampuan pemain perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta campuran dilihat mempunyai prestasi seimbang dan kelebihan tersendiri. "Saya rasa harapan kita dalam kempen Piala Sudirman kali ini lebih baik kerana skuad Malaysia sekarang lebih seimbang. "Pada kejohanan lalu, kita hanya bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei tapi sekarang kita juga mempunyai kekuatan lebih menyeluruh termasuk perseorangan dan beregu wanita serta campuran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

No comments:

Post a Comment